Sehari sebuah buku
MASALAH Palestin dan Israel tidak pernah selesai. Konflik itu diangkat dalam sejarah kemanusiaan sebagai paling panjang berlanjutan selain memakan korban jiwa raga bukan sedikit. Tidak sah bercerita tentang Palestin, jika tidak mengaitkan dengan Israel serta Masjid Al-Aqsa walaupun konflik Palestin bukan sekadar Israel dan Masjid Al-Aqsa. Dalam sejarah panjang konflik Palestin, yang bermasalah ialah Israel. Rejim itu tidak pernah faham bahasa perdamaian. Walaupun pemimpin negara Arab cuba menjadi perantara mendamai serta menyelesaikan konflik, ia tidak ke mana-mana hanya kerana kedegilan Israel. Israel bukan sahaja tidak mengiktiraf Palestin, tetapi juga berebut Baitulmaqdis, di mana duduk letaknya Masjid Al-Aqsa. Siri Bebaskan Al-Aqsa ditulis mengambil kira apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan terus terjadi di bumi Palestin itu. Walaupun ada sebuah buku berjudul Kembara Beirut (tentunya mengenai Lebanon), ia turut ada hubung kait dengan Palestin di mana ramai pelarian Palestin mendiami di Lebanon. Malahan peristiwa Sabra Shatila menjadi saksi betapa nyawa pelarian Palestin sangat murah melayang di tangan askar-askar Israel. Ketika itu operasi diketuai Menteri Pertahanan Israel, Ariel Sharon, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Israel sebelum nazak sekarang akibat penyakit angin ahmar. Sementara itu dalam meneliti masalah Palestin, masyarakat perlu tahu terlebih dahulu akar kepada konflik berkenaan.
Membongkar
Bagi mereka yang mahu memahami punca masalah Palestin, boleh membongkarnya menerusi buku 20 Persoalan Asas Palestin. Ia sangat berguna buat mereka yang mahu tahu mengenai apa sebenarnya yang berlaku sekarang, mengambil kira apa terjadi terdahulu. Buku 20 Persoalan Asas Palestin, sebenarnya ia diadaptasi daripada buku asal Fakta-Fakta Asas Isu Palestin karya Prof. Madya Dr. Muhsen Salleh, seorang pakar sejarah Palestin. Ia disusun semula, dibuat penambahan diperlukan serta mengolahkannya dengan bahasa lebih mudah oleh penulis, Maszlee, dengan mengambil kira kesesuaian khalayak pembaca di Malaysia. Bagaimanapun, matlamatnya adalah tetap sama iaitu, mengharapkan risalah kecil ini berupaya memberikan pembaca semangat untuk terus melakukan aktiviti yang menyumbang ke arah kemerdekaan bumi Palestin dan juga Masjid Al-Aqsa di masa hadapan. Awalnya, siri ini bermula dengan buku Al-Aqsa Dalam Bahaya. Ketika ia ditulis, Israel sedang giat menjalankan kerja-kerja mengorek dengan tujuan mahu meruntuhkan Al-Aqsa. Kegiatan itu sudah pasti menimbulkan kemarahan bukan sahaja kepada Palestin tetapi juga sepatutnya menjadi ‘kebakaran’ buat umat Islam secara keseluruhannya. Jangan bertanya soalan mudah kenapa umat Islam perlu mempertahankan Masjid Al-Aqsa kerana persoalan itu tidak sepatutnya dikemukakan, tetapi perlu dan wajar tahu sebabnya. Siri ini diteruskan dengan buku kedua iaitu mengenai perdamaian bersama Israel. Sebagaimana diketahui, bukan Palestin yang tidak mahu berdamai dengan Israel, sebaliknya rejim itu yang enggan mengiktiraf Palestin dan buminya. Berapakah harga yang perlu dibayar oleh Palestin bagi membolehkan Israel mengiktiraf mereka? Sepatutnya Palestin tidak perlu membayar apa-apa kerana bumi itu adalah kepunyaan Palestin, bukannya Israel. Tetapi anehnya dalam penjajahan moden, penduduk asal dihalau, dianiayai tetapi pendatang Yahudi dialu-alukan di kawasan bukan tempatnya. Itulah persoalan yang cuba dirungkai oleh Hafidzi dalam buku Berdamai Dengan Palestin, Berapa Harganya.
Siri ini adalah antara bahan yang digunakan oleh Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE) yang menyebarluaskan maklumat mengenai Palestin dan Al-Aqsa.
Set Siri Bebaskan Al-Aqsa ini dijual sewaktu ceramah-ceramah, seminar atau persidangan mengenai Palestin diadakan di negara ini. Adalah sesuatu yang bermanfaat membaca siri ini, apalagi kebanyakan salah faham tentang apa yang berlaku di bumi Palestin ialah betapa ia masalah di bumi Arab semata-mata tanpa ada kaitan dengan umat Islam.
Siri ini dengan kata lain membetulkan salah anggapan itu.
Judul: Siri Bebaskan Al-Aqsa (Al-Aqsa Dalam Bahaya, Israel, Kenapa Dunia Tidak Boleh Mengiktirafnya-Satu Sorotan Sejarah 1917-1948, Berdamai Dengan Israel, Berapa Harganya, 20 Persoalan Asas Palestin dan Kembara Beirut)
Penulis: Maszlee Malik dan Hafidzi Mohd Noor
Penerbit: JIM International dan JIMedia
– AHMAD AIDID
HAKIMI ABDULLAH
Sunday, February 3, 2008
Sehari sebuah buku - Utusan Malaysia 10 Jan 2008 (Buku siri Bebaskan al Aqsa dapat liputan)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment