Utusan Malaysia
21 November 2009
20. Laporan Goldstone cemaskan Israel
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
KONFLIK di Asia Barat ketika ini tertumpu kepada polemik yang tercetus lewat perbahasan terhadap Laporan Goldstone. Laporan setebal 526 halaman itu merupakan hasil siasatan ke atas perang 22 hari di Semenanjung Gaza akhir tahun lalu. Laporan itu dikemukakan oleh kumpulan penyelidik yang dibentuk oleh Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dipimpin oleh bekas hakim mahkamah persekutuan Afrika Selatan, Richard Goldstone. Menariknya, Goldstone sendiri adalah seorang Yahudi.
Laporan itu dikumpul berdasarkan bukti-bukti yang dikutip di medan perang, analisis pendapat serta wawancara ke atas lebih 200 individu yang terlibat secara langsung dalam perang itu. Bukti-bukti juga dikumpulkan menerusi perhatian video, foto, rakaman satelit dan hasil penelitian terhadap 300 laporan terakam yang lain. Laporan ini membuat kesimpulan bahawa sama ada Israel atau Palestin, masing-masing melanggar hukum antarabangsa sepanjang perang itu. Tetapi dengan kematian kira-kira 1,600 orang penduduk Gaza, Israel menerima tuduhan yang lebih berat termasuk disebut melakukan kejahatan perang antarabangsa. Tersentak dengan laporan itu, Israel menolak ia daripada dibahaskan pada sidang Majlis Keselamatan PBB di New York ,14 Oktober lalu.
Bagi Israel, laporan itu dinilai berat sebelah dan mengugut akan menghentikan semua proses damai sekiranya ia dibahaskan oleh PBB. Tindakan Israel itu sebenarnya kerana bimbang dengan kredibiliti laporan tersebut yang sekiranya berjaya dibawa ke Majlis Keselamatan PBB, akan mengheret pemimpin mereka ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ), Belanda. Kerana itu juga Israel mendesak supaya Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto negara itu untuk menafikan laporan tersebut. AS tidak menunggu lama apabila memberi tekanan kepada Mahmoud Abbas sehinggakan Presiden Palestin itu sendiri memohon agar PBB menangguhkan perbahasan mengenainya sehingga Mac tahun depan. Malah, Kongres AS yang bersidang 4 November lalu juga meluluskan resolusi menolak laporan itu kerana berat sebelah dan tidak layak diiktiraf dengan 334 bersetuju manakala 36 lain membantah. Bagi penganalisis Asia Barat, Dr. Hafidzi Mohd. Noor, Laporan Goldstone adalah satu penanda aras yang penting dalam konflik di Asia Barat.
Ini kerana jelas Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace) itu, buat pertama kalinya pandangan umum masyarakat antarabangsa tidak lagi memihak kepada Israel. Dengan adanya Laporan Goldstone yang dikemukakan oleh pihak ketiga itu juga, Israel tidak lagi boleh berdolak-dalih. Bagaimanapun menurut Hafidzi, sama ada Laporan Goldstone mampu memberi keadilan kepada rakyat Palestin, ia masih terlalu jauh lagi untuk dinilai kesannya. Namun, sesuatu yang pasti, laporan itu sendiri sudah merupakan satu persetujuan bahawa rakyat Palestin terutama di Gaza menjadi mangsa keganasan Israel. Selama ini Israel yang dianggap sebagai 'mangsa' dalam konflik di Palestin. Malah, setiap kali Israel bertindak menyerang rakyat Palestin ia diperakui sebagai tindakan 'mempertahankan diri' atau serangan menghalang pihak musuh. Rakyat Palestin sejak krisis itu bermula lebih enam dekad lalu juga, ditindas dari pelbagai sudut. Kemuncaknya ialah kepungan ke atas Gaza dan penutupan sempadan sehingga menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan air bersih sejak tiga tahun lalu. Dalam tempoh tersebut juga, rakyat Palestin tidak pernah mendapat sebarang pembelaan dari mana-mana pihak.
Bahkan PBB sendiri tunduk kepada tekanan AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Israel yang merestui kepungan yang bercanggah dengan piagam PBB dan deklarasi hak asasi manusia itu. Hafidzi menjelaskan lagi, Laporan Goldstone itu hanyalah langkah pertama untuk menguji sejauh manakah objektifnya masyarakat antarabangsa dalam menilai pelanggaran-pelanggaran terhadap undang-undang dan pencabulan hak asasi oleh rejim zionis. Untuk melaksanakan apa yang terkandung di dalam Laporan Goldstone tersebut iaitu mengheret mereka yang bersalah ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa pula memerlukan satu kehendak politik yang kuat di kalangan negara-negara EU khususnya. Persoalannya, adakah mereka bersedia melakukannya?
''Apakah mereka bersedia untuk mengadili penjenayah-penjenayah perang zionis sebagaimana mereka mengadili dan menjatuhkan hukuman kepada penjenayah-penjenayah perang Nazi di Nurenburg pada tahun 1946?" tuntas Mohd. Hafidzi.
Namun, sesuatu yang menarik untuk dilihat daripada polemik yang ditimbulkan oleh Laporan Goldstone ini ialah kekalutan yang dipertontonkan Israel dan AS. Bagi AS sendiri, negara itu pada bila-bila masa boleh menggunakan kuasa veto untuk menolak mana-mana resolusi yang tidak berpihak kepada Israel. Keadaan itu jelas Hafidzi kerana laporan tersebut mempunyai implikasi undang-undang dan tidak mudah untuk AS melindungi Israel. Laporan itu juga membentangkan semua bukti-bukti yang tidak dipertikaikan tentang aksi-aksi jenayah perang yang dilakukan oleh Israel.
''Cubaan untuk melindungi Israel samalah juga dengan cubaan untuk melindungi Jeneral-jeneral tentera Nazi SS yang melakukan jenayah genosid ke atas orang Yahudi atau membela Jeneral Tojo dalam perang Asia-Pasifik," ujar beliau. Dari sudut rakyat Palestin pula, Laporan Goldstone boleh menjadi satu kelebihan, dalam masa yang sama menimbulkan pelbagai isu. Pertamanya berkenaan pendirian Mahmoud Abbas yang pada peringkat awal melengah-lengahkan persetujuan supaya laporan itu dibentangkan. Tindakan Abbas ini adalah selari dengan sikap perseteruannya dengan Hamas. Namun bagi rakyat Palestin, Abbas dilihat bersekongkol dengan rejim zionis. Keadaan ini meletakkan pentadbiran Abbas dalam keadaan serba salah.
Dalam pada itu Laporan Goldstone tetap meletakkan kesalahan kepada Hamas atas serangan-serangan roket yang dilancarkan ke wilayah Israel. Namun bagi Hafidzi, Hamas mempunya alasan kukuh untuk mewajarkan serangan tersebut. Kepungan yang dikenakan oleh Israel sehingga menyebabkan tragedi kemanusiaan yang parah ke atas Gaza adalah satu tindakan yang jelas mengundang peperangan. Meskipun ia tidak diistiharkan secara rasmi, namun undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva memperakui mana-mana tindakan ketenteraan yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk mempertahankan kedaulatan wilayahnya. Pengunduran Israel dari Gaza dan kemudian mengenakan kepungan menyeluruh adalah termasuk dalam tafsiran menggugat kedaulatan wilayah asing. ''Jadi kesimpulannya meskipun Laporan Goldstone membuat dakwaan yang serupa, Hamas punya hak untuk membela diri di atas pencabulan kedaulatan wilayahnya," ujar Hafidzi.
Sunday, November 22, 2009
Pandangan Pengarah PACE terhadap Laporan Goldstone - Utusan Malaysia 21 Nov 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment