PERUTUSAN EID-ADHA PACE
Saat ini hampir tiga juta umat Islam sedang berada di Makkatul Mukarramah untuk melaksanakan ibadah haji, kemuncak kepada rukun Islam ke lima. Hari Raya Haji juga disebut sebagai Yaum-un-Nahar atau hari menyembelih haiwan qurban. Hari itulah yang disambut sebagai Eid-ul-Adha hari Raya yang dikaitkan dengan ibadah ‘udhiya atau korban.
Ibadah Qurban adalah sunnah para Nabi sejak awal. Ia telah disyariatkan dari Nabi Adam AS di mana anak-anak baginda telah diperentahkan oleh Allah melakukan ibadah tersebut sebagai suatu ujian. Riwayat menunjukkan bahawa Habil telah melepasi ujian tersebut dan mendapat keredhaan Allah sedang Qabil gagal dimurkai oleh Allah. Sesungguhnya ibadah qurban yang disyariatkan kepada umat Muhammad SAW adalah mengambil sempena dari ibadah qurban yang diperentahkan kepada keluarga Ibrahim AS. Sesungguhnya Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS telah melepasi satu tahap ujian yang membuktikan kesediaan untuk melaksanakan perentah Allah meski ianya amat berat iaitu seorang ayah diperentahkan untuk menyembelih anaknya sendiri. Sebagai ganjaran di atas kesabaran dan benarnya iman keluarga Ibrahim maka Allah telah menggantikan Ismail dengan sebuah domba yang besar.
Hari ini ibadah qurban ini dihayati dalam bentuk menyembelih haiwan ternakan pada hari Raya Qurban. Ia adalah satu lambing bahawa seorang muslim sentiasa bersedia untuk berqurban demi meninggikan kalimah Allah dalam semua keadaan. Jika Ibrahim AS bersedia menuruti perentah Allah untuk mengorbankan anak yang paling disayanginya maka tidak ada yang menghalang seorang muslim untuk mengorbankan apa sahaja pada dirinya demi melaksanakan perentah Allah SWT.
Ibadah qurban juga adalah lambang perpaduan ummah yang tidak mengenali batas sempadan. Pada hari ini seringkali umat Islam digalakkan untuk berkorban kepada ‘yang lebih memerlukan’. Daging ibadah qurban akan diagih-agihkan di tempat-tempat di mana umat Islam menderita akibat konflik, peperangan dan bencana alam. Kini terdapat pelbagai skim penyertaan ibadah kurban yang disempurnakan melalui inisiatif pelbagai NGO di negara-negara umat Islam yang menjadi keutamaan. Namun yang lebih penting dari ibadah qurban itu sendiri ialah sejauh manakah umat Islam menghayati hikmah di sebaliknya. Ia bukan sekadar menyembelih haiwan qurban dan daging diagih-agihkan kepada fakir miskin setiap tahun tanpa diiringi dengan perubahan sikap dan keutamaan dalam menyusun agenda kehidupan. Sesungguhnya ibadah qurban yang dilakukan pada pagi Eid-ul-adha itu hanyalah satu permulaan dan penterjemahan kepada tekad yang bulat untuk sedia berkorban dalam setiap ketika.
Solidariti umat bukan diukur dengan menagihkan daging korban setahun sekali kemudian melupakan tanggungjawab yang lebih besar untuk membela umat Islam di mana sahaja mereka berada. Di Palestin khususnya , tanggungjawab umat Islam tidak selesai dengan hanya melakukan ibadah qurban, kemudian melupakan penderitaan saudara-saudara seakidah yang ditindas oleh musuh-musuh zionis sepanjang masa. Rakyat Palestin sudah terjajah lebih dari 61 tahun kini dan Baitul Maqdis tanah suci umat Islam serta Masjid al-Aqsa yang terdapat di sana sudah berada dalam cengkaman zionis selama lebih dari 42 tahun. Tentunya umat Islam punya kewajipan untuk membebaskan tanah suci umat Islam dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa yang sentiasa diancam oleh musuh-musuh zionis Israel. Jika warga Palestin berada di barisan depan bumi ribat Baitul Maqdis (bumi peperangan) maka saudara-saudara seiman di seluruh dunia member mereka segenap segala bantuan dan sokongan yang diperlukan untuk memenangkan jihad ini. Saudara-saudara mereka tidak akan membiarkan mereka bersendirian mempertahankan tanah suci umat Islam. Lebih dahsyat lagi jika saudara-saudara mereka berkhianat dan bersekongkol pula dengan musuh-musuh mereka dalam menjalankan makar untuk melemahkan perjuangan rakyat Palestin seperti yang berlaku pada hari ini.
Bukti betapa sebahagian umat ini telah berkhianat kepada saudara-saudara mereka di Palestin dapat kita perhatikan dengan jelas pada hari ini di Gaza. Kita melihat bagaimana sebahagian rakyat Palestin sendiri menjalin kerjasama dan berdamai dengan musuh untuk menggagalkan penentangan ke atas pencerobohan Israel. Di dalam keadaan Israel terus mengkhianati perjanjian-perjanjian yang mereka meterai, pemimpin-pemimpin rakyat Palestin terus menaruh kepercayaan dan harapan terhadap musuh. Israel di waktu yang sama terus melakukan pencerobohan demi pencerobohan, membina lebih banyak penempatan haram Yahudi di Baitul maqdis timur dan Tebing barat yang dijajah pada tahun 1967. Israel terus berdolak-dalih untuk melaksanakan penyelesaian dua negara ‘two state solution’ yang dijadikan umpan kepada Mahmud Abbas pemimpin-pemimpin Fatah. Tembok pemisah yang menceroboh jauh ke dalam wilayah yang diduduki di Tebing barat dan hampir mengepung Baitul Maqdis dari semua arah terus dibina di atas tanah rakyat Palestin, menghalang mereka dari mengerjakan ladang-ladang zaitun yang mereka warisi sejak ratusan tahun. Anak-anak mereka terhalang dari meneruskan persekolahan kerana tembok menghalang perjalanan mereka untuk ke sekolah.
Di masa yang sama penduduk Gaza telah dikepung dari semua arah dan dikenakan sekatan ekonomi yang menyeluruh sejak tiga tahun yang lalu. Semua pintu masuk ditutup kepada sebarang laluan sehingga kini Gaza menjadi penjara terbuka terbesar di dunia. Makanan, bekalan air bersih, ubat-ubatan dan bahanapi semuanya disekat dari penduduk Gaza. Pada saat ini hampir 50% dari kanak-kanak menderita kekurangan zat makanan. Dalam keadaan terkepung itu mereka dikhianati pula oleh rejim-rejim Arab yang berjiran. Negara-negara Arab yang mewah dengan petrodollar tidak membantu malah mereka bersekongkol pula dengan Amerika Syarikat dan berusaha untuk meraih sokongan barat. Mesir yang merupakan jiran yang terdekat bahkan satu-satunya Negara Arab yang berjiran dengan Gaza telah menutup sempadan di Rafah dan tidak membenarkan bantuan termasuk ubat-ubatan yang sangat diperlukan di Gaza. Bahkan kezaliman Mesir sangat menyolok apabila Gaza diserang secara biadap oleh Israel pada awal tahun 2009. Misi-misi perubatan dari seluruh dunia merasa hampa apabila mereka tidak dibenarkan masuk untuk merawat penduduk Gaza yang menderita akibat serangan bertubi-tubi Israel termasuk menggunakan senjata yang diharamkan seperti ‘white phosphorous’. Bahkan lebih dahsyat lagi apabila rakyat Gaza yang ingin mendapatkan rawatan di Mesir tidak dibenarkan masuk.
Semua ini menuntut seluruh dunia Islam merenung sedalam-dalamnya implikasi tuntutan ibadah qurban yang disyariatkan pada hari Raya Eid-ul-adha. Apakah umat Islam telah menghayati makna ibadah qurban yang dilakukan saban tahun setiap tibanya Eid-ul-adha. Bahkan sudah menjadi semacam trend pula bagi setengah-setengah pemimpin politik berbangga dengan jumlah puluhan atau ratusan haiwan qurban yang disedekahkan oleh mereka. Namun ia tidak menatijahkan dan diterjemahkan dalam bentuk yang dituntut oleh Islam. Umat Islam terus dibiarkan tanpa pembelaan. Rakyat palestin terus dinafikan hak mereka dan dibiarkan tanpa sebarang pembelaan.
Sudah tibalah waktunya umat Islam membuat satu lonjakan untuk menterjemahkan ibadah qurban yang dilakukan mulai tahun ini melepasi sekadar satu ‘ritual’ atau ibadah khusus. Sepatutnya ia membekas dijiwa untuk umat Islam bangkit dan menyahut perentah Allah dalam menunaikan tuntutan jihad sebagaimana keluarga Ibrahim mengorbankan anaknya yang paling disayangi demi mentaati arahan Allah SWT. Dalam nada yang sama umat islam harus bersedia untuk mengorbankan masanya, tenaganya, harta dan sumber-sumber yang dimilikinya, mengerah pelbagai usaha untuk perjuangan pembebasan tanah suci.
Pada hari ini kita melihat masyarakat antarabangsa termasuk masyarakat sipil (Civil society) semakin memahami pencerobohan-pencerobohan yang dilakukan oleh Israel ke atas hak asasi rakyat Palestin. Mereka menjalankan kempen-kempen boikot barangan yang menyokong ekonomi Israel yang dinamakan sebagai BDS (Boycott, Divestment and Sanction). Kempen BDS ini mendapat sokongan yang semakin besar di Amerika, Negara-negara EU dan Australia. Malah beberapa buah institusi pengajian tinggi dan university di USA telah memutuskan untuk mengalihkan pelaburan mereka dari syarikat-syarikat yang dikenal pasti menyokong ekonomi Israel. British Universiti dan College Union mengusulkan untuk memboikot university-universiti Israel.
Malangnya di kalangan umat Islam di Negara-negara umat Islam sendiri tidak menyahut kempen boikot barangan yang memberi sokongan ekonomi kepada Israel. Empat produk telah dikenalpasti tanpa syak lagi telah menyumbang kepada ekonomi Israel secara langsung iaitu Nestle, Lo’real, McDonald dan Coca-Cola. Namun kita masih melihat umat Islam sendiri menggunakan dan melanggan produk-produk tersebut. Jika pengorbanan yang amat kecil inipun tidak mampu dilaksanakan oleh umat Islam bagaimana untuk menyahut seruan jihad yang lebih besar untuk perjuangan membebaskan tanah suci. Kegigihan yang ditunjukkan oleh setengah-setengah pemimpin dari eropah seperti George Galloway sepatutnya memberi iktibar kepada umat islam. Sebagai seorang pemimpin yang amat peka dengan perjuangan rakyat Palestin atas inisiatifnya sendiri telah membentuk satu convoy yang membawa bekalan ubat-ubatan ke Gaza. Inisiatif ini dinamakan Viva Palestina UK (Long Live Palestine). Beliau telah Berjaya memecahkan kepungan Isreal dan membawa puluhan trak ubat-ubatan melepasi sempadan untuk dibekalkan kepada penduduk Gaza. Akhir tahun ini satu lagi convoy sedang diusahakan. Inisiatif kali ini turut disertai oleh Viva Palestina Malaysia yang disertai oleh COMPLETEMalaysia dan badan-badan NGO yang bergabung termasuk PACE. Kali ini Viva Palestina Malaysia berhasrat untuk menyumbang dua buah ambulan bagi kegunaan hospital-hospital di Gaza. Kita juga mendapat inspirasi dari peguam-peguam di beberapa Negara EU dan Amerika Syarikat yang berusaha dengan gigih untuk mengumpul kertas-kertas siasatan bagi mengheret pemimpin-pemimpin Israel sebagai penjenayah perang. Baru-barunya seorang peguam dari Afrika Selatan yang berbangsa Yahudi, Richard Golstone telah menyediakan kertas pendakwaan berserta bukti-bukti kukuh ke atas jenayah perang Israel ke atas Gaza. Laporan ini telah dibentangkan di PBB dalam persidangan agung dan telah mendapat sokongan majoriti dari Negara-negara anggota.
Umat Islam lebih wajar untuk mempelopori usaha-usaha membela rakyat Palestin kerana ia merupakan satu tuntutan ukhuwah yang wajib dilaksanakan. Apatah lagi bumi Palestin adalah bumi anbiya’, bumi yang penuh keberkatan, bumi di mana berlakunya peristiwa besar isra’ dan mikraj dan tempat yang akan menyaksikan pertarungan terakhir di antara hak dan batil menjelang hari kiamat.
Semuga Eid-ul-Adha pada tahun ini membawa satu perubahan dalam diri untuk melakukan apa sahaja pengorbanan bagaimana kecil sekalipun ke arah perjuangan pembebasan al-Aqsa.
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE
7 Zulhijjah 1430H
24 November 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment