Wednesday, April 14, 2010

Hidupkan kembali ghirah dalam masyarakat


Hidupkan kembali Ghirah dalam masyarakat

Hari ini rakyat Malaysia khususnya umat Islam dihantui oleh satu fenomena yang amat meruntun jiwa iaitu kes-kes pembuangan bayi. Seringkali bayi yang baru lahir ini ditemui telah meninggal dunia dengan keadaan yang sangat menyayat hati. Insan-insan yang masih belum mengerti apa-apa tentang kehidupan ini dibuang di tempat-tempat pembuangan sampah seperti selayaknya barang buangan yang tidak berguna. Malah ada mayat bayi yang ditemui dengan tanda-tanda ia dibakar sebelum dibuang dan ada juga yang tinggal sisa setelah dimamah oleh anjing dan haiwan lain yang berkeliaran. Jiwa yang sehat tidak dapat menggambarkan manusia semacam apakah yang sanggup melakukan perbuatan yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan ini. Bahkan fikiran menjadi buntu apabila mengenangkan perbuatan yang zalim ini besar kemungkinan dilakukan oleh ibu-bapanya sendiri. Sedangkan haiwan yang paling buas tidak tergamak melakukan perbuatan seperti ini terhadap anaknya. Buaya, seekor haiwan ganas akan memindahkan anak-anaknya yang baru menetas ke air dengan rahangnya dicelah gigi-giginya yang tajam dengan penuh kasih-sayang dan hati-hati agar tidak mencederakan anak-anaknya yang kecil dan lemah itu. Begitu juga harimau akan menggonggong tengkuk anaknya dengan cara ‘menggigit’nya dengan penuh kelembutan, sedangkan gigi yang sama itulah digunakan untuk menyiat-nyiat daging mangsanya.

Di manakah hilangnya bibit-bibit kasih-sayang bahkan nilai-nilai asas kemanusiaan. Apakah manusia sudah hilang sifat kemanusiaannya sehingga menjadi lebih hina dari haiwan sehingga sanggup melakukan perbuatan yang zalim itu? Apakah punca kepada penyakit yang semakin menular ini? Penyakit ini semacam sudah menjadi wabak yang tidak dapat dibendung melihat kepada semakin kerapnya berita yang terpampang didada akhbar mengenai kes penemuan mayat bayi yang baru lahir. Bahkan sewaktu risalah ini ditulis ada yang sedang berkira-kira untuk membuang bayi yang bakal lahir sedikit masa lagi. Mereka mungkin saat ini sedang memikirkan di manakah tempat yang paling ‘selamat’ untuk mencampakkan bayi tersebut agar tidak diketahui orang. Kalau bolih biarlah bayi itu tidak ditemui bekasnya dan hilang dari pandangan.

Kenapakah bencana ini semakin berleluasa. Apakah ia satu simtom atau gejala kepada penyakit yang lebih besar? Apakah nilai-nilai pegangan masyarakat sudah berubah sedemikian rupa sehingga bencana pembuangan bayi ini hanya diketahui berlaku dalam sepuluh tahun kebelakangan ini. Apakah yang ada pada masyarakat dahulu yang sudah hilang pada masyarakat hari ini. Apakah kompas kehidupan masyarakat hari ini sudah berputar 180 darjah sehingga nilai menjadi terjungkir balik?

Setelah diamati dengan penuh keinsafan maka penulis merasakan ada sesuatu yang telah luput dari masyarakat melayu Islam di Negara ini yang dahulunya menjadi pakaian masyarakat dan nilai yang dipertahankan dengan sungguh-sungguh. Salah satu dari ciri masyarakat melayu zaman dahulu yang telah hilang itu ialah ‘ghirah. Apakah yang dimaksudkan dengan ghirah? Ghirah adalah satu nilai yang cukup penting bagi orang melayu. Ia membawa maksud harga diri atau muru’ah (maruah diri, keluarga dan masyarakat). Orang melayu memang terkenal dengan sifat cemburunya apabila ‘ghirah’nya tersentuh. Sebab itu masyarakat melayu terkenal dengan ungkapan ‘Biar mati anak, jangan mati adat’ dan semboyan perangnya seperti ‘Dari hidup menanggung malu, lebih baik mati berkalang tanah!’. Ungkapan ‘Arang sudah terconteng ke muka’ menggambarkan betapa seseorang itu tidak sanggup berdepan dengan masyarakat apabila ghirahnya telah tercalar.

Salah satu dari aspek yang sangat dicemburui oleh orang melayu ialah yang berkaitan dengan maruah orang perempuan terutama yang bersangkutan dengan ahli keluarga yang terdiri dari isteri, anak-anak perempuan, adek-beradek perempuan, anak-anak buah perempuan dalam keluarga besar. Maruah kaum wanita tidak ternilai sehingga apabila berlaku pencabulan atau keluarga dimalukan dalam hal yang berkaitan dengan perempuan maka nyawalah galang gantinya. Ia tidak mungkin ditukar ganti dengan harta meski ditebus dengan emas.

Dalam sejarah rumpun bangsa melayu memang sarat dengan kesah-kesah benar mengenai mempertahankan atau menjunjung ghirah keluarga ini. Bahkan sehingga pertengahan kurun ke 20 kita masih lagi mendengar kes di mana seseorang membunuh kerana mempertahankan maruah keluarga apabila isterinya atau anak-anak perempuannya diganggu. Mereka sanggup dipenjarakan bahkan sanggup menghadapi hukuman mati kerana bagi mereka itulah harga yang sedia mereka bayar untuk menebus harga diri dan maruah keluarga yang telah tercalar. Bagi mereka itulah pengorbanan yang perlu demi memulihkan imej dan ghirah keluarga. Jika mereka hanya mendiamkan diri atau mengambil sikap memaafkan maka rosaklah nama baik keluarga dan ia tidak akan pulih sehingga ke anak-cucu. Bahkan ahli keluarga akan merasa malu untuk mengangkat muka apabila bergaul dengan anggota masyarakat. Mereka merasakan semua mata memandang mereka dan melihat mereka dengan penuh kehinaan kerana tidak ada sifat ’kelelakian’ atau tidak cukup jantan untuk menebus maruah kelaurga.

Apakah nilai ini datang bersama Islam atau ianya telah tertanam lama sebelum Islam menjadi anutan bangsa melayu? Jika kita lihat begitu sekali tegasnya orang melayu dalam soal menjaga ghirah keluarga, berkemungkinan ia telah menjadi sebahagian dari nilai yang diwarisi oleh orang melayu sejak dahulu. Islam datang untuk mengesahkan dan menyederhanakan sifat ghirah itu supaya cocok dengan fitrah manusia dan tidak sampai seseorang itu melampaui batas lebih dari apa yang diperakui oleh hukum syara’. Namun penerimaan Islam itu adalah satu proses pengislahan yang bertahap sehingga perlakuan-perlakuan mempertahankan ghirah secara melampau tetap mewarnai ciri-ciri kehidupan bangsa melayu yang telah lama menganut Islam. Sebab itu kita dapati salah satu dari ciri masyarakat melayu dahulu ialah budaya memingit anak perempuan meskipun Islam tidak pernah menganjurkan. Kehidupan Rasulullah SAW dan generasi awal muslim tidak sesekali menggambarkan kaum perempuan dikurung di rumah-rumah mereka. Bahkan mereka keluar bersama kaum lelaki termasuk menyertai peperangan dan memainkan peranan penting menguruskan aspek-aspek sokongan dan logistik. Tetapi di dalam masyarakat melayu dahulu anak-anak perempuan dipinggit dalam ertikata tidak dibenarkan keluar dari rumahnya melainkan atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan sama sekali. Bahkan ada anak perempuan yang tidak pernah menjejak kaki di luar rumahnya. Salah seorang tokoh wanita yang terkenal di Indonesia iaitu ibu kartini juga dikawal dalam masyarakat Jawa tradisional dengan budaya pingit. Beliau langsung tidak boleh keluar rumah sehingga usianya awal belasan tahun dan ini berlaku sekitar awal kurun ke 20.

Apabila negeri-negeri melayu (Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu-sekarang Indonesia) terdedah kepada sistem persekolahan dalam zaman penjajahan, rata-rata anak-anak perempuan tidak dibenarkan ke sekolah kerana bimbang mereka pandai menulis. Kepandaian ini akhirnya akan digunakan untuk berutus-utus surat dan bercinta. Sebuah keluarga akan ditimpa bencana besar jika anak perempuannya jatuh cinta sengan seorang pemuda kerana istilah cinta dalam kamus masyarakat melayu tradisional tidak wujud bahkan hampir-hampir dianggap haram. Ini adalah kerana perkahwinan diatur oleh keluarga dan anak perempuan hanya mengikut sahaja kehendak orang tua. Mereka tidak punya sebarang hak untuk mempersoal dan menolak pilihan ibu-bapa dalam soal jodoh. Semua ini tidak ada asasnya di dalam Islam kerana Islam memuliakan wanita, menjamin hak untuk mendapat pendidikan yang seimbang sama seperti lelaki dan kehendak serta perasaan wanita dihormati dalam soal pemilihan jodoh. Contoh-contoh dari kehidupan Rasulullah SAW sarat dengan bukti-bukti bagaimana wanita muslim menikmati hak mereka sama seperti kaum lelaki dalam soal-soal penting kehidupan.

Bagaimana pula masyarakat melayu lama meladeni anak-anak lelaki dalam hal menjaga harga diri perempuan. Anak lelaki yang sudah ’besar’ (sudah baligh) tidurnya di surau. Amat janggal dan pelik sekali jika masih ada anak-anak muda yang sudah diharapkan menjaga kampung tidur di rumah ibu. Anak-anak lelaki bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan kampung dan anak-anak gadis. Jangan sampai nanti berlaku pengkhianatan ibarat ’pagar makan padi’. Dengan aturan seperti ini diharapkan kampung terjaga dan anak-anak gadis terpelihara dari sebarang perbuatan sumbang, khianat dan ceroboh.

Pemuda juga harus tahu membawa diri di kampung. Jika tiada sebarang keperluan adalah kepantangan besar bagi seorang pemuda melintas di halaman rumah yang ada anak gadis yang sudah besar panjang. Jika melintas juga tanpa sebarang keperluan, silap perhitungan akan diludah oleh tuan rumah atau lebih parah lagi ditetak dengan parang.

In zaman dahulu. Namun masa berlalu dan kesan penjajahan barat sedikit demi sedikit meresap masuk ke dalam kebudayaan hidup bangsa melayu. Masyarakat melayu semakin terdedah dengan arus permodenan dan arus budaya barat yang datang bersama penjajahan. Anak-anak perempuan tidak lagi dipingit dan sudah mula mendapat sedikit ruang untuk meneroka dunia luar. Hasil dari kesedaran yang ditanam oleh tokoh-tokoh pejuang bangsa yang berusaha untuk membawa perubahan di dalam masyarakat melayu Islam, akhirnya masyarakat lebih terbuka. Ide-ide progresif yang dipelopori oleh gerakan kebangkitan atau islah (perubahan) yang dibawa oleh golongan cendekiawan yang mempunyai latar belakang pendidikan barat atau Islam mempunyai saham ke arah mengembalikan kemerdekaan dan hak orang perempuan yang selama ini dinafikan oleh nilai-nilai tradisi yang mencengkam.

Tetapi ibarat bandul masyarakat melayu Islam bergerak dari satu kedudukan yang ekstrem kepada satu kedudukan ekstrem yang bertentangan. Sedikit demi sedikit masyarakat melayu yang semakin terbuka mindanya juga semakin terbuka sikap dan pembawaannya. Bukan sahaja fikirannya semakin terbuka, pakain dan pergaulannya juga turut semakin terbuka sehingga melanggar adab-adab berpakaian dan batas-batas pergaulan dalam Islam. Keterbukaan ini dianggap satu kemajuan yang seiring dengan peredaran zaman. Sesiapa yang tidak mengikut trend aatu peredaran zaman akan dianggap kolot dan ketinggalan. Nilai-nilai Islam yang dahulunya mengawal akhlak masyarakat melayu tradisi yang kadang-kadang dipraktikkan dengan cara yang lebih ketat dari apa yang diharuskan oleh syarak kini semakin dilupakan dan ditinggalkan. Ghirah atau muru’ah diri yang menjadi kebanggaan turun temurun yang dipertahankan oleh orang melayu semakin terhakis bahkan hampir terhapus dari kamus kehidupan orang melayu. Pergaulan di antara lelaki dan perempuan semakin bebas bahkan semakin tidak mempunyai batasan lagi dengan berlalunya masa. Meskipun tanah air telah bebas dari belenggu penjajahan, trend budaya barat yang dianggap moden dan progresif terus mewarnai masyarakat melayu dengan kesan yang lebih parah lagi.

Ibu-bapa tidak lagi mempunyai rasa cemburu terhadap anak perempuannya. Ayah tidak merasa tercabar apabila anak perempuan dikelek oleh lelaki ke hulu ke hilir ibarat suami isteri layaknya. Sesiapapun tidak merasa maruah mereka tercabar atau ghirah mereka tersintuh. Bahkan mereka berbangga pula anak-anak gadis mereka mempunyai teman lelaki atau ’boyfriend’. Pergaulan bebas ini seringkali menyebabkan anak-anak gadis kehilangan mahkota mereka yang sepatutnya diserahkan kepada suami mereka pada malam perkahwinan yang dinanti-nantikan oleh mereka yang mahu mendirikan rumahtangga. Apabila ’kelapa sudah ditebuk tupai’ maka berusahalah keluarga tadi untuk menutup aib dengan menyembunyikan malu yang ditanggung keluarga. Cepat-cepat mereka usahakan agar perkahwinan dilangsungkan sebelum perut yang semakin besar semakin jelas kelihatan. Anak zina itu dilahirkan dan untuk menutup titik hitam itu anak tadi dibinkan kepada suaminya walaupun dari segi hukum anak zina tidak bolih dinasabkan kepada ayah biologikalnya. Pada tahap ini perzinaan berlaku di kalangan pasangan muda-mudi yang bercinta. Meskipun mereka telah ’terlanjur’ tetapi sekurang-kurangnya mereka mengambil tanggungjawab di atas ’keterlanjuran’ itu. Kini persetubuhan haram berlaku bukan sahaja di kalangan mereka yang kononnya dilamun cinta tetapi juga untuk suka-suka. Seseorang itu tidak perlu bercinta atau mempunyai komitmen untuk mengikat hubungan dengan tali perkahwinan untuk melakukan hubungan seks. Dan lebih dahsyat lagi mereka tidak mempunyai niat untuk melahirkan anak yang dikandung itu. Sebaliknya mereka nekad untuk membuang bayi tersebut sebaik ianya lahir. Bagi mereka yang ada peluang untuk membuang janin di dalam kandungannya diusahakan untuk digugurkan diklinik-klinik swasta ayng menjalankan pengguguran haram.

Inilah transformasi yang berlaku dalam masyarakat melayu Islam dari satu bangsa yang sangat tinggi sifat cemburunya terhadap perempuan kepada satu bangsa yang langsung tidak merasakan wanita mempunyai maruah yang perlu dicemburui dan dipelihara. Masyarakat sudah hilang ghirah yang dulunya dipertahankan meskipun dengan nyawa. Seluruh sendi-sendi masyarakat sudah goyah dan jika penyakit yang semakin parah melanda masyrakat ini tidak diubati, ia bakal runtuh dan membawa kehancuran generasi akan datang.

Inilah senario yang menuntut masyarakat melayu supaya menghidupkan semula sifat ghirah dengan Islam sebagai landasannya. Sifat ghirah yang mengikut acuan Islam bertitik tolak dari asas yang diletakkan oleh al-Quran mengenai tanggungjawab lelaki ke atas wanita. Asas itu ialah Ar-Rijalu kawammun na-alan-nisaa’ (Sesungguhnya lelaki itu adalah pelindung kepada wanita). Hari ini lelaki sudah hilang ghirahnya terhadap wanita sebaliknya mengkhianati amanah Allah dalam urusan memelihara muruah wanita. Ayah sudah hilang ghirahnya terhadap anak perempuan dan suami sudah hilang ghirahnya terhadap isteri. Lelaki pula sudah hilang ghirahnya dan sebaliknya mengambil kesempatan pula terhadap wanita.

Sesungguhnya kita mempunyai qudwah (contoh) yang terbaik pada diri Rasulullah SAW dalam hal mempertahankan ghirah ini. Pernah satu ketika seorang wanita muslim disingkap auratnya oleh orang yahudi di pasar. Atas rasa cemburu dan demi memelihara mu’ruah wanita Islam dan Islam itu sendiri, Rasulullah SAW memerangi mereka sehingga mereka diusir dari Khaibar. Ini satu contoh bahawa soal maruah dan ghirah bukan soal kecil. Jika ghirah umat Islam terus diperlekehkan maka natijahnya cukup serius dan Nabi SAW mendidik umat Islam supaya memelihara ghirah ini sebagai suatu yang tidak ternilai harganya, yang dengannya umat Islam dimuliakan. Begitu juga contoh yang ditunjukkan oleh Khalifah Mu’tasim di zaman Khilafah Abbassiyah. Seorang wanita diganngu oleh tentera Rum di perbatasan Syam. Wanita ini berteriak ’Wa Mu’tasim’ sedang Khalifah Mu’tasim berada di Baghdad, yang amat jauh dari Syam. Berita ini sampai ke pengetahuan Khalifah Mu’tasim. Dengan segera surat diutus kepada kerajaan Rum supaya gangguan terhadap wanita ini dihentikan. Jika perbuatan biadap ini berterusan maka khalifah tidak teragak-agak untuk menghantar bala tentera yang besar yang dikatakan ’kepalanya sudah tiba di Syam sedang ekornya masih berada di Baghad’. Lihatlah ghirah yang ditunjukkan oleh para rijal (lelaki sejati) dan rijal seperti inilah yang akan menjunjung perentah Allah – Sesungguhnya Lelaki itu adalah pelindung kepada wanita.

Semuga masyarakat hari ini mengambil iktibar dari kesah kelelakian sejati yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan generasi muslim qudwah (contoh terbaik) yang terdahulu. Semuga dengan berputiknya kembali bibit-bibit ghirah di atas landasan Islam yang syumul (sempurna) akan luputlah gejala pembuangan bayi yang amat menyesakkan hati kita pada hari ini. Semuga Allah mengembalikan umat ini kepada fitrahnya yang sebenar. Ameen Ya Rabbul Alameen

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Jab. Perlindungan Tumbuhan
Fakulti Pertanian
Univ Putra Malaysia
------------------------------------------------------------------------------------------
Seruan dari Raudhatus Sakinah

Salam sahabat2 sekelian,

Mengapa tema kali ini ditujukan kepada lelaki?

Dengan rendah hati kami ingin menjemput semua lelaki yang prihatin untuk bersama usaha pencegahan RS. Kami ingin sekali bertemu dan meraikan lelaki2 yang berjiwa mulia ini. Kami ingin khabarkan kepada anak2 di Raudhatus Sakinah bahawa masih ada lelaki2 yang tahu tentang tanggungjawab mereka dalam melindungi dan membela wanita. Kami yakin bahawa ramai lelaki yang mahu menjadi yang terbaik dalam membimbing dan menasihati kaum wanita dan sedang berusaha untuk menjadi pelindung mereka. Kami sedang giat berusaha menyebarkan pesanan bahawa jangan sampai ada lelaki masih kepingin mengambil kesempatan terhadap wanita2 yang menjadi amanah mereka. RS ingin berkongsi saham dengan semua. Jom bersama kami di .......
MALAM AMAL RAUDHATUS SAKINAH
(MARS) 2010


OBJEKTIF MARS 2010:


  1. Menjana dana bagi pengurusan & pembangunan Raudhatus Sakinah seluruh Malaysia
  2. Menjalinkan networking dengan pelbagai pihak
  3. Menekankan keperluan amar ma'ruf nahi mungkar dipertingkatkan dalam masyarakat
  4. Menyedarkan tanggungjawab serta menghargai peranan lelaki yang menjadi pelindung kepada maruah wanita

TEMA:

Lelaki Pelindung Wanita
(Surah An-Nisa':34)

TARIKH:
2 Mei 2010

MASA:
8.00 Malam - 11.00 Malam

TEMPAT:
Shah Alam Convention Center (SACC Convec)

KEHADIRAN KHAS:

YTM Tengku Besar Terengganu, Shariffah Nong Assegaff

Penaung Raudhatus Sakinah

(Bonda kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin)

PENAMPILAN ISTIMEWA:

  • Kumpulan Demascus
  • Xifu & Algebra
  • Persembahan anak-anak remaja
  • PENGACARA MAJLIS - Ahmad Fedtri Yahya (TV3)

JUALAN MEJA:

Platinum - RM5000/meja (10 kerusi)

Gold - RM3000/meja (10 kerusi)

Silver - RM2000/meja (10 kerusi)

Bronze - RM1000/meja (10 kerusi)

Sebarang bentuk sumbangan dan tajaan sangat dialu-alukan.

NO AKAUN RAUDHATUS SAKINAH:

5622 0961 3388

(MAYBANK BERHAD)

Untuk tempahan, sila hubungi:

Sekretariat Malam Amal Raudhatus Sakinah (MARS) 2010

03-41073379 atau 03-41089669 atau 03-41053159

Puan Rosmawati Zainal: 019-2386333

Puan Yusnani Abd Hamid: 013-3893379

Puan Siti Aini Jamil: 019-6553136

Nazirah Idris:019-5053008

En Mohd Amirul Mohd Letfee: 019-3836859

En Abdullah Omar:013-2466190

--
http://ummiroses.blogspot.com
http://www.raudhatussakinah.com

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc