Assalamualaikum,
Atas pertanyaan sdr Fattah yang mengunjungi blog ini, saya ulas seperti berikut.
Adakah keturunan ahlul bait di Tanah Melayu dan di nusantara?
Ulasannya:
Siapakah yang dikatakan ahlul bait? Ahlul Bait adalah keluarga Rasulullah SAW. Keturunan ahlul bait ialah anak-cucu dan keturunan Nabi Muhammad SAW dari satu-satunya anak baginda yang melahirkan zuriat yang berterusan iaitu dari pasangan Fatimah Az-Zahra dan Ali bin Abi Talib. Adapun anak-anak lelaki Rasulullah Ibrahim dan Kassim meninggal dunia semasa kecil dan tidak meninggalkan zuriat. Anak-anak perempuan Nabi yang lain iaitu Zainab, Ummu Kalthum dan Ruqaiyyah tidak diketahui mempunyai zuriat.
Jadi ahlul bait ini dikaitkan dengan keturunan Hassan dan Hussein RA. Keturunan mereka ini kalau dalam konteks nusantara di beri gelar Sayyid (keturunan Hussein) atau Syarif (keturunan Hassan RA). Mereka berbeza dengan gelaran Maulana, Makhdum atau Syeikh yang merupakan gelaran pada ulama yang datang dari Hejaz tetapi bukan dari jalur keturunan Rasulullah SAW. Kalau berdasarkan ini memanglah keturunan Rasulullah SAW atau ahlul bait ini memang ada di seluruh dunia.
Nama-nama ulama yang berdakwah di nusantara bermula sejak kurun ke 14M lagi bergelar Syarif dan Sayyid seperti Syarif Kabungsuan (Ulama dari Johor Lama yang berdakwah di Mindanao), Syarif Makkah yang berdakwah kpd Raja Meura Silu yang kemudiannya memeluk Islam memakai gelar Sultan al-Malikus Soleh dan menjadi Raja pertama Islam di nusantara (Kerajaan Pasai), Sultan Syarif Ali dari Taif diambil oleh Sultan Muhammad Syah (Sultan pertama Brunei - nama sebelum islam Awang Alak Batatar) sebagai menantu dan diangkat menjadi Sultan. Sultan Syarif Ali lah yang mengasaskan syariat Islam di negeri Brunei Darussalam. Syarif Hidayatullah atau Fathillah berasal dari Pasai juga adalah keturunan Rasulullah SAW yang menggempur Portugis dan mengalahkan kerajaan Sunda Kelapa pada tahun 1521 dan menukar namanya kepada Jayakarta (Jakarta). Syarif Hidayatullah adalah salah seorang dari Wali Songo (Wali sembilan di Pulau Jawa). Begitu juga ramai raja-raja kepulauan melayu adalah dari keturunan ahlul Bait. Di antara baginda ialah Raja Perlis DYMM Sultan Syed Sirajuddin Jamalullail al-Haj. Baginda adalah dari keturunan keluarga al-Ba'lawi dari Hejaz yang berasal dari Rasulullah SAW. Di samping itu Raja Siak dan Raja Kutai (Kalimantan) juga adalah dari keluarga yang sama.
Kesimpulannya memang keturunan ahlul Bait memang wujud di Nusantara dan mereka memainkan peranan yang besar dalam mengislamkan kepulauan melayu.
Ada juga sumber sejarah yang menyebut bahawa ahlul Bait (yang membawa ajaran Syiah) yang pertama menyampaikan Islam di nusantara. Perlak mula-mula menerima Islam sekitar tahun 840M dan Rajanya yang pertama ialah Sultan Alaidin Syed Maulana Abdul Aziz Syah. Begitu juga kalau kita lihat di Sumatera Barat (Minangkabau) ada upacara 'Tabut' yang disambut seperti hari Karbala di Iran. Tradisi perayaan Tabut ini hanya hapus pada pertengahan kurun ke 20. Bahkan ada yang mengatakan Ulama-ulama Paderi (Baderi) di Bonjol (Sumatera Barat) telah mengambil alih dari ulama-ulama 'Kaum tua' yang cenderung kepada ajaran Syiah. Ulama yang membawa Islam di Negeri Sembilan Syeikh Ahmad Makhdum juga dikatakan menganut fahaman Syiah dan beliau ditewaskan oleh Tun Perak kerajaan Melaka.(Wallahu'alam).
Tentang dakwaan yang mengatakan terdapat puluhan kubur sahabat di nusantara, ini tidak boleh dinafikan tetapi tidak dapat dibuktikan.
Hujah untuk menyokong akan kemungkinan wujudnya para sahabat yang syahid/meninggal dunia dan dimaqamkan di nusantara tetap ada.
1. Salah seorang dari sahabat Rasulullah SAW yang bernama Saad bin Lubaid al-Habsyi adalah salah seorang dari 73 orang yang diarahkan Nabi untuk berhijrah ke Habsyah sebelum berlakunya hijrah ke Madinah. Saad bin Lubaid al-Habsyi telah berlayar dari Habsyah ke Cina dan membina 2 buah masjid di Hanchow dan Canton (Guangzhou). Cina telah lama menjadi destinasi perniagaan orang Arab bahkan di zaman dinasti Tang (sebelum kurun ke 7 M) telah ada komuniti Arab (sebelum Islam) yang besar di Canton. Saad bin Lubaid al-Habsyi telah berdakwah di sana. Jika mereka berulang alik di antara Tanah Arab dan Tanah Besar Cina maka tidak mustahil ada para sahabat yang singgah di Tanah Melayu dan kepulauan Melayu (Sila rujuk buku yang di tulia oleh Hj Ibrahim Tien Y.M yang berjudul 'Perkembangan Islam di Tiongkok (Cina) terbitan Bulan Bintang - buku lama dan dah habis cetak).
2. Salah seorang dari sahabat besar Rasulullah SAW iaitu Saad bin Abi Waqqash makamnya terletak di Guang Zhou (Canton). Ini bermakna Masjid yang dibina di Guong Zhou adalah yang paling tua di Asia dan sezaman dengan Rasulullah SAW dan para sahabat.
3. Sumber Cina ada menyebut seorang raja Tashi (Arab) pernah pergi ke Chopo (Jawa) dan menziarahi Ratu Sima yang memerintah kerajaan Holing (Kalinga). Raja Arab ini menetap di sana selama 3 tahun dan kembali setelah mendapati rakyatnya terlalu patuh kepada Raja. Kerajaan Kalinga wujud pada kurun ke 7M (zaman Rasulullah SAW). 'Raja' Arab ini berdakwah di sana pada zaman Muawiyah bin Abi Sufyan (sahabat Rasullullah SAW).
4. Pada tahun 674 M (hanya selepas 42 tahun wafatnya Rasulullah SAW) sudah ada perkampungan Arab di Sumatera Barat. Besar kemungkinan sebahagian mereka adalah sahabat (iaitu mereka yang pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW).
5. Para Sahabat Rasulullah SAW jumlahnya melebihi 100,000. Ini adalah berdasarkan kepada umat Islam yang berkumpul di Padang Arafah untuk mendengar amanat dan pesan terakhir rasulullah SAW. Ribuan dari mereka telah tersebar ke seluruh dunia. Bilal, maqamnya di Syria, Abu Ayub al-Ansari maqamnya di Istanbul, Saad bin Abi Waqash di Cina. Mereka yang berstatus sahabat ini pula ada yang berjumpa dengan Rasulullah SAW pada usia yang amat kecil seperti Anas bin Malik RA yang didukung oleh Nabi dan di bawa naik unta bersamanya serta diberikan nasihat-nasihat. Anas bin Malik meninggal ketika usianya 93 tahun. Bererti setelah hampir 100 tahun Rasulullah SAW wafat, para sahabatnya masih hidup. Kemungkinan mereka hadir di nusantara dan meninggal di sini seperti juga di tempat-tempat lain tidak boleh ditolak.
Wallahu'alam bis sawab
Dr Hafidzi Mohd Noor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
'Kaum Tua' membawa ajaran Syi'ah?? Keras pernyataan ini. Harap dapat beri sumber rujukan. Terima kasih.
Post a Comment