Wednesday, May 19, 2010

Ir Dr Selamat aliman (PACE & Aqsa Syarif) menyertai misi Lifeline 4 Gaza


Lapan rakyat Malaysia sertai misi laut ke Gaza

Khamis, 20 Mei 2010 08:13 TM Lim

a

KUALA LUMPUR - Seramai lapan orang rakyat Malaysia yang mewakili beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlepas ke Istanbul dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 12.30 pagi Rabu bagi menyertai misi kemanusiaan Lifeline for Gaza. Di Istanbul, mereka akan menyiapkan barang-barang yang akan diangkut melalui jalan laut ke Gaza.

Pada 24 Mei, kesemua kapal yang menyertai misi ini (dianggarkan 10 buah) akan berkumpul di Antalya, sebuah bandar pelabuhan di selatan Turki sebelum dijadualkan bertolak ke Gaza keesokan harinya melalui Laut Mediterranean. Perjalanan dijangka mengambil masa 15 jam kecuali berlaku kelewatan disebabkan halangan atau perkara-perkara lain yang tidak diduga.

Anggota rombongan dari Malaysia ini merupakan wakil-wakil gabungan NGO yang terdiri daripada Haluan Palestin, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Muslim Care, Yayasan Amal dan Aqsa Syarif. Selain itu, rundingan sedang dilakukan dengan Bernama TV bagi membolehkan seorang petugasnya menyertai misi ini sebagai wakil media.

Menurut ketua misi yang juga Pengerusi Haluan Palestin, Noorazman Mohd Samsuddin, wakil media amat diperlukan sebagai 'senjata' untuk memasuki Gaza.

"Kita juga telah mendapat persetujuan daripada Radio IKIM yang akan membuat laporan dan lintas langsung misi ini setiap hari, yang siarannya mungkin dapat diikuti pada jam 11 malam. Selain itu, akhbar Sinar Harian juga akan menyiarkan berita perkembangan misi ini setiap hari juga," katanya.

Noorazman mengucapkan terima kasih kepada kira-kira 120 orang ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat-sahabat yang hadir mengucapkan selamat jalan kepada anggota rombongan.

"Inilah kali pertama wakil-wakil NGO bergabung tenaga menyertai misi ke Palestin. Ingatlah, setiap penglibatan yang kita lakukan adalah jihad. Mudah-mudahan ia menjadi amal soleh sebagai saham kita berjumpa Allah nanti. Kami mengharapkan doa daripada anda semua. Saya teringat (mafhum) kata-kata Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bahawa apabila Palestin berada di bawah kekuatan Islam, seluruh dunia akan berada di bawah kekuatan Islam," katanya lagi.

Menjangkakan kemungkinan berlaku senario sukar dalam usaha memasuki Gaza, sebuah pasukan pengurusan krisis telah ditubuhkan. Pasukan yang membuka bilik operasinya di Seksyen 17 Shah Alam ini juga terdiri daripada gabungan NGO dan bersiap sedia mengambil tindakan yang sewajarnya jika ditakdirkan berlaku perkara-perkara tidak diingini kepada anggota rombongan.

"Bukanlah kita mengharapkan perkara buruk berlaku, tetapi kita bersedia untuk bertindak kalau ia berlaku," kata penyelarasnya, Zulhilmi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Muslim Care turut membandingkan misi Lifeline for Gaza melalui laut ini seperti tentera Muhammad al-Fatih yang menawan Konstantinople 500 tahun lalu. "Walaupun kita pergi bukan untuk berperang tetapi kita bersedia menghadapi tentera Israel yang mungkin menyerang. Jadi, bersama-samalah kita memperbanyak mengerjakan solat malam untuk mendapatkan kekuatan."

Kelmarin, kerajaan Israel telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan menghalang misi ini daripada memasuki wilayah Palestin tersebut.

Rombongan ini turut disertai oleh Dr Selamat Aliman yang mewakili JIM, Palestine Centre of Excellence (PACE) dan juga Aqsa Syarif. Beliau amat berharap misi untuk memasuki 'penjara terbesar di dunia' ini berjaya supaya wakil-wakil NGO dari yang terlibat dapat melihat sendiri kesukaran hidup yang dilalui oleh rakyat Palestin, seterusnya mengenal pasti bentuk projek yang mesti dilaksanakan segera.

"Alhamdulillah, untuk misi Lifeline for Gaza ini kita telah menyerahkan sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin berjumlah RM200,000. Selain itu, kita juga mengadakan kutipan kilat selama 24 jam lepas bagi mengumpulkan wang tunai untuk diserahkan kepada penduduk Gaza secara langsung," kata Dr Selamat.

Misi ini difokuskan untuk membawa peralatan dan bahan-bahan binaan ke Gaza. Ia merupakan cubaan kedua beliau untuk memasuki Gaza setelah cubaan pertama pada awal tahun lalu melaui Rafah di sempadan Mesir-Gaza tidak berjaya. "Cubaan pertama dulu tidak diizinkan Allah, diharap kali ini berjaya. Tentang risiko menghadapi tentera Israel saya rasa semua orang faham, tetapi insya-Allah kita akan menghadapinya."

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa JIM ini menjelaskan, Israel memang diketahui bukan sahaja tidak membenarkan kemasukan bahan-bahan binaan, bahkan bahan-bahan keperluan asas turut disekat daripada memasuki Gaza. Oleh hal yang demikian, beliau berpesan kepada rakyat Malaysia supaya berusaha memahami kedudukan sebenar bumi Palestin dari sudut sejarah dan politik, kemudian menghulurkan sokongan dan doa yang berterusan untuk rakyat Palestin.

Turut berucap pada malam itu ialah Setiausaha Agung JIM, Nahar Md Nor, Pengerusi Persatuan Mawaddah Islam Malaysia, Ustazah Maznah Daud, wakil Viva Palestina, Noorazian Anidin, wakil Yayasan Amal, Jamuliddin Elias, wakil kaum ibu untuk isteri-isteri yang ditinggalkan, Puan Afiah dan penyampaian tazkirah oleh Ustaz Abdullah Sani. Bacaan doa diketuai oleh Ustaz Alami.

Source: Malaysia Harmoni

Lagi Gambar: Abu Syamil

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc