Tuesday, June 22, 2010

Dari Malaysiaharmoni - Dr Mohd Parid memimpin IKRAM

Dr Mohd Parid memimpin IKRAM

aKUALA LUMPUR – Dr Mohd Parid bin Syeikh Ahmad mungkin tidak dikenali oleh ramai anggota masyarakat. Namun, ketika pihak media mengikuti pidato beliau pada pagi 20 Jun 2010 di Majlis Pelancaran IKRAM, di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC), Seri Kembangan, ramai melihat akan kemunculan seorang tokoh baru dalam memimpin gerakan Islam bersifat massa.

Ketika wartawan tertanya-tanya siapakah personaliti di hadapan mereka ini, tokoh ulama ini menjawab tegas dua soalan yang diulang-ulangi daripada wartawan mengenai kemampuan NGO merobah dasar negara, “Mengapa tidak, ia boleh berlaku, insya Allah.”

Baginya, selaku NGO massa yang komprehensif, IKRAM boleh menyumbang kepada pembangunan masyarakat Malaysia yang maju dan progresif. Malahan, Dr Mohd Parid, Presiden IKRAM yang baru diumumkan ini, bercakap bahasa merobah dan membuat pembaharuan.

Ketika diminta menghuraikan pembaharuan yang dimaksudkannya, beliau menjelaskan, “Agenda IKRAM adalah merobah perjalanan sejarah, perubahan realiti yang sedia ada kepada realiti penguasaan Islam, ummah menjadi ummah yang terbaik, negara menjadi negara termaju dan makmur, dunia menjadi aman dan sejahtera, tamadun Islam kembali gemilang.”

aBiar apapun, beliau telah mengungkap dengan penuh bersemangat misinya sebagai Presiden di hadapan lebih 5000 orang ahli dan tetamu dalam majlis Pelancaran IKRAM. Walaupun baru ditubuhkan pada bulan Oktober 2009 yang lalu, IKRAM telah mempunyai 3500 orang ahli, telah ditubuhkan di 69 daerah dan 14 negeri di seluruh Malaysia secara sah.

Satu lagi lembaran baru telah terbuka dalam perkembangan perjalanan usaha dakwah tarbiah masyarakat untuk mengingatkan kewajipan manusia terhadap pengabdian kepada yang Maha Pencipta dan menegakkan syariat-Nya.

aMenyingkap latar belakang tokoh ini, beliau adalah ahli akademik yang telah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selama 23 tahun.

Dr Mohd Parid memiliki ijazah PhD dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh dari Universiti Jordan, sarjana Siasah Al-Syariyyah dan Fiqh dari Universiti Al-Zaitunah, Tunisia dan Diploma Al-Syari’iyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau adalah juga lulusan Sarjana Muda syariah dari Institut Pengajian Tinggi Islam Kelantan Nilam Puri.

Beliau juga adalah bekas ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan merupakan anggota panel syariah Bank Negara Malaysia dan CIMB.

Ketika ditanya tentang apakah yang akan disumbangkan IKRAM kepada masyarakat Malaysia, beliau menyatakan, “IKRAM akan berusaha mengarusperdanakan Islam, memaksimumkan guna tenaga ahli ke medan dan reluang amal yang berbagai-bagai, mengangkat kewibawaan kepemimpinan IKRAM untuk memimpin ummah, membangunkan institusi-institusi masyarakat madani yang akan mengemukakan pelbagai perkhidmatan dan unjuran penyelesaian kepada masalah masyarakat, ummah dan manusia.”

Sehingga kini, IKRAM menggabungkan lima NGO termasuk yang veteran dan selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing. Mereka adalah Medical Interest Group Sdn Bhd (MIGSB), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH), Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS) dan Aqsa Syarif Berhad.

aSeorang wartawan yang tertarik melihat ribuan anak muda pada hari pelancaran IKRAM bertanya Presiden siapakah mereka itu, beliau menjawab, “Mereka generasi muda yang berminat dan bersemangat untuk kerja-kerja amal dan dakwah. Kita bersyukur namun tanggungjawab yang besar adalah memimpin dan membimbing mereka bagi mencapai kegemilangan Islam.”

“Tanzim (organisasi) IKRAM dipacu oleh barisan kepemimpinan yang berwibawa dengan penuh keazaman dan basirah yang tembus menggerakkan perjuangan, memperhebat amal, memacu dakwah dan tarbiah, menyusun saf dan mengirim mereka ke medan-medan juang dengan tepat dan berkesan,” ulas beliau mengenai barisan pemimpin yang diharapkan.

“Kesemua ini menuntut kita terus mempersiapkan peribadi dan saf dengan keupayaan yang berganda dan tarbiah kerana kita akan menghadapi berbagai-bagai cabaran. Kita akan berusaha untuk berada di pusat aksi dan operasi, at the centre stage. Kita akan memasuki era penglibatan bersama masarakat, massa dan rakyat,” tegas beliau mengenai sejarah baru yang akan dilakar oleh IKRAM.

Foto-foto oleh Hisham Walat.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc