Thursday, June 3, 2010

Tulisan HMN dlm BH (4/6/2010)

Dunia tidak akan biar penduduk Gaza menderita


2010/06/04

Tindakan tidak berperikemanusiaan Israel bukan halangan antarabangsa ringankan azab rakyat Palestin

KETIKA rencana ini ditulis, sukarelawan dari Malaysia yang ditahan (dipenjarakan) oleh Israel bersama kira-kira 600 sukarelawan 50 negara sudah pun dibebaskan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Ahad ini.

Perkembangan ini sudah tentu melegakan rakyat Malaysia apatah lagi ahli keluarga yang menunggu penuh cemas dengan harapan mereka yang disayangi terselamat.
Ini gara-gara insiden serangan biadap tentera Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang dinaiki tidak kurang 540 sukarelawan. Seperti yang kita sedia maklum, sembilan orang syahid dan kira-kira 50 yang lain parah dan kini dirawat di hospital rejim zionis di Ashdod.
Misi mereka ialah untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang sudah terkepung dan menghadapi sekatan ekonomi secara menyeluruh. Bahkan sukarelawan dari negara Barat termasuk Ireland, Jerman dan Greece turut menyertai misi ini. Sukarelawan Amerika Syarikat turut serta meskipun dasar Amerika terhadap Palestin sudah sedia dimaklumi.

Latar belakangnya ialah kerana kepungan dan sekatan menyeluruh dikenakan ke atas penduduk Gaza sudah memasuki tahun keempat. Sekatan dikenakan ke atas Gaza sudah mencetuskan bukan saja satu krisis yang teruk bahkan bencana kemanusiaan yang tidak pernah dialami dalam sejarah.

Kepungan ini menafikan hak penduduk Gaza untuk menikmati keperluan asas yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia yang diterima pada 1948. Mereka dinafikan bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan lain-lain keperluan asas untuk menjalani kehidupan sempurna.

Gaza bertukar menjadi penjara terbuka terbesar di dunia kerana seluruh laluan dan pintu masuk ditutup kepada pergerakan manusia. Bukan saja jalan darat, bahkan laluan laut dan udara juga ditutup menyebabkan lebih 80 peratus rakyat Gaza hidup di bawah paras kemiskinan.
Hampir 90 peratus hilang mata pencarian. Kilang ditutup kerana bahan import bagi bekalan barangan mentah tidak dibenarkan masuk. Di samping itu, bahan api yang disekat dan bekalan amat terhad menyebabkan kilang tidak dapat beroperasi.

Lebih 80 peratus kanak-kanak di Gaza mengalami kekurangan zat makanan. Bilangan yang meninggal dunia akibat kekurangan ubat juga sudah mencapai kadar seorang sehari dan kadar ini akan terus meningkat sekiranya sekatan berlanjutan.

Persoalannya ialah mengapa Israel tergamak melakukan tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan amat salah dengan peraturan dan undang-undang antarabangsa. Sebab sebenar mereka bertindak kejam ke atas penduduk Gaza ialah kerana Gaza ditadbir oleh HAMAS (Harakat-ul Muqawwamah al-Islamiyah) yang memenangi pilihan raya legislatif pertama di Palestin pada 2006.

Sebaik saja HAMAS memenangi pilihan raya itu dengan majoriti selesa, Israel melalui inisiatif Kuartet Asia Barat yang dianggotai Amerika Syarikat, Russia, Kesatuan Eropah dan PBB, memberi kata dua kepada pentadbiran HAMAS iaitu iktiraf Israel, hentikan penentangan dan terima semua perjanjian damai yang dipersetujui dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Semua ugutan ini ditolak HAMAS kerana ia adalah penipuan yang amat jelas dari Israel. Apabila HAMAS enggan berkompromi, maka sekatan ekonomi dikenakan ke atas seluruh Palestin. Ini adalah tindakan pertama yang dikenakan ke atas Palestin meskipun HAMAS memenangi pilihan raya secara sah dan bebas.

Ini diperakui sendiri bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter yang mengesahkan bahawa keputusan pilihan raya itu benar-benar menggambarkan pilihan rakyat Palestin. Insiden ini jelas menunjukkan Amerika mengkhianati prinsip demokrasi.

Amerika memaksa rakyat Palestin untuk memilih pemimpin yang mereka ‘taja’. Apabila rakyat Palestin memilih wakil mereka berdasarkan manifesto dan juga rekod cemerlang calon bertanding di dalam pilihan raya itu, mereka dihukum dengan mengenakan sekatan ekonomi.

Meskipun HAMAS memenangi pilihan raya ini dengan selesa, mereka tetap mengajak semua parti termasuk fraksi kedua yang terbesar dan kalah dalam pilihan raya iaitu Fatah untuk membentuk kerajaan campuran. Namun tawaran ini ditolak.

Begitu pun, usaha untuk menyatukan rakyat Palestin terus dilakukan dengan gigih sehinggalah terbentuknya kerajaan perpaduan pada 2007. Namun usaha ini juga digagalkan oleh konco Israel yang cuba memusnahkan perpaduan rakyat Palestin.

Tali barut zionis seperti Muhammad Dahlan terus memainkan peranan menggoyahkan pentadbiran HAMAS di Gaza. Mereka sering melakukan serangan ke atas pejabat kerajaan dan menimbulkan ketegangan.

Apabila kelompok ini berjaya diusir dan pusat mereka ditawan, terbongkarlah konspirasi yang wujud di antara kelompok ini dan ejen Israel dan Agensi Perisikan Pusat (CIA). Mereka mendapat bekalan senjata, peluru dan pembiayaan dari Israel. Bermula saat itu, Gaza diisytiharkan sebagai entiti musuh dan dikenakan kepungan di samping sekatan sedia ada. Demikianlah sekatan ini berterusan sehingga hari ini.

Namun tindakan tidak berperikemanusiaan ini gagal melemahkan semangat juang rakyat Gaza. Mereka terus berdiri di belakang HAMAS. Mereka melakukan itu kerana HAMAS sama sekali tidak akan bertolak ansur dalam empat prinsip iaitu – pertama, kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai masjid suci umat Islam.

Kedua, kedudukan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin yang dirampas secara tidak sah oleh Israel yang mengisytiharkannya sebagai ibu negara abadi Israel; ketiga – kedudukan bumi Palestin yang dijajah secara tidak sah pada 1948 dan juga 1967 (Baitulmaqdis timur, Tebing Barat dan Genting Gaza); keempat kedudukan pelarian Palestin dan hak mereka untuk pulang ke tanah air mereka.

Empat prinsip yang dipertahankan ini menjadi halangan terbesar kepada Israel untuk menggenapkan cita-cita pendudukan mereka ke atas bumi Palestin, Baitulmaqdis dan al-Haram as-Shariff di mana terletaknya masjid al-Aqsa. Inilah punca dan sebab sebenar kenapa Gaza dikepung dan dikenakan sekatan yang amat biadap ini.

Ini jugalah sebab dan jawapan kepada persoalan kenapa rakyat Palestin sanggup berdepan dengan penderitaan dikepung dan dinafikan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Ini jugalah yang mendorong sukarelawan menaiki kapal Mavi Marmara dan menyertai Freedom Flotilla Lifeline4Gaza dan meletakkan keselamatan diri mereka dalam keadaan penuh risiko.

Semoga Allah memberi ganjaran pahala atas usaha pengorbanan mereka untuk menyampaikan amanah dan harapan rakyat Malaysia dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membebaskan rakyat Gaza daripada kepungan dan kezaliman Israel.

Penulis ialah Pengarah PAVE (Palestine Centre of Excellence) dan Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Sharif.
Admax Supports Eco-Living . Click here for 10 easy things you can  do today to go green!

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc