Thursday, April 24, 2008

Ruangan Bicara Kalbu Berita Harian 25 April 2008

Ruangan Bicara Kalbu Berita Harian 25 Apr 2008
Petunjuk mimpi bukan penentu calon suami

SAYA sering bermimpi berjumpa lelaki yang saya kenali. Dalam mimpi itu dia mengusap ubun-ubun saya, menasihati supaya jangan bersedih, bersama saya bersolat jemaah dan membetulkan cara perlakuan solat seperti rukuk dan tomakninah. Perkara itu datang berulang-ulang. Paling membingungkan ialah pada Ramadan lalu, saya bermimpi dia mendatangi saya seolah-olah saya dan dia baru saja diijabkabulkan. Untuk pengetahuan, saya tidak bermimpi pada tengah malam tetapi mimpi itu datang selepas saya melakukan solat hajat dan istikharah (kerana dia adalah harapan saya untuk dijadikan suami). Harapan ini terbina pun kerana mimpi berkenaan. Pun begitu, saya dan dia tidak menjalinkan apa-apa hubungan. Ini sudah berlanjutan sejak Januari 2007. Semoga tuan dapat meleraikan kekusutan saya.
Sang Pemimpi, Johor Baru

Jawapan

SEBELUM saya ulas dan memberi pandangan, sebaiknya kita perjelaskan kedudukan mimpi dalam Islam. Kita sering mendengar mimpi adalah permainan tidur. Ini adalah penilaian umum terhadap mimpi orang awam (orang biasa seperti saya dan anda). Dalam Islam, kita berpegang dengan satu prinsip yang jelas iaitu mimpi bukan hujah. Maksudnya kita tidak boleh menjadikan mimpi sebagai hujah atau fakta untuk menegakkan suatu pendirian atau pendapat. Contohnya jika kita bermimpi bahawa ada orang salih memberitahu mengenai suatu perkara, tidak ada kewajipan untuk kita mengikut saranannya, apatah lagi jika saranan itu bertentangan dengan syariat Islam.

Berlawanan dengan mimpi orang awam, mimpi nabi dan Rasul adalah kebenaran yang tidak boleh dipersoal. Ini kerana nabi dan Rasul terpelihara daripada godaan syaitan dan bisikan hawa nafsu. Juga ada di antara nabi yang diberi kemampuan untuk mentafsirkan mimpi seperti Nabi Yusuf. Mimpi orang salih boleh dianggap sebagai ilham yang dianugerahkan Allah. Namun seperti mimpi orang awam, ia tetap tidak boleh dijadikan sandaran dan hujah untuk menetapkan sesuatu perkara. Umat Islam tetap perlu kembali kepada al-Quran dan hadis serta ijtihad ulama berdasarkan istinbat hukum dan hujah untuk memutuskan urusan umat Islam.

Mimpi sama sekali tidak boleh menyokong satu pendapat atau sebaliknya kerana dikhuatiri menimbulkan perpecahan kerana tidak ada neraca yang boleh diguna pakai dalam menentukan isyarat terkandung dalam mimpi seseorang. Bagi manusia biasa seperti kita, mimpi ada kalanya boleh dianggap sebagai petunjuk atau pertolongan Allah. Banyak perkara yang harus di dunia ini membabitkan pemilihan sama ada sesuatu itu baik atau buruk hanya Allah yang mempunyai pengetahuan lengkap mengenainya. Ayat al-Quran ada yang memberitahu kita mengenai perkara yang tidak kita sukai sedangkan ia baik buat kita dan cenderung kepada sesuatu yang disukai tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk kita.

Dalam soal memilih pasangan, kita diingatkan Allah, antara lain supaya tidak mengahwini wanita musyrik sungguhpun perasaan cenderung kepadanya. Sebab itu kita dianjurkan berdoa seperti doa pemuda al-Kahfi yang tertidur dalam gua yang diceritakan dalam surah Al Kahfi. Mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami di sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus dalam urusan kami.”

Berbalik kepada isu ditanyakan apakah mimpi boleh dijadikan sandaran? Seperti dijelaskan, mimpi boleh menjadi isyarat atau petunjuk. Sering kali apabila kita keliru dan tidak pasti keputusan apakah patut diambil, kita memohon petunjuk Allah supaya memberikan jawapan atau penyelesaian. Ia boleh datang dalam bentuk gerak hati, mimpi atau petanda tertentu yang menyebabkan hati kita berasa tenteram terhadap sesuatu keputusan. Rasulullah SAW ada menyebut dalam hadis yang bermaksud: “Jika kamu tidak pasti, tanyakanlah hatimu.” Ini yang sering kali disebut ‘tepuk dada, tanya selera’. Tetapi sebelum tanya selera kita, kena tepuk dada tanya iman. Jika selera tadi tidak bertentangan dengan syariat, maka teruskanlah. Letakkan azam dan bertawakal seperti firman Allah yang bermaksud: “Apabila kamu sudah berazam bertawakallah kepada Allah.”

Dalam soal memilih pasangan, Islam memberi panduan iaitu wanita dikahwini kerana empat, harta, kecantikan, keturunan dan agama. Maka pilihlah yang beragama, nescaya beruntung kedua-dua tanganmu. Jelas dalam hadis itu kita perlu memilih pasangan yang dipastikan pegangan agamanya mantap. Yang selain daripada itu adalah nilai tambah atau bonus. Kecantikan, keturunan dan harta boleh memusnahkan dan mendatangkan penderitaan berpanjangan jika tidak ada pegangan agama kukuh.

Jika dari sudut zahirnya lelaki itu taat beragama dan berpegang teguh dengan Islam, ia adalah pilihan yang baik. Namun seperti digariskan, hanya Allah yang tahu sama ada pilihan kita baik atau sebaliknya. Di sinilah kita memohon petunjuk dengan melakukan solat istikharah dan bermunajat kepada Allah dengan hati ikhlas untuk menjaga agama dan menjunjung syariat Islam dalam kehidupan mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk dalam bentuk gerak hati, mimpi atau kecenderungan tertentu. Namun, perlu berhati-hati dengan syaitan kerana ia sentiasa berusaha menimbulkan syak wasangka dan ragu-ragu di hati kita. Oleh itu sentiasalah memohon perlindungan dari Allah daripada syaitan yang direjam supaya gerak hati kita adalah petunjuk dan isyarat dari Allah.

Untuk memastikan mendapat petunjuk Allah hendaklah kita menjaga hubungan dan syariat Islam. Seperti dijelaskan dalam persoalan ini, saudari tidak pernah menjalin apa-apa hubungan dengan lelaki berkenaan. Teruskanlah memelihara adab dan akhlak serta batas pergaulan digariskan Islam. Jangan terikut-ikut aliran hari ini di mana umat Islam terjebak dalam budaya memadu cinta seperti orang Barat. Keluar berpasangan sedangkan mereka tidak ada ikatan sah sebagai suami isteri. Di samping itu, hasrat murni saudari perlu disampaikan mengikut saluran yang betul. Sampaikan hajat dan harapan saudari kepada pihak ketiga yang boleh dipercayai, selalunya pasangan suami isteri yang amanah untuk menyampaikan kepada lelaki berkenaan. Jangan bimbang dikata orang ‘perigi mencari timba’. Dalam Islam tiada halangan untuk seorang wanita menyampaikan hasratnya kepada lelaki yang baik untuk menjadi calon suami, seperti Saidatina Khadijah yang menghantar wakil menyampaikan hasratnya kepada Rasulullah SAW.

Jawapan disediakan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di ruangan http://http://www.bicara/kalbu.blogspot.com/
Cetak artikel

Talk pada warga emas - anjuran JAWI

Sedang berceramah kepada warga emas, 30 wanita dan 7 lelaki

Warga emas yang hadir, yang paling tua sekitar 70 tahun


lengkuk tamaddun yang dilalui oleh umat Islam

Assalamualaikum,

Pada 22 April abi dan abg Qayyim telah memenuhi jemputan ceramah di kem Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat anjuran JAWI yang dikendalikan oleh akh Mohd Rashid Razali, JIM KL. Ini adalah pengalaman pertama berceramah kepada warga emas.

Pada pembuka kata, saya perkenalkan diri sebagai orang yang juga menghampiri umur warga emas, tapi akh Rashid Razali kata warga 'suasa' atau emas tiruan. Satu cabaran juga untuk menyampaikan ceramah kepada golongan khusus yang sebahagiannya seusia ayah saya.

Rengkasnya saya sebut kita ni adalah golongan yang beruntung tidak sebagaimana orang lain. Sebagai contoh dalam falsafah Cina tua ada tersimpan kata-kata ini 'bagaimana aku lahir aku tak ingat, ke mana aku selepas ini aku tak tahu'. Jadi bagi kebanyakkan manusia yang tidak ada pegangan hidup yang jelas hidup di antara 'tak ingat dan tak tahu'. Sedang kita diberitahu oleh Allah dan Nabi dari mana kita datang, ke mana kita akan pergi. Alangkah celaru dan resahnya hidup jika kita tidak ada jawapan kepada soalan yang paling asas tentang kewujudan kita di atas muka bumi ini. Sebab itu di antara kita yang telah melalui umur yang panjang melihat kemajuan yang pesat dalam kehidupan manusia pada hari ini tetapi akhlak dan kehidupan manusia semakin bejat dan rosak. Puncanya ialah tidak tahu asal dan kesudahan mereka. Natijahnya tidak tahulah pula peranan dan tujuan kehidupan di dunia ini.

Kemudian saya sorot umur insan yang amat sengkat ini. Pantun lama ini saya kongsikan

Ketika lahir disambut bang
Ketika mati dilepas solat
Antara azan dengan sembahyang
Wahai hidup alangkah sengkat

Ya, sebagaimana pendeknya waktu di antara azan dan iqamah, begitulah gambaran singkatnya hidup di dunia. Sudahlah hidup ini sengkat di penuhi pula dengan derita dan susah payah. Ulama pujangga HAMKA merumuskannya 'Hidup ini ialah lahir, menangis dan mati'. Oleh kerana singkatnya hidup dan penuh susah payah pula maka kewujudan kita selama 60 atau 70 tahun di atas muka bumi ini tidak signifikan. Tetapi jika umur kita ini diletakkan dalam perspektif umur umat maka kita akan merasakan kita adalah bahagian yang penting dari perjalanan sejarah yang panjang. Rasulullah SAW menyebut dalam sebuah hadisnya, beruntunglah mereka 'naik dan turunnya bersama Islam'. Saya lakarkan lengkuk tamadun untuk menunjukkan betapa setiap tamadun termasuk tamaddun Islam tidak terlepas dari hukum alam iaitu mengalami fasa naik dan turunnya. Tetapi berbeza dengan tamadun yang lain, (beberapa contoh saya ketengahkan seperti tamaddun Rum, Empire British, Empire Portuguese bahkan Soviet Union yang tamat hegemoninya dalam hayat kita ini), tamaddun Islam akan mengalami 'revival' atau kebangkitan semula. Bila ditanya di manakah umat Islam dalam lengkuk tamaddun itu, ada yang menganggap kita masih lagi berada pada fasa menurun, tetapi saya menganggap kita sudah sampai ke tahap yang paling bawah. Bererti jalan seterusnya ialah ke atas. 'When you have reach rock bottom, the only way forward is up'.

Menyedari hakikat bahawa Islam akan bangkit semula, warga emas punya peranan yang cukup besar untuk membimbing anak-cucu ke arah penghayatan Islam yang semakin terhakis di kalangan generasi muda. Sesuai dengan status 'warga emas' peranan mereka perlu diperkasakan sebagai obor yang menyuluh kehiudpan generasi hari ini. Saya tutup dengan wasiat dari Nabi Yaakub dalam surah Al-Baqarah, "Tidakkah kamu hadir ketika Yaakub didatangi tanda kematian, lalu dia mengumpulkan anak-anaknya dan bertanya 'Siapakah yang akan kamu sembah sepeninggalanku' Maka dijawab olehanak-anaknya , kami akan menyembah Tuhan kami dan Tuhan bapa-bapa kami Yaakub, Tuhanmya Ibrahim, Ismail dan Ishaq dan kami akan tetap muslim'.

Semuga perkongsian pada hari itu memberi makna yang besar kami kami dan mereka. Selesai ceramah seorang makcik datang bertanya setelah mengetahu asal saya dari Negeri Sembilan. Rupa-rupanya sekampung dengan abah di Jelebu, bahkan kenal dia dengan abah, Hj Mohd Noor..

JZKK kepada akh Rashid Razali atas peluang ini

Dr Hafidzi Mohd Noor

Tuesday, April 22, 2008

Majlis Ihtifal Hira' 2008

13 April, Jeram – kami sekeluarga terpaksa keluar awal dari rumah bagi menghadiri majlis ihtifal SMI Hira’, tempat Mawardi bersekolah. Majlis ihtifal kali ini di SMI Hira’ merupakan yang pertama kami sekeluarga datang walaupun Mawardi dah setahun lebih disana. Tahun lepas, Mawardi (Odi) menyambung pengajian tahfiznya daripada Maahad Tahfiz Ar-Ridhwan (MATAR), Hulu Kelang dan tahun ini Odi menyambung semula pengajian akademiknya yang telah ditinggalkan selama 2 tahun. Tapi apalah sangat nak dibandingkan 2 tahun itu dengan ilmu belajar Al-Quran serta bi’ah (suasana) soleh yang telah ditempuh Odi selama dalam dunia penghafazan. Moga Allah memberkati usahanya dalam menegakkan syiar Allah dan berjaya menjadi antara contoh soleh wa musleh kepada keluarga, rakan-rakan dan mesyarakat.

Odi kali ini dipanggil naik ke pentas bagi mengambil sijil tamat kursus hafazannya 30 juzuk. Ramai jugak yang sama-sama Odi naik pentas ambil sijil tamat hafazan.

Bukan itu je Odi naik pentas, kali ini Odi buat kejutan dengan membuat persembahan chorus speaking. Odi ini selama ini banyak menunjukkan minat terhadap sukan, kali ini tiba-tiba berminat dengan seni suara.hmmm..ader aper-aper ke nih Odi?
Kumpulan Chorus Speaking Hira’ telah berjaya mewakili selangor dalam pertandingan Choral Speaking antara sekolah-sekolah swasta..fuh, hebat2!
Antara bunyi yang paling sedap untuk dengan sepanjang lebih kurang 6 minit persembahan ialah “ding-dong!”..sebab Odi punye bahagian.hehehe

Apa-apa pun, persembahan hari tu memang class.teruskan usaha.

Selain itu, ada juga persembahan nasyid yang dianggotai Ahmad Yassin bin Fuad (kenal sangat member nih, sejak keluarga kami duduk serumah di Aberdeen lagi tahun 1993), Arif bin Ahmad Zainuddin (adik Zaki and Ibrahim..pon budak ex-alamin bangi), Arif lagi satu (budak ex-alamin jugak) dan fahmi (pon budak ex-alamin..hehehe). nih pon persembahan ader class.

Persembahan teater pula, dari segi sistem audio memang mantap. Siap sound effect lagi. Tapi jalan cerita agak kurang jelas dan teknik penceritaan boleh mengundang salah faham di kalangan penonton. Jika terdapat dikalangan penonton yang orang biasa-biasa, mesej yang dibawa balik mungkin seperti ‘islam menggalakkan keganasan’. Harapnya, muallim dan muallimah Hira’ serta pelajar-pelajarnya sendiri lebih perihatin terhadap perkara seperti ini. WaLlahualam.

Sewaktu majlis ihtifal berlangsung, pelajar-pelajar Hira’ pula sibuk menganjurkan Expo Dunia Islam. Memang menarik konsep yang digunakan. Odi pernah cerita dulu pasal pameran Palestine, dan kali ini ia menggunakan konsep yang sama. Memang mampu menarik perhatian dan mengundang para pelawat untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kearah pembelaan islam kembali menjadi sistem Khilafah menaungi dunia dan ummah seluruhnya. Syabas kami sekeluarga ucapkan buat pihak penganjur yang bertungkus-lumus menyiapkan pameran.

Boleh UNITEN ciplak idea nih untuk minggu penghayatan islam kami?









Thursday, April 17, 2008

Grass Owl di Lahad Datu - rekod pembiakan yang pertama di Sabah

Bergambar di depan mini zoo Felda Sahabat Lahad Datu

Kotak sarang yang dibina menanti untuk dihuni oleh pungguk jelapang dari Semenanjung

Sepasang burung pungguk rumput yang cantik. Maha suci Allah..

Hanya expert aje yang boleh pegang pungguk tanpa digigit


Facial disk pungguk rumput yang cantik


Pungguk helang Bubo sumatranus. Renungan yg menusuk kalbu


Gigitan Bubo sumatranus yang lembut dan manja..

Assalamualaikum

Pada 15 hingga 18 April, kami berdua (abi dan abang Qayyim) ke Lahad Datu atas jemputan FELDA Plantations untuk menyampaikan seminar mengenai projek pemindahan burung pungguk jelapang Tyto alba dari Felda Sungai Tekam, Temerluh, Pahang ke Lahad Datu, Sabah. Kami dimaklumkan oleh En Norhisyam, pegawai FELDA tentang sepang burung pungguk rumput atau Grass owl yang dipelihara di mini zoo Felda sahabat, Lahad Datu sejak lecil. Koleksi ini menarik kerana burung pungguk rumput selama ini dikategorikan sebagai 'vagrant' atau perantau di Pulau Borneo. Rekod yang pertama burung ini di Sabah hanya diterbitkan pada tahun 2006. Sejak tahun 2002 sehingga 2008 pekerja-pekerja FELDA telah menemui beberapa ekor burung yang sama bertelur dan bersarang di kawasan penanaman semula kelapa sawit di celah-celah tumbuhan legume atau kekacang. Setelah gambar-gambar burung tersebut di rujuk kepada saya dan setelah dikongsikan dengan beberapa pakar burung pungguk dari Global Owl project seperti Stephen Debus dari Australia burung ini dikenalpasti sebagai burung pungguk rumput dan ia adalah rekod pertama burung ini membiak di Sabah. Kini taburan burung pungguk ini termasuk sebahagian dari bahagian timur Sabah. Kemungkinan ia adalah individu yang berhijrah dari Mindanao, Sulu, Palawan atau Sulawesi.

Seperti dalam gambar-gambar yang dikongsikan, burung pungguk adalah antara makhluk ciptaan Tuhan yang sangat menarik. Bukan sahaja menarik bahkan tabiatnya memburu tikus kini menjadikan burung pungguk jelapang sebagai agen kawalan biologi tikus yang berkesan di ladang kelapa sawit dan sawah padi. Kehadiran burung pungguk rumput juga adalah satu kelebihan meskipun potensi burung ini sebagai agen kawalan tikus tidak dapat dipastikan kerana sukar untuk dibiakkan secara semulajadi. Tidak seperti burung pungguk jelapang yang menggunakan kotak-kotak sarang artifisial yang disediakan bagi tujuan pembiakan burung pungguk ini.

Mudah-mudahan projek pemindahan burung pungguk jelapang ke Lahad Datu, Sabah sukses. Kehadiran burung pungguk rumput juga boleh menjadi aset kepada FELDA Lahad Datu. Saya mencadangkan agar beberapa kawasan 'buffer' di pelihara supaya habitat burung ini tidak diganggu.

Di zoo mini tersebut juga ada seekor burung pungguk helang Bubo Sumatranus. Pertama kali kami berpeluang untuk melihat dengan dekat dan menyentuh bukunya yang lembut. Gigitannya juga tidak menyakitkan, tidak seperti pungguk jelapang dan pungguk rumput.

Maha Suci Allah yang maha agung. Tiada siapa dapat menandingi kebijaksanaan dan kehebatanNYA. Maka peliharalah kami dari seksaan api neraka.

Monday, April 14, 2008

Wetland Explorer - Siri Serangga (untuk pelajar-pelajar Signslab)

Adek-adek yang bersama dalam wetland explorer - kesian adek ni tak dapat serangga - yang muka masam tu..

Lukis besar-besar sikit dek..

Trying to get a better larger view of such beautiful creations of Allah The Magnificent

Saya dapat true bug.. (Nama sceitificnya Hemiptera...)

The organizer - Taman Wetland, UPM & SignLab


One for the album


One of the winning group


Hati-hati dik.. nanti terlepas


Trying real hard to get their attention


rearing to go..


Serangga apa yang adek dapat tu..?


Patrolling in groups for insects..


Proud of their prized possessions..



Assalamualaikum,

Pada 6 April 2008, saya telah dijemput oleh Taman Wetland Putrajaya untuk mengendalikan sesi penerangan serangga untuk program Wetland Explorer - siri serangga yang merupakan sebahagian dari aktiviti dalam calender of events Putrajaya Wetlands. Peserta-peserta dalam program tersebut ialah anak-anak yang mengikuti program Signlab. Sign Lab adalah menyediakan program pendidikan Sains seperti yang dinyatakan di dalam objektif mereka 'The Sign Lab provides hands-on science education programs that focuses on guiding children in the discovery and awareness of Allau Ta'ala's creation'.

Lebih dari 30 orang kanak-kanak turut serta dari umur tadika sehingga tahun 4. Sebahagian dari mereka adalah dari Maahad Tahfiz. Dengan dibantu oleh En Saleh Osman, Pegawai Sains di Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, UPM dan pelajar-pelajar yang sedang mengikuti kursus Entomologi Asas PLP 3104 seramai lima orang sebagai fasilitator, kami telah berusaha sebaik mungkin untuk menarik perhatian anak-anak supaya menghargai hidupan serangga yang merupakan sebahagian dari ciptaan Allah yang unik. Melalui pengalaman ini adalah diharapkan mereka teruja melihat kehebatan Allah yang telah mencipta pelbagai rupa bentuk serangga. Semuga mendatangkan kesan yang mendalam di dalam jiwa mereka yang masih suci untuk menghargai alam sekitar sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada Tuhan Maha Pencipta. Natijah darinya lahirlah seorang insan yang sedar akan tanggung jawabnya sebagai Khalifah yang diamanahkan untuk memelihara kesejahteraan alam sekitar yang dikongsi dengan pelbagai makhluk Tuhan yang lain.

Terima kasih kepada En Mohd Azwadi, bekas pelajar yang pernah mengikuti kursus PLP 3104 yang telah memberi kepercayaan kepada kami untuk mengendalikan program ini dengan anak-anak. Ia juga adalah satu pengalaman berharga yang dapat kami kongsikan bersama Signslab, yang dipimpin oleh Pn Hamidah Alonto, semuga usaha murni mereka untuk menanamkan kesedaran terhadap kehebatan Allah Pencipta alam ini pada peringkat anak-anak lagi akan membuahkan hasil yang lumayan di dunia dan di akhirat.

Friday, April 11, 2008

Bicara Kalbu:(Berita Harian 11 April 2008)

Doa mampu kurangkan beban dosa sesama insan.

BANYAK artikel atau ceramah yang saya dengar mengatakan kita hendaklah sentiasa beristighfar kepada Allah supaya diampunkan dosa. Apa yang saya faham, ia adalah dosa kita dengan Alah. Bagaimana dosa sesama manusia? Bagaimana cara menghapuskan dosa sesama manusia sedangkan kita sendiri tidak sedar sudah melakukan dosa dengan orang berkenaan atau orang yang kita lakukan dosa terhadapnya tidak ditemui, tidak dapat dihubungi atau sudah meninggal dunia. Remaja musykil, Selat Klang.

Jawapan oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dan Ameer Razlan

Dosa boleh berlaku secara menegak iaitu yang berkaitan hubungan dengan Tuhan dan boleh berlaku secara mendatar, berkaitan hubungan sesama manusia. Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda. Persoalannya, jika dosa dengan Allah boleh diatasi dengan beristighfar dan taubat, bagaimana pula untuk menebus dosa sesama manusia. Seperti seorang itu wajib bertaubat kepada Allah, manusia juga wajib bertaubat daripada dosa membabitkan sesama manusia. Ulama menggariskan tiga syarat taubat iaitu memohon keampunan dengan beristighfar, menyesali perbuatan lalu dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Apabila dosa tadi berkaitan dengan manusia, maka wajib meminta maaf dan mengembalikan haknya. Jika kita mengambil hartanya (curi, pecah amanah, melalui jalan tidak jujur) hendaklah kita mengembalikan setiap sen daripadanya kecuali dia menghalalkan.

Jika membabitkan maruah diri seperti difitnah, dizalimi, dianiaya, maka wajib satu pengakuan terbuka dibuat untuk membersihkan namanya. Ia termasuk melunaskan apa juga tuntutan ganti rugi akibat kesusahan menimpanya seperti hilang mata pencarian kerana diaibkan. Jika membabitkan jenayah, maka dalam Islam sudah ada peruntukan dalam bentuk qisas dan takzir. Kesalahan itu termasuk jenayah membunuh, mencederakan dan memperkosa. Bagaimana jika seseorang itu tidak sedar dia sudah melakukan kesalahan dan berdosa kepada orang lain. Di sinilah kita perlu memohon maaf dan sentiasa memaafkan orang lain kerana manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Kadang-kala perkataan atau perbuatan kita menyinggung perasaan orang lain sedangkan kita tidak bermaksud untuk melukakan hatinya. Mungkin seseorang itu salah faham dengan apa yang kita hendak sampaikan. Kerana itu dituntut untuk memohon maaf sesama insan terutama yang berada dalam lingkungan pergaulan kita (keluarga, sanak-saudara, rakan dan kenalan), walaupun kita tidak berasa pernah melakukan kesilapan dengannya. Kemudian kita dituntut untuk sentiasa memaafkan orang lain. Ia berdasarkan kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah SAW yang disebut sebagai ahli syurga. Sahabat lain tidak melihat apa-apa kelebihan pada sahabat itu sehingga dia disebut sebagai calon ahli syurga. Apabila ditanya apakah amalannya, sahabat itu mendedahkan bahawa setiap kali sebelum melelapkan mata dia memaafkan orang lain dan berlapang dada terhadap mereka. Kisah itu memberi iktibar kepada kita supaya sentiasa memaafkan kesalahan orang pada kita, maka Allah akan mengampunkan semua dosa kita pada orang lain termasuk yang tidak kita sedari atau tidak disengajakan. Bak kata pepatah Inggeris, 'kemaafan adalah pembalasan dendam yang terbaik'.

Memohon maaf kepada orang yang tidak dapat ditemui lagi atau sudah meninggal dunia, dalam situasi seperti itu hendaklah kembali kepada Allah. Serahkan urusan itu kepada Allah semoga keinsafan dan penyesalan untuk memohon maaf didengari Allah dan melepaskan kita daripada bebanan dosa berkenaan. Kemudian hendaklah seseorang itu berusaha menjejaki keluarga atau warisnya jika ia membabitkan pengambilan harta secara tidak hak dan kembalikan harta itu kepada warisnya. Jika warisnya tidak ditemui maka sedekahkan kepada mana-mana badan dakwah dan kebajikan. Semoga Allah menerima sedekah sebagai penebus dosa. Hendaklah memperbanyak kerja kebajikan dan kebaikan seperti bersedekah, menyambung silaturahim dan melakukan kebajikan yang membawa manfaat.

Satu daripada langkah orang yang berdosa selepas bertaubat ialah menutup kesalahannya atau menyusulinya dengan perbuatan yang baik. Dalam konteks insan lain yang tidak dapat ditemui atau sudah meninggal dunia, alim ulama kontemporari berpendapat antara lain yang perlu dilakukan ialah memperbanyakkan doa supaya Allah mengampuni dosa mereka. Allah menjanjikan antara doa yang makbul ialah doa daripada seorang saudara kepada saudaranya yang lain tanpa pengetahuannya. Malaikat juga akan mengaminkan doa kita. Berdoa kepada Allah memberikan seperti yang kita doakan untuk saudara kita. Harapan kita ialah apabila terampun dosa mereka, maka tidak ada lagi bebanan dosa yang akan terpindah kepada kita di hari akhirat kelak. Begitulah antara tanda kasih dan sayangnya Allah kepada hamba-Nya.

  • INTI PATI Melakukan dosa sesama manusia
  • Manusia wajib bertaubat daripada dosa dengan Allah dan sesama manusia.
  • Jika dosa berkaitan dengan manusia, maka wajib meminta maaf dan mengembalikan haknya.
  • Jika membabitkan harta seperti mencuri, pecah amanah dan sebagainya wajib dikembalikan setiap sen yang dicuri kecuali dihalalkan.
  • Jika membabitkan maruah diri seperti difitnah, dizalimi atau dianiaya, wajib membuat pengakuan terbuka untuk membersihkan nama mangsa.
  • Islam memperuntukkan qisas dan takzir bagi kesalahan jenayah.
  • Jika tidak sedar dosa dilakukan, maka dituntut memohon maaf dan memaafkan orang lain.
  • Mohon maaf kepada Allah jika tidak berjumpa dengan orang yang kita lakukan dosa.
  • Cari waris untuk mengembalikan harta jika membabitkan jenayah harta.

Jawapan disediakan oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dan Amir Razelan Adnan.

Sebarang permasalahan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Thursday, April 10, 2008

Ziarah Kluang & Ayer Hitam

*Pak Long bersama Mak Long yang dicintai~

*no. 11 (kiri) and no.1..family bonds never break

9 april - atas urusan rasmi, umi ditugaskan untuk menyampaikan ceramah safety nya di pejabat TNB Kluang, Johor semalam. saya pula mendapat titah daripada yang berhormat untuk menjadi driver...
kami keluar rumah betul2 selepas subuh, umi yang pandu dulu..ingat nak terus ke johor tapi umi tak tahan nak bersarapan, sokami singgah di perhentian Pagoh kalau tak silap. selepas tu saya ganti jadi pemandu..alhamduliLlah, umi tak bising bawak sampai 135km/j.hehehe ^_^

sampai Kluang, hantar umi terus ke pejabat, 30minit awal dari masa ceramahnya, 9.00am. lepas hantar umi, saya ke kedai Cik M..mula2 bila salam ngan Cik M, die tak perasan, sebab tak pakai sunglass. Cik pulak tak kenal sebab dah botak + rambut sket..raya dulu botak licin.hohoho

lepas sarapan roti Pak Lah (roti canai tak de telur) sambil borak dengan member Cik M - ader yang pengarah FELCRA, dari BPR..bukan calang2 orang singgah Restoran Warisan~, mintak izin Cik M nak lepak kat rumah. sampai rumah, jumpe dengan nenek Aup, mula2 macam tertanya2 sape lah budak nih, tapi bile perkenalkan diri anak Zurai (panggilan umi di Seri Gading) baru lah ader chemistry sket. masuk2 terus ke loteng baru Cik M..smart..siap ader sauna lagi bilik belakang tuh. umi pon nak walaupun tangga die agak curam + kecik.

time tuh Aiel baru keluar rumah, kerja wiring streamyx..boboy masih tidur. penat katenye sebab keje jaga restoran shift malam.
umi habis talk dalam pukul 2ptg, lepas makan tengahari di Restoran Warisan, kami singgah di Ayer Hitam, ziarah Mak Long and Pak Long. rumah Ayer Hitam dah ader awning sekarang, hampir2 terlepas rumah tuh sebab tak perasan.

lepak2, Mak Long hidangkan maruku + air oren..yang kat rumah time tuh Abang Malik, Kak Ani and anak bongsu diorang Akil..tgh duduk2 tuh la Mak Long kongsi projek baru Pak Long, tangkap ikan kat tasik..sebelum kami balik, Pak Long siap tunjuk lagi motor baru yang die beli dalam rm1800.loaded pak cik nih~
on the way balik, umi pesan, kalu umi abi dah tak de and Pak Long Mak Long masih ade, berbaktilah kepada mereka..sebab waktu umi kecik dulu, dioranglah yang bela selain arwah atok Kornain dan arwah nenek Bahenah.ape yang Pak Long belikan untuk anak2 die, umi pon dapat jugak..
insyaAllah, ziarah pendek semalam akan terus mengukuhkan ikatan persaudaraan antara kita..ebih kukuh dari sekadar ikatan darah insyaAllah..sebab kita berkasih kerana mengharapkan redhaNya
*awning baru..tak sampai 10 hari siap
*apek2 yang datang beli hasil tangkapan 3 hari Pak Long..
*kolam ni lah Pak Long simpan ikan2 tuh sebelum dijual
*hidup kena terus..tua2 pun masih buat duit..yang muda cangak kat umah je buat pa?
*"pak cik kayo!" Pak Long dengan hasil penat jerihnya
*akil sibuk tolong atuk die letakkan paip (rumah ikan) balik ke dalam kolam
*"oi orang muda! berani meh la rempit kat air!" cabar Pak Long sambil menayangkan engin barunya kepada kami~
*dari kiri: Pak Long, Kak Ani, Abang Malik (menantu), umi (Zurai)
p/s:sorilah Cik M..tak der gambar kat Kluang..time tuh camera kat umi.^_^.next time laa yek
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc