Tuesday, December 18, 2007

Bicara Agama Utusan Malaysia - 19 Disember 2007




Bicara Agama
Sidang Annapolis hina demokrasi Palestin
Oleh W. RAHIMAH DRAMAN

DR HAFDZI MOHD NOOR.
SANDIWARA rejim Zionis Yahudi Israel dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat ke atas Islam dan pribumi Palestin memasuki episod baru apabila Sidang Annapolis di Maryland berlangsung 27 November lalu.
Malah ia dilihat legasi paling ‘sentimental’ untuk ‘ketua polis dunia’, George W.Bush tinggalkan impak ‘putih’ menjelang berakhir tempoh kekuasaannya.
Kehadiran negara-negara Arab dan Islam termasuk Malaysia yang disifat ‘payung’ bagi umat Islam Arab terutama Palestin, ke dalam komuniti persidangan yang diwakili oleh 50 negara dunia itu turut memungkinkan pengiktirafan semula dunia Islam ke atas rejim Zions Yahudi Israel ke atas bumi Palestin.
Sikap dan pendirian pemimpin Arab dan Islam, termasuk Malaysia yang lantang menyuarakan serta memperjuang hak rakyat Palestin dan menolak kerakusan Zionis dan dasar Amerika Syarikat sebelum ini, hadir pada Sidang Annapolis dikatakan membuka laluan bagi pemimpin rejim Israel menukil jalinan ‘mesra’ dengan negara dan pimpinan yang memusuhinya selama ini.
“Yang pasti, Sidang Annapolis itu telah memperkukuhkan kedudukan, pengaruh serta imej kuasa Israel - Zionis Yahudi - di kalangan pemimpin-pemimpin dunia,” kata Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace) Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) Internasional, Dr. Hafidzi Mohd Noor.
Sidang tersebut kata beliau, langsung tidak melambangkan suara malah gagal mengutarakan aspirasi rakyat Palestin yang sebenar.
Ini kerana tegas Dr. Hafidzi, hampir seluruh rakyat Palestin yang di jarah rejim Zionis Yahudi Israel awal-awal lagi telah menolak idea persidangan tersebut.
“Rakyat Palestin terutama yang berada di wilayah yang diceroboh rejim Zionis Israel dan yang tinggal di kemah-kemah pelarian menolak sidang tajaan Amerika Syarikat kerana ia bukan untuk menjamin hak rakyat Palestin kembali berada dan memiliki negara sendiri dengan aman,” katanya.
Pace JIM Internasional yang memperjuangkan hak dan membela kebebasan rakyat Palestin di bumi mereka yang berdaulat kata Dr. Hafidzi, dengan tegas menolak penganjuran Sidang Annpolis itu.
Malah Pace sangat kecewa dan kesal dengan kehadiran wakil-wakil dari negara-negara Arab dan Islam termasuk Malaysia pada persidangan itu, katanya pada sidang berita di ibu pejabat JIM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kehadiran pemimpin negara-negara Arab dan Islam itu menurut Dr. Hafidzi, jelas memperlihatkan sikap tidak prihatin mereka terhadap rakyat Palestin yang terus ditekan melalui sekatan ekonomi dan kehidupan sosial.
Tidak mustahil persidangan Annapolis lebih sebagai usaha memulihkan kegagalan Perjanjian Oslo 1993 dan Perjanjian Damai 2003 melalui rancangan sulit Amerika-Israel, menjadi pembuka laluan bagi jalinan hubungan diplomatik negara-negara Arab dan Islam termasuk Malaysia dengan Israel di masa akan datang.
Sekali gus mengiktiraf kekejaman rejim Zionis Yahudi terhadap konsep penubuhan Israel Raya yang diimpikan Zionis Yahudi Israel, tambahnya.
Sambil menyifatkan persidangan itu tidak sah kerana Fatah yang mewakili Palestin pada Sidang Annapolis itu bukanlah kerajaan atau pertubuhan yang dipilih oleh rakyat negaranya.
Kata Dr. Hafidzi lagi, mengapa Hamas yang menang serta mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya Palestin (Januari 2006) dengan 74 dari 132 kerusi yang dipertandingkan tidak hadir, tetapi Fatah yang kalah teruk dengan hanya menang 45 kerusi hadir mewakili negara dan rakyat Palestin?
“Ini merupakan penghinaan kepada proses demokrasi kerana sebuah kerajaan yang dipilih secara sah dipinggirkan dalam menentukan masa depan negara dan rakyat Palestin,” katanya.
Sehubungan itu Pace JIM Internasional menyeru seluruh umat Islam agar mengukuhkan perpaduan dan sokongan padu bersama rakyat Palestin memperjuangkan hak mereka serta membebaskan Masjid Al-Aqsa, iaitu salah satu tempat dan masjid suci dalam Islam.
Pada sidang berita itu, Pace JIM Internasional turut melancarkan buku terbaru, Dalang di Palestin.. Hamas atau Israel tulisan Dr. Hafidzi sendiri.
Melalui buku itu katanya, beliau cuba menyelongkar dalang sebenar di sebalik kemelut Palestin secara terperinci berdasarkan fakta dan realiti.
“Kami mahu dan berharap umat Islam khususnya rakyat Malaysia berusaha mengambil tahu punca sebenar yang berlaku di Palestin agar terus bersama Pace JIM memperjuangkannya, demi agama dan maruah dan hak yang sebenar,” tambahnya.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc