Tuesday, November 4, 2008

Kembalinya Ustazah Shamsiah Faqeh ke Rahmatullah


Shamsiah Faqeh (1924 - 2008)

Assalamualaikum,

Al-fatihah. Telah berlalu beberapa waktu pulangnya Shamsiah Faqeh ke pangkuan ilahi. Kematian beliau telah menimbulkan minat dan persoalan tentang ideologi komunis yang kini sudah tidak relevant lagi. Faham komunisme mungkin tidak berperanan lagi apabila runtuhnya empire Soviet Union, runtuhnya tembok Berlin yang selama ini membahagikan dunia barat kepada blok kapitalis barat dan blok komunis. Beberapa negara pendukong ideologi komunis di timur seperti Cina dan Vietnam telah melaksanakan dasar terbuka melalui liberalisasi ekonomi sehingga konsep negara Komunis tidak lagi mengandung sebarang erti.

Lalu apa yang menariknya tentang wanita bersemangat waja ini? Jawapan ini hanya boleh dijawab sekiranya sejarah di nilai secara objektif dengan mata hati, bukan dengan semangat patriotik melulu dan taksub terhadap ide-ide nasionalisme palsu yang dipinjam dari penjajah imperialis barat.

Shamsiah Faqeh adalah pejuang kemerdekaan, titik! Itulah kesimpulan jitu yang boleh kita ambil bagi mereka yang melihat sejarah dengan fikiran yang terbuka. Apakah jalan yang diambil oleh Shamsiah Faqeh? Itu persoalan nombor dua. Dan orang tidak akan faham kenapa beliau mengambil jalan tersebut jika sejarah di nilai melalui kacamata yang sempit dan kaku.

Semacam sudah menjadi lumrah alam, pejuang yang sebanar dan tulen akan hilang dalam timbunan sampah sarap sejarah yang dilonggokkan oleh pejuang-pejuang yang menjadi pewaris penjajah. Jika kita kembali ke zaman 40'an dan 50'an maka kita akan mendengar laungan dan seruan agar anak watan bangkit menuntut hak yang telah dirampas dari mereka. Hak itu ialah kemerdekaan tanah air. Melalui wadah-wadah seperti PKMM dan badan-badan yang bergabung dan bersekutu dengannya seperti AWAS (Angkatan Wanita Sedar), API (Angkatan Pemuda Insaf), Hisbul Muslimin dan BATAS, penduduk tanah melayu tidak teragak-agak menuntut penjajah British angkat kaki meninggalkan tanah melayu yang mereka duduki sejak sekian lama. Sudah tentu mereka tidak menerima sebarang kompromi. Bagaimana berkompromi dengan orang yang merampas tanah air dan menafikan hak penduduknya. Satu-satunya pilihan bagi British ialah memberi kemerdekaan tanpa syarat.

Tahun selepas Perang Dunia Kedua menyaksikan kebangkitan ideologi komunis setelah sekian lama membina pengaruh di Asia Tenggara termasuk di Tanah Melayu dan Hindia Belanda (Indonesia). Ideologi Komunis sudah lama mendapat tempat di kalangan pejuang-pejuang bangsa termasuk dari kalangan mereka yang mempunyai latarbelakang pendidikan agama. Inilah yang digambarkan oleh Almarhum Buya HAMKA dalam buku beliau 'Kenang-Kenangan Hidup' - ajaib! Ulama masuk komunis. Ayah beliau Hj Abdul Karim Amrullah (bergelar Hj Rasul) dikecam oleh anak-anak muridnya sendiri di Sumatera Thawalib kerana dituduh mendukong imperialis Belanda kerana tidak menyokong ideologi komunis. Anak-anak muda termasuk HAMKA sendiri menyanyikan lagu-lagu komunis international seperti lagu 'Mayday' yang didendangkan dengan penuh semangat. Sehingga Pak HAMKA diingatkan oleh ayah beliau 'Wa'ang jangan masuk komunis, Zahirnya membawa-bawa agama, bathinnya merusak agama'. Rupa-rupanya ideologi komunis itu menarik kepada mereka kerana ia bersifat revolusi dan oleh kerana menentang golongan burguoise kapitalis yang menindas ia nampak seiring dengan tujuan-tujuan perjuangan yang ditegakkan oleh Islam. Bukankah mereka menentang imperialis Belanda yang menjajah tanah air umat Islam? Tidak hairanlah tokoh-tokoh ulama komunis seperti Hj Misbakh menafsirkan surah at Taubah dan al Anfal dalam kerangka ideologi komunis dalam ceramah-ceramah beliau!

Bagi mereka aspek radikal dan revolusioner komunis itu yang menarik perhatian dan menjadi wasilah untuk memerdekakan tanah air. Mereka tidak pernah melihat ideologi komunis dari sudut didactisma metarialisma iaitu pertentangan di antara sistem kapitalis barat (free market) dengan komunis. Mereka juga tidak melihatnya dari sudut evolusi sosial yang berkembang dari teori sesat evolusi Charles Darwin, di mana komunisme adalah evolusi masyarakat semulajadi dari sistem kapitalis yang didokong oleh penindas burgoiuse kepada komunis yang didokong oleh golongan proletariat. Mereka juga tidak melihat komunis dari sudut 'agama adalah candu kehidupan' yang diketengahkan oleh Karl Marx dalam bukunya Das Kapital. Apa yang mereka tahu, gerak kerja komunis boleh menggugat kuasa imperialis barat. HAMKA menyebut pendukong-pendukong ideologi komunis dari kalangan ulama seperti Hj Dt. Batuah di Sumatera 'tidak sampai hati meninggalkan Islam'.

Apa pula yang mendorong Shamsiah Faqeh menyertai rejiman ke 10 PKM (Parti Komunis Malaya)? Yang pertama itulah satu-satunya jalan yang masih terbuka untuk meneruskan perjuangan bermaruah menuntut kemerdekaan tatkala British mengharamkan semua pertubuhan dan memenjarakan para pejuang termasuk ulama apabila Darurat di istiharkan. Hanya UMNO yang dibenarkan 'berjuang' di kalangan orang melayu. Sedangkan apakah yang boleh diharapkan kepada UMNO yang menjadi anak peliharaan British? Shamsiah Faqeh sendiri menyebut dia menjadi bahan ejekan dan cemuhan ahli-ahli UMNO kerana melaungkan slogan kemerdekaan! Apakah pilihan yang ada apabila semua pintu-pintu yang sah dari sudut undang-undang tertutup rapat. Hati para pejuang tidak boleh duduk diam dan akan mengambil apa sahaja wasilah yang mungkin untuk menuntut kemerdekaan. Bagi mereka kemerdekaan itu sangat mahal harganya, jauh lebih mahal dari nyawa mereka sendiri. Mereka sanggup mati jika itulah taruhannya untuk mengecap nikmat kemerdekaan tanah air.

Itulah jalan yang telah dipilih oleh Shamsiah Faqeh. Dia samasekali tidak pernah menyesal memilih jalan itu kerana dhamir beliau jelas, beliau berjuang menentang British untuk kemerdekaan tanah air.

Keputusan PRU 12 yang baru lepas memberi sedikit kelegaan kepada beliau. Beliau tidak menyembunyikan kegembiraan hatinya apabila berlaku perubahan yang besar dalam lanskap politik negara. Apa yang beliau perjuangkan selama ini iaitu untuk memerdekakan tanah air sudah mulai menunjukkan hasil. Kekalahan UMNO sebagai pewaris kepada penjajah imperialis British adalah sesuatu yang dinantikan oleh beliau. Maka dengan itu layaklah beliau diletakkan sebaris dengan semua pejuang-pejuang kebenaran dan keadilan yang kini masih terus dengan agenda perjuangan untuk 'kemerdekaan tanah air' buat kali yang kedua (kemerdekaan yang sebenarnya dari sistem feudal UMNO yang dipertahankan oleh penjajah Barat).

Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh beliau. Semuga kecekalan srikandi bernama Shamsiah Faqeh ini terus mekar dalam lipatan sejarah umat yang bermaruah.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc