Serangan terbaru Israel yang membunuh 7 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, rabu lalu, bakal memberi kesan terhadap rundingan damai Hamas dan Fatah yang dirintis oleh Mesir - AFP
Palestin tidak letak harapan tinggi ke atas AS
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)
SERANGAN terbaru Israel yang membunuh tujuh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, Rabu lalu, bakal memberi kesan terhadap rundingan damai Hamas dan Fatah yang dirintis oleh Mesir.
- AFP
HANYA selepas lima bulan persetujuan gencatan senjata dicapai, Semenanjung Gaza dan selatan Israel kembali dihujani puluhan bedilan roket pejuang Hamas dan tentera Israel dalam kejadian yang mengorbankan tujuh rakyat Palestin, Rabu lalu.
Keganasan terbaru itu tercetus ekoran rondaan tentera Israel sejauh 250 meter ke wilayah Gaza yang kemudiannya dipertahankan oleh Israel sebagai tindakan yang tidak wajar dilihat sebagai satu bentuk pencerobohan.
Insiden itu jelas menunjukkan bahawa Israel tidak akan menghormati gencatan senjata yang dicapai dengan mana-mana pihak yang mewakili rakyat Palestin dan akan menggunakan pelbagai alasan bagi mewajarkan tindakan pencerobohan mereka.
Ia juga membawa kepada persoalan yang lebih besar, adakah Israel berminat untuk mencari jalan penyelesaian dan formula ke arah perdamaian dengan Palestin.
Kejadian terbaru itu juga berlaku beberapa hari sebelum menjelangnya detik penting rundingan damai antara Hamas dan Fatah, yang akan kembali bertemu di meja rundingan, esok.
Rundingan damai yang dirintis oleh Mesir sejak beberapa bulan lalu bertujuan membentuk sebuah kerajaan baru menerusi pilihan raya legislatif memandangkan mandat Presiden Mahmoud Abbas akan berakhir Januari tahun depan.
Tanpa boleh dielak, pertempuran terbaru Hamas-Israel turut melunturkan keyakinan terhadap kejayaan rundingan damai Hamas dan Fatah, yang sudah sedia dilihat tidak mampu membawa banyak perubahan kepada masa depan Palestin.
Apatah lagi intipati rundingan damai Fatah dan Hamas itu juga bakal membincangkan mengenai konflik dengan Israel yang merupakan isu utama dan lebih mendasar.
Seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor, Fatah dilihat lebih berlembut dalam hubungan dengan Israel apabila bersedia untuk mengiktiraf negara itu bahkan telah pun berbuat demikian menerusi perjanjian Oslo 1993.
Malah Fatah turut berkompromi berhubung beberapa isu utama seperti status Baitulmaqdis, penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur serta berhubung isu pelarian.
Sebaliknya bagi Hamas, tiga isu pokok iaitu hak kedaulatan Negara Palestin, kedudukan Baitulmaqdis dan hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air, adalah sesuatu yang tidak boleh dirundingkan.
Penyelesaian
Justeru dalam perbezaan itu, adalah sukar untuk Hamas dan Fatah mencapai titik perdamaian melainkan kedua-dua pihak sanggup berkorban dan bersedia mencari formula penyelesaian yang terbaik.
Apatah lagi perbezaan pendirian kedua- dua pihak sebelum ini juga pernah meruntuhkan kerajaan perpaduan Palestin yang tertubuh hasil Perjanjian Mekah 2007.
Fatah ketika itu menuduh Hamas merampas kuasa di Gaza manakala Hamas pula mengambil pendirian menghapuskan ancaman kelompok bersenjata yang ada kaitan dengan Fatah.
''Berdasarkan kepada kenyataan yang pahit ini kedua-dua belah pihak wajar bertungkus-lumus untuk mencari formula yang menuju ke arah penyatuan yang mantap di antara pelbagai fraksi yang mewakili rakyat Palestin," katanya.
Sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam mengupas mengenai konflik Palestin juga ialah masa depan negara itu terutamanya selepas AS, yang sebelum ini menjadi perencana utama kepada Israel kini berganti Presiden iaitu Barack Obama.
Ketika diajukan mengenai harapan yang boleh disandarkan kepada Obama, Hafidzi menjelaskan, jalan terbaik untuk menjangkakan kemungkinan itu ialah dengan melihat daripada perspektif rakyat Palestin sendiri.
Beliau turut memetik kenyataan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh ketika ditanya tentang pemilihan Presiden AS, yang mengatakan bahawa 'Palestin sebenarnya tersepit di antara dua pilihan yang sukar'.
Kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa rakyat Palestin tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada Obama meskipun beliau mempunyai latar belakang minoriti Afrika-Amerika, serta mempunyai darah keturunan Muslim.
Ini kerana sesiapa pun yang menjadi Presiden AS, tidak akan membawa perubahan kepada dasar luar, terutamanya berkaitan kepentingan Israel dan kepentingan negara kuasa besar itu di Asia Barat.
Malah, bukanlah sesuatu yang sukar untuk menjangkakan dasar luar AS yang tidak mengiktiraf dan berunding dengan kumpulan yang dilabel sebagai pengganas - di bawah Obama nanti akan dipertahankan
Dalam konteks ini ujar Hafidzi, Hamas yang telah disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas akan terus dipencilkan oleh AS dalam rundingan damai di antara pihak berkuasa Palestin dan Israel.
''Obama sendiri dalam salah satu pendirian yang dinyatakan ketika kempen pilihan raya Presiden menegaskan bahawa AS akan terus menjunjung persahabatan dengan Israel dan akan memastikan keselamatan Israel sebagai agenda penting dalam pentadbirannya sekiranya beliau dipilih," katanya.
Bagaimanapun, menurut Hafidzi, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang jangkaan tentang apakah kebijakan yang akan diambil oleh Obama dalam menangani isu di Asia Barat khususnya berkenaan Palestin.
Bersandarkan latar belakang beliau sebagai Afrika-Amerika, Obama diharapkan supaya lebih memahami kemelut yang dihadapi oleh pelbagai pihak yang selama ini tertindas akibat dasar berat sebelah yang mengutamakan kepentingan strategik dan politik Barat.
Isu-isu yang mendesak berkaitan hak asasi rakyat Palestin perlu disegerakan oleh Obama termasuk menggunakan pengaruhnya untuk memaksa Israel menghentikan kepungan ke atas Gaza.
Sejak pertengahan Jun 2007, Gaza dinafikan hubungannya dengan masyarakat antarabangsa ekoran pelbagai sekatan oleh Israel sehingga mencetus kepada krisis kemanusiaan apabila penduduk Palestin terputus bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas lain.
Tindakan kemanusiaan itu pasti akan memulihkan kembali kedudukan Amerika sebagai sebuah kuasa dunia yang dilihat berusaha untuk mewujudkan keamanan di Asia Barat khususnya dan di peringkat global amnya.
0 comments:
Post a Comment