Tuesday, November 4, 2008

Bertemu Dato-Dato adat Minangkabau di Jakarta

Menghadiahkan buku Jejak Risalah di Nusantara I kepada Dato Perpataih (yang bersongkok), Ust Ferry Nur yang berkupiah. Pak Selamat berdiri kanan sekali

Bergambar sebelum makanan malam dihidang. 

Dato' Perpataih mengatakan sesuatu


Menunjukkan buku Jejak Risalah di Nusantara I

Turut menghadiahkan beberapa buah buku Palestin

Assalamualaikum,

Kebetulan ketika berada di Jakarta menghadiri IHCAVO (International Humanitarian Convention on Assistantship to Victims of Occupation (Palestine), kami (saya dan Pak Selamat) bertemu dan di hos oleh Ust Ferry Nur (Pengurus KISPA - Komite Insonesia untuk Solidariti Palestina) pada hari ketiga kami di sana. Oleh kerana Ust Ferry Nur dimaklumkan tentang projek penulisan buku jejak risalah nusantara jilid IV beliau telah menjemput kami berdua untuk bertemu ketua-ketua adat Minangkabau yang kebetulan mengadakan rapat (mesyuarat) pada hari Ahad malam isnin (2 Nov.2008). Ust Ferry Nur juga orang Minang dan beliau dipandang sebagai ulama yang menjadi rujukan 'ninik-mamak' - ketua-ketua suku di Minangkabau. Kebetulan Ust Ferry Nur juga dipilih sebagai 'calek' - calun Pemilu 2009 bagi kawasan tersebut.

Saya kongsikan apa yang telah dibincangkan dalam mesyuarat tersebut kerana ia benar-benar menyedarkan kami tentang keberkesanan institusi adat di tanah Minang dalam menangani isu umat. (Pak Selamat tentu setuju dengan saya). Kami menyangka ia hanyalah rapat biasa dan pertemuan silaturahmi bagi anak-anak minang di perantauan. Rupa-rupanya mereka membincangkan tentang isu-isu nasional yang memberi kesan kepada kesejahteraan umat Islam di Minangkabau. Tiga isu yang dibawakan ialah masalah gejala sosial yang nampaknya tidak diberi perhatian bahkan disokong oleh pula oleh setengah Dato-Dato', nenek mamak dalam luhak (kawasan) masing-masing. Isu kedua berkaitan gejala murtad dan juga khurafat (bernazar dan menziarahi kubur Syeikh Burhanuddin Ulakan - penyebar agama Islam di Minangkabau pada bulan safar - sebuah video dipertontonkan kepada kami betapa jauhnya kesesatan amalan penduduk yang datang dengan pelbagai hajat dan keperluan). Isu Pornografi yang hangat dibahaskan dalam parlimen Indonesia juga dibangkitkan. 

Yang saya hendak sebut di sini ialah institusi adat benar-benar dimanfaatkan untuk memelihara syariat. Meskipun ada aspek-aspek tertentu dari adat perpateh yang bertentangan dengan Islam seperti hak pewarisan kepada perempuan, larangan kahwin sesuku dan sebagainya, namun pada tahun sekarang 2008, adat perpateh masih menjunjung tinggi falsafah Minang iaitu

                 "Adat basandi (bersandi) syarak
                 "Syarak basandi kitabullah"

Dato' ketua yang hadir iaitu bergelar Yus Dato' Perpataih merakamkan kebimbangan beliau terhadap keruntuhan akhlak yang melanda masyarakat minangkabau baik di negeri Minang baik di Perantauan. Mereka ini 'orang awak' (maknanya orang kita). Kita yang selama ini mendidik umat supaya membangunkan kehidupan berbudaya (beragama) sekarang dipaksa untuk melaksanakan hidup tanpa budaya. Beliau juga menegaskan orang Minang adakah orang Minang kerana Islamnya. Jika mereka murtad bererti mereka bukan orang Minang lagi dan tidak lagi boleh mendapat sebarang hak yang termaktub dalam lembaga adat.

Salah satu dari program yang mereka cadangkan hasil dari rumusan perbincangan ialah mengadakan rapat (mesyuarat) yang melibatkan semua ketua-ketua adat dan ninik mamak bersama dengan para ulama. Ust Ferry Nur diminta untuk turun memberikan panduan terhadap isu-isu yang diketengahkan.

Saya sempat juga memberi sepatah dua kata sebagai menghargai pengalaman dapat bersama dalam mesyuarat Dato-dato adat. Saya katakan sebagai anak Negeri Sembilan saya punya hubungan kebudayaan yang sangat dekat dengan Minangkabau. Kami juga menjunjung falsafah yang sama iaitu 

'Syarak mengato, adat memakai'. 

Adapun kata perbilangan 

'Adat basandi hukum, hukum basandi kitabullah' 

itu adalah penambahan yang dibuat oleh Imam Bonjol selepas Perang Padri (1821 - 1835) melawan Belanda untuk meletakkan syariat sebagai pemutus kepada persoalan adat. Saya juga sebut di Radah (jalan Seremban-Rembau) ada pusara salah seorang dari ulama/pejuang 'Harimau nan delapan' iaitu Tuangku Tambusai yang melawan Belanda. Beliau berhijrah di Negeri Sembilan setelah Belanda menguasai Minangkabau - Sumatera Barat. Dengan sedikit kata-kata itu saya mempelawa dato-dato untuk berziarah ke Negeri Sembilan bagi tujuan silaturrahmi. Mereka juga menjemput ke Padang Panjang untuk silaturahim dan di bawa keliling untuk mendapatkan bahan penulisan 'Jejak Risalah di Nusantara III' khususnya berkaitan dengan Perang 'Paderi'  iaitu jihad yang diketuai oleh Tuangku Imam Bonjol. Sebuah buku Jejak Risalah di Nusantara I sebagai tanda ingatan dihadiahkan kepada Dato' Perpataih.

Dr Hafidzi Mohd Noor 

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc