Tuesday, February 23, 2010

Cadangan Teks Khutbah Sempena Maulid Nabi SAW dan kaitannya dengan pembebasan bumi al-Quds

Assalamualaikum,


اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sempena sambutan Maulid Nabi SAW yang diraikan setiap tahun pada 12
rabiul Awal maka khatib ingin mengingati peristiwa penting ini dengan
berlatar belakangkan perjuangan rakyat Palestin yang merupakan tuntutan ke atas seluruh umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Rasulullah SAW adalah Nabi terakhir yang dinanti-nantikan oleh semua
terutama dari kalangan ahli kitab (Yahudi dan Nasara). Kelahiran Nabi
yang bernama Ahmad ini disebut di dalam kitab Injil dan Taurat
(termasuk kitab perjanjian Lama dan Baru iaitu kitab-kitab suci yang
diselewengkan oleh rahib-rahib dan rabbi-rabbi yahudi). Tetapi apabila Nabi Muhammad SAW muncul di Tanah Arab yang kelahirannya
dinantikan dengan tanda-tanda yang amat dikenali oleh mereka
berdasarkan apa yang terkandung di dalam kitab-kitab Taurat dan Injil,
baginda didustakan. Pendustaan ini dirakamkan oleh Al-Quran seperti
dalam surah as-saff.

Text al-Quran (As-Saff ayat 6)

'Dan berkata Isa anak Maryam, Wahai Bani Israel,
sesungguhnya aku adalah Rasul yang diutus kepada kamu yang membenarkan
apa yang diwahyukan kepada kamu dalam Taurat dan membawa berita
gembira tentang kelahiran seorang Rasul yang bernama Ahmad. Apabila
Nabi ini diutus mereka mengatakan 'Ini adalah sihir yang nyata'.

Bermula dari saat itu, orang-orang Yahudi menyimpan dendam kesumat
yang tidak berkesudahan terhadap Rasulullah SAW dan apa yang dibawa
oleh baginda berupa risalah Tauhid. Mereka mengharapkan Nabi akhir
zaman yang dijanjikan itu lahir dari jalur keturunan Bani Israel iaitu
Nabi Ishaq AS. Tetapi Allah SWT mempunyai perancangannya yang
tersendiri lalu memilih Nabi akhir zaman itu dari jalur keturunan Nabi
Ismail AS. Sesungguhnya penolakan Bani israel ini tidak mempunyai
sebarang rasional kerana Nabi Ismail sebagaimana Nabi Ishaq adalah
putera-putera dari ayah yang sama iaitu Nabi Ibrahim AS. Lagipun
kedengkian dan kesumat yang ada di dalam jiwa orang-orang Yahudi tidak
akan memungkinkan mereka menerima kebenaran hatta jika Nabi akhir
zaman itu lahir dari jalur keturunan Banu Israel sekalipun. Telah
terbukti bahawa mereka menolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi-Nabi
dari keturunan Bani Israel seperti Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi
Isa as. Bahkan kedua dari Nabi ini dan beberapa Nabi yang lain seperti
yang disebut di dalam Surah Yaasin dibunuh oleh orang-orang Yahudi.
Jika Allah SWT tidak menyelamatkan Nabi Isa AS maka baginda juga bakal
menerima nasib yang sama akibat peresekongkolan orang-orang Yahudi dan
golongan kafir yang berkuasa di Baitul Maqdis. Pokoknya penolakan
orang-orang Yahudi ke atas kerasulan Nabi Muhammad SAW bukan kerana
baginda dari jalur keturunan Nabi Ismail AS tetapi kerana kebenaran
yang dibawanya.


Pengajaran pertama yang boleh digarap dari peristiwa Maulid ini ialah
permusuhan yang sudah tertanam di dalam sanubari orang-orang Yahudi
terhadap agama Islam. ia juga memberi satu isyarat yang sangat penting
bagi umat Islam supaya menjadikan sikap orang-orang Yahudi sebagai
sempadan. Jangan sampai umat Islam ghairah menyambut kedatangan Maulid
dan menyambutnya dengan pelbagai acara tetapi menuruti jejak
orang-orang Yahudi yang memusuhi dan menolak misi perjuangan
Rasulullah SAW. Kenyataannya pada hari ini berapa ramai dari kalangan
umat yang membuat sambutan Maulud tetapi penentang perlaksanaan
syariat Islam dalam semua lapangan kehidupan, terutama dalam aspek
perundangan dan kehakiman. Berapa ramai yang berselawat sempena
sambutan Maulud tetapi memperlekeh dan mempersenda cara hidup Islam
yang merupakan sunnah Rasulullah SAW baik dari sudut pakaian,
penampilan, pergaulan dan akhlak. Berapa ramai yang menghargai
kelahiran Nabi Muhammad SAW tetapi menentang para ulama dan
pejuang-pejuang Islam yang berusaha untuk meneruskan misi dakwah
Rasulullah SAW. Semuga umat Islam membuat semakan dan mengaudit diri
masing-masing agar kita tidak terjebak dengan fenomena orang yahudi
yang kononnya menanti kelahiran Nabi akhir zaman tetapi kemudiannya
menentang secara terbuka apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Apabila umat Islam menyambut maulud pada 12 Rabi'ul awal setiap tahun,
haruslah diinsafi pada tarikh yang sama juga Rasulullah SAW
meninggalkan kita. Tarikh lahir dan wafatnya Rasulullah SAW adalah
pada tarikh yang sama iaitu pada 12 Rabi'ul Awal juga. Apabila
menyebut tentang wafatnya Rasulullah SAW maka ia turut membabitkan
konspirasi orang Yahudi. Ahli-ahli sejarah sepakat mengatakan bahawa
kematian Rasulullah SAW ada kaitan dengan perancangan jahat orang
Yahudi yang ingin membunuh baginda. Ia berlaku ketika Rasulullah SAW
memerangi Yahudi Banu Khaibar yang mengkhianati umat Islam di Madinah.
Salah seorang dari orang-orang Yahudi bernama telah
berpura-pura memeluk Islam dan berkhidmat menyediakan makanan kepada
Rasulullah SAW. Tanpa diketahui oleh baginda yahudi tersebut telah memasak
daging kambing yang telah dilumur dengan racun dan menghidangkan
kepada Rasulullah SAW. Ketika Nabi hendak memakan daging tersebut dan
ketika daging itu baru tersentuh bibirnya maka berkatalah daging
kambing tersebut dengan izin Allah SWT. "Jangan engkau makan aku Ya
Rasulullah, kerana aku sudah dibubuh racun'. Nabi tidak tidak jadi
memakan daging tersebut tetapi racun yang tersentuh pada bibirnya
sudah cukup untuk menyebabkan beliau demam berpanjangan sehingga
membawa kepada kewafatan baginda beberapa tahun kemudian. Peristiwa
ini menunjukkan bahawa orang-orang Yahudi yang memusuhi Islam akan
berusaha untuk menggunakan pelbagai tipu daya, penyamaran dan
kerja-kerja perisikan (espionage) untuk membunuh tokoh-tokoh pejuang
Islam. Bahkan inilah pendekatan yang digunakan oleh agen perisikan
Israel, Mossad pada hari ini di dalam melaksanakan beberapa pembunuhan
politik ke atas pemimpin-pemimpin gerakan Islam seperti Yahya Ayyash
dan cubaan membunuh ke atas Khaled Meshal beberapa tahun dahulu di
Jordan. Bahkan dalam cubaan membunuh ke atas Khaled Mesh’al, dua orang
ajen Mossad telah menyuntik racun kepada beliau dan sekiranya tidak
tertangkap dan dipaksa untuk memberikan antedot (penawar) kemungkinan
Khaleh Mesh’al juga terbunuh di tangan mereka. Bahkan kematian yang
dirancang ke atas ramai pimpinan Hamas adalah melibatkan
maklumat-maklumat yang dikirimkan oleh agen-agen perisikan Yahudi
samada dari pihak Israel atau dari kalangan orang palestin yang mereka
upah seperti pembunuhan yang berlaku di Dubai baru-baru ini.


Memperngati Maulud bererti memperngati perjuangan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan satu misi yang mengambil
masa selama 23 tahun. Seerah ataupun perjalanan hidup Rasulullah SAW
ini merupakan khazanah yang tidak ternilai kepada umat Islam yang
melaksanakan amanah Rasulullah SAW di dalam meneruskan misi ini.
Rasulullah SAW telah wafat namun misi yang beliau bawa telah
diwariskan kepada umat yang datang kemudian. Ini dinyatakan secara
khusus di dalam khutbah wida' (haji perpisahan) ketika Nabi
menyampaikan pesan-pesannya yang terakhir iaitu 'hendaklah mereka yang
hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir agar yang tidak hadir lebih
memahami). Mereka yang tidak hadir itu ialah umat Islam yang datang
silih berganti dari satu generasi kepada satu generasi dan mereka
semua dituntut untuk memahami tugas yang diamanahkan kepada mereka
iaitu menyeru kepada al-khair (Islam), menyuruh kepada ma'ruf dan
menghalang dari kemungkaran. Inilah misi besar yang ditaklifkan ke
atas umat Islam 'yang tidak hadir' agar 'mereka lebih memahami'. Dalam
ertikata yang lain, sesiapa juga di kalangan umat yang mengambil
taklif ini untuk meneruskan misi Rasulullah SAW maka mereka pasti akan
berhajat kepada panduan yang terkandung di dalam seerah. Sebabnya
ialah seerah mengandung prinsip-prinsip perjuangan yang memandu umat
Islam dalam memikul tugas yang maha berat ini. Umat Islam harus faham
bahawa seerah junjungan adalah gambaran terhadap apa yang bakal
diterima oleh mereka yang mahu mengikuti sunnah perjuangan Nabi.

Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin, maka kita dapati begitu
banyak persamaan di antara apa yang dihadapi kini dengan apa yang
dilalui oleh Rasulullah SAW. Bukankah rakyat Palestin pada hari ini
menerima pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman zionis Israel samada
dalam bentuk sekatan perjalanan, penyingkiran dari tanah-tanah milik
mereka, kepungan oleh tembok-tembok pemisah dan terakhir sekatan
ekonomi dan penutupan laluan darat, udara dan laut di Gaza. Semua
bentuk kezaliman dan penindasan ini pernah ditimpakan oleh orang-orang
Quraish kepada Rasulullah SAW dan seluruh Bani Hasyim, samada muslim
ataupun sebaliknya. Seluruh penduduk Mekah membuat perjanjian supaya
memboikot dan memulau Rasulullah SAW dan Bani Hasyim dengan tidak
membuat sebarang hubungan dengan mereka, tidak berjual beli dengan
mereka, tidak berkahwin dengan mereka. Selama tiga tahun lamanya
Rasulullah SAW dan Bani Hasyim dipinggirkan di Shiib Abi Talib, Lembah
Abi Talib. Keadaan menjadi begitu getir sehingga anak-anak menangis
kelaparan pada waktu malam sehingga mereka terpaksa mengalas perut
dengan kulit-kulit unta dan kulit-kulit kayu. Mereka dikhianati dan di
aniaya oleh penduduk Mekah termasuk oleh Bapa saudara Nabi sendiri
iaitu Abu Lahab. Apabila kita memerkatikan peristiwa yang berlaku pada
hari ini maka kita akan melihat persamaan yang amat ketara. Bukan
sahaja rakyat Palestin dikepung dan dipulau oleh masyarakat
antarabangsa yang didalangi oleh Amerika Syarikat bahkan mereka
dikhianati oleh pemimpin-pemimpin Arab. Dalam keadaan rakyat Gaza
diserang bertalu-talu oleh zionis Israel, pemimpin-pemimpin Arab
bersekongkol menyokong serangan ini dan menghalang bantuan dari
menyeberang masuk ke Gaza. Semua drama yang pahit ini sedang kita
saksikan di Gaza. Anak-anak merintih kelaparan pada waktu malam
sehingga ibu-ibu mengutip rumput di jalanan untuk direbus dan mengalas
perut anak-anak mereka. Ini jugalah yang dialami oleh Rasulullah SAW.
Dek kerana tidak tertahan mendengar rintihan anak-anak maka ada di
kalangan orang-orang Quraish yang tidak sampai hati dan menyusup pada
waktu malam untuk menghantar makanan. Kini rakyat Gaza merintih tetapi
bantuan dihalang memasuki Gaza.

Kita perhatikan juga bagaimana sikap pemimpin-pemimpin Arab yang saling
tidak tumpah seperti sikap pemimpin Quraish yang diketuai oleh Abu
Lahab yang merupakan keluarga Rasulullah SAW sendiri. Kita melihat
bagaimana Hosni Mubarak, pemerintah Arab Saudi, Raja Jordan bahkan
Presiden Mahmud Abbas (Pihak Berkuasa Palestin) sendiri merestui
serangan ke atas Gaza, melantik kontraktor Mesir untuk membekalkan
makanan kepada askar Israel dan mengenakan pelbagai syarat tidak
menasabah sehingga menghalang bantuan untuk menyeberang ke Gaza.

Namun seerah menunjukkan bahawa pemulauan ke atas Rasulullah SAW
adalah merupakan siri-siri awal kepada kemenangan yang bakal ditempa
oleh umat Islam. Boikot ini berakhir setelah tiga tahun dan diikuti
pula dengan pelbagai bentuk penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh
Rasulullah SAW. Ini termasuklah kematian Abu Talib dan isteri
tercinta, Sy Khadijah RA yang merupakan tonggak utama kepada
Rasulullah SAW. Ini disusuli dengan peristiwa menyayat hati apabila
Rasulullah diusir dari Taif dan dilontar dengan batu. Dalam saat-saat
yang amat menekan inilah Rasulullah SAW dikurniakan mukjizat yang amat
besar iaitu peristiwa Isra' dan Mikraj. Dalam peristiwa bersejarah ini
Nabi singgah di Masjid Al-Aqsa sebelum meneruskan mikraj ke Sidratul
Muntaha.

Text al-Quran (Al-Isra’ ayat 1)

سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا إنه هو السميع البصير


Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Perjalanan ini punya makna yang sangat simbolik dalam
perjuangan Palestin pada hari ini. Selepas peristiwa Isra' dan Mikraj
ini bermulalah pertemuan dengan penduduk Yathrib yang membawa kepada
perjanjian Aqabah I dan II yang disusuli dengan hijrah yang mulia dan
pemasyuran Yathrib sebagai Kota Madinatul Nabi. Bermula dari saat itu
kemenangan demi kemenangan ditempa sehingga cahaya Islam memancar ke
seluruh ufuk timur dan barat. Kesemua ini menunjukkan kepada kita
bahawa kemanangan bakal datang setelah pelbagai ujian dan mehnah
dilalui oleh umat Islam di palestin.


Sambutan Maulud juga mengingatkan kita kepada gambaran-gambaran akhir
zaman yang telahpun dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Beriman dengan
Rasul bererti beriman dan meyakini dengan berita-berita ghaib yang
disampaikan oleh baginda, samada menyangkut tentang peristiwa masa
depan apatah lagi tentang hari Qiamat. Berkaitan tentang peristiwa
masa depan yang bersangkutan dengan Palestin, terdapat begitu banyak
perkhabaran-perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi. Sepatutnya
perkhabaran-perkhabaran ini menguatkan azam dan keyakinan umat Islam
tentang jihad yang sedang berlaku di palestin. Malangnya umat Islam
pada hari seolah-olah hilang punca apabila berhadapan dengan isu
Palestin. Sebabnya ialah umat Islam pada hari ini tidak lagi
menggunakan neraca iman dalam menilai perjuangan umat Islam. Mereka
lebih cenderung menggunakan penialain material dan kebendaan.
Seringkali mereka berputus asa apabila berlaku serangan ke atas rakyat
Palestin dan seringkali menyalahkan umat Islam atas apa yang berlaku.
Sedangkan apa yang sedang kita saksikan pada hari ini telahpun
digambarkan oleh Rasulullah SAW. Di antara perkhabaran tersebut
disampaikan oleh Abu Hirairah dari Hadis yang diriwayatkan oleh
at-Tabarani. "Akan ada di kalangan umatku, mereka yang terus berjihad
di pintu-pintu Dimasq (Damsyik) dan akan ada dari kalangan umatku
mereka yang berjihad di pintu-pintu al-Quds dan sekitarannya. Mereka
ini tidak dapat dilemahkan oleh golongan yang membelot dan berkhianat.
Mereka akan terus menjadi golongan yang menang, istiqamah sehingga
akhir waktu." Beruntunglah umat Islam kerana para sahabat hanya mampu
mendengar sahaja perkhabaran ini sedang kita pada hari ini menyaksikan
ianya menjadi kenyataan. Bukankah pada hari ini umat islam terus
berjihad di bumi as-Syams (Palestin dan sekitarnya) dan mereka ini
terus menerus menjadi golongan yang menang dan istiqamah. Hakikatnya
umat Islam telah berjuang lebih dari 60 tahun bahkan lebih lama lagi
semenjak deklarasi Balfour diluluskan di parlimen British pada tahun
1917 dan mereka tidak pernah meninggalkan medan perjuangan jauh sekali
dari berputus asa. Mereka tetap teguh memegang amanah mempertahankan
tanah suci meskipun mereka dikelilingi oleh golongan pengkhianat dan
pembelot dari kalangan bangsa mereka sendiri. Semua ini sepatutnya
membakar jiwa raga umat Islam untuk terus memacu jihad di bumi
Palestin dan tergolong di dalam kelompok yang dijanjikan kemenangan
oleh Rasulullah SAW.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Perjuangan pembebasan Baitul Maqdis dan bumi Palestin adalah tuntutan keimanan. Peperangan yang sedang berlaku sekarang ini dirujuk oleh para mujahiddin HAMAS sebagai al-Furqan. Al-Furqan bermaksud pembeda – pembeda di antara al-Haq dan batil. Sebagaimana al-Quran juga disebut sebagai al-Furqan iaitu neraca untuk membezakan di antara kebenaran dan kepalsuan. Sy. Umar al-Khattab diberi julukan al-Farouq – Umar pembeda dan pemusnah kebatilan. Maka peperangan yang berlaku di bumi Palestin pada hari ini bukanlah peperangan sekadar merebut wilayah atau percaturan politik bahkan ia adalah peperangan di antara Islam dan kekufuran. Islam berada di satu pihak. Golongan yahudi, kafirun dan al-munafiqun berada di satu pihak yang lain. Umat Islam sering terkeliru dan bertanya kenapa dua fraksi politik Palestin khususnya HAMAS dan Fatah tidak boleh bersatu. Penyatuan adalah isu pokok tetapi ada isu yang lebih besar iaitu isu iman dan prinsip Islam. Jangan kita lupa untuk menegakkan Islam kita bukan sahaja berhadapan dengan musuh-musuh Islam di kalangan kafirun tetapi juga musuh dalam selimut yang mengaku beriman tetapi hatinya menyimpan dendam kesumat terhadap umat Islam. Mereka tidak langsung menyembunyikan pakatan dan persekongkolan mereka dengan musuh-musuh Islam. Inilah yang berlaku di Palestin pada hari ini. Sebahagian rakyat Palestin menjadi tali-tali barut yang siap mengemis kepada zionis Israel untuk menggadaikan perjuangan pembebasan Baitul Maqdis. Bagaimanakah mungkin dua golongan ini dapat disatukan. Maka kita hendaklah yakin perjuangan ini bukan di antara fraksi-fraksi politik yang tidak sehaluan tetapi ia adalah pertarungan di antara Islam dan musuh-musuhnya yang menjadi tentera-tentera dajjal yang bakal lahir di akhir zaman. Oleh itu kita jangan ragu-ragu dan jangan gusar dengan makar yang disusun oleh golongan munafiqun untuk terus menguatkan saf Islam di bumi Palestin.

Umat Islam terus membina kekuatan meski mereka berhadapan dengan sekatan yang paling melumpuhkan pernah disaksikan dunia. Persiapan yang paling penting bagi mereka bukan kewangan atau peralatan ketenteraan. Tetapi persiapan yang sedang mereka bina pada hari ini ialah persiapan iman. Setiap bulan mereka melahirkan para hufaz al-Quran dari kalangan kanak-kanak dan remaja Palestin yang jumlahnya mencecah ribuan orang. Allah juga mentakdirkan hari ini kadar kelahiran bayi di Gaza meningkat dengan ketara. Bahkan ketika berlaku serangan biadap Israel ke atas Gaza pada hujung tahun 2008 dan awal tahun 2009 yang mencatatkan 1,500 syahid, dalam tempoh yang sama lebih 3,000 kelahiran direkodkan dan yang peling menakjubkan sebahagian besar dari bayi yang dilahirkan adalah lelaki. Ibu-ibu mereka menamakan anak-anak mereka dengan nama ayah dan suami mereka yang syahid.

Mereka merancang dan Allah juga merancang. Siapakah yang lebih baik dari perancangan Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Mari kita mendaftar diri dan menyertai peperangan al-Furqan ini. Kita tidak boleh lagi duduk menjadi penonton. Bahkan kita wajib bingkas menyahut seruan jihad dan menggalas tanggungjawab sebagai seorang lelaki sejati. Kita tidak boleh lagi mengulit mimpi dalam pelukan isteri dalam malam hening yang nyaman selesa penyaman udara. Kita kena bingkas bangun mendirikan solat pada malam hari memohon ampun ke atas dosa-dosa dan kealpaan kita. Memohon agar Allah memberikan kekuatan iman untuk membantu perjuangan umat islam di mana-mana di muka bumi ini yang kemuncaknya ialah peperangan al-Furqan di bumi al-Quds. Masa untuk menenggang waktu telah lama berakhir. Sekarang adalah masa untuk bertindak. Sekarang adalah masa untuk memperkasa diri dengan maklumat melalui ilmu dan kefahaman sebenar terhadap isu-isu umat Islam. Gantikan masa berjam-berjam membaca akhbar yang isinya tidak lain tetapi sarat dengan fitnah, pembohongan, melondehkan maruah manusia, memaparkan imej-imej cabul dengan mula membaca al-Quran. Susun kembali perbelanjaan untuk keluarga dan mulalah menitip untuk mengisi tabung jihad.

Text al-Quran (Surah as-Saff ayat 10 – 11)

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? 11 Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).


Rasulullah SAW bersabda

”Barangsiapa yang memberi bekal kepada para mujahidin, maka dia juga adalah mujahidin”

Mari kita didik ahli keluarga dan anak-anak kita dengan jiwa cintakan jihad. Ia adalah benteng untuk umat ini bahkan jihad adalah jaminan survival umat. Kerana itu ada amaran cukup keras dari Rasulullah SAW terhadap mereka yang tidak pernah pergi berjihad bahkan langsung tidak berniat untuk berbuat demikian.

”Barangsiapa yang matinya tidak pernah menanam hasrat untuk berjihad maka matinya dalam salah satu dari cabang-cabang munafiq’

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Berilah keutamaan kepada perjuangan rakyat Palestin yang mewakili kita dan meringankan beban kita. Mereka telah korbankan segala-gala untuk pertahan tanah suci kita semua. Marilah kita perkasakan diri kita dengan mula membina kefahaman. Alhamdulillah kita telah menerbitkan beberapa buah buku berkaitan isu Palestin bagi meluruskan salah faham terhadap isu ini. Buku-buku ini ada kita bawa dan boleh didapatkan selepas solat Jumaat nanti. Kita juga menyediakan tabung jihad Palestin. Hulurkan infaq kerana ia adalah kewajipan bukan pilihan. Prof Dr Yusuf Qardhawi mengingatkan umat Islam seluruh dunia behawa menyokong perjuangan pembebasan al-Quds dengan wang ringgit adalah kewajipan yang ditaklifkan ke atas muslim.

Inilah di antara beberapa perkara yang boleh kita kaitkan di dalam
keghairahan umat Islam menyambut Maulud pada hari ini.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.



Prof Madya Dr Hj Hafidzi Mohd Noor

Pengarah
PACE
(Palestine Centre of Excellence)

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc