Monday, February 8, 2010

Jihad umat Islam Sulu berdepan Sepanyol - salah satu bab Jejak Risalah di nusantara Jilid II

Assalamualaikum,

Saya sedang menyiapkan bab Jihad Umat Islam melawan Sepanyol dalam buku Jejak Risalah di Nusantara Jilid II. Jelaslah Kepulauan Sulu adalah benteng utama umat Islam di nusantara. Ianya dipertahankan selama lebih 300 tahun tanpa menyerah, Bahkan perjuangan itu berlanjutan sehingga kurun ke 20 apabila mereka terpaksa berdepan dengan Amerika Syarikat dan penindasan Kerajaan Filipina.

Semuga Allah mengurniakan yang terbaik kepada para mujahiddin dan anugerah yang besar kepada para syuhada..

Hayatilah kehebatan umat Islam Sulu dari perkongsian di bawah yang belum lengkap..

Dr Hafidzi Mohd Noor
---------------------------------------------------------------------------

Penentangan yang diterima Sepanyol dari umat Islam di selatan Filipina sangat sengit. Di sana kekuatan umat Islam berpusat di pulau Jolo dalam kepulauan Sulu dan dan Kesultanan Maguindanao di lembah Sungai Pulangi, Mindanao. Kesultanan Sulu dan Maguindanao sering berkerjasama di dalam mematahkan cubaan penjajahan Sepanyol seperti yang akan dibentangkan. Bahkan ekspedisi-ekspedisi tersebut turut didukong secara aktif bersama kerajaan Brunei, Ternate (Maluku) dan Makassar. Selain dari hubungan kekerabatan dan kepentingan ekonomi yang digugat oleh kehadiran Sepanyol, faktor utama kerjasama ini adalah atas dasar solidariti dan kewajipan berjihad untuk memelihara akidah dari ancaman pengkristianan dan mempertahankan tanah air umat Islam. Di dalam bab ini jihad umat Islam melawan Sepanyol di kepulauan Sulu akan diberikan tumpuan yang khusus meski sukar untuk memisahkannya dengan perjuangan yang dipelopori bersama umat Islam serantau. Usaha jihad yang diterajui oleh umat Islam Minadano dan Maluku akan dihuraikan dalam bab-babnya yang tersendiri dengan lebih terperinci.

Pertembungan yang pertama dengan umat Islam di selatan berlaku di zaman Miguel Lopez De Legaspi dan ia menandakan permulaan kepada apa yang dirujuk sebagai ‘perang Moro’. Menurut pengkaji sejarah, perang Moro yang berlanjutan selama tiga kurun itu boleh dibahagikan kepada lima fasa. Fasa yang pertama bermula dengan ketibaan Legaspi di Filipina pada tahun 1565 dan berakhir dengan cubaan Sepanyol untuk menakluk Brunei pada tahun 1578 dan 1581 (Ini telah dikupas di bawah bab mengenai jihad Brunei berhadapan dengan Sepanyol dan Portugis) . Adalah amat penting bagi Sepanyol menguasai Brunei kerana hubungan kekerabatan di antara kesultanan Brunei dan Kerajaan Islam di Manila dan Sulu. Jika pengaruh Brunei dapat dihapuskankan maka Sulu dan Maguindanao hanya menunggu masa sahaja untuk ditaklukkan.

Pengistiharan perang di selatan yang pertama berlaku pada tahun 1578 apabila Kapten Esteban Rodriguez de Figueroa menawan pulau Jolo. Sultan Pangiran Budiman, menurut silsilah Sulu, adalah ipar kepada Sultan Saiful Rijal, Sultan Brunei dan terlibat sama dalam peperangan menentang Sepanyol di bawah pimpinan Gabenor Jenderal Francisco de Sande di muara sungai Brunei pada tahun 1578. Menurut Sande, Pangeran Budiman yang beliau rujuk dengan nama Raja Ilo, gagal mematahkan serangan Sepanyol di Jolo telah dan menebus dirinya dengan 12 butir mutiara di samping emas untuk mengelak dari menjadi tawanan musuh. Pada tahap ini perlu ditekankan bahawa jajahan takluk Kesultanan Sulu meliputi pulau Sulu, Tawi-tawi, Taguima (Basilan) dan dua wilayah di Mindanao iaitu Zamboanga dan Cavite. Menurut Molina, Pangiran Budiman berpura-pura menandatangani perjanjian takluk kepada Spain kerana tidak mampu berdepan dengan kekuatan musuh, tetapi mengoyakkan surat perjanjian itu sebaik sahaja Rodrizuez belayar meninggalkan Jolo.

Serangan ke atas Maguindanao oleh Figueroa pada tahun 1578 dan misi Kapten Gabriel de Rivera pada tahun berikutnya menemui kegagalan. Untuk menghadapi ancaman Sepanyol, umat Islam tidak hanya bertahan tetapi turut melancarkan serangan balas ke atas kubu-kubu Sepanyol di utara Mindanao, Pulau-pulau Visayas dan juga Luzon. Pertahanan mereka juga sangat ampuh dan ini terbukti dari 16 serangan besar-besaran ke atas Jolo di antara tahun 1578 sehingga 1876, mereka hanya berjaya menawannya dalam tiga serangan sahaja. Bilangan serangan yang sama dilancarkan ke atas Maguindanao tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan. Secara umumnya dalam tempoh lima puluh tahun yang pertama, umat Islam Moro menguasai medan dan menentukan rentak peperangan.

Fasa kedua perang Moro bermula apabila Sepanyol meletakkan objektif untuk menakluk Maguindanao dan menghapuskan pengaruh Ternate (Ini akan dihuraikan dalam bab tentang jihad di Kepulauan Maluku). Hasrat untuk menundukkan Maguindanao amat ketara apabila Kerajaan Sepanyol di Manila berjanji untuk melantik Kapten Estaban Rodriguez de Figueroa sebagai Gabenur seumur hidup di sana dan jawatan tersebut akan diwariskan kepada anak beliau jika misinya Berjaya. Pada 1 April, 1596 de Figueroa mendarat di Cotabato di Mindanao tetapi terbunuh pada 25 April dalam serangan kedua dan misinya untuk menguasai Maguindanao gagal (Ini akan dikupas dalam bab Mindanao). Kekalahan Sepanyol di Maguindanao menjelang tahun 1600 menandakan berakhirnya fasa perang Moro yang kedua.

Fasa ketiga perang Moro bermula sekitar tahun 1599 – 1600 apabila pejuang-pejuang Islam dari Sulu dan Maguindanao melancarkan serangan ke atas pulau-pulau Visayas dan menggempur kedudukan Sepanyol di Bohol, Samar, Leyte dan Negros. Bahkan mereka pernah menyerang Camarines, Teluk Manila pada tahun 1616 . Di pihak Sepanyol, mereka berjaya mematahkan beberapa serangan. Di antaranya pada tahun 1600 apabila Garcia Sierra at Oton (Arevalo) berjaya menggagalkan cubaan 3,000 pejuang Maguindanao berhampiran Panay. Pada tahun 1609, Gallinato berjaya mengalahkan angkatan laut Maguindanao di teluk Panguil. Cubaan untuk menguasai Jolo oleh Juan Pacho pada tahun 1599, Juan Xuarez Gallinato pada tahun 1602, Luego pada tahun 1628 dan Lorenzo de Olaso pada tahun 1630, bagaimanapun berakhir dengan kegagalan . Pada tahun 1636, angkatan Sepanyol menyerang hendap angkatan laut Maguindanao berhampiran Punte de Flechas (Panaoan) di bawah pimpinan Datu Tagal dalam perjalanan pulang dari serangan ke atas Mindoro dan Calamines. Datu Tagal dan 300 pahlawan Moro terbunuh dalam serangan tersebut. Kemenangan ini adalah kesan langsung dari kubu pertahanan Sepanyol yang didirikan di Zamboanga (Sambuangan) yang strategik. Kemenangan ini menandakan fasa ke empat perang Moro, juga merupakan kejayaan pertama yang sebenar dan yang terakhir bagi Sepanyol sehinggalah pada kurun ke 19. Meskipun gabenor yang baru, Don Sebastian Hurtado de Corcuera berjaya menawan beberapa pengkalan Moro di selatan Mindanao, termasuk kubu Sultan Kudarat di Lamitan pada tahun 1637 dan menawan Jolo pada tahun 1638, ia adalah kemenangan-kemenangan sengkat yang tidak membawa apa-apa kelebihan kepada Sepanyol. Pengganti Corcuera, iaitu Fajardo terpaksa berundur dari kubu-kubu yang ditawan oleh beliau setelah cuba bertahan apabila tentangan semakin sengit. Melalui perantara seorang paderi, Alejandro Lopez, perjanjian damai dimetrai dengan Sultan Kudarat, Maguindanao dan Sultan Bongsu, Jolo yang membawa kepada pengunduran Sepanyol dari dua wilayah tersebut pada tahun 1646. Perjanjian ini berlanjutan sehingga sepuluh tahun. Kemudian serangan bermula kembali apabila perjanjian tersebut berakhir dengan terbunuhnya duta Sepanyol kerana memaksa Sultan Kudarat memeluk Kristian (ini akan disentuh di dalam bab mengenai Mindanao). Sultan mengistiharkan jihad dan memohon bantuan dari Makasar, Sulu, Ternate dan Brunei demi mempertahankan Islam. Meskipun Sepanyol menempah kemenangan awal di Maguindanao, ia tidak memberi sebarang makna kerana siri-siri kekalahan yang dideritai selepas itu. Selama setengah kurun umat Islam Moro kembali menguasai medan. Pada tahun 1663, Sepanyol terpaksa meninggalkan pengkalannya di zamboanga sehingga tahun 1718. Tetapi atas permintaan gereja, kubu pertahanan diperkukuhkan pada tahun 1718, Menurut Roces, ini adalah permulaan kepada fasa ke lima dalam Perang Moro. Dari tahun 1720 – 21, serangan Sulu dan suku Iranun untuk menyingkirkan Sepanyol dari Zamboanga gagal meskipun serangan tersebut melibatkan bilangan pejuang yang besar. Sulu mengubah startegi dengan berbaik-baik kepada Sepanyol dengan kemunculan Belanda sebagai pembekal senjata dan peluru. Di pehak Sepanyol juga mereka menggunakan kesempatan ini untuk memujuk kesultanan Sulu supaya mengizinkan paderi menyebarkan agama Kristian di kepulauan Sulu sebagai timbal balik kepada hubungan dagang dan perjanjian damai yang dimeterai. Sepanyol juga berjanji untuk menghormati kedaulatan Sulu dan tidak akan membenarkan penyebar agama Kristian memasuki wilayah Sulu tanpa keizinan dari Sultan. Hubungan di antara Sepanyol dan umat Islam Moro bertambah baik. Kedua-dua Kepulauan Sulu dan Maguindanao berada di bawah pemerintahan yang menekankan tentang penguasaan ilmu pengetahuan dan pembaharuan. Kesultanan Sulu mengikat perjanjian dengan Manila pada tahun 1725 dan diperkukuhkan pada tahun 1737. Beberapa tahun berikutnya perjanjian serupa dimetrai dengan kesultanan Maguindanao. Pada tahun 1747, kedua-dua wilayah membenarkan missioneri kristian untuk mendirikan pusat kegiatan mereka di sana. Bahkan Sultan Alimuddin I dari Sulu bertandang ke Manila pada tahun 1749. Di sana baginda di baptis dan dipenjarakan sehingga dikembalikan ke Sulu. Atas alasan untuk merajakan kembali Sultan Azimuddin, Sepanyol sekali lagi cuba untuk menakluk Sulu. Walaubagaimanapun abang Azimuddin iaitu Sultan Muizuddin yang mendapat sokongan padu para datu telah bertahan dari serangan bertubi-tubi Sepanyol. Sultan Muizuddin meminta bantuan dari China dan Turki Uthmaniyah untuk mempertahankan kedaulatan Sulu. Pada tahap ini perang Moro sampai ke tahap yang memakan korban dan kemusnahan yang besar. Kedua-dua pihak mengalami kerugian yang besar, Ratusan pejuang Islam ditawan dan ratusan pula golongan Kristian ditangkap dan dijual sebagai hamba di Makasar dan Jawa. Serangan Moro di pulau-pulau Visayas menyebabkan kutipan cukai di setengah tempat yang dikutip oleh Sepanyol merosot sehingga 50 peratus.

Apabila Manila dikuasai oleh British pada tahun (1762 – 1764), peperangan dengan Sepanyol mulai reda dan Sulu memberi tumpuan kepada aktiviti perniagaan dengan British. Walaubagaimanapun dasar Sepanyol pada pertengahan kurun ke 19 ialah kembali menyerang Sulu. Kali ini faktor pendorong utama bukan lagi menyebarkan agama Kristian tetapi lebih kepada menghadapi saingan dari Belanda dan British. Hasrat British untuk menjadikan Sulu sebagai pengkalan perniagaannya dengan China diketahui umum. Sementara Belanda pula giat meluaskan jajahan takluknya di Pulau Borneo. Sepanyol perlu mengukuhkan penguasaan politik dan ekonomi di bahagian selatan bagi menghadapi ancaman British. Sepanyol menggunakan alasan kegiatan lanun yang dilakukan oleh kaum Samal dan Iranun untuk menyerang Sulu. Sultan Pulalun (maklumat terperinci) menolak dakwaan Sepanyol dan mendakwa kesusahan yang dialami oleh Kesultanan Sulu untuk membendung kegiatan lanun adalah serupa seperti yang dihadapi oleh Sepanyol. Sultan dan para Datu sendiri berusaha untuk menjamin keselamatan laluan perkapalan kerana mereka juga bergantung kepada aktiviti perniagaan. Sepanyol melancarkan ekspedisi Balangingi pada tahun 1848 yang mengakibatkan sebahagian besar penduduk pulau Samales dipindahkan ke Pulau Luzon untuk dibaptiskan. Pada tahun 1851, Sepanyol memaksa Sultan Sulu untuk mengikat perjanjian takluk kepada Sepanyol, meskipun Sultan menganggap ia tidak lebih dari satu perjanjian persahabatan. Pada tahun 1876, sepanyol menawan Jolo untuk menundukkan kesultanan Sulu secara mutlak. Alasan yang digunakan oleh Sepanyol untuk mewajarkan serangan ini ialah kerana Sultan Jamalul Azam tidak mengendahkan perjanjian-perjanjian sebelumnya. Kerajaan Sepanyol di Manila telah membentuk pandangan umum masyarakat bahawa peperangan yang dilancarkan ke atas Sulu adalah untuk menangani kegiatan lanun. Sementara itu paderi-paderi pula mendakwa ia adalah satu peperangan yang suci dan adil ke atas ‘anak-anak keparat dari al-Quran’ Wicked sons of the Quran. Kempen jahat ini telah berjaya mempengaruhi bangsawan Cina yang kaya raya, bahkan anak-anak sekolah untuk menderma bagi membiayai peperangan ke atas Sulu.

Sultan Sulu terpaksa meninggalkan Sulu dan bersemayam di kawasan pendalaman. Pada ketika itulah Sultan Sulu menyewakan Sabah kepada British. Sulu akhirnya terpaksa mengalah dan bersetuju dengan perjanjian damai pada tahun 1878. Ini adalah merupakan perjanjian yang terakhir di antara Sepanyol dan Kesultanan Sulu. Dengan perjanjian ini Sulu menjadi wilayah perlindungan Sepanyol di samping raja diberikan kuasa otonomi. Sultan berusaha untuk akur kepada syarat-syarat perjanjian, tetapi tidak dapat mengawal para Datu dan pengikut mereka dari melawan Sepanyol. Akibatnya Jolo menjadi pulau yang dikepung dan juramentados (istilah yang digunakan oleh Sepanyol untuk serangan syahid pejuang Moro) semakin kerap berlaku.

--------------------------------------------------------------------------------------
[1] Menurut Prof. Adib Cesar Majul, pertembungan yang pertama di antara umat Islam di Filipina dan Sepanyol ialah kejadian di Bohol pada tahun 1565, di mana berlaku pertempuran di antara angkatan laut Sepanyol dan kapal-kapal dagang Brunei. Dalam pertempuran tersebut seramai 20 orang melayu terbunuh. Ruj. Islam di Filipina, Prof.Cesar Adib Majul, hlm. 154 (terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP, 1988. Pada tahun 1569, Brunei dan Sulu bergabung untuk menyerang kapal-kapal Sepanyol di Kepulauan Visayas. Dalam pertembungan ini empat buah kapal dagang Sepanyol berjaya dirampas. Sejak dari peristiwa ini, umat Islam dituduh sebagai lanun. Istilah lanun digunakan secara sewenang-wenang ke atas bangsa Moro yang menentang Sepanyol. Tuduhan ini dipopularkan oleh Montero y Vidal. Ruj. Asreemoro, hlm. 73. Ulasan pen. Senjata yang sering digunakan oleh barat di dalam menghadapi musuh-musuhnya terutama umat Islam ialah dengan memberikan label-label yang negatif untuk membentuk pandangan umum dunia terhadap musuh yang mereka hadapi. Istilah lanun adalah satu contoh di mana tindakan umat Islam yang merampas harta mereka di dalam peperangan dikatakan sebagai aktiviri lanun, sedang orang-orang barat bukan sahaja merampas harta benda umat Islam, bahkan menjarah tanah air umat Islam. Double standard barat di dalam hal ini amat menyolok mata, kerana pirate (lanun sebenar) yang berkhidmat secara rasmi dengan Kerajaan England seperti Francis Drake disanjung dan dianugerahkan gelaran ‘sir’

[2] Cesar Adib Majul, hlm. 112.


[3] Ibid., juga lihat Cesar Adib Majul, hlm. 123. Raja Bongsu dari Kesultanan Sulu melakukan serangan balas ke atas kubu-kubu Sepanyol pada tahun 1616 di Pantao, Camarines dan Cavite. Serangan ke atas Camarines, pulau Bantayan dan Ormoc di Leyte pada tahun 1627 pula adalah sebagai balasan ke atas tindakan Sepanyol merompak dan memenjarakan Datu Ache (Asri) . Dalam serangan tersebut Sultan Sulu menawan seorang wanita Sepanyol bernama Dona Lucia. Dona Lucia dibebaskan setelah berunding dengan pihak Sepanyol ketika mereka menyerang Sulu pada tahun 1628. Pada tahun 1630 Sultan Sulu sekali lagi menyerang Camarines, Samar, Leyte dan Bohol. Menurut Cesar Adib Majul, dalam serangan pada tahun 1628, Sepanyol turut memusnahkan masjid dan istana Sultan, op. Cit hlm. 127.

[4] Menurut Asreemoro, Juan Pacho menyerang Jolo pada tahun 1597 dengan 60 orang askar Sepanyol. Serangan ini berakhir dengan kematian Juan Pacho dalam serangan hendap oleh pejuang Sulu. Serangan oleh Juan Xuarez Gallinato dari Cebu pula melibatkan 200 orang askar Sepanyol dan 200 pribumi. Juan Gallinto membina kubu pertahanan di Jolo dan memaksa pejuang Sulu berundur di kawasan pendalaman. Kekurangan bekalan makanan memaksa Juan Gallinto berundur tetapi sebelum berundur mereka telah membakar kebun, rumah dan harta benda masyarakat Sulu di Jolo. Munurut Cesar Adib Majul, serangan ini Berjaya menghalang Sultan Sulu dari menyertai pejuang Maguindanao dari menyerang pulau-pulau Visayas. Bahkan ekspedisi tersebut gagal untuk dilaksanakan. Ruj. Cesar Adib Majul, op. cit., hlm. 117.. Serangan yang berlaku pada 22 April, 1628 menyaksikan kemusnahan besar ke atas Sulu. Meskipun serangan ini berlaku secara mengejut, namun pertahanan Kesulatanan Sulu yang ampuh menggagalkan serangan Sepanyol. Pada 17 Mac 1630, Sepanyol melancarkan serangan dari Dapitan, dengan melibatkan 400 askar Sepanyol dan 2,500 penduduk pribumi. Objektif serangan ini ialah untuk menusnahkan kubu Sultan Mawallil Wasit @ Sultan Bongsu di kawasan pergunungan. Lorenzo de Olaso mengerahkan askarnya untuk mengambil kubu tersebut dengan berjalan kaki. Pejuang Sulu yang menunggu ketibaan askar Sepanyol telah berjaya membunuh dan menangkap ramai askar Sepanyol. Olaso terpaksa berundur dan bertindak balas dengan memusnahkan beberapa penempatan di Jolo. Objektif mereka untuk membebaskan tawanan juga gagal. Ruj. Asreemoro, hlm. 74 – 76. Kezaliman yang berlaku akibat dari serangan-serangan ini mendorong Miguel de Benavides, Archbishp manila memohon kepada raja Spain supaya menghentikan perbuatan sia-sia tersebut. Surat ini membuka jalan kepada perjanjian damai di antara umat Islam Moro dengan Sepanyol pada tahun 1609, Ruj. Antonio M. Molina, The Philippines through the centuries. Vol. 1 1st edn., U.S.T. Corporation, 1960, hlm. 117.


[5] Sepanyol melaksanakan program bumi hangus di Lamitan termasuk masjid besar termasuk beberapa buah kampong suku Iranun. Tujuh-puluh dua muslim dipenggal dan kepala mereka dipamerkan di atas pancang-pancang untuk menimbulkan ketakutan. Lihat Blair & Robertson, The Conquest of Mindanao, Vol. XXVII, hlm. 253-304. Dalam serangan di Jolo pada tahun 1638, umat Islam telah bertahan selama tiga bulan sebelum menyerah kepada Sepanyol. Seperti di tempat-tempat lain, penjajah Sepanyol telah membakar semua al-Quran dan kitab-kitab Arab yang ditemui. Rujukan, Cesar Adib Majul, hlm. 138.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc