Wednesday, February 10, 2010

Israel adalah negara penyangak (rogue state) yang sebenarnya

Assalamualaikum

Sejak enam puluh tahun dulu, Israel sering mendapat sokongan dari negara-negara Barat yang kononnya mendukong prinsip-pronsip demokrasi dan hak asasi manusia. Bahkan jenayah yang terang-terangan dilakukan oleh regim Israel terhadap rakyat Palestin khususnya sentiasa dilindungi oleh kuasa-kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat. Sebaliknya Israel pula yang digambarkan sebagai mangsa dalam percaturan politik timur tengah. Media barat memainkan peranan utama di dalam membentuk pandangan umum yang palsu terhadap hakikat Israel yang sebenar. Melalui media elektronik, cetak dan kini media internet, Israel digambarkan sebagai mangsa yang sentiasa terdedah kepada ancaman pengganas dan negara-negara Arab yang siap untuk menghapuskan entiti yahudi zionis itu dari peta dunia. Persoalannya benarkah Israel seperti yang digambarkan itu?

Untuk membuat penilaian objektif, sejarah kewujudan Israel itu sendiri perlu ditelusuri. Deklarasi Balfour yang diluluskan dalam Parlimen British pada tahun 1917 adalah babak awal kepada terciptanya entiti ekslusif Yahudi di atas bumi Palestin. Hasrat gerakan Zionis antarabangsa yang diterajui oleh tokoh Yahudi sekular yang terkenal iaitu Theodor Hertzal menjadi kenyataan selepas Perang Dunia Kedua yang menyaksikan ratusan ribu bangsa Yahudi membanjiri negara Palestin dengan restu dan sokongan Amerika Syarikat. Pergeseran dengan penduduk Arab tidak dapat dibendung lagi sehinggalah PBB yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun 1945 meluluskan Resolusi 181 yang membahagi negara Palestin kepada wilayah Arab (penduduk yang asal) dan wilayah Yahudi (pendatang dari Eropah) kepada nisbah 45%:55%. British yang mentadbir Palestin sejak tahun 1917 keluar dari Palestin pada 14 April 1948 dan pada keesokkannya Israel diistiharkan oleh Perdana Menteri yang pertama David Ben Gurion. Ini mencetuskan peperangan dengan penduduk Arab yang berakhir dengan kemenangan Israel. Israel menawan lebih banyak lagi kawasan dari apa yang diperuntukkan oleh Resolusi 181 iaitu sebanyak 77% wilayah. Sebuah persetujuan yang ditaja oleh Amerika Syarikat iaitu Rhodes Armistice (Perjanjian Damai Rhodes) pada tahun 1949 meluluskan tambahan wilayah yang dikuasai oleh Israel. Tindakan ini jelas menyalahi Resolusi 181 di mana PBB hanya memperuntukkan 55% sahaja dari negara Palestin kepada pandatang Yahudi.

Perang 1948 juga mencetuskan krisis pelarian paling besar dalam sejarah. Sekitar 800,000 rakyat Palestin diusir keluar oleh pengganas-pengganas Yahudi setelah mereka ditakut-takuti dengan tragedi pembunuhan beramai-ramai penduduk Arab di banyak tempat seperti di Deir yassin. Untuk menyelesaikan krisis pelarian Palestin, PBB telah bersidang dan meluluskan Resolusi 194 (III) yang memberi keizinan kepada pelarian Palestin kembali ke rumah-rumah mereka. Kini setelah 61 tahun resolusi ini diluluskan Israel masih tidak membenarkan pelarian tersebut pulang. Kini bilangan pelarian Palestin di khemah-khemah pelarian di Jordan, Syria dan Lebanon telah mencecah lebih dari lima juta orang.

Pada tahun 1967, Israel melancarkan serangan mengejut secara serentak ke atas Genting Gaza, baitul Maqdis Timur, Tebing Barat, Tanah Tinggi Golan (Syria) dan Semenanjung Sinai (Mesir). Dalam tempoh enam hari Israel menguasai 23% lagi dari wilayah Palestin yang tinggal. Sejak dari 6 Jun 1967 sehingga kini Israel terus menduduki baitul Maqdis timur di mana terletaknya Masjid-ul-Aqsa, seluruh Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Israel hanya berundur dari Gaza pada tahun 2005 dan kemudian kembali mengepung Gaza sejak tahun 2007 sehingga hari ini. Sebaik sahaja Israel menduduki wilayah-wilayah tersebut pada tahun 1967, PBB telah bersidang dan memutuskan Resolusi 242 yang mengistiharkan pendudukan tersebut tidak sah dan Israel wajib berundur ke garisan Hijau seperti yang dipersetujui dalam perjanjian Rhodes pada tahun 1949. Sehingga hari ini Israel masih berdegil. Ini bermakna apabila Hamas menawarkan kepada Israel untuk berundur dari tebing Barat dan baitul Maqdis timur serta menghentikan kepungan ke atas Gaza, ia adalah satu penegasan kepada Resolusi 242, tidak kurang dan tidak lebih dari itu. Jika Israel bersedia untuk berbuat demikian Hamas dan rakyat Palestin bersetuju untuk menimbangkan gencatan senjata jangka panjang yang akan membawa keamanan berpanjangan sehingga penyelesaian ke atas status muktamad negara Palestin ditemukan.

Bagaimana pula dengan kedudukan Baitul Maqdis itu sendiri? Israel telah mengistihar Baitul Maqdis sebagai ibu negara abadi Israel pada 30 Julai 1967. Pengisytiharan Israel ini diperakui oleh pentadbiran Bush apabila Presiden Bush menandatangani The State Department authorization Act (HRH 1646) pada 30 September 2002, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Presiden-Presiden sebelum beliau. Bertentangan dengan resolusi antarabangsa dan persetujuan dengan Palestin, pentadbiran Bush tunduk kepada tekanan Kongres untuk menerima dakwaan Israel ke atas Baitul Maqdis sebagai ibu negara yang satu dan abadi (bagi Israel). Natijah dari akta tersebut, arahan dikeluarkan agar semua dokumen rasmi Amerika Syarikat mesti merujuk Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Pengisytiharan ini langsung tidak mengendahkan Resolusi 237 PBB yang menolak pendudukan Baitul Maqdis dan pengisytiharan Israel sebagai ibu negaranya; dan juga Resolusi 405 yang diterima pada tahun 1988 yang secara jelas memperakui Baitul Maqdis sebagai wilayah Palestin yang diduduki.

Bagaimana pula dengan Masjid al-Aqsa yang menjadi rebutan di antara umat Islam dan Israel yang menanam cita-cita untuk merobohkannya dan menggantikan dengan sinagog mereka yang diberi nama 'Haikal Sulaiman'? Dalam hal ini Israel telah meletakkan tuntutan ke atas ’Tembok Tangisan’ (Wailing Wall) iaitu sebahagian daripada tembok sebelah barat Haram Al-Sharif. Israel sebenarnya tidak mempunyai sebarang hak ke atas apa yang mereka namakan sebagai ’Tembok Tangisan’ kerana ia adalah sebahagian daripada ’Tembok Al-Buraq’ (tempat Nabi Muhammad s.a.w. mengikat tunggangannya dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj). Apabila berlaku rusuhan Tembok Buraq (The wailing wall’s riot) pada tahun 1929, Suruhanjaya yang dibentuk oleh Liga Negara-Negara (League of Nations), badan dunia yang mendahului PBB telah membuat penyiasatan ke atas kedudukan tembok tersebut pada tahun 1937 dan mengesahkan ia sebagai warisan yang dimiliki umat Islam. Israel juga menuntut kedaulatan ke atas ’kawasan Yahudi’ yang terletak di sebelah barat Haram Al-Sharif. Kawasan ini pada asalnya merupakan kawasan Arab, dan penempatan Yahudi dibina di atas tanah wakaf umat Islam. Tidak ada sebidang tanahpun yang menjadi milik Israel atau Yahudi

Bagaimana pula sikap Israel terhadap perjanjian yang dimeterainya bersama Kerajaan Palestin. Perjanjian damai yang pertama ialah Perjanjian Oslo yang ditanda tangani pada tahun 1993. Perjanjian ini di antara lain membawa implikasi bahawa Israel akan menghentikan pembinaan penempatan Yahudi di baitul Maqdis timur dan Tebing Barat. Sikap Israel sendiri terhadap komitmennya memberikan gambaran sebenar apabila ia terus giat membina penempatan-penempatan tambahan Yahudi selepas Oslo. Kes pembinaan perumahan Yahudi di Jebel Abu Gneim (Yahudi merujuknya sebagai Har Homa) di Baitul Maqdis dan di tempat-tempat lain adalah isyarat jelas bahawa IsraelIsrael dan setakat mana kejujuran Israel dalam hal ini. mengolok-olokkan Perjanjian Oslo ciptaan mereka sendiri. Tujuh tahun pasca Oslo bilangan pendatang Yahudi di Tebing barat meningkat dari sekitar 100,000 orang kepada sekali ganda dari bilangan tersebut! Oslo juga mensasarkan dalam tempoh lima tahun selepas Oslo (1998), status muktamad negara Palestin akan diputuskan berdasarkan kepada Resolusi 242 dan 338 iaitu Israel akan berundur sepenuhnya dari wilayah yang diduduki pada tahun 1967. Kini (2010) iaitu 17 tahun pasca Oslo, negara Palestin merdeka yang dijanjikan tetap menjadi fatamorgana yang memperdayakan.

Bahkan pada tahun 1999 lagi rejim zionis telah membuat penegasan berikut yang amat jelas bertentangan dengan isi kandungan perjanjian Oslo iaitu

i) Israel sama sekali tidak akan berundur daripada sempadan sebelum 6 Jun 1967 (tarikh bermulanya Perang Enam Hari, 1967);



ii) Baitul Maqdis kekal sebagai bandaraya yang disatukan di bawah kedaulatan Israel sebagai ibu negara Israel;



iii) Penempatan Yahudi (di wilayah yang diduduki) kekal di bawah kedaulatan Israel.


Ini adalah senada dengan pendirian parti-parti politik israel seperti Likud yang samasekali tidak akan menyerahkan Tebing Barat kepada Palestin. manifesto Parti Likud menjelaskan pendirian mereka:

"Hak bangsa Yahudi ke atas negara Israel adalah abadi dan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada hak mereka untuk mendapat perlindungan dan keamanan. Judea dan Samaria (Tebing Barat) dengan itu tidak akan diserahkan kepada kuasa luar; di antara laut dan Jordan, cuma ada kedaulatan Yahudi sahaja. Sebarang perancangan yang melibatkan penyerahan sebahagian daripada bahagian barat dari Israel Raya mencabuli hak kami ke atasnya, dan akan membawa kepada penubuhan negara Palestin, membahayakan kedudukan negara Israel dan menghilangkan semua harapan ke arah keamanan."

Langkah Israel membina tembok Apartheid yang memisahkan penempatan-penempatan Yahudi di Baitul Maqdis Timur dan di sepanjang Tebing Barat yang bersempadan dengan Israel (sempadan wilayah yang diduduki pada tahun 1949) menghilangkan sebarang keraguan bahawa Israel akan terus menduduki Baitul Maqdis. Meskipun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice (IJC)) memutuskan bahawa tembok pemisah yang dibina oleh Israel sebagai melanggar hak-hak rakyat Palestin dan dengan itu perlu dirobohkan, Israel sebagaimana selalu dijangka menolak keputusan tersebut sebagai tidak relevan. Israel cuba berdolak-dalih dengan mendakwa tembok yang dibina sebenarnya adalah ‘pagar’ (fence) sementara dan bukannya ‘tembok’ (wall). Namun, hakikatnya tembok itu membawa implikasi pendudukan kekal Israel ke atas 43% dari wilayah Tebing Barat dan meletakkan baki 57% lagi dalam daerah-daerah yang terpisah-pisah. Untuk meyakinkan dunia tentang sikap perikemanusiaan dan belas kasihan, Israel menyediakan 41 pintu-pintu pertanian untuk rakyat Palestin mengakses ladang-ladang mereka. Hakikatnya tembok itu bukan sahaja memisahkan di antara keluarga rakyat Palestin, malah menyebabkan mereka kehilangan tanah pertanian mereka yang tidak lagi boleh diusahakan. Tembok itu memberi laluan kepada Israel untuk mengambil alih lebih banyak kawasan Arab yang dikepungnya.


Keputusan Perhimpunan Agung PBB untuk meluluskan Resolusi A/ES-10/L.18/Rev.1 pada Julai 2004 menyediakan landasan untuk mengambil tindakan ke atas Israel, berdasarkan kepada keputusan ICJ seperti berikut

"Semua negara adalah tertakluk di bawah tanggungjawab untuk tidak mengiktiraf situasi tidak sah natijah daripada pembinaan ‘tembok’ (pemisah Israel) dan tidak memberi sebarang sumbangan kewangan dan bantuan untuk mengekalkan keadaan tersebut akibat daripada pembinaan tembok sedemikian; Semua negara anggota kepada Konvensyen Geneva ke Empat Berkaitan Perlindungan kepada Orang Awam pada Waktu Peperangan bertarikh 12 Ogos 1949 tambah lagi mempunyai tanggungjawab, sementara mengakui Peraturan PBB dan undang-undang antarabangsa, untuk memastikan Israel tunduk kepada undang-undang kemanusiaan sejagat seperti yang diperuntukkan oleh Konvensyen tersebut."

Kini Israel mengenakan sekatan ekonomi menyeluruh dan mengepung Gaza dengan menutup semua laluan udara, laut dan jalan darat sejak dari tahun 2007. Kepungan ini telah menjerumuskan Gaza ke dalam krisis makanan, ubat-ubatan dan lain-lain bahan keperluan asas yang amat parah. Amerika Syarikat yang kononnya mempertahankan hak asasi manusia berdasarkan Deklarasi hak Asasi Manusia sejagat (Universal Human Rights Declaration 1948) hanya melihat sahaja tindakan biadap Israel mengenakan sekatan ekonomi ke atas gaza, bahkan melakukan serangan paling ganas ke atas gaza pada penghujung tahun 2008 dan awal tahun 2009. Serangan ganas ini telah menyebabkan 1,500 penduduk Gaza terbunuh (separuh dari mereka adalah wanita dan kanak-kanak). Tindakan mengepung Gaza sendiri adalah menyalahi Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1860 di mana 'saluran barangan keperluan dan agihannya di seluruh Gaza mestilah berlaku tanpa sebarang sekatan, dan ini termasuk makanan, bahan api dan keperluan perubatan.

Inilah sebahagian dari pelanggaran-pelanggaran undang-undang dan peraturan antarabangsa yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh Israel. Jelaslah bahawa Israel lah yang sebenarnya menjadi punca kepada konflik di Palestin dan dunia harus sedar bahawa rakyat Palestin hanya mempertahankan hak mereka yang diakui oleh badan dunia PBB. Kini adalah menjadi tanggungjawab masyarakat antarabangsa untuk membela rakyat Palestin di dalam perjuangan mereka yang sah dari sudut undang-undang dan peraturan antarabangsa.

Prof madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc