Saturday, February 13, 2010

Menyampaikan Kuliah Bicara Ad-Deen di Mesjid Negeri Shah Alam - 13 Feb 2010 (Sumbangan al-Marhum Buya HAMKA kepada perjuangan umat Islam di Nusantara)




Assalamualaikum,

Alhamdulillah, setelah sekian lama, saya kembali bersama masyarakat berkongsi sedikit ilmu dan program kuliah yang pertama setalah beberapa bulan bercuti dari operation transplant ialah kuliah Bicara Ad-deen di Masjid Negeri Shah Alam. Kuliah yang berlangsung pada pagi sabtu 13 Februari 2010 ini bertajuk 'Sumbangan Buya HAMKA kepada perjuangan umat Islam di Nusantara.'

Hadirin seperti biasa adalah para jamaah subuh masjid negeri dan sebahagian besar dari mereka adalah 'regulars'. Amat bersyukur kerana dapat bertemu kembali dengan Ust Firdaus yang mempengerusikan kuliah Bicara Ad-Deen dan para hadirin setia (spt Hj Hussein, Dato Ahmad dan Hj Tobi). Kuliah pagi tadi turut dihadiri oleh YB Yaakub Sapari, EXCO Kerajaan Negeri Selangor, yang juga merupakan sahabat lama saya.

Dalam tempoh satu jam tidak banyak yang boleh saya sampaikan, bahkan saya berlaku tidak adil jika hendak bercakap tentang sumbangan seorang ulama besar Nusantara yang begitu banyak sumbangan dan pengorbanannya terutama kepada umat Islam di belahan Nusantara ini. Untuk menampung kekangan ini maka saya mempelawa hadirin membeli dan membaca buku saya yang terbaru 'Jejak Risalah di Nusantara Jilid VI : Gerakan Islam - Penggerak Kemerdekaan Indonesia' yang saya bawa beberapa naskhah untuk jualan.

Ini adalah beberapa noktah yang sempat saya kongsikan:

1. latarbelakang HAMKA sebagai seorang yang tidak punya pendidikan formal tetapi sumbangannya terhadap ilmu pengetahun diiktiraf oleh Dunia Islam dan dianugerahkan ijazah Doktor (Honoris Causa) dari Universiti al-Azhar.

2. Zaman remajanya yang penuh pancaroba - HAMKA menyertai golongan yang disebut sebagai 'parewa' (kelompok yang sering dikaitkan dengan gejala sosial seperti hari ini - melepak dan merempit) sehingga orang kampung menganggap beliau sudah rosak meskipun anak seorang ulama. Namun ada satu tabiat HAMKA iaitu beliau tidak pernah meninggalkan solat dari usia kanak-kanaknya. Pengalaman yang dilalui oleh HAMKA pada zaman kanak-kanaknya mengandung pengajaran cukup besar dalam konteks pendidikan anak-anak remaja yang sangat mencabar pada zaman ini.

3. Lingkungan alam Danau Maninjau di mana beliau dilahir dan dibesarkan mempunyai kesan yang besar kepada pertumbuhan jiwa dan peribadi HAMKA. Bahkan Sumatera Barat telah melahirkan sebegitu ramai pemikir, sasterawan, pemimpin dan pejuang kemerdekaan Indonesia. Ini termasuklah Hj Agus Salim (The grand old man of Indonesia), Hj Abdul Muis (pemimpin SI), Mohd Hatta (pejuang kemerdekaan Indonesia, namanya sering dikaitkan bersama Bung Karno), Pak Natsir (ulama terkenal dan pemimpin Masyumi). Bahkan tokoh komunis terkenal Tan Malaka juga adalah orang Sumatera Barat. Pengajarannya lingkungan alam dan masyarakat mempunyai kesan dalam pembentukan bakat dan peribadi seseorang.

4. HAMKA adalah seorang penulis yang prolifik. Karya-karya Sasteranya seperti 'Tenggelamnya kapal Van Der Wjick'. 'Di Bawah Lindungan Kaabah', 'Merantau ke Deli', 'Keadilan Ilahi', 'Tuan Direktor', 'Di lembah Kehidupan' membawa tema-tema kehidupan seperti Cinta remaja, hubungan suami isteri tetapi membawa message-message perjuangan dan isu-isu besar seperti perjuangan menentang penjajahan, mengkritik aturan adat yang membelenggu pemikiran, menghadapi zaman revolusi dan sebagainya'. Ini amat berbeza dengan novel-novel cinta dewasa ini yang begitu popular di kalangan anak-anak remaja (khususnya perempuan) yang menghidangkan dan semata-mata mengagung-agungkan kesah cinta semata-mata tanpa ada matlamat dan ide besar yang lebih murni untuk diketengahkan.

5. Namun karya teragung al-Marhum Buya HAMKA ialah tafsir al-Azhar. Beliau mula menulis tafsir al-Azhar pada tahun 1958. Dari tahun 1962 hingga 64 beliau hanya sempat menyiapkan satu setengah juzu' sahaja. Beliau amat khuatir dalam usia yang semakin lanjut dan kesibukan mengajar di beberapa universitas di serata Indonesia dan memberi kuliah tanpa henti, apakah mungkin tafsir al-Azhar ini sempat disempurnakan. Namun berlakulah takdir Allah, pada 12 Ramadhan tahun 1964 beliau ditangkap oleh Sukarno. Beliau dituduh di bawah akta ISA (anti subversive act). Salah satu dari tuduhan tersebut ialah Buya HAMKA menyokong Tunku Abdul Rahman dalam isu konfrantasi Indonesia-Malaysia. Kesemua tuduhan ini tidak dibicarakan. Selama hampir 3 tahun Buya HAMKA mendekam dalam penjara. Dalam tempoh inilah beliau menyiapkan tafsir al-Azharnya 30 juzu' Sewaktu menziarahi jenazah Sukarno ini yang beliau ucapkan. Beliau amat yakin bahawa Allah maha pengampun akan dosa-dosa hambanya meski dosanya menimbun sehingga ke lowong langit. Adapun dosa engkau kepada ku, penfitnah aku, memisahkan aku dari keluarga ku, menyeksa aku, saksikanlah bahawa engkau telah aku maafkan'. Pengajarannya di sini amat jelas, Buya HAMKA tidak menghitung soal peribadi, tetapi satu message yang jelas dari beliau ialah jangan sekali-kali kita menganiaya seseorang dan pertahankanlah prinsip keadilan di dalam Islam. Haram hukumnya menahan seseorang tanpa bicara. Malangnya sehingga hari ini undang-undang semacam ISA di Indonesia itu masih wujud di beberapa negara Islam termasuklah di Malaysia (ISA) yang memberi kuasa kepada Menteri dalam negeri untuk menahan seseorang tanpa diberi hak untuk membela diri, diwakili oleh peguam dan dibicarakan.

5. HAMKA juga adalah seorang ahli sejarah. Uniknya Buya HAMKA berbanding ahli-ahli sejarah akademik di menara gading, di samping seorang yang ahli dalam sejarah, Buya HAMKA juga adalah seorang pelaku sejarah. Jika seorang akademia mengkaji sejarah dalam bilik-bilik penelitian dan terpisah dari peristiwa sejarah itu sendiri, HAMKA turut mewarnakan perjalanan sejarah umat Islam dengan mengambil peranan di barisan hadapan setiap kali umat Islam Indonesia berhadapan dengan peristiwa-peristiwa besar yang mencorakkan hala tuju bangsa Indonesia dan umat Islam umumnya.

6. HAMKA pernah dilantik sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia pada zaman Presiden Suharto tetapi melepaskan jawatannya pada tahun 1981 kerana menolak arahan 'Natal bersama' (umat Islam diminta untuk bersama umat Kristian merayakan hari Krismas). HAMKA telah mengeluarkan fatwa yang diedarkan kepada seluruh media cetak tentang hukum haramnya merayakan hari Krismas. Tindakan beliau tidak disenangi oleh Menteri agama. HAMKA lalu bersetuju untuk menarik surat yang beliau edarkan kepada akhbar tentang fatwa tersebut tetapi dengan tegas mengatakan fatwa itu tetap dipertahankan. Setelah itu beliau melepaskan jawatannya sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI).
Hari ini kita di Malaysia juga sedang berhadapan dengan suasana yang sama, bahkan kini kita menghadapi beberapa cabaran dari umat Kristian seperti gesaan supaya penggunaan nama Allah dibenarkan dalam penerbitan-penerbitan gereja. Di samping menguji sensitiviti umat Islam, isu ini adalah natijah dari sikap pemimpin-pemimpin yang menggadaikan prinsip Islam melalui amalan-amalan toleransi agama yang ditolak oleh syariat. Islam adalah agama yang tasammuh terhadap agama lain. Tasammuh bermaksud berlapang dada terhadap penganut agama lain dengan mengizinkan mereka melaksanakan tuntutan agama mereka tanpa sebarang gangguan dan sekatan. Namun apabila kita bersikap toleran terhadap mereka dalam soal-soal berkaitan akidah dan prinsip, maka ia memberikan satu message yang salah kepada mereka iaitu 'umat Islam sendiri tidak tegas dalam mempertahankan kesucian agama mereka'. Ini memberi ruang kepada mereka untuk mengemukakan tuntutan-tuntutan seperti yang diperjuangkan oleh IFC (Interfaith Commission). Di antara tuntutan mereka ialah 'ibu-bapa tidak berhak menentukan agama anak-anak mereka. Apabila anak-anak tersebut sudah mencapai usia 18 tahun mereka berhak menentukan agama mereka sendiri..Menterjemahkan Bible dalam bahasa Malaysia juga adalah sebahagian dari tuntutan IFC. Maka kalimah Allah adalah satu lagi tuntutan lanjutan yang terbit dari agenda IFC tersebut.

7. HAMKA juga amat tegas mempertahankan hak wanita. Beliau menolak pandangan yang mengatakan bahawa masalah masyarakat seperti gejala keruntuhan akhlak berpunca dari wanita. Beliau mengatakan pandangan ini terbit dari sisa-sisa doktrin 'the original sin' yang diimani oleh Kristian iaitu Hawalah yang menyebabkan Adam melanggar perentah Allah SWT dengan memakan buah terlarang. HAMKA tegas mengatakan kedua-duanya sama bertanggungjawab setelah diperdaya oleh syaitan dan bukan Hawa yang memperdaya Adam. Beliau juga menekankan tentang betapa perlunya institusi poligami dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Gesaan beliaulah yang telah menatijahkan beberapa garis panduan di dalam undang-undang berkaitan amalan poligami di Indonesia. Di antaranya suami mesti dipastikan mempunyai kemampuan yang munasabah untuk menanggung lebih dari seorang isteri, bersesuaian dengan kedudukan isteri-isterinya. Suami juga mesti mempunyai alasan yang diperakui sebelum mendapat kebenaran mengamalkan poligami. HAMKA sendiri merasa peritnya hidup dalam institusi poligami dan budaya kahwin-cerai di kalangan masyarakat Minangkabau yang dideritainya semasa zaman kanak-kanaknya. HAMKA juga hanya berkahwin lain setelah isteri beliau Siti Raham meninggal dunia, inipun atas desakan anak-anak.

8. HAMKA mempunyai pendekatan yang halus di dalam dakwahnya. Ini boleh dihayati dari tulisan-tulisan, kuliah dan khutbah yang disampaikan. Jika seseorang membaca buku-buku yang membicarakan persoalan tasauf dan akhlak yang ditulis oleh beliau maka ayat-ayat yang dinukil sarat dengan hikmah. Begitu juga kita akan dapati hikmah ini terkandung di dalam penulisan buku-buku roman (novel) beliau. Ungkapan berikut adalah satu contoh 'Jangan ditangisi barang yang telah hilang, tetapi syukurilah apa yang masih ada. Kelak kalau yang masih ada itu hilang, ditangisi pula...'

Demikian sekelumit dari sumbangan HAMKA yang dapat saya bentangkan dalam slot Bicara Ad-Deen kali ini. Semuga peribadi hebat ini memberi suntikan kepada kita di dalam mencorakkan perjalanan hidup kita dan menggariskan hala tuju perjuangan kita menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Dr Hafidzi MN

1 comments:

so carzy said...
This comment has been removed by a blog administrator.
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc