Assalamualaikum,
Saya sedang menulis buku Jejak Risalah di Nusantara jilid II. Tajuk yang saya sedang timbangkan ialah "Conquistidors - Gelombang Penjajahan Pertama ke atas Nusantara (kurun ke 16 - 18M). Mudah-mudahan ianya dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.
Sejarah jihad melawan Portugis dan Sepanyol du nusantara amat menakjubkan apabila dibandingkan dengan apa yang berlaku di Amerika Latin (Amerika Selatan dan Tengah) pada tempoh yang sama. Portugis dan Sepanyol meneroka dunia baru dengan merintis jalan ke timur dan barat. Ke arah barat mereka berdepan dengan bangsa-bangsa bertamaddun dan berkebudayaan tinggi yang membina empayar-empayar Aztec, Inca dan Maya. Misi yang dibawa oleh tokoh-tokoh 'conquistidors' (penakluk-penakluk) seperti Hernando Cortez, Cristopher Columbus dan Fransisco Pizarro diperkira amat sukses. Bukan sahaja tamaddun-tamaddun itu lenyap dengan hanya meninggalkan mercu-mercu tanda sejarah yang bisu pada hari ini, bahkan waris-warisnya merangkul agama Kristian dan kebudayaan Sepanyol dan Portugis, seolah-olah ia diwarisi dari nenek-moyang mereka turun temurun.
Realiti yang dihadapi oleh rakan-rakan sejawat mereka yang meneroka dunia sebelah sini amat berbeza. Nama-nama besar seperti Ferdinand Magellan, Vasco da Gama, Afonso de Albuqueque, Fransisca de Ameilda, Fransisco de Sande dan Estaban Rodrigues de Figuera. Percubaan mereka untuk merubah jatidiri umat Islam yang mereka rujuk sebagai 'moros' bukan sahaja tidak tercapai bahkan mereka menerima pukulan jihad umat Islam yang amat sengit. Meski mereka berjaya menawan sebahagian dari pusat-pusat perniagaan dan menguasai Pulau Luzon dan Visayas di Filipina, namun mereka terpaksa membayar harga yang amat tinggi bagi pencapaian tersebut. Tentangan umat Islam terutama yang dihadapi Sepanyol dari umat Islam Sulu, Maguindanao, Makasar, Brunei dan Maluku amat sengit dan wajar dirakamkan dengan tinta emas. Akhirnya apabila tempoh mereka tamat dan diganti dengan penjajah-penjajah baru dari Eropah, umat Islam kekal dengan identiti mereka. Islam terus diwarisi kepada generasi yang datang silih berganti meski nusantara terus terdedah kepada misi penjajahan barat yang juga datang silih berganti.
Maka Jejak Risalah di Nusantara Jilid II ini ditulis untuk mengabadikan rekod cemerlang umat Islam dalam mempertahankan tanah air dan akidah mereka. Ia adalah satu testimoni bahawa Islam yang kita warisi pada hari ini tidak ternilai harganya - maharnya ialah darah dan air mata.
Semuga generasi hari ini dan akan datang menginsafi hakikat ini.
(Bersama ini saya kongsikan bahagian pendahuluan kepada buku Jejak Risalah di Nusantara Jilid II)
Dr Hafidzi Mohd Noor
--------------------------------------------------------------------------------------------
Pengenalan
Jejak Risalah di Nusantara Jilid I melabuhkan tirai dengan ekspedisi Laksamana Muhammad Cheng Ho ke pulau-pulau di Laut Selatan (termasuklah Nusantara) bagi menjalin hubungan setiakawan dengan Kerajaan Cina di bawah era Dinasti Ming. Ekspedisi Cheng Ho membawa pelbagai implikasi positif terutama di dalam mewujudkan keamanan dan kemakmuran serantau. Bukan sahaja aktiviti lanun dan rompakan yang mengancam perkembangan ekonomi di Selat Melaka dapat dibendung, bahkan ancaman dari Siam yang tidak henti-henti menyerang dan cuba menguasai kerajaan-kerajaan melayu-Islam di Semenanjung Tanah Melayu dapat disekat, justeru menghormati Cina sebagai kuasa besar yang melindungi negara-negara Islam di selatan terutama kerajaan Melaka. Perkembangan ini membawa kesan yang cukup besar kepada perkembangan dakwah dan penyebaran Islam ke kawasan pendalaman dan pulau-pulau yang berselerak dari pelabuhan-pelabuhan penting di seluruh nusantara yang juga bertindak sebagai pusat pengajian Islam.
Namun perlindungan dari kerajaan Cina terhenti sekitar 1430’an apabila berlaku perubahan dasar politik Cina yang beralih dari melihat ke luar Cina dan membiayai ekspedisi luar kepada ’dasar tutup pintu’. Walaubagaimanapun, keamanan yang terhasil natijah dari hubungan setiakawan kerajaan Cina telah menyuburkan proses perkembangan dakwah Islam ke bahagian pendalaman dan pulau-pulau yang jauh dari pusat-pusat perdagangan. Menjelang akhir kurun ke 15 M, sebahagian besar dari kepulauan melayu sudah terdedah kepada proses pengislaman yang berlaku dengan penuh hikmah dan aman. Kerajaan-kerajaan Hindu yang berkuasa terutama Majapahit sendiri tidak dapat menolak arus dakwah Islam yang semakin membina momentumnya yang tersendiri.
Jika proses pengislaman ini terus berjalan tanpa sekatan maka tidak mustahil seluruh kepulauan melayu-nusantara bahkan tanah besar Asia Tenggara terdedah kepada proses pengislaman yang intensif. Adalah suatu yang amat mungkin bagi kepulauan Filipina, seluruh pulau Borneo, Papua/New Guinea dan IndoChina menjadi wilayah Islam atau mempunyai penganut Islam yang majoriti di kalangan agama-agama anutan masyarakat pribumi.
Conquistidores dan Perang Salib di Nusantara
Menjelang kurun ke 13, kerajaan-kerajaan Islam Andalus telah kehilangan sebahagian besar daripada wilayah jajahan takluknya di Semenanjung Iberia. Kemaraan tentera salib Kristian tidak dapat dibendung lagi oleh kerajaan-kerajaan kecil (at-Tawaif) Islam yang sendiri telah runtuh dari dalam akibat pergeseran-pergeseran yang tidak berkesudahan. Disaat-saat keruntuhan Empayar Islam Sepanyol, dua kedaulatan Kristian, Castille dan Arragone telah bersatu tenaga untuk seterusnya mencorakkan perjalanan sejarah Kristian Sepanyol yang gilang gemilang. Kekuatan umat Islam Sepanyol yang tersisa tidak lagi dianggap merbahaya kepada kesejahteraan peradaban dan agama Kristian. Umat Islam yang digeruni ketika menyeberangi Selat Gibraltar (Jabal Tariq) dan ketika melintasi perbatasan Pyrenees suatu waktu dulu kini terjepit dalam satu wilayah, Granada di pinggir selatan pantai Sepanyol. Kiranya Islam tidak juga diberi peluang untuk bernafas dalam satu-satunya wilayah yang diharapkan akan dapat diperturunkan kepada generasi akan datang sebagai tanda dan bukti bahawa sayap dakwahnya pernah terbang ke Eropah Barat. Pada tahun 1492, jatuhlah kerajaan Islam Granada sekaligus menutup episod 800 tahun pemerentahan Islam di Andalus.
Kristian Eropah semacam memperoleh kekuatan yang baru dari kekalahan Islam di Semenanjung Iberia. Semangat keagamaan dan kefanatikan Kristian terus membara menghidupkan dhamir dan sanubari bangsa-bangsa Eropah untuk membangkitkan semangat 'crusade' dan telah menggenapkan cita-cita `Reconquista' untuk membebaskan tanah air mereka dari kekuasaan Islam. Semangat yang sama telah membawa mereka untuk melancarkan serangan-serangan balas ke atas persada umat Islam sendiri. Ekspedisi sulung yang dilancarkan oleh Portugis pada tahun 1415 telah berjaya merebut Ceuta di pantai barat-laut Afrika Utara. Pertahanan Islam di Tangier dan Casablanca turut kecundang lalu lahirlah Empayar seberang laut Portugis yang pertama. Sepanyol tidak ketinggalan di dalam menyediakan tapak pengluasan pengaruh dan kekuasaan di Afrika Utara dengan merebut wilayah-wilayah pantai dari Melilla sehingga ke Tripoli. Tujuan mereka adalah untuk memastikan bahawa Islam terus lemah di Eropah. Walaubagaimanapun kekuatan umat Islam masih terpelihara di bawah kedaulatan Turki Uthmani di Anatolia. Kewibawaan armada Turki Uthmani yang meronda perairan Mediteranean telah menghalang cita-cita Portugis dan Sepanyol dari terus membina kekuatan di Afrika Utara.
Konflik Islam/Kristian terus melanda bumi Eropah. Kembalinya Semenanjung Iberia ke tangan Portugis dan Sepanyol tidak bermakna tamatnya cabaran dan ancaman Islam. Dari jurusan timur, satu kekuatan baru telah lahir dari musuh yang sama, iaitu kerajaan Utkmaniyah. Di bawah pimpinan Sultan Muhammad al-Fateh (Muhammad penakluk), Constantinople (Istanbul) yang terletak di selat Bosphorus akhirnya jatuh ke tangan umat Islam setelah cubaan selama 800 tahun sejak zaman Khalifah Usman bin Affan r.a. lagi. Kota kebanggaan umat Islam itu jatuhnya pada tanggal 1453M.
Kerajaan Uthmaniyah terus menguatkan kedudukannya di Eropah Timur, wilayah Albania dan Balkan. Di sebelah selatan, armada Turki telah berjaya menawan pelabuhan Otranto dan bersiap untuk memasuki Rome. Di Eropah Timur, Greek dan Hungary sudah jatuh ke dalam wilayah kekuasaan Islam. Wilayah-wilayah Islam di Asia Barat dan Afrika Utara telah mengiktiraf khilafah di Istanbul. Armada Turki semakin diperbesar untuk mengawal kepentingan perkapalan dan perdagangan Islam di Laut Mediterranean, di Lautan Hindi dan malahan di Lautan Atlantik. Zaman kemuncak segera disusuli oleh zaman kemunduran. Bersama terhakisnya kekuatan dan kewibawaan Turki sebagai kuasa militer di Eropah ialah kelahiran kuasa maritim Portugis dan Sepanyol yang kelak membuka episod baru dalam sejarah konflik Islam/Kristian. Pertembungan yang sebelumnya lebih tertumpu di dalam daerah lingkungan Mediteranean dari Timur tengah dan Asia Kecil sehingga ke Afrika Utara dan Semenanjung Iberia kini mula mengambil bentuk yang global. Seluruh dunia Islam akhirnya terseret ke dalam pertembungan dua agama samawi sekaligus membuka tirai `penerokaan' dan penjajahan ke atas wilayah umat Islam.
Penerokaan Barat ke atas Dunia Islam
Dengan berbekalkan semangat waja dan kegigihan, pelaut-pelaut Bangsa Portugis, Hispanik dan Genoese mengharung lautan dalam, menerokai kawasan-kawasan yang jauh dan asing dalam rangka melaksanakan tugas `suci' dan mencapai matlamat kenegaraan dan ekonomi. Walau apapun motif sebenar yang menggerakkan ekspedisi-ekspedisi pelayaran jarak jauh ini, yang
pasti ianya wajar untuk dikagumi. Dengan nisbah kependudukan yang kecil berbanding dengan misi yang terpikul, mereka telah berjaya menjelajah dan menerokai hampir separuh dari pusat-pusat perdagangan dunia. Dari pelabuhan-pelabuhan yang diduduki mereka telah menguasai jalan-jalan perdagangan laut, meruntuhkan hegemoni politik dan ekonomi kuasa-kuasa tempatan lalu menggantikannya dengan otoriti yang berpusat di Lisbon dan Madrid. Mereka menjelajah dan membahagi-bahagikan dunia luar sesama mereka seolah-olah seperti mengagih-agihkan harta rampasan perang dari musuh yang ditewaskan. Batu-batu `tanda' penerokaan dan penjelajahan menjadi bukti hak milik supaya tidak dipertikaikan oleh pesaing-pesaing yang sama-sama keluar memburu kekayaan. Dengan perentah dan `regimento' yang diluluskan di Portugal dan Sepanyol mereka telah membentuk satu order baru dunia di tanah-tanah jajahan mereka dari timur hingga ke barat. Kepentingan-kepentingan kuasa-kuasa Eropah kini merentasi dunia dari Tanjung Pengharapan ke Kalikat, dari Goa hingga Melaka, dari Maluku hingga Manila, dari Macao hingga Nagasaki dan dari Brazil hingga Mexico. Bermula dari kurun ke 15, barat telah muncul sebagai juara dunia. Usaha-usaha penerokaan dan penjelajahan Portugis dan Sepanyol, telah disusuli oleh `campurtangan' dan penjajahan Inggeris, Belanda dan Peranchis dan akhirnya dilanjutkan dengan dasar imperialis kuasa-kuasa besar dewasa ini.
Senario di atas memberikan satu gambaran mengenai fenomena yang telah mengalihkan perhatian kita dari pertentangan yang berlanjutan di antara Islam dan Kristian di Asia Barat menjelang kurun ke 16. Bedilan-bedilan meriam di antara armada muslim dan Kristian bukan sahaja menggegarkan pelabuhan Iskandariah, Istanbul, Otranto, Tripoli dan Casablanca tetapi juga Aden, Diu, Goa, Pasai dan Melaka. Pendeknya konflik sabil/salib yang lebih `regional' sifatnya iaitu di daerah lingkungan Mediteranean dan Timur dekat kini diperluaskan ke medan dan perbatasan daerah Teluk Farsi, Lautan Hindi dan Timur Jauh. Peralihan in sebenarnya yang telah memberikan perhitungan yang menentukan di dalam pertentangan dan pertembungan Islam dan Kristian, satu perhitungan yang akibatnya masih dideritai oleh umat Islam hingga saat ini.
Dengan mengenepikan cabaran Islam di Eropah Barat, kerajaan Portugal dan Sepanyol yang berdiri di Semenanjung Iberia dapat memberikan tumpuan kepada usaha penerokaan dan pelayaran, dua aktivitii yang menjadi semakin penting natijah dari perkembangan-perkembangan semasa di dalam dan di luar
Eropah. Faktor pendorong penting yang menggalakkan orang-orang Spanyol dan Portugis keluar menerokai dunia luar khususnya Benua Afrika dan pulau-pulau sekitaran ialah untuk menyampaikan `message Tuhan' kepada penduduk-penduduk 'biadab' diluar dari lingkungan kebudayaan Eropah serta untuk membina empayar seberang laut yang pasti mendatangkan laba kepada
pemerentahan pusat. Faktor memerangi `pengikut Muhammad' bertindak sebagai mangkin dalam mempercepat proses penerokaan dunia luar. Sementara kebolehan semulajadi orang-orang Portugis dan orang-orang Genoese yang berkhidmat bagi pihak kerajaan Sepanyol sebagai pelaut-pelaut yang unggul memberikan mereka kelebihan dalam soal pelayaran. Cita-cita penerokaan pula mendapat kerjasama penuh dari individu-individu dan pehak-pehak yang berpengaruh di dalam menyediakan kemudahan dan tajaan ekspedisi pelayaran. Nama seperti `Henry the navigator' mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai orang yang menjadikan aktiviti pelayaran untuk tujuan penerokaan, penjelajahan, penyebaran agama Kristian dan memerangi orang Islam sebagai cita-cita seumur hidup. Begitu juga Cristopher Columbus, ahli pelayaran bangsa Genoese yang menemui pulau-pulau Hindia Barat (West Indies) ditaja dan dibiayai oleh Ratu Isabella, pemimpin kerajaan Castille sendiri di dalam menjalankan ekspedisi pelayaran rentas Atlantik.
Apakah yang mencetuskan keghairahan bangsa Portugis dan Sepanyol untuk mengadakan pelayaran-pelayaran penerokaan ke dunia luar? Jawapannya memerlukan penelitian ke atas perkembangan yang berlaku di Eropah pada waktu itu. Sebelum kurun ke 16, bahagian-bahagian dunia adalah merupakan satu entiti yang terpisah di antara satu dengan lain. Sangat sedikit yang diketahui mengenai Asia khususnya Timur Jauh (yang disebut sebagai Cathay) dan benua kecil India oleh orang-orang Eropah dan begitu juga sebaliknya. Malahan Benua Amerika (Utara dan Selatan) yang kini dikenali sebagai Dunia Baru memang tidak diketahui kewujudannya sehinggalah menjelang kurun 16. Berita-berita mengenai dunia luar hanya diperolehi dari mubaligh-mubaligh Kristian dan pengembara-pengembara, yang paling terkenal di kalangan mereka ialah Marco Polo. Gambaran-gambaran mengenai keindahan, kemakmuran, kekayaan dan keganjilan dunia timur benar-benar memukau sesiapa sahaja yang mendengarnya. Hasil mahsul Dunia Timur seperti emas dan tembikar, ubat-ubatan dan rempah-ratus merupakan daya tarikan kepada orang-orang Eropah yang senantiasa memerlukan bekalan barang-barang tersebut. Barang-barang tersebut yang diperniagakan di pelabuhan Venice diperolehi dari pedagang-pedagang Arab dengan harga yang sangat tinggi. Menjelang kurun ke 15, permintaan terhadap barang-barang tersebut meningkat dengan banyaknya. Keadaan bertambah buruk apabila jalan darat untuk membawa masuk barang-barang dagangan dari Timor semakin merbahaya akibat dari aktiviti rompakan dan samun menyamun. Pungutan cukai yang tinggi oleh penguasa-penguasa tempatan meningkatkan lagi kos pengangkutan dan bekalan. Akhir sekali dan yang terpenting ialah kebangkitan kuasa militer Uthmaniah di Eropah Timor telah menutup jalan-jalan darat ke timur. Kesan-kesan inilah yang telah mendorong orang-orang Eropah untuk menemukan jalan-jalan alternatif bagi mendapatkan bekalan barang-barang dagangan dari timur khususnya rempah-rempah dan ubat-ubatan. Pilihan yang paling menarik meskipun merbahaya ialah mencari jalan laut ke timur lantas mendapatkan bekalan dagangan terus dari sumbernya sendiri. Dalam hal ini, dua bangsa pelaut Eropah, Portugis dan Sepanyol telah merintis satu usaha yang telah merevolusikan corak perhubungan dagang antarabangsa dengan menemukan jalan laut ke timur jauh. Kejayaan-kejayaan ini telah mendorong bangsa-bangsa Eropah yang lain iaitu Belanda dan Inggeris untuk menyusul pula. Usaha-usaha pelayaran inilah akhirnya menjelma menjadi ancaman ke atas kepentingan-kepentingan perdagangan umat Islam di Timur Jauh. Pertembungan dua kepentingan dan dua kebudayaan yang berdiri di atas akidah yang saling bertentangan inilah yang telah melanjutkan konflik Islam/Kristian ke rantau sebelah sini. Sungguhpun konflik ini sering dilihat dalam konteks penjajahan kuasa-kuasa Barat atas sebab-sebab ekonomi, namun semangat peperangan salib bangsa Kristian Eropahlah yang telah mempercepatkan proses tersebut seperti yang dirumus oleh Bernard Lewis di dalam bukunya ’The Muslim Discovery of Europe’
When Vasco da Gama arrived in Calicut he explained that he had come ”in search of Christians and spices.” It was a fair summary of the motives that had sent the Portuguese to Asia, as perhaps also, with appropriate adjustments, of the jihad to which, in a sense, the Portuguese voyages were a long-delayed reply. The sentiment of Christian struggle was strong among the Portuguese who sailed to the East. The great voyages of discovery were seen as a religious war, a continuation of the Crusades and of the Reconquest, and against the same enemy. In eastern waters, it was Muslim rulers – in Egypt, Turkey, Iran, and India – who were the chief opponents of the Portuguese and whose domination they ended. (Apabila Vasco da Gama tiba di Kalikat beliau mendedahkan bahawa kedatangannya ialah untuk ’mencari penganut Kristian (menyebarkan agama Kristian) dan rempah’. Ia adalah satu rumusan yang tepat bagi menggambarkan motif yang mendorong bangsa Portugis ke Asia, sebagaimana juga, dengan sedikit penyesuaian, kepada jihad yang terhadapnya, dalam konteks yang tertentu, pelayaran-pelayaran Portugis adalah merupakan jawapan yang lama tertangguh. Sentimen agama Kristian adalah kuat di kalangan bangsa Portugis yang belayar ke timur. Pelayaran-pelayaran penerokaan yang unggul ini dianggap sebagai perang agama, lanjutan kepada perang salib dan penaklukan semula Andalus (Sepanyol dan Semenanjung Iberia), dan menentang musuh yang sama. Di perairan sebelah timur, pemimpin negeri-negeri Islam – di Mesir, Turki, Iran dan India – yang merupakan penentang-penentang utama kepada Portugis yang mana penguasaan mereka ditamatkan (oleh Portugis).
Portugis menguasai lautan Hindi
Sebagaimana yang dijangkakan, penemuan jalan laut ke India, telah membawa orang-orang Eropah berhadapan sekali lagi dengan musuh tradisi yang mereka perangi berabad-abad di tanah air mereka sendiri. Kaum muslimin telah lama bertapak di pusat-pusat kuasa dan perdagangan yang menjadi idaman bangsa-bangsa Eropah semenjak mereka mengangkat sauh meninggalkan pelabuhan-pelabuhan Lisbon dan Madrid. Dakwah Islam telah mendahului mereka dalam perlumbaan menerokai dunia timur sehingga penduduk-penduduk yang mendiami pantai Afrika Timur, Teluk Parsi, Teluk Benggala, Selat Melaka, Laut Sulu sampai ke Teluk Tonkin adalah penganut-penganut agama Islam belaka. Orang-orang Sepanyol yang berhempas pulas untuk menjinakkan orang-orang `pagan' dan `biadap' menurut tafsiran mereka di Amerika Selatan akhirnya menemui diri mereka berhadap-hadapan dengan arus dakwah Islam yang deras melanda kepulauan Filipina.
Menjelang kurun ke 15, seluruh rantau yang dipinggiri oleh Lautan Hindi dari Mozambique, Mombasa dan Malindi menganjur ke Semenanjung Arab, Farsi, Benua kecil India, Nusantara dari Sumatera sehingga Mindanao dan Kepulauan Sulu dan Maluku telah berada di dalam lingkungan pengaruh dan kebudayaan agama Islam. Suku-suku bangsa yang telah sekian lama berhubungan kerana urusan niaga kini terkumpul dalam satu ikatan yang meleburkan segala batas kebudayaan dan bahasa yang memisahkan mereka. Semua jalan-jalan perdagangan laut dari Iskandariah sehingga Kepulauan Maluku menjadi hak monopoli pedagang-pedagang Islam. Inilah bentuk gambaran yang melatari dunia Timur sewaktu Vasco da Gama memulakan ekspedisinya ke India.
Sebenarnya monopoli pedagang-pedagang Islam ke atas jalan-jalan dagang di Lautan Hindi serta komoditi-komoditi utama khususnya rempah dan memberikan sumbangan yang bermakna kepada survival dan keunggulan Islam di Asia Kecil dan Anatolia. Keuntungan yang diperolehi dari penjualan barang-barang tersebut di Iskandariah, Acre, Sidon dan Tyre memberikan sokongan ekonomi kepada Khilafah Uthmaniah di Istanbul dan kerajaan Fatimiyah di Mesir. Hakikat ini amat difahami oleh pelaut-pelaut Portugis. Kehadiran mereka di Lautan Hindi bukan setakat untuk melabur dalam perniagaan rempah tetapi untuk merampas hak monopoli dan emporium pedagang-pedagang Islam di Timur Jauh. Misi tersebut secara tidak langsung akan melemahkan kedudukan Islam dan akan membantu kerajaan-kerajaan Kristian di Eropah Timur dalam menghadapi ancaman umat Islam. Sumbangan ini besar ertinya di dalam konteks peperangan salib.
Angkatan perniagaan Portugis di bawah pimpinan da Gama bertemu dengan pelbagai suku kaum yang beragama Islam di pantai timur Benua Afrika. Ternyata dalam beberapa insiden, umat Islam gagal untuk membaca niat sebenar orang-orang Portugis. Di setengah-setengah tempat angkatan da Gama telah disambut meriah oleh ketua-ketua suku kaum dan agama. Da Gama juga telah menggunakan kehebatan armada dan persenjataannya untuk memaksa beberapa komuniti dan kerajaan untuk menyatakan kesetiaan kepada Raja Portugal.
Dengan bantuan seorang `pilot' yang beragama Islam, da Gama akhirnya sampai ke Kalikat, India pada tahun 1498. Di Kalikat, da Gama telah mencuba untuk menjalin hubungan dagang dengan kerajaan Kalikat di bawah pimpinan Putera Zamorin yang beragama Hindu. Walaubagaimanapun hasrat tersebut tidak tercapai kerana pedagang- pedagang Arab yang berkepentingan di Kalikat telah berjaya meyakinkan Putera Zamorin mengenai komplotan Portugis. Pehak Portugis tidak berputus asa lalu mengirim misi kedua, kali ini di bawah pimpinan Pedro Alvares Cabral. Malangnya misi diplomasi ini telah disambut dengan tembakan meriam. Kerajaan Lisbon bertindak balas dan Armada Portugis dikejarkan ke Kalikat, sekali lagi di bawah pimpinan da Gama. Pehak Portugis segera membentuk pakatan-pakatan diplomasi dan pertahanan dengan negara-negara kota yang bermusuhan dengan Kalikat seperti Cochin dan Cinnanore. Da Gama benar-benar mempamerkan keunggulan Portugis, membedil pelabuhan Kalikat dan memusnahkan kapal-kapal Arab yang cuba memberikan penentangan.Sememangnya konflik sulung di Lautan Hindi ini merupakan provokasi yang dirancang oleh Lisbon. Tindakbalas dan penerimaan umat Islam ke atas kehadiran Kristian Portugis memberikan Lisbon cukup alasan untuk memusnahkan kepentingan perniagaan umat Islam di Timur Jauh. Malahan permusuhan tradisi yang dicetuskan oleh perkembangan-perkembangan di Lautan Hindi telah mendorong orang- orang Portugis untuk melakukan jenayah yang berat ke atas umat Islam. Vasco da Gama telah melampaui batas-batas kemanusiaan dengan membakar sebuah kapal yang sarat membawa para hujjaj yang kembali dari tanah suci berhampiran Cinnanore seperti yang dicatit dalam pelbagai buku sejarah penerokaan da Gama seperti berikut:
”... on September 29, 1502, the fleet intercepted the hajj vessel, Miri, carrying several hundred men, women and children returning from Mecca. Over the next five days, da Gama’s crew slowly and deliberately stripped the ship of its cargo and its passengers of their possessions and listened with deaf ears as the pilgrims bargained for their lives with offers of far greater booty ashore. A crew member and chronicler on that voyage, Tome’ Lopez, wrote on October 3, 1502, after the looting had stopped, events occurred which ”I will remember all the days of my life”. Da Gama ordered the ship set ablaze. The passengers, men and women alike, with little to lose, responded by attacking da Gama’s men with stones and their bare hands. The doomed muslims next rammed one of the Portuguese vessels, preventing da Gama’s men from borbarding the Miri lest they hit their own ship, and a ferocious close quarter combat ensued. All the while muslim women waved their jewellery and held their infants aloft in the hope that da Gama, observing the action through a porthole, might take pity. He did not. The only passengers spared were the children, who were removed and baptized, and of course the pilot.” (... pada 29 September, 1502, angkatan (da Gama) bertembung dengan kapal haji Miri, yang membawa beberapa ratus penumpang lelaki, wanita dan kanak-kanak yang pulang dari Mekah. Selama lima hari berikutnya, anak-anak kapal da Gama secara beransur-ansur memunggahkan muatan kapal dan merampas barang-barang milik penumpang tanpa mempedulikan rayuan jemaah haji untuk menebus nyawa mereka dengan harta mereka yang lebih berharga di daratan. Seorang anak kapal dan pencatat pelayaran tersebut, Tome’ Lopez menulis pada 3 Oktober, 1502, selepas rampokan berhenti, kejadian yang berlaku, ”tidak akan saya lupakan sepanjang hayat saya.” Da Gama memerintahkan kapal tersebut dibakar. Penumpang, baik lelaki atau wanita bertindak balas dengan menyerang orang-orang da Gama dengan batu dan tangan mereka. Mereka kemudian melanggar salah sebuah dari kapal Portugis untuk menghalang orang-orang da Gama dari menembak kapal Miri dan mengenai kapal mereka sendiri dan berlakulah pertempuran jarak dekat yang sengit. Sepanjang masa tersebut, wanita-wanita muslim menunjukkan barang kemas mereka dan menjulang bayi-bayi mereka dengan harapan da Gama, melihat perbuatan mereka dari lubang penglihatan, menunjukkan belas kasihan, beliau tidak sedikitpun mengendahkan. Penumpang yang diselamatkan ialah kanak-kanak yang dipindahkan dan dibaptis, juga termasuk pilot kapal.
Jenayah da Gama di pelabuhan Kalikat turut didokumenkan dengan terperinci. Putera Zamorin, raja Hindu yang menyebelahi umat Islam berusaha untuk meredakan keadaan dengan memujuk da Gama bahawa tindakan dia membakar kapal haji Miri dan membunuh umat Islam sudah lebih dari memadai untuk membalas perbuatan pedagang muslim yang menyerang rombongan Pedro Alvares Cabral sebelum itu. Ini menimbulkan kemarahan kepada da Gama yang bertikrar:
”Since the beginning of the world, the moors (muslim) have been the enemies of the Christians, and the Christians the moors, and they have always been at war with each other.” (Sejak dari awal kejadian, umat Islam telah menjadi musuh Kristian, dan Kristian adalah musuh kepada Islam, dan mereka telah memerangi satu sama lain sejak sekian lama).
Seterusnya da Gama melanjutkan aksi terror nya di Kalikat seperti gambaran berikut:
On November 1, he hanged dozens of muslim hostages, cut them down, and ’had their heads, hands and feet of the hanged men cut off, and put on a boat with letter, in which he said that if those men, though they were not the same as those responsible for the death of the Portuguese (at the trading post two years before)... had recieved that punishment... the authors of that treachery would await a manner of death that was even more cruel. (Pada 1 November, dia telah menggantung mati beberapa dozen tawanan muslim, kemudian menurunkan mayat mayat mereka, memotong kepala, tangan dan kaki mereka dan memunggahnya ke dalam perahu dengan sepucuk surat, di dalamnya dinyatakan jika orang-orang ini bertanggungjawab di atas kematian orang-orang Portugis (di pusat perniagaan Portugis dua tahun sebelumnya), meskipun mereka tidak terlibat, menerima hukuman yang sedemikian... orang-orang yang bertanggungjawab ke atas pengkhianatan tersebut menanti hukuman yang jauh lebih kejam.)
Apabila putera Zamorin menghantar seorang Brahmin untuk berunding dengan da Gama bagi menghentikan tindakannya, bibir dan telinganya dipotong dan diganti dengan telinga anjing.
Portugis merintis jalan ke Melaka.
Usaha-usaha Da Gama telah diteruskan oleh Afonso de Albuquerque, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umat Islam di rantau sebelah sini khususnya di Nusantara. Beliau dipilih untuk menjalankan usaha-usaha memerangi kepentingan perdagangan umat Islam di samping meneruskan dasar pengluasan empayar Portugis. Kemampuannya untuk menggarap tugas yang berat ini tidak perlu diragukan lagi berdasarkan rekod perkhidmatannya yang cemerlang semasa bertugas memerangi wilayah Islam di Afrika Utara. Albuquerque telah mengambil bahagian dalam penaklukan ke atas Arzila dan Tangier, Maghribi pada tahun 1471.
Misinya yang pertama di India pada tahun 1503 ialah untuk membangunkan pusat perniagaan Portugis yang pertama di timur jauh. Dia telah memilih Quilon. Sebuah kota turut didirikan di Cochin atas alasan untuk melindungi Cochin dari serangan Kalikat. Dasar pecah dan perentah pehak penjajah benar-benar dipraktikkan oleh Albuquerque di dalam memperdalamkan permusuhan di antara negara-negara yang bertetangga. Kemudian pada tahun 1506 beliau dihantar semula oleh kerajaan Lisbon ke India bagi menyempurnakan tugas yang lebih aggresif di dalam melumpuhkan aktiviti perkapalan dan perdagangan Arab di timur jauh. Afonso merancang untuk mengausai laut Merah bagi menghalang laluan perdagangan Arab dengan India. Termasuk di dalam strategi beliau ialah menawan Hormuz dan Aden. Dari pengkalan-pengkalan tersebut Afonso akan melancarkan serangan-serangan ke atas kawasan pinggir pantai Arab dan Parsi.
Portugis melancarkan serangan ke atas pelabuhan Kalikat pada tahun 1509 di bawah pimpinan Dom Fransisco de Almeida. Tentangan yang diberikan oleh angkatan laut Mesir dan Turki gagal untuk menyekat kemaraan Portugis. Selepas kemenangan ini Afonso telah dilantik sebagai gabenur di India menggantikan Almeida. Dengan kedudukan tersebut Afonso menggerakkan rancangannya untuk menguasai semua jalan-jalan perdagangan laut yang utama di timur jauh dengan mendirikan kubu-kubu pertahanan dan menempatkan penduduk Portugis di semua wilayah-wilayah yang ditawan. Albuquerque berpendapat bahawa selagi kekuatan Islam di India tidak dihapuskan maka selama itulah objektif Portugis tidak akan tercapai. Oleh itu langkah berikutnya ialah memusnahkan pusat kekuasaan Islam di Goa. Dengan dilengkapi dengan 23 kapal perang, Afonso melancarkan serangan ke atas Goa dengan ditentang hebat oleh pertahanan Islam. Kemenangan silih berganti di antara kedua belah pehak. Walaubagaimanapun kemenangan akhirnya berada di pehak Portugis kerana kelebihan dari segi persenjataan dan teknik peperangan. Goa secara resminya menjadi jajahan takluk Portugis pada bulan November, 1510.
Sementara itu sebagaimana yang dijangka kesemua wilayah-wilayah pinggir pantai yang dikuasai oleh raja-raja Hindu menerima kehadiran Portugis selepas kejatohan Goa. Goa dijadikan pengkalan bagi melancarkan serangan-serangan selanjutnya ke atas tempat-tempat kepentingan perdagangan umat Islam. Ini termasuklah melancarkan serangan ke atas Aden tetapi gagal dan Portugis hanya berjaya bertapak di Pulau Socotra. Hormuz hanya berjaya dikuasai oleh Portugis pada ekspedisi yang ketiga pada tahun 1512. Dari Goa, Albuquerque menjuruskan pandangannya ke timur. Agenda seterusnya ialah Melaka yang menjadi pusat perniagaan rempah di Nusantara. Peluang yang dinantikan akhirnya tiba. Provokasi yang diatur berjalan mengikut rancangan. Sauh diangkat dari Goa dan armada Portugis menyusuri selat Melaka bersama kedatangan arus barat-daya.
Kedudukan Melaka yang strategik, di tengah-tengah laluan ke benua kecil India dan ke tanah besar Tiongkok, menjadikan ia tempat pertemuan dagang antarabangsa, sehingga di kalangan saudagar Arab, Melaka lebih dikenali sebagai `Mulakat' iaitu `tempat pertemuan'. Menjelang kurun ke 15, pelabuhan Melaka semakin mashyur di Eropah sebagai pusat perniagaan rempah di timur jauh. Sebagaimana yang dijangkakan Melaka juga tidak terlepas dari senarai `penerokaan' Portugis sehingga pemerentah pusat di Lisbon mengarahkan wizurai Goa iaitu Almeida supaya mengadakan lawatan ke Melaka untuk meninjau peluang-peluang perniagaan bagi Portugis. Walaubagaimanapun lawatan Almeida terpaksa dibatalkan apabila pehak Portugis mendapat tahu mengenai satu percubaan untuk menggagalkan misi tersebut. Rancangan menghantar misi perdagangan ke Melaka diteruskan pada tahun 1508 di bawah pimpinan Diogo Lopez de Sequeira yang belayar terus dari Lisbon. Rombongan tersebut berlabuh di pelabuhan Melaka pada tahun 1509 dan disambut oleh Bendahara Sri Maharaja, Tun Mutahir. Sebagai tanda persahabatan, sebuah kalung mutiara sebutir dihadiahkan kepada Bendahara. Walaubagaimanapun saudagar-saudagar Arab dan India yang peka dengan perkembangan- perkembangan di Teluk Parsi dan di lautan Hindi merasakan kehadiran Portugis di Melaka adalah sebahagian dari perancangan mereka untuk membolot seluruh perniagaan rempah di samping melumpuhkan kepentingan perniagaan umat Islam. Atas nasihat mereka yang mulai sangsi dengan niat sebenar Portugis, Bendahara Sri Maharaja yang mewakili Sultan Mahmud Syah telah mengarahkan agar orang-orang Portugis tersebut diberkas dan ditahan untuk dibicarakan. Dua puluh orang kelasi Portugis berjaya ditangkap. Walaubagaimanapun Lopez de Sequeira bersama rombongannya berjaya meloloskan diri setelah mendapat maklumat mengenai rancangan musuh.
-----------------------------------------------------------------------------------
Rujukan:
1.Berakhirnya kerajaan Islam di Andalus yang sudah bertapak selama 800 tahun membawa bencana kemanusiaan yang tiada taranya. Spanish Inquisition iaitu pembantaian dan pembunuhan secara borong ke atas umat Islam, Yahudi, penganut Kristian Unitarian, Protestan, golongan yang dituduh sebagai ahli sihir bahkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan doktrin Kristian Trinitarian berlaku secara berleluasa dan mendapat restu Paus. Meskipun penindasan yang amat dahsyat ini berakhir dengan malapnya cahaya Islam, namun episod duka ini berakhir juga setelah lima abad dengan berkembangnya umat Islam di Andalus sesuai dengan makna Andalus dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘menjadi hijau di akhir musim panas’ dan sebagaimana yang dinukilkan oleh Ahmad Thomson pada penutup buku beliau Islam Andalusia, “Insya Allah musim panas kering yang panjang yang berlangsung selama lima abad terakhir di Eropah tengah menuju akhirnya.” Untuk maklumat terperinci tentang Spanish Inquisition sila rujuk Ahmad Thomson dan Muhammad ‘Ata’ Ur Rahim, Islam Andalusia: Sejarah Kebangkitan dan Keruntuhan, Penerbit Gaya Media Pratama, Jakarta, 2004. 356 hlm.
2. Ekspedisi Portugis dan Sepanyol di Afrika menemui kegagalan. Portugis kalah di tangan umat Islam Maghrib dalam pertempuran al Qasr al Kabir pada tahun 1578. Sepanyol juga gagal mempertahankan pengkalannya di Afrika Utara kerana kekuatan angkatan Uthmaniah di Laut Mediteranean menghalang cita-cita mereka. Menurut Bernard Lewis, the real counterblow (pukulan maut) barat ke atas timur (Islam) adalah dari penerokaan Portugis dan Sepanyol ke Asia. Lihat Bernard Lewis, The Muslim Discovery of Europe, W. W. Norton & Co., New York, London, 1982, hlm. 33.
3. Empayar Turki Uthmaniyah telah menumpukan ekspedisi ketenteraannya ke Eropah Tenggara sejak pertengahan kedua kurun ke 14. Pada tahun 1361 mereka Berjaya menawan Adrianople (hari ini Erdine, Bandar yang terletak pada bahagian barat Turki yang bersempadan dangan Greece dan Bulgaria). Pada tahun 1387 mereka menakluk Salonika (dalam Negara Greece hari ini). Mereka menewaskan bangsa Yugoslav pada tahun 1389 dalam perang Kossovo dan mengalahkan Bulgaria pada tahun 1393. Mereka juga menguasai pulau-pulau di laut Aegean dan memerangi bangsa Venetia di Semenanjung Greece. Ruj. Carlton J. H. Hayes, Eropah Moden hingga 1870, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1971, hlm.11.
4.Bernard Lewis, op. cit., hlm. 33 – 34.
5.William J. Bernstein, A Splendid Exchange: How Trade Shaped the World, Atlantic Monthly Press, 2008, hlm. 178 – 179.
6.Ibid. hlm.178.
7.Ibid., hlm. 178.
8.M. J. Akbar, The Shade Of Sword: Jihad and the Conflict between Islam and Christianity, Routledge, 2002, hlm. 119
9.Sebenarnya umat Islam memberikan tentangan yang hebat. Kerajaan Islam Mamluk di Mesir dan Turki Uthmaniyah telah mengemukakan bantahan kepada Pope di Rom dan mengancam akan memusnahkan tempat-tempat ibadat Kristian di Palestin jika Portugis tidak berhenti melakukan serangan ke atas Negara-negara Islam. Bantahan ini tidak diendahkan dan dengan itu kerajaan-kerajaan Islam ini telah berusaha untuk menghadapi kekuatan Portugis dengan angkatan lautnya. Ruj. D. J. M. Tate, The Making of Modern South East Asia. Vol 1: The European Conquest, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1977, hlm. 48. (Ini menunjukkan bahawa jihad telah dilancarkan dengan bersungguh-sungguh oleh Khilafah di Turki dan Mesir dengan apa adanya dan berjaya menggagalkan sebahagian dari objektif Portugis. Di samping itu ancaman untuk memusnahkan tempat-tempat ibadah agama Kristian di Palestin hanya sekadar untuk member tekanan politik kepada Pope sebagai ketua agama Kristian. Walaubagaimanapun ia hanyalah satu ugutan yang tidak mungkin dilaksanakan kerana ia adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam. Ini amat berbeza dengan tingkah laku Portugis dan Sepanyol yang membakar mesjid di Negara-negara umat Islam yang mereka serang seperti di Melaka, Brunei, Manila dan Kalikat. pen.). Perlu dicatatkan di sini bahawa friar bagi St Catherines Monastery di Gunung Sinai pergi ke Rom dan Lisbon untuk berunding bagi pihak umat Islam. Tetapi King Manual, raja Portugis mengatakan bahawa bangsa Portugis hanya melaksanakan tugas mereka dan tugas tersebut termasuk memusnahkan Mekah dan menghancurkan kubur Nabi palsu (Na’uzubillahi minzalik) di Madinah. Sila rujuk M. J. Akbar, op. cit., hlm.119.
10.Sebenarnya lawatan Diogo Lopez samasekali bukan untuk membina hubungan perdagangan dengan Melaka. Ia adalah sebahagian dari grand design Afonso untuk menguasai Melaka. Objektif ini amat penting kerana meskipun Portugis Berjaya menguasai Goa, pedagang-pedagang Islam di Sumatra, Benggala, Burma, Siam, Kepulauan Maluku. Jawa dan Cina masih boleh mendapatkan bekalan mereka di Melaka. Jadi adalah amat penting bagi Portugis menguasai pintu masuk ke Laut Merah (objektif ini tidak terlaksana dengan sepenuhnya) dan menyerang pusatnya di Melaka. Oleh itu menurut D. G. E. Hall, penaklukan ke atas Melaka adalah sebahagian dari perancangan strategik Portugis dan bukan kerana membalas pengkhianatan Sultan Melaka ke atas rombongan Diogo Lopez. Menurut beliau tidak syak lagi bahawa Diogo Lopez dihantar untuk mencipta suatu casus belli.(suatu tindakan untuk mewajarkan peperangan). Sila rujuk D. G. E. Hall, A History of South East Asia, St. Martin Press, New York, 1968, hlm. 240.
Wednesday, February 3, 2010
Pendahuluan buku Jejak Risalah di Nusantara jilid II - "The Conquistidors"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment