
Nantikan buku terbaru PACE yang akan dilancarkan di Pesta Buku Selangor pada 3 julai 2010 di Kompleks PKNS Syah Alam dari jam 11 - 12 t.hari
Dr Hafidzi Mohd Noor
Blog Perkongsian Keluarga
23 JUN — Apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.
Kerajaan Pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu.
Buktinya, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, yang dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri dan TNC-TNC seluruh negara, penceramah yang diundang oleh pihak polis Zamihan Mat Zain dari ILIM telah mendakwa dengan satu dakwaan yang sangat jahat iaitu YB Presidan PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, YB Dato Seri Shahidan Kassim, kami berdua dan ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan wahabi dan pengganas JI. Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah.
Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan. Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan. Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamirkan Islam yang tolerance dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami. Justeru, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini.
Bagi kami YB Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan. Beliau ialah bekas MB Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat. Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini.
Demikian Dato Seri Shahidan Kassim. Bekas MB Perlis dan kini Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Naib Presiden PERKIM, Malaysia dan akvitis berbagai kebajikan rakyat. Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Nampaknya UMNO dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu.
Adapun JIM kami tidak mempunyai yang banyak maklumat mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu. Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai.
Pihak polis perlu memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini. Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini? Polis sepatutnya menyiasat beliau ini dan hubungannya dengan mentor yang selalu dirujuk kepadanya iaitu Hasan al-Saqqaf. Hasan al-Saqqaf yang terkenal suka menyesat dan mengkafirkan sesiapa yang berbeza pandangan dengannya itu, kini terbabit dengan isu keselamatan negara Jordan.
Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan ini, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas.
Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar. Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu.
Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni.
Di samping itu, kami menyeru setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran. Dan juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit.
* Dr Juanda Jaya is Mufti Perlis, member of the National Fatwa Council and presently a visiting fellow at Oxford University
* Dr Mohd Asri Zainul Abidin is former Mufti Perlis, member of the Perlis Religious Council and USM lecturer
KUALA LUMPUR – Dr Mohd Parid bin Syeikh Ahmad mungkin tidak dikenali oleh ramai anggota masyarakat. Namun, ketika pihak media mengikuti pidato beliau pada pagi 20 Jun 2010 di Majlis Pelancaran IKRAM, di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC), Seri Kembangan, ramai melihat akan kemunculan seorang tokoh baru dalam memimpin gerakan Islam bersifat massa.
Ketika wartawan tertanya-tanya siapakah personaliti di hadapan mereka ini, tokoh ulama ini menjawab tegas dua soalan yang diulang-ulangi daripada wartawan mengenai kemampuan NGO merobah dasar negara, “Mengapa tidak, ia boleh berlaku, insya Allah.”
Baginya, selaku NGO massa yang komprehensif, IKRAM boleh menyumbang kepada pembangunan masyarakat Malaysia yang maju dan progresif. Malahan, Dr Mohd Parid, Presiden IKRAM yang baru diumumkan ini, bercakap bahasa merobah dan membuat pembaharuan.
Ketika diminta menghuraikan pembaharuan yang dimaksudkannya, beliau menjelaskan, “Agenda IKRAM adalah merobah perjalanan sejarah, perubahan realiti yang sedia ada kepada realiti penguasaan Islam, ummah menjadi ummah yang terbaik, negara menjadi negara termaju dan makmur, dunia menjadi aman dan sejahtera, tamadun Islam kembali gemilang.”
Biar apapun, beliau telah mengungkap dengan penuh bersemangat misinya sebagai Presiden di hadapan lebih 5000 orang ahli dan tetamu dalam majlis Pelancaran IKRAM. Walaupun baru ditubuhkan pada bulan Oktober 2009 yang lalu, IKRAM telah mempunyai 3500 orang ahli, telah ditubuhkan di 69 daerah dan 14 negeri di seluruh Malaysia secara sah.
Satu lagi lembaran baru telah terbuka dalam perkembangan perjalanan usaha dakwah tarbiah masyarakat untuk mengingatkan kewajipan manusia terhadap pengabdian kepada yang Maha Pencipta dan menegakkan syariat-Nya.
Menyingkap latar belakang tokoh ini, beliau adalah ahli akademik yang telah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selama 23 tahun.
Dr Mohd Parid memiliki ijazah PhD dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh dari Universiti Jordan, sarjana Siasah Al-Syariyyah dan Fiqh dari Universiti Al-Zaitunah, Tunisia dan Diploma Al-Syari’iyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau adalah juga lulusan Sarjana Muda syariah dari Institut Pengajian Tinggi Islam Kelantan Nilam Puri.
Beliau juga adalah bekas ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan merupakan anggota panel syariah Bank Negara Malaysia dan CIMB.
Ketika ditanya tentang apakah yang akan disumbangkan IKRAM kepada masyarakat Malaysia, beliau menyatakan, “IKRAM akan berusaha mengarusperdanakan Islam, memaksimumkan guna tenaga ahli ke medan dan reluang amal yang berbagai-bagai, mengangkat kewibawaan kepemimpinan IKRAM untuk memimpin ummah, membangunkan institusi-institusi masyarakat madani yang akan mengemukakan pelbagai perkhidmatan dan unjuran penyelesaian kepada masalah masyarakat, ummah dan manusia.”
Sehingga kini, IKRAM menggabungkan lima NGO termasuk yang veteran dan selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing. Mereka adalah Medical Interest Group Sdn Bhd (MIGSB), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH), Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS) dan Aqsa Syarif Berhad.
Seorang wartawan yang tertarik melihat ribuan anak muda pada hari pelancaran IKRAM bertanya Presiden siapakah mereka itu, beliau menjawab, “Mereka generasi muda yang berminat dan bersemangat untuk kerja-kerja amal dan dakwah. Kita bersyukur namun tanggungjawab yang besar adalah memimpin dan membimbing mereka bagi mencapai kegemilangan Islam.”
“Tanzim (organisasi) IKRAM dipacu oleh barisan kepemimpinan yang berwibawa dengan penuh keazaman dan basirah yang tembus menggerakkan perjuangan, memperhebat amal, memacu dakwah dan tarbiah, menyusun saf dan mengirim mereka ke medan-medan juang dengan tepat dan berkesan,” ulas beliau mengenai barisan pemimpin yang diharapkan.
“Kesemua ini menuntut kita terus mempersiapkan peribadi dan saf dengan keupayaan yang berganda dan tarbiah kerana kita akan menghadapi berbagai-bagai cabaran. Kita akan berusaha untuk berada di pusat aksi dan operasi, at the centre stage. Kita akan memasuki era penglibatan bersama masarakat, massa dan rakyat,” tegas beliau mengenai sejarah baru yang akan dilakar oleh IKRAM.
Foto-foto oleh Hisham Walat.
KUALA LUMPUR - Di hadapan lebih 5,000 orang yang terdiri daripada ahli, tetamu khas, petugas media serta para pemerhati dari dalam dan luar negara, sebuah gerakan Islam, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) telah dilancarkan pagi tadi. Majlis bersejarah tersebut berlangsung di Malaysia International Exhibition and Convention Centre, Seri Kembangan dekat sini.
Sungguhpun IKRAM nama baharu dalam dunia gerakan Islam di negara ini, ia bukanlah pertubuhan (NGO) yang baru hendak bertatih. IKRAM lahir hasil gabungan lima NGO yang selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing. NGO terbabit, Medical Interest Group Sdn Bhd (MIGSB), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) dan Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS). Aqsa Syarif Berhad yang ditubuhkan Februari lalu menjadi NGO kelima yang bernaung di bawah IKRAM.
Setakat hari pelancarannya sahaja, IKRAM telah mempunyai 69 cawangan daerah dan 14 cawangan negeri di seluruh negara, manakala bilangan ahli-ahlinya sudah menjangkau 3500 orang. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Pelancaran IKRAM telah disempurnakan oleh Presidennya, Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad.
Dalam sidang media yang diadakan seusai pelancaran tersebut, Dr Parid menjelaskan IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang komprehensif dan tidak memberikan fokus kepada bidang-bidang tertentu sahaja kerana dakwah adalah hak semua orang.
Bingkisan Islam yang hendak disampaikan oleh IKRAM adalah untuk semua manusia tanpa mengira agamanya agar lebih ramai yang dapat menerima kebaikan Islam dan sujud kepada Pencipta alam.
"Walaupun begitu, kita tetap berpegang kepada konsep bahawa tidak ada paksaan dalam beragama. Mereka yang belum bersedia menganut Islam tiada halangan untuk berdialog dan bekerjasama dengan kita dalam bidang-bidang tertentu," katanya.
Antara matlamat IKRAM yang disebut dalam perlembagaannya adalah menyebarkan Islam melalui dakwah, meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam, memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial dan menegakkan syariat Islam secara praktikal. Selain yang demikian, IKRAM bersedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam, sesuai dengan moto IKRAM, 'Ukhuwah Teras Kegemilangan'.
IKRAM menyatukan dalam satu organisasi kerja-kerja dakwah yang telah diusahakan oleh ahli-ahlinya di bawah pelbagai nama. Dengan tertubuhnya IKRAM, kegiatan-kegiatan seperti dakwah kepada yang belum Islam, pendidikan, wanita, remaja, belia, kebajikan, bantuan kemanusiaan, hak asasi manusia dan urus tadbir yang baik (good governance) akan digabung (consolidate) dan diperteguh.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, Setiausaha Agung, Haji Zaid Kamaruddin dan Ketua Wanita, Ustazah Maznah Daud. Kebanyakan media utama negara termasuk daripada akhbar berbahasa Cina turut hadir membuat liputan majlis pelancaran dan sidang media IKRAM itu.
Menjawab satu soalan, Dr Parid menerangkan bahawa IKRAM berusaha membawa konsep dakwah yang dapat diterima oleh semua pihak demi mewujudkan kefahaman serta amalan hidup yang selari dengan tuntutan massa.
"Yang penting, ia mestilah tidak terkeluar daripada landasan Islam. Kita mesti yakin Islam itu baik bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga untuk yang belum Islam," ujar lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Fiqh dan Usul Universiti Jordan, Amman ini.
Pelancaran IKRAM hari ini sekali gus melancarkan lagu rasmi pertubuhan itu yang menarik dan bersemangat. Lagu berjudul 'IKRAM' tersebut ditulis oleh Prof Dr Hatta sendiri manakala lagu dan vokalnya disampaikan oleh kumpulan SaffOne.
Sesi kedua majlis diserikan dengan Tazkirah Perdana oleh Ahli Lembaga Timbangtara IKRAM, Ustaz Alias Othman berjudul 'Bekalan di Perjalanan' dan ucapan berapi-api oleh Ustaz Hasanuddin Yunus, Pengerusi Aqsa Syarif yang turut menyertai flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Seorang pengunjung, Azhar Maluddin, 45, berkata, jumlah kehadiran yang begitu ramai pada hari ini memberi petanda yang amat baik.
"Pelancaran IKRAM yang dihadiri tidak kurang daripada 5,335 hari ini mampu memberi impak yang besar kepada ahli-ahli. Ia menunjukkan IKRAM boleh mendapatkan bantuan yang sewajarnya daripada ahli-ahlinya apabila diperlukan," katanya.
Sementara itu, gerai-gerai yang dibuka di lobi dewan, terutamanya yang menjual barangan berkaitan Palestin mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung.
Sepetang bersama ............
GAZA
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) akan menganjurkan satu perjumpaan untuk kita berbincang mengenai Gaza dan Palestin. Tumpuan adalah kepada flotilla keamanan yang membawa bantuan kemanusian untuk warga Gaza. Flotilla ini bukan sahaja telah dihalang oleh Israel, tetapi semua barang bantuan telah dirampas. Ramai sukarelawan telah dicederakan dan ada juga yang telah dibunuh. Untuk kita lebih memahami apa yang sebenar berlaku di Gaza, dua orang aktivis bantuan Gaza/Palestin telah diundang. Mereka adalah:
1) Sdr. Mohd. Nizam Mohd Awang (HALUAN) (Bekas tahanan Israel dari kapal Mavi Marmara)
2) Dr. Hafidzi M Noor (PACE and Aqsa Syarif)
Semua warga Universiti Malaya dijemput menyertai perjumpaan ini. Ianya akan diadakan:
Masa: Jumaat 18 Jun 2010 jam 3.00 ptg
Tempat: DK3, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, UM
Kenyataan barisan ulama’ seluruh dunia mengenai serangan zionis ke atas kapal yang membawa misi kemanusiaan ke GAZA
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah, Penolong orang-orang yang beriman, Yang menurunkan kehinaan ke atas orang-orang yang sombong, Yang menundukkan orang-orang yang angkuh dan ganas. Selawat Allah dan barakah-Nya ke atas Imam pembawa hidayah dan islah, Sayyidina Muhammad, juga ke atas ahli keluarganya serta semua sahabat-sahabatnya.
Sesungguhnya barisan ulamak yang menurunkan tandatangan pada kenyataan ini sangat terkejut dengan apa yang dilakukan oleh komando-komando zionis terhadap sukarelawan yang datang dari pelbagai Negara di dunia untuk memecahkan kepungan yang tidak berperi kemanusiaan ke atas Semenanjung Gaza. Para ulamak beserta majority umat mengikuti dengan penuh rasa duka dan keciwa jenayah yang sungguh kejam dilakukan zionis yang diketuai oleh askar penjajah yang telah menyebabkan puluhan nyawa yang tidak berdosa terkorban dan puluhan yang lain tercedera.
Barisan ulamak juga mengikuti dengan penuh kagum dan hormat di atas keberanian, keikhlasan serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua peserta konvoi serta kesediaan mereka untuk menghadapi sebarang tindakan jahat pihak zionis. Tidak lupa setinggi-tinggi ucapan penghargaan ke atas para syuhada’ dan mereka yang cedera, yang darah mereka mengalir demi mempertahankan orang-orang yang dizalimi dan terkepung di Gaza, kepada tawanan yang terus bertekad untuk membantu orang yang tertindas sekalipun diugut dengan berbagai-bagai ancaman oleh pihak zionis.
Justeru, barisan ulamak menyeru seluruh umat Arab, Islam dan dunia seluruhnya agar segera bertindak untuk membebaskan tawanan secepat mungkin. Dengan ini barisan ulamak mengeluarkan kenyataan yang ditujukan kepada seluruh umat sama ada rakyat atau kerajaan agar memainkan peranan masing-masing demi keselamatan para tawanan yang berada di bawah kepungan zionis, melindungi hak saudara kita di Palestin, menolong para mujahidin di bumi yang diberkati.
Serangan jahat yang dilakukan oleh zionis yang menyebabkan berlaku kematian, luka parah dan tertawannya peserta konvoi yang tidak berdosa dan tidak bersenjata yang berada di dalam kapal kebebasan yang menggabungkan peserta yang terdiri dari lebih daripada 40 buah Negara di waktu fajar hari Isnin 18 Jamadil-Akhir 1431 bersamaan 31 May 2010 memberi gambaran bahawa zionis berada dalam keadaan selamat daripada tentangan Negara Islam, kutukan Amerika dan bantahan antara bangsa terhadap keganasan dan kekejaman mereka.
Maka kami menyeru semua ilmuan umat, pertubuhan-pertubuh an, institusi-institusi , rakyat yang beragama Islam yang berbangsa Arab dan bukan Arab, bangsa-bangsa yang merdeka di seluruh dunia agar bangkit dan bergerak menentang kumpulan zionis yang jahat dan keji ini.
Sesungguhnya dengan ini kami ingin menegaskan perkara-perkara berikut:
Pertama: Sesungguhnya telah menjadi suatu hakikat, suatu reality yang terang nyata bahawa Bani Israel adalah golongan yang suka menumpahkan darah, membunuh manusia yang tidak berdosa sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya) , sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?” (Al-Baqarah: 87)
Mereka tidak pernah bertanggungjawab dan berpegang kepada janji dengan orang yang beriman. Mereka tidak berintima’ kepada agama yang dibawa oleh Nabi Allah Musa a.s. sama ada secara dekat atau jauh. Dan Nabi Allah Musa tiada kaitan dengan mereka. Mereka adalah golongan terbuang, lanun-lanun di zaman moden dan talibarut zionis antara bangsa. Semua agama tiada kena mengena dengan mereka termasuk agama Nabi Musa a.s.
Kedua: Kami menyeru kerajan Arab dan Islam agar menukar sikap mereka yang negative sehingga menampakkan lebih dekat kepada bekerjasama dengan zionis dalam serangan mereka yang berulang-ulang. Kami menyeru agar segera diadakan persidangan tergempar yang menggariskan langkah-langkah yang wajib diambil dan dilaksanakan, sama ada dari segi politik, ekonomi, media dan ketenteraan demi menyekat kebiadapan musuh zionis dari terus sombong dengan tindakan ganasnya. Perkara pertama yang wajib dilakukan ialah hentikan usaha rundingan damai sepenuhnya. Hentikan sebarang bentuk rundingan baik secara terang atau senyap dengan mereka. Gunakan segala kekuatan dan keupayaan yang ada pada umat Arab dan Islam, suburkan hubungan dengan semua Negara di dunia bagi mewujudkan tekanan yang mengesankan ke atas rejim zionis yang telah merampas Palestin dengan cara haram dan tidak sah. Langkah ini wajib diambil demi membebaskan al-Aqsa dan Palestin, menyokong perjuangan yang diterajui oleh rakyat Palestin baik secara material, moral dan media, mengukuhkan kekuatan mereka, memudahkan hubungan rasmi dan sya’bi dengan mereka. Kami juga menyeru kerajaan Mesir dan kerajaan-kerajaan Arab yang lain semuanya agar membuka sempadan Rafah dan meruntuhkan tembok kepungan ini. Mengapa kita harus menghormati perjanjian dan undang-undang antara-bangsa dengan Zionis sedangkan mereka tidak pernah mengambil peduli terhadap sebarang nilai akhlak, moral, uruf dan perjanjian antara-bangsa?
Ketiga: Kami menyeru rakyat Palestin agar segera berdamai dan bersatu. Lupakan perbezaan pandangan politik kepartian. Bersatu di atas landasan perjuangan menentang seteru yang sebenar. Kami menyeru pihak berkuasa Palestin agar berhenti sepenuhnya dari memburu mujahidin. Isytiharkan dengan segera pemberhentian rundingan damai secara total dengan musuh. Tiada lagi sebarang usaha ke arahnya baik secara langsung atau tidak langsung. Batalkan sebarang pertemuan dengan pemimpin rejim penjajah zionis. Sesungguhnya pertemuan itu tidak sejajar dengan perinsip akhlak dan undang-undang kerana mereka telah melakukan kezaliman demi kezaliman.
Keempat: Kami menyanjung tinggi dan memohon keberkatan di atas usaha murni yang dilakukan oleh rakyat Turki, pertubuhan-pertubuh an serta kerajaannya. Kami mengakui bahawa pengorbanan paling besar adalah datangnya daripada rakyat Turki. Kami menyeru umat Islam dan semua umat yang merdeka di seluruh dunia agar menghargai dan menjejaki peranan kemanusiaan Turki yang berani.
Kelima: Kami menyeru seluruh pertubuhan dan institusi hak asasi manusia dan pertubuhan-pertubuh an bukan kerajaan (NGO) di Negara Arab, Negara Islam dan semua Negara di dunia supaya bergerak dan menggerakkan seluruh rakyat dengan kadar segera untuk menentang jenayah zionis di semua peringkat dan semua lapangan, dengan menggunakan undang-undang bagi mengenakan tindakan yang tegas ke atas penjenayah perang yang telah menyerang secara terang-terangan. Mereka mesti didakwa di hadapan semua mahkamah di Eropah dan di peringkat antara-bangsa. Semua pemimpin mereka mesti diheret dan dibicarakan. Tiada seorangpun dari kalangan mereka yang boleh dilepaskan atau diberi keampunan.
Keenam: Kami menyeru media massa Arab dan Islam agar memberi sepenuh keutamaan dalam mendedahkan kejahatan rejim Zionis yang merampas bumi Palestin serta keganasan-keganasan yang mereka lakukan. Dedahkan segala usaha mereka memalsukan dokumen rasmi kedutaan beberapa buah Negara. Dedahkan identity mereka dan usir mereka dari semua Negara, dedahkan keadaan genting yang dialami oleh penduduk Gaza dan semua kawasan yang terletak di bawah jajahan mereka di Palestin dan akhir sekali penyembelihan konvoi keamanan Mavi Marmara.
Ketujuh: Berhadapan dengan ancaman musuh zionis ini, semua bangsa yang merdeka di seluruh dunia, bukan hanya penduduk Gaza sahaja, wajib menghidupkan ruh keimanan dan membangkitkan semangat juang menentang kezaliman serta menolak sebarang usaha rundingan damai dengan zionis. Jihad adalah satu-satunya jalan untuk menggerunkan penjajah itu dan membebaskan masjid al-Aqsa dan Palestin.
Oleh kerana ulamak dan para ilmuan merupakan minda yang sedar di kalangan ummah, hati yang sentiasa berdenyut dengan keinsafan, lidah yang mampu menuturkan kebenaran, melakarkan cita-cita dan harapan; mereka adalah ibarat kepala kepada badan ummah, jantung yang menentukan kesihatan perjalanannya, maka kami menyeru para ulamak dan ilmuan agar memainkan peranan memegang teraju utama dalam menyatakan kebenaran dan mendedahkan hakikat zionis yang sebenarnya sejak dahulu hingga sekarang. Ulamak dan para ilmuan mesti memainkan peranan menjelaskan kepada ummah apa yang mereka perlu sediakan untuk menghadapi zionis durjana ini, membebaskan tawanan-tawanan dan masjid al-Aqsa, membela mereka yang terluka, cedera dan terbunuh serta mengembalikan kemuliaan ummah seluruhnya.
Allahu Akbar! Kemenangan untuk Islam dan muslimin!
Ditandatangani oleh:
Dr. Sofwat Hijazi - Mesir, Dr. Muhammad Musa asy-Syarif – Saudi, Dr. Solah Sultan – Mesir, Syeikh Salim asy-Syeikhi – Libya, Syeikh Muhammad al-Amin – Bahrain, Syeikh Majd Makki – Syria, Syeikh Akram Kassab – Mesir, Dr. Hamdy Arsalan – Turki, Dr. Khalid Hanafy – Mesir, Dr. Muwaffaq Kadasah – Saudi, Dr. Sa’eid al-Ghamidy – Saudi, Dr. Abdul Ghani at-Tamimy – Palestin, al-Qadhi Muhammad Tais al-Jamily – Qatar, Dr. Saleh Sowwab – Yaman, Syeikh Hasan Qatarji – Lubnan, Dr. Muhyiddin Ghazi – India, Syeikh Muhammad al-Hasan bin ad-Dadu – Mauritania, Syeikh Wasfy ‘Asyur Abu Zaid – Mesir, Dr. Ahmad Abu Bakar Jumi – Nigeria, Dr. Abdul Hayyi Yusuf – Sudan, Dr. Abdul Wahhab ad-Dailamy – Yaman, Dr. Umar Abdul Aziz – Mesir, Syeikh Khalid Saifullah ar-Rahmany – India, Syeikh Amin al-Uthmany – India, Dr. Muhammad Abdul Maqsud – Mesir, Dr. Abdul Sattar Fathullah Sa’eid – Mesir, Dr. Yahya Ismail – Mesir, Dr. Ali as-Solaby – Libya, Dr. Ahmad ar-Risuni – Maghribi, dan ramai lagi….
Blog keluarga ini adalah medium perkongsian aktiviti-aktiviti keluarga, medan perkongsian ilmu serta hasil penulisan ahli-ahli keluarga..moga Allah memberkati keluarga kami atas usaha perkongsian yang sedikit ini dan sebaik-baik manfaat buat para pengunjung
Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc