Friday, November 19, 2010

Jaulah ke bumi Urdun siri 4 - Ma'rakat Yarmouk (the Battle of Yarmouk)

Papan tanda menuju tapak Ma'rakat (peperangan) Yarmouk.

Di sini lah Khalid Ibnu Walid berdepan dengan General Heraclius.
(kawasan yang ditandakan dengan sederet pokok itu ialah laluan Sungai
Yarmouk. Darinya terbit dua anak sungai Ruqqad dan Allan. Lembah
di antara dua anak sungai inilah yang menyaksikan pertempuran di antara
kuasa dunia ketika itu. Dalam gambar ditandakan oleh lembah
di antara dua tanah tinggi. Di hujung sebelah sana ialah tanah
tinggi Golan (Syria) yang ditawan Israel

Pandangan di sebelah kiri medan pertempuran (deretan pokok
menandakan Sungai Yarmouk di mana 80,000 tentera
Byzantin lemas dan terbunuh diburu oleh tentera muslimin). Kawasan
di hujung sebelah atas dalam gambar ini ialah Palestin
yang dijajah Israel

Gambar yang lebih jelas menunjukkan tapak pertempuran
(lembah berwarna hijau)

Sungai Yarmouk yg ditandai dgn deretan pokok zaitun

Palestin yang dirindui berada nun di seberang sana. Hatiku
merinduimu. Kali ini kami hanya mampu melihatmu
dari jauh. Semuga Allah memberi kekuatan kepada kita semua
untuk membebaskanmu satu hari nanti

Bangunan puteh dihujung sana adalah pos kawalan
tentera Israel (laknatullah)

Heraklius menerima kekalahan dan berkata
'Selamat tinggal kepada Syria untuk kali yang terakhir'

Maklumat tentang Ma'rakat Yarmouk

Anakanda Nubhan Bin Alias (pelajar dentistry Jordan Univ of
Science and Technology) memberi tazkeeran tentang peperanagn Yarmouk
dan kehebatan Khalid Ibnu Walid yang sanggup diturunkan pangkat
kemudian berjuang sebagai tentera biasa (atas arahan Umar al-Khattab kerana
tentera muslimin sudah mula terpesona dengan kehebatan Khalid sehingga
dirasakan perlu Khalid di'relieve' dari tugas Commander demi
menjaga keyakinan umat kepada Allah SWT)


Kami bergambar dengan anakanda Mawardi (kini sedang
menuntut dalam bidang Syariah di Universiti Yarmouk, Irbid)
Ayahanda dan bonda mewakafkan anak-anak untuk Islam.
Di bumi jihad Yarmouk mari kita sematkan di hati kesungguhan untuk menjulang
panji-panji deen sehingga kita dijemput Allah nanti.

Bergambar kenangan (Mawardi, umi, abi, nubhan, Irfan,
Umar Muttaqi, Syafiq dan farouk) tiada dalam gambar Hafiz (jurufoto)

Assalamualaikum,

Tempat yang pertama kami tuju dalam siri jaulah kami di Urdun ialah tempat di mana berlakunya peperangan Yarmouk. Peperangan yang berlaku pada tahun 636 M. Pertempuran ini adalah yang paling dahsyat yang pernah berlaku di antara tentera muslimin dan Empayar Rum Byzantin.

Ibnu Jarir at-Tabiri menggambarkan peperangan Yarmouk dengan ungkapan 'Tidak ada peperangan seumpama Yarmouk". Tidak syak lagi peperangan Yarmouk yang memberi pukulan maut kepada Empayar Byzantin sehingga mereka tidak bangkit lagi. Bahkan siri-siri peperangan di antara umat Islam dan kerajaan Byzantin yang diakhiri dengan pertempuran Yarmouk ini yang mengubah lanskap agama bumi Syams. Jika tidak kerana jihad yang dilancarkan di bawah kepimpinan Rasulullah SAW dan disambung oleh Sy Umar al-Khattab nescaya bumi Syams (The levant) yang terdiri dari negara Palestin (yang terjajah), Jordan, Syria dan Lubnan pada hari ini menjadi sebahagian dari dunia Kristian...

Peperangan ini jugalah peperangan yang membuka laluan kepada pembukaan Baitul Maqdis pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 637M, lima tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW. Sesungguhnya ekspidisi yang dikirim oleh Rasulullah SAW sejurus sebelum baginda wafat iaitu yang dipimpin oleh Usamah Bin Zaid RA (berusia sekitar 17 tahun menurut setengah riwayat) membuka laluan kepada pembebasan bumi Syams dan pembukaan baitul Maqdis (di mana terletaknya masjid al-Aqsa).

Tentera muslimin dipimpin oleh Khalid Ibnu Walid. Ramai sahabat-sahabat besar junjungan menjadi pemimpin-pemimpin ketumbukan termasuklah Abu Ubaydah Amir Jarrah dan Sharahabil Bin Hassan (kedua maqam sahabat ini sempat kami ziarah juga). Dalam pertempuran ini juga Ikrimah bin Abi Jahal mendapat syahid. Abu Sufyan bin Harb buta sebelah matanya kerana terkena panahan musuh.

Sebagaimana seperti semua peperangan lain bilangan kekuatan tidak seimbang. Tentera muslimin berjumlah sekitar 40,000 dan mereka menghadapi tentera Byzantin seramai 125,000 orang. Namun iman dan taqwa adalah asas kekuatan dalam perjuangan. Peperangan Yarmouk menyaksikan kemusnahan tidak tergambarkan kepada kerajaan Byzantin apabila 80,000 tenteranya terbunuh dalam peperangan ini. Walhal tentera islam yang syahid hanya sekitar 4,000. Meskipun nisbah tentera muslimin adalah 1 nisbah 3 namun kebijaksanaan dan keberanian Khalid Ibnu Walid telah berjaya menggempur kedudukan tentera Byzantin sehingga mereka terpecah kepada dua. Dalam keadaan cuba melarikan diri dan terkepung mereka terjun ke dalam Sungai Yarmouk yang berlumpur sehingga sungai merah dengan darah tentera Byzantin.

Bila kami berada di tempat berlakunya Ma'rakat Yarmouk, kami menjadi insaf. Selama ini apa yang tergambar dalam fikiran amat jauh dari realiti sebenar. Pertempuran ini berlaku bukan di tanah datar atau padang pasir yang sering digambarkan dalam filem-filem perang. Sebaliknya ia berlaku di kawasan yang 'rugged', berbatu-batu, di kelilingi bukit dan cerun yang curam. Subhanallah! Sungguh agama ini memerlukan rijal-rijal (lelaki-lelaki sejati) yang tangkas untuk membela agamanya. Ini juga memberi isyarat bahawa pendidikan hari ini wajib menekankan erti kelelakian dan keberanian.

Sebab itu Sy. Umar al-khattab pernah berpesan, "didik anak-anak lelaki kamu berenang sebelum kamu ajar mereka menulis. Sebabnya jika mereka tidak pandai menulis, ada orang yang boleh menulis untuknya, sedang jika dia tidak pandai berenang, tidak ada orang yang boleh membantunya." Pada kata-kata ini terselit satu pesanan, bahawa umat ini harus melahirkan generasi rijal yang bersedia untuk beraksi di medan demi mempertahankan Islam. Islam memerlukan pejuang dalam semua medan kerana Islam hari ini diasak juga dari segenap penjuru..

Peperangan Yarmouk berlaku pada 15 Rajab/15 Ogos dan berakhir sekitar 15 September 636M

"Ya Allah. Engkau telah memberi peluang kepada kami untuk berada di sana, menyaksikan sendiri tempat di mana berlakunya ma'rakat Yarmouk. Ya Allah, kami semakin kagum kepada sahabat yang ditarbiyah (dididik) langsung oleh Rasulullah SAW. Ya Allah, Engkau kurniakanlah sekelumit dari kehebatan mereka dalam diri kami Ya Allah, agar kami juga bersedia untuk menjulang panji-panji Deen-ul-Islam yang sedang diasak hebat oleh musuh-musuh mu. Ya Allah! Berilah kami hikmah dan kekuatan untuk kami mendidik generasi anak-anak kami agar mereka dihiasi dengan iman yang mantap, kekuatan dan keberanian untuk mengangkat kembali islam ini ke mercu kegemilangannya - sebagaimana yang Engkau janjikan ya Allah. Ameen Ya Rabbal A'lamin

Dr Hafidzi/Hjh Zuraidah

2 comments:

aRju As-SiddiQaH said...

salam'alaik.

Ameen ya rabbal 'alameen~~
Semoga pelajar2 yang belajar di Jordan lebih2 lagi mendapat hikmah yang sangat banyak hidup di bumi yang terselit padanya beribu kisah sahabat2 Rasulullah yang begitu hebat.

Syukran dr. atas perkongsiannya..dan sharing tempoh hari. Berharap untuk dr dan ustazah dapat jejakkan kaki lagi di sini ...memberi perkongsian yang lain pula pada kami. :)InsyaAllah

Wassalam

Dr Hafidzi Mohd Noor said...

Alhamdulillah
tiga hari di sana terlalu singkat untuk meraih begitu banyak manfaat dari bumi urdun - ardul anbiya.

Memang merasa amat perlu untuk jaulah lagi ke sana. Masih banyak lagi bekal-bekal iman yang boleh dibawa pulang
jzkk atas semua kebaikan dan layanan yang dicurahkan kpd kami suami isteri

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc