Friday, November 26, 2010

jaulah ke bumi Urdun siri 7 - Maqam Syuhrabil bin Abdullah

Menuju Masjid Syarhabil banyak kelihatan kebun 'purtukal'
(limau)

Latarbelakang sahabat yang bernama Syurhabil bin Abdullah RA

Ruang solat dalam masjid Syarhabil - Alhamdulillah
sempat solat sunat 2 raka'at di sini
(Setiap tempat sujud di muka bumi akan menjadi saksi
di hadapan Allah SWT - semuga ia menjadi saksi
untuk kami)


Ruang yang tenang

Bergambar di samping maqam Syurhabil bin Abdullah RA

Assalamualaikum,

Maqam ketiga yang sempat kami ziarahi ialah maqam seorang sahabat yang bernama Syurhabil bin Abdullah RA. Meskipun sahabat ini jarang disebut namanya, bahkan mungkin ramai yang pertama kali mendengarnya, namun sumbangan beliau tidak kurang besarnya kepada dakwah dan jihad. Ini juga memberi isyarat akan kurangnya perhatian yang kita berikan kepada manusia-manusia hebat yang bernama sahabat Rasulullah SAW, sedangkan mereka ini adalah ibarat bintang-bintang di langit - sekiranya kita mengambil salah seorang dari mereka sebagai panduan maka kita akan terpelihara dari fitnah dan kesesatan. Lantaran itu sangat penting bagi umat Islam membetulkan kompas mereka. Persoalan siapakah yang wajar dijadikan idola dan inspirasi dalam hidup muslim adalah persoalan besar. Tidak hairanlah media menyogokkan pelbagai ikon terutama dalam bidang hiburan dan sukan supaya umat Islam hilang arah dan dapat dipalingkan dari mengambil Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda sebagai qudwah (contoh) dan uswah.

Dalam perjalanan kami ke maqam Syurhabil kami disambut oleh kebun-kebun sayur dan kebun citrus (limau). Masjid Syurhabil terletak agak jauh ke dalam dari simpang jalan besar. Keadaannya yang sunyi memberi ketenangan jiwa kepada pengunjung-pengunjung.

Ziarah ke maqam ini memberi peluang kepada kami mengenali seorang lagi sahabat yang jumlahnya ribuan itu. Beliau menerima dakwah Rasulullah SAW semasa di Mekah lagi. Beliau adalah salah seorang dari 10 orang yang diamanahkan untuk menulis al-Quran.

Beliau juga adalah salah komandan tentera muslimin dalam siri-siri peperangan dengan empayar Byzantin di buni Syams. Terlibat dalam peperangan Yarmouk bersama Abu Ubaydah Amer al-Jarrah di bawah kepimpinan Khalid Ibn Walid RA. Beliau meninggal dunia akibat penyakit taun pada waktu yang sama meninggal dunianya Abu Ubaydah Amer Al-Jarrah.

Dalam ziarah kami ke tiga maqam sahabat ada sesuatu yang perlu di catat di sini. Maqam-maqam sahabat terpelihara dari amalan-amalan syirik dan khurafat masyarakat setempat. Ini amat berbeza dengan maqam-maqam ulama yang terdapat di nusantara dan mungkin di tempat-tempat lain. Di nusantara termasuk di Malaysia, maqam-maqam ulama serang kali dihiasi dengan kain kuning dan dilitupi dengan langit-langit. Lebih menyedihkan lagi ada setengah-setengah tempat menjadi kunjungan mereka yang 'membayar nazar' dan mengadakan upacara-upacara 'sedeqah', dan untuk memohon doa. Bukan sahaja maqam mereka dipuja dan dikeramatkan, bahkan riwayat hidup mereka turut di keramatkan sehingga bercampur di antara fakta dan khayal. Ulama-ulama wali songo adalah contoh yang ketara. Ibarat kata Al-Marhum Buya HAMKA, 'kehidupan para ulama sudah dibungkus dengan kain kuning'. Mereka digambarkan sebagai manusia-manusia sakti dan punya kelebihan-kelebihan luar biasa yang mencarek adat. Justeru menjadi kewajipan umat Islam supaya meninggalkan amalan-amalan yang jelas bertentangan dengan syarak seumpama memohon kepada kubur-kubur ulama dan 'keramat'.

Jika diukur dari sudut keimanan dan ketaqwaan siapakah yang dapat mengatasi hatta menyamai keimanan dan ketaqwaan Rasulullah SAW dan para sahabat. Sebahagian dari mereka dijanjikan masuk syurga ketika mereka masih hidup, salah seorang dari mereka ialah Abu Ubaydah Amer al-Jarrah. Lalu jika ulama-ulama dikeramatkan kerana kehebatan mereka, para sahabat lebih wajar di'keramat'kan. Namun ia bukan dari Islam dan sebenarnya merupakan sisa-sisa kepercayaan nenek-moyang sebelum kedatangan Islam iaitu 'ancestor worship' atau pemujaan 'ruh leluhur dan orang-orang penting spt Syaman (tukan ubat)'.

Ziarah kami ke maqam sahabat mengingatkan kami bahawa Islam amat memelihara kemurnian tauhid. Justeru ada larangan membina bangunan pada kubur dan maqam. Namun pada peribadi-peribadi penting seperti Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama-ulama ia adalah warisan penting Islam. Ia mengikat umat kepada sejarah sebenar mereka. Maka maqam-maqam mereka dipelihara dengan baik, dan diletakkan teduhan padanya seumpama masjid supaya bolih diziarahi oleh umat sepanjang zaman bagi mereka meraih iktibar, memupuk semangat juang terutama di zaman di mana iman dan keyakinan semakin luntur.

Hafidzi/Zuraidah

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc