Thursday, November 25, 2010

jaulah ke bumi Urdun siri 6 - Maqam Abu Ubaydah Amir Ar-Jarrah

Masjid di mana letaknya maqam Abu Ubaydah Amer Al-Jarrah




Ruang legar di tengah perkarangan masjid

Pokok limau (Purtukal) menghiasi perkarangan masjid
Juga terdapat banyak pokok selasih

Bergambar ramai di depan maqam


Kenangan di dekat Maqam Abu Ubaydah Amer Al-Jarrah

Assalamualaikum

Seorang sahabat lagi yang maqam nya kami sempat ziarahi dengan izin Allah SWT ialah Abu Ubaydah Amir Ar-Jarrah RA. Jika hendak ditulis kehebatan sahabat ini pastilah ruang yang terhad ini tidak akan mungkin mencukupi. Bahkan ruangan yang rengkas ini menzalimi sumbangan beliau yang tidak ternilai kepada umat ini.

Sebesar sumbangannya begitulah juga besarnya ujian Allah terhadap beliau. Pengalaman beliau yang pasti menghantui sesiapa jua yang berhadapan dengan keadaan tersebut ialah semasa perang Badar. Abu Ubaidah Amer Al-Jarrah terpaksa melarikan diri dari seorang musuh yang sentiasa mengejarnya. Walaupun beliau cuba untuk mengelak namun lelaki itu terus memburu dan memburu sehingga Abu Ubaydah terperangkap dan tidak dapat mengelak. Dengan hati yang rawan Abu Ubaydah lalu menetak pedang ditangannya sehingga mengenai kepala lelaki tersebut. Musuh itu terkulai dan tamatlah riwayatnya disitu juga. Orang yang mati di tangan Abu Ubaydah ialah ayahnya sendiri - Amer al-Jarrah. Abu Ubaydah tidak akan mungkin membunuh ayahnya. Tetapi ayahnya tetap memburu beliau. maka yang dibunuh oleh Abu Ubaydah ialah kekufuran yang menjelma dalam batang tubuh ayahnya yang kafir dan musyrik kepada Allah.


لَّا تَجِدُ قَوۡمً۬ا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ وَلَوۡ ڪَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٲنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَہُمۡ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ڪَتَبَ فِى قُلُوبِہِمُ ٱلۡإِيمَـٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ۬ مِّنۡهُ‌ۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا‌ۚ رَضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ حِزۡبُ ٱللَّهِ‌ۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Al-Mujadila
Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. / (22)


Itulah sahabat yang maqamnya sempat kami ziarahi dalam jaulah kami di bumi Urdun...

Siapa jua yang menyintai Rasulullah SAW, ambillah sedikit ruang untuk mengenali sahabat besar ini dengan lebih dekat lagi. Orang kata tak kenal maka tak cinta. Carilah ruang waktu dalam sela-sela masa ditengah urusan hidup yang sentiasa menyibukkan kita untuk membaca hayat sahabat. Mereka bukan orang-orang besar yang disanjung kerana harta, kedudukan dan pangkatnya. Mereka adalah orang-orang hebat yang mewakili fitrah insan yang mendapat sentuhan tarbiyah langsung dari rasulullah SAW dan mendapat celupan (sibghah) Allah SWT.

Ketika Abu Bakar RA menerima dakwah Rasulullah SAW. Pada keesokannya beliau bawa bersama 4 orang lagi menemui Rasulullah SAW mengucap syahadah dan menyatakan kesaksian terhadap Allah sebagai Rabb dan Ilah dan Rasulullah SAW sebagai hamba dan rasulNya. Salah seorang dari mereka ialah Abu Ubaidah Amer Al-Jarrah. Beliau bersama Abu Bakar dan Utsman bin Affan adalah tiga sahabat yang paling unggul dari sudut tingginya hemah dan keperibadian yang lembut.

Rasulullah SAW pernah menyebut beliau sebagai 'Aminul ummah' - orang kepercayaan umat ini. Inilah alasan yang digunakan oleh Umar al-Khattab untuk memberi bai'ah kepada Abu Ubaydah selepas wafatnya Rasulullah SAW dan seterusnya mengangkat beliau sebagai khalifah pengganti Rasulullah SAW. Sebaliknya Abu Ubaydah menolak dan memberi bai'ah kepada Abu Bakar As-siddiq dengan ujarnya apakah aku wajar menerima amanah itu sedang Abu Baqar adalah orang yang menggantikan Rasulullah SAW sebagai imam saat baginda gering?

Dalam satu insiden datanglah beberapa orang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang satu perbalahan yang perlu dileraikan. Rasulullah SAW berjanji untuk menghantar seseorang yang amanah dan adil untuk memutuskan perkara mereka. Apabila datang waktu solat Umar hadir dengan harapan orang yang dimaksudkan itu ialah beliau. Selesai memberi salam Rasulullah SAW lalu menoleh ke kiri dan ke kanan, meskipun Umar mendongak untuk mencuri perhatian Nabi, tetapi justeru Abu Ubaydah yang dicari oleh Rasulullah SAW, 'orang kepercayaan umat ini"

Abu Ubaydah dengan hikmah dan hemahnya tidak menghalang beliau untuk terjun ke medan tempur sebagai seorang rijal yang tangkas. Bahkan Abu Ubaydah mengambil posisi pemimpin dalam banyak pertempuran dengan Kerajaan Rum Byzantin. Beliaulah di antara komandan yang terlibat dalam perang Yarmouk yang dahsyat itu. Bahkan beliaulah yang dilantik sebagai komander di Syria.

Sewaktu bumi Syam dilanda wabak taun, Abu Ubaydah dipanggil oleh Umar al-Khattab untuk kembali ke Madinah. Surat Umar dijawab oleh Abu Ubaydah, apakah engkau menyuruh aku lari dari taqdir dan meninggalkan tentera muslimin di perbatasan. (menjauhkan diri dari kawasan yang dilanda wabak taun). Umar yang merasa tersentak dengan jawapan ini akur dengan keputusan Abu Ubaydah dan berkata 'kalau lah bukan Abu Ubaydah yang memberi jawapan pastilah aku akan katakan 'larilah dari satu taqdir Allah kepada satu taqdir Allah yang lain". Se olah-olah Umar terbaca bahawa sudah tiba saat akan perginya Abu Ubaydah, beliau bertanya kepada sahabat 'apakah Abu Ubaydah sudah meninggal dunia?' Maka dijawab oleh sahabat 'waktunya sudah terhampir'. Tidak lama selepas itu berangkatlah beliau menemui Tuhannya dengan penyakit taun sebagai musababnya pada tahun 640M.

Nabi SAW bersabda 'berilah salam kepada mereka (para sahabat) kerana sesungguhnya jiwaku di dalam tangan Tuhanku - Sesiapa yang memberi salam kepada mereka, pasti mereka akan menjawabnya..

Hati ini menangis mengenangnya jauh dan kotor nya hati ini berbanding manusia-manusia hebat bernama sahabat. Apakah mungkin kita menemui mereka di tempat-tempat rehat mereka di syurga Jannatun Naim. Aku teringin mendengar sendiri dari mulut-mulut mereka ketika mereka berjuang di medan dakwah, di medan jihad, di medan qital di samping Rasulullah SAW.. Dari tempat yang jauhpun jadilah, walaupun hanya mendengar suara mereka pun jadilah...kerana tempat aku hanya layak di barisan belakang... beruntungnya aku jika aku dapat berada di barisan belakang itu, jadilah Ya Allah.. jadilah Ya Allah...

Asal engkau jangan campak aku ke neraka MU.. Ya Rabbana Faghfirlana Zunubana Wakaffir Anna Sayyia tina watawafana Ma'al Abrar

Hafidzi/Zuraidah

1 comments:

zul said...

Teruskan berkongsi ilmu... ana sentiasa mengikutinya secara dekat...

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc