Friday, September 26, 2008

Dato Seri Anwar Ibrahim menyokong Konferens Annapolis - apa komen saya?

Assalalaikum,


Di bawah ini dikongsikan satu kemuskilan yang ditanyakan kepada saya tentang penglibatan Dato' Seri Anwar yang menandatangi sokongan ke atas konferens Annapolis yang ditaja oleh US di antara Palestin dan Israel pada 27 November 2007. Saya sertakan pandangan saya tentang isu ini seperti di nawah
---------------------------------------------------------------------------


Ana minta Akh Hafidzi dapat memberikan sedikit penjelasan mengenai pengelibatan DSAI dalam perjanjian Anapolis ini, betulkah hari Al-Quds disambut pada Setiap Hari Jumaat terakhir bulan Ramadan yang dicadangkan oleh Ayotollah Khomeini yang diwar-warkan oleh Faisal Tehrani, ana nampak Dia ni cuba melibatkan DSAI dengan perjanjian ini, sebelum ini pun dalam Blognya kononya gambar DSAI berada bersama dengan pemimpin Barat yang mendantangani perjanjian ini

Pandangan Dr Hafidzi Mohd Noor


JZKK kerana membawa perhatian kepada isu ini.

Pertama hari al Quds. Ini pertama kali ana mendengar hari Al Quds di sambut pada jumaat terakhir bulan Ramadhan sebagaimana saranan Imam Ayatullah Khomeini. Adapun kita menyambut hari al quds pada 21 Ogos kerana memperingati masjid al Aqsa di bakar pada tarikh tersebut dalam tahun 1969. Apapun ini bukan isu kerana al Quds sewajarnya diperingati sepanjang masa bukan hanya pada tarikh tertentu dan sempena peristiwa tertentu sehinggalah tanah suci itu kembali didapatkan oleh umat Islam.

Isu utama yang diketengahkan ialah penglibatan dan sokongan DSAI ke atas Konferens Annapolis. Sebenarnya isu ini pernah dibangkitkan dalam net ini dan ana telah memberi pandangan. Apapun sedikit ulasan tentang Konferens Annapolis dan mengapa HAMAS menolaknya. Kemudian kita lihat pula apa yang disuarakan oleh kumpulan tokoh-tokoh antarabangsa termasuk di dalamnya DSAI. Apa sokongan dan harapan mereka terhadap Konferens Annapolis.

Sokongan ke atas Konferens Annapolis spt yang diutarakan oleh Faisal Tehrani ialah berdasarkan kpd Resolusi 242, 338, Inisiatif Clinton 2000 dan juga resolusi Liga Arab. Sebenarnya ada sedikit persamaan dengan apa yang dituntut oleh HAMAS dan rakyat Palestin tetapi ada perbezaan yang fundamental. HAMAS menuntut dari Israel agar patuh kepada resolusi 242 dan 338 iaitu berundur dari Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur yang ditawan pada tahun 1967. Jika Israel bersetuju untuk berundur maka HAMAS bersedia untuk mengadakan gencatan senjata jangka panjang (hudna) yang akan membuka laluan kepada perdaiaman di antara kedua pihak. Apakah perbezaan fundamental di antara tuntutan HAMAS dan two-state solution yang diketengahkan oleh US dan disokong oleh PNA (Palestine authority di bawah Mahmud Abbas)? Two state solution juga memperuntukkan Tebing Barat dan Gaza sebagai wilayah Palestin tetapi menuntut Palestin mengakui dan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat (wilayah Palestin yang dirampas oleh Israel pada tahun 1948). Bagi HAMAS ia bersedia untuk berjiran dengan Israel tanpa mengiktirafnya kerana Israel tetap sebuah negara haram yang didirikan di atas wilayah Palestin yang dirampas secara tidak sah. Bagi HAMAS, Israel akan 'die the natural death with the weakening of the US as a superpower'. Bagaimana pula dengan Inisiatif Clinton? Clinton menawarkan 95% dari Tebing barat untuk dikembalikan kepada Palestin dengan syarat 5% dari wilayah tebing barat diserahkan kepada Israel. Kawasan 5% itu ialah Baitul Maqdis timur di mana terletaknya masjid al Aqsa. Sudah tentu ini merupakan satu perangkap yang tidak boleh diterima oleh sesiapapun. Malah Yasser Arafat (Al Marhum) juga enggan menandatangai dokumen inisiatif Clinton ini. Kata beliau 'I don't want to die like Sadat and you don't want to come to my funeral.' Resolusi Liga Arab juga mendesak agar Resolusi PBB 242, 338 dan 194 (berkaitan hak pelarian untuk pulang) dilaksanakan. Cuma Resolusi Liga Arab mempunyai fundamental flaw iaitu juga bersedia untuk mengiktiraf kewujudan negara Israel. Bagaimana pula pendirian rasmi Israel? Mereka sudah tegaskan tentang keduduakan Jerusalem (Baitul Maqdis) sebagai the undivided and eternal capital of Israel (termasuk Baitul Maqdis timur) dan juga menuntut kawasan yang bersebelahan dengan Jordan di Tebing Barat dikekalkan sebagai wilayah keselamatan Israel yang kekal. Israel juga menuntut untuk mempunyai kedualatan ke atas beberapa penempatan Yahudi di Tebing Barat. Jika diambil kira semua ini hampir 50% kawasan lagi dari wilayah Palestin yang berbaki (23%) terpaksa diserahkan pula kepada Israel. The outcome ialah 88% Israel dan 12% Palestin (dari 45% yang dicadangkan oleh Partition Plan PBB pada tahun 1947).

Saranan tokoh yang menandatangi dokumen sokongan Konferens Annapolis sebanarnya tidak ada substance kerana jika mereka melihat kepada isu ini secara terperinci mereka tidak akan dapat melihat jalan keluar untuk resolve konflik di antara Israeli occupation goals and Palestinian freedom effort.

Setelah kita jelaskan tentang Konferens Annapolis atau lebih khusus lagi sokongan yang disuarakan oleh para tokoh, persoalan seterusnya ialah kenapa DSAI turut serta menandatangai dokumen ini. Kita boleh ulas panjang tentang apakah di sebalik pendirian yang diambil oleh DSAI. Tetapi kita nak tegaskan bahawa PACE dan JIM dan juga semua kalangan umat Islam yang memperjuangkan isu Palestin menolak 'two state solution' jika ia menjejaskan status Baitul Maqdis sebagai tanah suci umat Islam dan mencabul hak rakyat Palestin yang kini terpaksa hidup sebagai pelarian. Kita juga menolak 2 state solution jika implikasinya ialah mengiktiraf Israel dan mendukong kewujudannya...

Dalam ertikata yang lain PACE dan JIM akan membuat kenyataan membantah tindakan DSAI. Gabungan NGO Islam yang prihartin isu Palestin juga akan melakukan tindakan yang serupa. Jika maklumat ini sampai ke pengetahuan kami ketika akan berlangsungnya Konferens Annapolis, boleh dipastikan PACE akan membantah dan register kritikan keras (baca berhemah) terhadap DSAI. Kita menjangkakan jika DSAI menjadi PM dan PR membentuk kerajaan dgn Daro Seri Hj Hadi Awang sebagai seorang menteri kabinetnya - beliau tetap akan menyatakan sokongan ke atas usaha 'perdamaian' tajaan US. Isunya apakah beliau punya pilihan? Dan apakah kita punya pilihan? PACE dan JIM akan terus menegakkan prinsip kami yang tegas dalam isu Palestin dan bersedia untuk melontarkan kritikan kepada Government of the day, siapapun yang menerajuinya. Tetapi atas persoalan apalah DSAI punya pilihan? Melainkan beliau ingin mengambil pendirian jalur keras seperti Iran dan menanggung risiko di letakkan sebakul dengan negara-negara 'paksi kejahatan', DSAI terpaksa mengikut pandangan umum masyarakat antarabangsa pimpinan US buat ketika ini. (Jauh disudut hati, ana yakin DSAI yang telah dididik dengan tarbiyah Islam sejak zaman pemudanya pastilah mempunyai kefahaman dan pendirian yang jelas terhadap isu pendudukan Israel ke atas Baitul Maqdis).

Ana bawa perhatian antum kepada negara Turki. Semua maklum Turki kini dipimpin oleh Presidennya Abdullah Gul dan PM Recep Tayyip Erdogan. Mereka ini cukup berhati-hati untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan rakyat dan politik Turki. Alangkan isterinya memakai tudung mengundang protes hebat dari general-general tentera Turki yang enggan memberi tabik hormat kepada pemimpin tertinggi negara. Pres Abdullah Gul tahu Turki sudah sebati dengan ideologi sekular Kamal Attaturk. Untuk mengeluarkan rakyat Turki dari menyembah ide-ide Ataturk kepada mentauhidkan Allah adalah ibarat menarik tepung dari benang. Tersilap langkah, tepung berselerak maka tamatlah agenda Islam di Turki ketika ia mempunyai harapan yang baik untuk terus subur dan berkembang. Nah! Turki punya hubungan diplomatik bahkan perjanjian pertahanan dengan Israel. Angkatan tentera Turki dan Israel mengadakan latihan bersama demi membendung penagruh Syria. Tidakkah realiti ini menyakitkan rakyat Palestin? Sudah tentu! Dan Pres Abdullah Gul dan PM Recep Yayyip Erdogan insaf tentang perkara ini. Tetapi apakah mereka mungkin merombak hubungan ini daripada 'fraternity' kepada 'hostility'? Jawapannya boleh ditanyakan kepada pendukong ide sekular Attaturk khususnya angkatan Tentera. Lantaran itu tidak pelik jika Turki juga turut merestu dan hadir dalam Konferens Annapolis. Bagaimana Turki boleh mengelak? Ia adalah negara anggota NATO dan sekutu kuat US di Asia Barat.

Kita bawa pula contoh Susilo Bambang Yudiyhono (SBY) Pres Indonesia. Indoenesia juga turut mendukong konferens Annapolis. Bezanya SBY diangkat menjadi Presiden atas sokongan bersyarat dari PKS. PKS punya mandat yang cukup besar kerana menjadi ketua MPR (Majlis Perwakilan Rakyat) yang diberi mandat untuk melantik dan menjatuhkan Presiden. PKS telah meletakkan beberapa syarat kepada SBY antaranya mendukong perjuangan rakyat Palestin. Kerana itu kita dapati apabila wakil-wakil HAMAS berkunjung ke Indonesia mereka mendapat state reception dan disambut oleh SBY. Berbeza dengan Malaysia yang tetap menyokong fraksi fatah meskipun mereka telah kalah dalam PR Palestin.

Kesimpulannya, kita tidak akan mempertahankan tindakan DSAI dan akan tetap menyatakan pendirian tegas menentang sokongan DSAI dalam isu ini. Namun DSAI mungkin kena menari mengikut rentak-rentak diplomasi tafsiran US. Adapun kita tidak tertakluk denganmya, maka kita bebas bergerak dan bersuara untuk mempertahan hak rakyat Palestin.Adapun tindakan setengah pehak mencari 'anomaly' pada DSAI pada saat ini berkemungkinan mempunyai agenda tersediri. Jangan terperangkap dengan permainan mereka. Bantahan kita terhadap DSAI dalam isu Konferens Annapolis ini sekali-kali tidak akan menyusutkan sokongan kita terhadap usaha beliau untuk membawa perubahan politik di Malaysia.

Wallahu'alam bissawab.

Dr Hafidzi Mohd Noor

2 comments:

Hanief said...

Bilalah agaknya satu dunia ini akan bersatu?

Jong said...

Dr,
Saya pernah menginap di Turki hampir dua tahun. Ketika sdr Anwar dibebaskan saya masih di sana.
Untuk makluman Dr, Parti Keadilan Turki AKP adalah parti sekular serpihan dari Parti pimpinan Erbakan. Guru spiritual AKP ialah Fethullah Gulen yang dianggap ramai pemimpin tarekat di Turki sebagai 'Islam Amerika'.
Tuntutan berjilbab tidak dapat dijadikan sandaran. Ini bermakna AKP tidak ada bezanya dengan kerajaan Islam Hadhari.
Hasil pemerhatian politik di Turki tersebut (selama dua tahun) saya sedang menulis buku yang masih dalam pembikinan dan ada bab tentang ini.
Hanya jauhari mengenal manikam.
Wassalam

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc