Thursday, September 11, 2008

Tazkeerah Ramadhan dan isu Palestin - 11 Sept 2008

Sedamg menyampaikan tazkeerah
di klinik kanak-kanak (dilatari oleh dinding yang ceria..)

Suasana ketika menjelang berbuka

Assalamualaikum,

Hospital An-nuur, Bdr Baru Bangi telah menjemput saya untuk memberi tazkeerah ramadhan pada hari Khamis 11 Sept 2008 menjelang waktu berbuka puasa. Ini adalah jemputan tazkeerah yang kedua yang diterima dari Hospital An nuur dalam bulan Ramadhan ini. Jemputan kali pertama ialah sempena Ihya Ramadhan, sehari sebelum jatuhnya bulan Ramadhan.

Tuan rumah telah meminta saya untuk menyentuh tentang isu Palestin. Sesuai dengan suasana tuntutan ibadah puasa maka saya kaitkan hubungan takwa yang menjadi matlamat ibadah puasa dengan tuntutan memelihara ukhuwah Islam. Saya petik ayat-ayat al Quran dari surah al Imran ayat 133 yang bermaksud "Bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan syurgaNya yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertaqwa. Iaitu mereka yang membelanjakan harta mereka di kala lapang dan sempit, yang menahan kemarahan mereka dan memaafkan manusia, sesungguhnya Allah menyukai orang yang menyucikan diri mereka. Iaitu mereka yang apabila melakukan kejahatan atau menzalimi diri mereka, lantas mereka ingat kepada Allah lalu bertaubat kepadaNya dan siapakah yang mengampunkan dosa selain dari Allah, dan mereka tidak berterusan dalam keadaan maksiat sedang mereka mengetahui".

Saya tegaskan Islam bukan agama 'lip service'. Islam adalah agama yang 'ada substance'. Istilah-istilah seperti iman, taqwa dan terminolgi-terminologi Islam yang lain menuntut kepada pengisian makna. Ia bukan sekadar bahan pertuturan kosong dan 'empty claims'. Jadi apabila seseorang itu diseru untuk bertaqwa ia wajib disokong dengan sejumlah perbutan. Ia menuntut penghayatan, bukan sekadar peringatan mingguan yang didengar saban minggu setiap khutbah jumaat tanpa mencetuskan sebarang kesadaran.

Ayat 133 dari Surah al Imran ini menjelaskan bahawa salah satu dari ciri orang yang bertaqwa ialah mereka yang infaq (membelanjakan harta) dalam keadaan kecukupan ataupun tidak. Ini disusuli pula dengan menahan marah dan bersikap pemaaf. Ayat ini menununjukkan salah satu dari pokok menifestasi taqwa ialah berkaitan dengan hubungan sesama insan. Sebelum Allah menyebut tentang hubungan insan dengan Tuhannya sebagaimana yang tergambar dalam ayat berikut iaitu mereka yang ingat akan Tuhannya ketika melakukan dosa, lantas bertaubat dan tidak berterusan melakukan dosa, Allah ketengahkan aspek hubungan sesama insan. Kesemua himpunan ciri-ciri mengeluarkan harta, menahan maraf dan bersikap pemaaf adalah berkaitan hak seorang hamba Allah ke atas sesama hamba Allah.

Ini menunjukkan bahawa menjaga persaudaraan adalah ciri orang yang bertaqwa. Sekaligus membawa kita merenung sejauh manakah kita telah memenuhi tuntutan persaudaraan di dalam Islam demi mencapai darjat taqwa melalui ibadah puasa. Mari kita membuat sedikit refleksi tentang kepekaan kita terhadap saudara-saudara seigama. Jangan kita persempitkan makna persaudaraan ini kepada mereka yang berada di dalam capaian dan lingkungan kehidupan kita sehari-hari. Islam adalah satu agama yang tidak pernah meletakkan sebarang had sempadan dan perbatasan dalam persaudaraan. sesiapa jua yang mengucap kalimah syahadah walaupun ia berada di ceruk dunia mana sekalipun umat Islam wajib membela, mengambil berat dan mempertahankannya apabila ia teraniaya, dizalimi oleh musuh-musuh mereka. 

Dalam konteks hari ini, ramai umat Islam ditindas di merata-rata tempat. Kita tidak pernah sunyi dari mendengar berita umat Islam menjadi mangsa dasar negara-negara tempat mereka bernaung yang menindas. Terkini 400,000 umat Islam di Mindanao terdedah kepada serangan tentera kerajaan Filipina yang tidak pernah berhenti melakukan pelbagai bentuk penindasan sejak dari tahun 1945. Ini juga membawa kesedaran kita ke atas apa yang berlaku di Palestin terutama di Gaza yang berada dalam kepungan Israel semenjak tahun 2006 lagi. Pelbagai penderitaan ditanggung oleh rakyat Palestin. Tragedi yang berlaku di Gaza menimbulkan dua persoalan besar kepada umat Islam. Persoalan pertama kenapa rakyat Palestin sanggup berhadapan dengan situasi yang begitu getir bahkan sanggup untuk berhadapan dengan risiko kebuluran dan kematian. Mereka lalui semua ini kerana tidak mahu tunduk kepada tekanan antarabangsa yang diterajui oleh Amerika dan Israel. Mereka dikepung kerana tidak mahu tunduk kepada ugutan Amerika iaitu 'iktiraf Israei', 'berdamai dengan Israel' dan 'menghgentikan penentangan ke atas Israel'. Orang boleh sahaja berhujah apalah salah rakyat Palestin tunduk kepada syarat-syarat itu asalkan mereka dibebaskan dari kepungan Israel dan boleh hidup seperti rakyat negara lain dalam situasi yang normal. Mereka yang hairan dengan ketegasan rakyat Palestin seharusnya sedar sekira mereka tunduk kepada ugutan-ugutan tersebut maka implikasi hujungnya ialah masjid al Aqsa akan dirobohkan dan tanah suci umat Islam yang ketiga akan tergadai di tangan zionis Israel buat selamanya!

Ini juga membawa kita kepada persoalan berikutnya, di manakah umat Islam yang wajib berdiri teguh di samping rakyat Palestin diketika mereka bersendirian mempertahan dan bersabung nyawa untuk membela Baitul Maqdis dan masjid al Aqsa yang menjadi tanggungjawan seluruh umat Islam? Di manakah jiran-jiran negara Palestin yang kaya raya dan seluruh dunia Islam ketika rakyat Palestin dibiarkan mempertahankan diri, keluarga dan masjid al Aqsa tanpa senjata? Inilah di antara persoalan yang wajib mendapat perhatian seluruh umat Islam dalam mencapai darjat taqwa di bulan Ramadhan ini. 

Sekali lagi saya tutup tazkeerah yang sederhana panjang ini kerana menghormati waktu untuk berbuka dengan pesan dari Syeikh Abu Baqar al Awawida ketika bertemu beliau di Jakarta. Beliau menasihatkan umat Islam dengan tiga perkara. 1. Bertaqwalah kepada Allah. 2. Berjalanlah di atas jalan orang-orang yang ikhlas. 3. Anda semua akan dibangkitkan di hari akhirat dan akan ditanya apa yang telah engkau lakukan untuk masjid al Aqsa.

Terima kaseh keatas pihak pengurusan hospital An-Nuur, khususnya Dr Ikram, Kak Radziah, Kak Sham, para doktor dan kakitangan yang sudi menjemput dan mendengar tazkeeran yang tidak sepertinya ini. Semuga Allah terima ini sebagai amalan soleh dan pahala jihad membebaskan al Aqsa

Dr Hafidzi Mohd Noor 

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc