Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Ilahi, Maha Besar Allah Maha pemberi kurnia, dengan segala cabaran dan rintangan akhirnya manuskrip Jejak Risalah di Nusantara Jilid VI : Gerakan Islam - Penggerak Kemerdekaan Indonesia dapat disempurnakan pada pagi 1 Shawal 1430 Hijrah di saat takbir sedang berkumandang dan kami sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat Eid-Fitr. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd..
Bersama ini dimuatkan pendahuluan, isi kandungan dan juga tribute untuk ayahanda Tn Hj Mohd Noor Hashim di akhir penulisan - dari mana minat terhadap sejarah Islam di nusantara dalam diri mula berputik pada zaman remaja.
----------------------------------------------------------------------------------------
Pendahuluan
Syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan inayahNya. Selawat dan salam kepada junjungan Rasulullah SAW yang menjadi contoh kepada semua umat Islam yang berjalan di atas sunnah baginda yang mulia.
Buku Jejak Risalah di Nusantara Jilid VI ini sebenarnya adalah pecahan dari Jilid V dengan jodol asal ‘Dari Perang Aceh ke perang Revolusi (1873 – 1950)’. Atas pandangan teman-teman, ia dipecahkan menjadi dua jilid iaitu jilid V dengan judul ‘Perang Aceh (1873 – 1912) dan peranan Snouck Hurgronje’; dan Jilid VI yang diberi jodol ‘Gerakan Islam – Penggerak Kemerdekaan Indonesia’. Pemecahan ini dilihat wajar kerana Jilid V meliputi perjuangan bersenjata umat Islam menentang penjajahan yang paling sengit di Aceh dan beberapa bahagian lain dari Pulau Sumatera dan Jawa seperti daerah Tapanuli, tanah Batak, Minangkabau dan Banten. Jilid VI pula memaparkan respon umat Islam kepada penjajahan Belanda sejak awal kurun ke 20 M dalam bentuk gerakan sosial, pendidikan dan politik yang tersusun. Kemajuan dalam aspek intelektual dan pemikiran hasil dari transformasi pendidikan dan budaya berfikir telah mencetuskan satu kebangkitan yang melampaui garis-garis sempadan suku dan wilayah. Transformasi dan kebangkitan ini hanya mampu dicetuskan oleh faktor Islam seperti yang dibuktikan oleh Serikat Islam (SI).
Semua perancangan penjajah Belanda untuk melenyapkan pengaruh Islam dari masyarakat Indonesia bukan sahaja gagal, bahkan menatijahkan satu reaksi balas yang tidak mungkin dapat dibendung. Pendekatan ilmiah dengan menonjolkan adat budaya warisan pra-Islam dengan tujuan untuk memisahkan rakyat pribumi di dalam lingkungan sempit wilayah dan suku bangsa tidak dapat merungkai kesejagatan Islam yang telah lama menyatukan penduduk di nusantara sejak awal lagi. Justeru apabila SI membuat seruan persatuan di atas dasar Islam, seluruh umat di nusantara dari Maluku dan Bali di sebelah timur sehingga Aceh dan Mandailing di sebelah barat menyahutnya. Tercetuslah satu gelombang besar sehingga SI tercatat di dalam sejarah sebagai wadah sulong rakyat Indonesia yang menuntut self bestuur atau kemerdekaan. Ia menjadi wadah pertama yang menterjemahkan semangat kebangsaan Indonesia dalam bentuk sebuah gerakan nasional. Hakikat sejarah ini tidak dapat dimungkiri oleh siapapun terutama mereka yang cenderung kepada gerakan nasionalis-sekular yang muncul di pentas sejarah pada waktu yang terkemudian dan mengambil masa yang lebih lama lagi untuk berubah dari wadah yang bersifat Java ethnocentrism kepada bersifat nasional yang merangkul aspirasi perjuangan semua suku bangsa Indonesia.
Seterusnya langkah penjajah Belanda untuk mengujudkan satu kelompok intelligentsia di kalangan anak bangsa Indonesia yang berkiblat kepada barat supaya menjadi perantara dengan rakyat terbanyak juga menatijahkan kesan sebaliknya. Memang ada anak bangsa yang melalui sistem pendidikan penjajah yang hilang jatidiri lalu merangkul dengan erat program untuk meleburkan identiti bangsa ke dalam acuan barat yang dianggap maju dan progresif. Tetapi sebahagian besar dari keluaran sekolah tinggi Belanda seperti OSVIA dan STOVIA semakin dekat kepada sejarah tanah airnya sendiri dan mendalami Islam dengan menggunakan bahasa Belanda sebagai bahasa pengantar! Di masa yang sama para ulama pula terdedah kepada ide-ide segar pembaharuan dunia Islam yang bertiup kencang pada penghujung kurun ke 19 dan awal kurun 20. Lahirlah tokoh-tokoh ulama yang progresif yang muncul di tengah masyarakat untuk mengeluarkan umat dari kebodohan, kemismikan dan kejumudan. Usaha dari kalangan intelligentsia dan ulama progresif melahirkan sistem pendidikan yang menggabungkan tsaqafah Islam dan ilmu Sains barat untuk membangunkan minda anak bangsa.
Jilid VI ini dihidangkan kepada pembaca supaya wujud satu penghayatan dan keinsafan bahawa sebagaimana sengit dan peritnya perjuangan di medan tempur, begitulah sengitnya perjuangan di medan pendidikan, sosial dan siasah. Medan-medan ini telah melahirkan pahlawannya yang tersendiri dari kalangan pemikir, pejuang dan pemimpin yang tidak kurang hebatnya dengan nama-nama besar para pejuang mujahid yang dibicarakan dalam jilid-jilid yang terdahulu. Sebagaimana yang digariskan di dalam jilid V dan buku siri Jejak Risalah di nusantara secara keseluruhan, buku ini hadir sebagai rujukan kepada pendukong-pendukong Islam di Malaysia. Perjalanan sejarah yang dilalui oleh negara bangsa Malaysia dan Indonesia telah memisahkan sejarah kedua negara ini di dalam kotak-kotak yang ekslusif sehingga menyukarkan usaha mengapresiatif perjalanan sejarah negara jiran. Kedua negara bangsa ini dijajah oleh dua kuasa barat Inggeris dan Belanda yang mungkin mempunyai pendekatan yang sedikit berbeza di dalam menghadapi penduduk tanah jajahan mereka. Namun dasar mereka di dalam menghadapi tentangan dan kebangkitan umat Islam tetap sama. Dasar-dasar inilah yang ingin diketengahkan untuk membina satu kefahaman yang baik di kalangan pekerja-pekerja Islam di nusantara ini khususnya di Malaysia.
Besarlah harapan penulis jilid VI ini memperkaya khazanah sejarah umat Islam di nusantara khususnya dan di seluruh dunia Islam umumnya..
Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Bandar Baru Bangi
1 Syawal 1430 H/19 September 2009
------------------------------------------------------------------------------
Kandungan buku
Pendahuluan
1. Kebangkitan Islam moden menjelang abad 20.
2. Memisahkan Islam sebagai ‘agama’ dan doktrin politik.
3. Ibu Kartini dan al Quran.
4. Hj. Omar Said Cokrominato dan SI
5. Politik Asosiasi.
6. Pendidikan – mencetus kebangkitan umat.
7. Kiyai Hj. Ahmad Dahlan – Pendiri Muhammadiyah.
8. Pemberontakan tjuke (cukai) di Pulau Jawa.
9. Konflik pribumi-etnik cina di Pulau Jawa: apa punca dan siapa dalangnya?
10.Tareqat dan jihad di Nusantara.
11. Penyusupan fahaman Komunis dalam gerakan Islam.
12. K. H. Mas Mansur.
13. HAMKA – ulama dan pujangga Nusantara.
Penutup
Buku Jejak Risalah di Nusantara Jilid VI ini ditangguhkan setakat ini. Beberapa tajuk yang asalnya dirancang untuk dimuatkan di dalam jilid VI dikeluarkan kerana ia memerlukan ruang penulisan yang banyak. Penulis merasakan lebih wajar jika tokoh-tokoh pejuang Islam yang terlibat memperoleh kemerdekaan Republik Indonesia dan proses mempertahankannya dihuraikan dalam jilid yang berasingan dan tersendiri. Dengan izin Allah, nama-nama pejuang dan tokoh-tokoh politik Islam seperti Pak Natsir dan Hj. Agus Salim akan dipaparkan dalam jilid tersebut. Tempoh lima tahun di antara 1945 sehingga 1950 adalah fasa Indonesia melalui Revolusi yang menyaksikan peranan ulama dan gerakan Islam berjuang berhadapan dengan Imperialis Belanda yang cuba kembali dan menangani golongan sekular-nasionalis yang turut berjuang mencorakkan negara Kesatuan Republik Indonesia.
Jilid yang akan menyusul selepas Jilid VI akan memberi tumpuan kepada kebangkitan umat Islam di Tanah Melayu. Perjuangan menentang penjajahan Inggeris seperti di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan pada kurun ke 19 dan 20 akan diulas secara terperinci dan dinilai semula menurut kaca mata Islam dan kebenaran sejarah. Jilid seterusnya akan mengulas pula perjuangan yang dipelopori oleh gerakan Islam di Tanah Melayu yang bergerak di bidang pendidikan, sosial dan politik sehingga mencetuskan gelombang untuk menuntut kemerdekaan dari British. Semuga Allah memberi kekuatan dan kesempatan untuk penulis melengkapkan penulisan sejarah perjuangan umat Islam di nusantara. Ameen Ya Rabb.
Penulis ketika berusia setahun dalam dukungan ayahanda (c. 1963)
Tribut pada ayahanda
Semenjak kecil aku perhatikan abah sering membeli buku-buku tulisan HAMKA. Setiap kali ke Singapura ada sebuah kedai buku Pustaka Nasional di Arab Street yang akan disinggahinya. Pastinya abah akan membeli sebuah dua naskhah buku khususnya yang ditulis oleh ulama-ulama Indonesia.
Ketika umur awal remaja, buku-buku ini menjadi bahan bacaan ku di waktu lapang. Di antara buku abah yang sempat aku baca dari awal hingga akhir ialah Tasauf Moderen, Pandangan Hidup Muslim, Lembaga Budi, Di bawah Lindungan Kaabah dan Bohong di Dunia. Secara beransur-ansur aku mulai tertarik dengan isi kandungan buku-buku tersebut dan penulisnya terutama Bapak HAMKA yang halus bahasanya dan tinggi filsafatnya. Itulah permulaan dan berputiknya minat yang mendalam terhadap sastera dan sejarah Islam. Apabila berada di Universiti dan terlibat dengan usaha-usaha dakwah dan pengislahan di kalangan pelajar minat terhadap sejarah Islam itu terus berkembang subur. Alhamdulillah sejak umur 30’an sehingga kini menghampiri umur 50 tahun, minat tersebut menjurus kepada keinginan untuk memperdalam penguasaan terhadap sejarah Islam di nusantara. Semuanya bermula dengan minat yang dipupuk oleh abah melalui buku-bukunya. Semuga Allah mengurniakan ganjaran yang terbaik kepada abah dan arwah emak yang mendidik aku dan anak- anak mereka sehingga kini. Hanya Allah lah yang dapat membalas jasa dan pengorbanan mereka.
Dr Hafidzi Mohd Noor
Penulis Siri-siri Jejak Risalah di NusantaraSudah Terbit (jilid 1)
Dalam Proses penerbitan (Jilid V dan VI)
Dalam Proses penulisan (Jilid II)
0 comments:
Post a Comment