Tuesday, September 29, 2009

Sila dapatkan buku Lambaian Kaabah bagi dhuyuf-ar-rahman

Assalamualaikum,

Kini tiba lagi musim haji. Kepada bakal dhuyuf ar-Rahman sila dapatkan buku berjudul 'Lambaian Kaabah' hasil catatan pengembaraan spiritual kami suami isteri semasa mengerjakan haji pada tahun 1995.

Lambaian Kaabah
Penulis : Hafidzi Mohd Noor & Zuraidah Kornain
Penerbit : JIM Media
ISBN : 983-978-235-5
Harga : RM10.00

Untuk tempahan sila Tel 03-41089669/Faks 03-41071754
E-mail: ibupejabat@po.jaring.my
Laman Web: www.jim.org.my

Alamat
JIMedia
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Lot 300.2, Lorong Selangor
Pusat Bandar Melawati
53100 Kuala Lumpur
Malaysia

Sinopsis

Apa yang kami ketahui dari sirah Rasulullah s.a.w. akan cuba dihayati apabila berada di Tanah Suci dan di tempat-tempat jejak Rasul dalam menyampaikan dakwah Islam serta jihad yang dilaksanakan. Ini adalah satu aspek yang perlu diberi penekanan apabila seseorang itu melakukan ibadah haji supaya mereka bukan sahaja menyempurnakan manasik haji, tetapi juga dapat menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Ini adalah di antara bekal penting yang perlu dibawa pulang oleh jemaah haji iaitu semangat dan keinginan yang kuat untuk menyambung perjuangan baginda s.a.w.

Dengan itu, kami berharap bakal jemaah haji yang membaca buku ini dapat melengkapkan din dengan ilmu pengetahuan mengenai sirah para Nabi. la perlu diletakkan seiring dengan pengetahuan ibadah haji. Dengan pengetahuan ini, apabila para jemaah haji berada di tempat-tempat manasik haji, mereka bukan sahaja melakukan ibadah haji tetapi juga menghayati peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di sana.

Di sini kami turunlah salah satu bab yang dimuatkan dalam buku tersebut

10. Mengharap kasihMu di bumi Arafah

Kami telah mengambil keputusan untuk tidak bergerak ke Mina pada hari tarwiah iaitu sebelum 8 Zulhijjah, tetapi terus ke Arafah. Bagi mereka yang tidak bergerak ke Mina sebelum berangkat ke Arafah telah tertinggal satu sunnah Nabi S.A.W. namun tidak dikenakan sebarang denda atau dam. Mengambil kira kesulitan-kesulitan logistik dan pengangkutan yang mungkin dihadapi kami bergerak keluar dari Mekah terus menuju Arafah. Pengalaman menaiki bas untuk ke Arafah cukup mencabar. Kami sudah dibayangkan bahawa kami akan berhadapan dengan kesesakan traffic jam untuk menuju tempat-tempat manasik haji. Sebab itu kami telah bersedia dari Mekah lagi membawa bekalan makanan berupa beberapa tin sardin (termasuk dengan pembuka tin; sekarang mungkin tidak dibenarkan lagi) dengan beberapa keping roti nan yang kami beli di Mekah. Bekalan ini boleh mengalas perut jika terperangkap dalam kesesakan atau situasi lain yang tidak menentu. Sebagaimana yang dijangka berlaku kesesakan dalam perjalanan ke Arafah dan bas bergerak dengan sangat perlahan. Dalam keadaan seperti inilah kesabaran amat-amat dituntut dari jemaah haji. Pelbagai peristiwa yang kami saksikan. Ada suami dan isteri yang bergaduh kerana tidak dapat menahan kesabaran, dengan keadaan yang panas dan melenga.s. Malah ada kes yang biasa didengar di mana berlaku perceraian di Mekah kerana masing-masing tidak mahu bertolak ansur dan kerana kesalahan remeh-temeh, seperti gagal menunggu di tempat yang telah dijanjikan dan seumpamanya. Kita berharap kes-kes seperti ini jarang-jarang berlaku. Namun pengajaran yang kami perolehi ialah di antara persiapan yang penting bagi jemaah haji ialah latihan kerohanian untuk mengawal perasaan marah yang boleh datang meluap-luap ketika menunaikan haji.

Kesabaran kami semakin diuji apabila bas dikatakan tersalah jalan dan terpaksa membuat pusingan U.. Pada ketika itu kami hanya dapat berdoa dan bersabar agar Allah memudahkan perjalanan kami ke Arafah. Berkat doa yang dipanjatkan, Alhamdulillah kami sampai juga di Arafah menjelang waktu subuh. Kami melihat begitu ramai manusia membanjiri kawasan wukuf di Arafah. Sempadan wukuf telah ditandakan di mana berada di arafah adalah merupakan rukun haji yang penting dan tidak ada ibadah haji tanpa wukuf di Arafah. Apa yang kami saksikan ialah begitu ramai jemaah haji yang berada di luar dari sempadan wukuf. Apakah mereka kurang memahami atau tersilap? Wallahu’alam.

Apabila sampai di Arafah demam tidak juga kebah. Badan semakin terasa layu. Di tambah dengan keadaan yang tersangat panas dan badan yang kekeringan, hati semakin gelisah...gelisah tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadat wukuf yang sedang dilaksanakan, gelisah dengan dosa-dosa yang terpikul takut tidak terampunkan. Air yang diteguk tidak menghilangkan dahaga, makanan yang masuk tidak menyelerakan. Ya Allah! Apakah ini balasanMu ke atas dosa-dosaku yang lampau. Ya Allah! Aku memohon dengan penuh harap sekiranya inilah kifarat ke atas dosa-dosa yang lalu Engkau jadikanlah penebus untuk diri ini dari kemurkaanMu yang kekal abadi. Ya Allah! Aku tidak membantah keputusanMu. Aku hamba dan aku adalah milikMu. Dalam pada itu aku mengadu akan kelemahan diri, aku tidak kuat menanggungnya. Ringankanlah Ya Allah tanggungan ini dan lepaskanlah aku dari kepayahan sebenar di hari muka nanti.

Hari itu aku kepanasan, di panah bahang mentari. Hari itu aku kehausan, gelisah dan resah menanggung kepayahan. Tapi hari itu masih ada tempat untuk berlindung dan berteduh. Hari itu masih ada bekas-bekas air yang sejuk dan menyegarkan meski tidak menghilangkan dahaga. Hari itu masih ada dua helai kain putih yang membalut tubuh meski cukup sederhana. Hari itu masih ada teman-teman yang bertanya khabar, masih ada isteri yang mengambil berat dan masih ada tempat untuk mengadu. Hari itu masih ada harapan untuk berdoa dan memohon keampunan. Hari itu masih ada kemungkinan untuk memperoleh kasih
sayang Tuhan. Hari itu Tuhan masih memperhatikan hamba-hambaNya dan masih menurunkan rahmat, hidayah dan inayahNya. Hari itu masih ada kesempatan untuk mengharapkan keampunanNya meski dosa yang tertanggung tidak terhitung banyaknya. Hari itu masih ada peluang untuk menyesal....

Sedangkan hari yang pasti dilalui oleh setiap insan satu ketika nanti, jauhlah lebih sukar dan payah! Di manakah tempat untuk berteduh? Dimanakan dapat berlindung dari mentari yang tingginya hanya sejngkal dari hujung kepala. Hari itu manusia akan kehausan sedangkan diri ditenggelami lautan keringat. Hari itu tidak ada sehelai pakaianpun yang lekat dibadan. Hari itu manusia tidaklah memikirkan kecuali untuk dirinya. Di mana anak-isteri, di mana teman-teman yang ramai, di mana kerabat yang dibanggakan, di mana pengikut yang menyanjung. Yang ada sebagai penolong di saat-saat yang gawat itu nanti hanyalah bekalan amal. Sedikit atau banyak amalan itulah yang diharapkan untuk menebus diri sendiri. Ketika itu ramailah manusia-manusia yang menyesal sedangkan penyesalan tidak lagi memberi sebarang guna. "Ya Tuhan...Kami sudah mendengar dan kami sudah melihat, sesungguhnya kami telah yakin. Kembalikanlah kami ke dunia barang sebentar nescaya kami akan melakukan amal soleh...." (Al-Quran; surah Sajdah). Sebahagian yang lain dibangkitkan buta dan tuli..."Wahai Tuhan kami, mengapakah engkau membangkitkan kami dalam keadaan buta sedang didunia kami merupakan orang-orang yang melihat! Sesungguhnya Engkau telah melupakan pertemuan pada hari ini maka demikianlah Kami melupakan kamu! (Al-Quran). Ada sebahagian yang lain lantaran tidak tertanggung penyesalan di hati lantas mengeluh "Alangkah baiknya sekiranya kami diratakan menjadi tanah...! (Al-Quran)

Menjelang petang, aku mendapatkan isteri di khemah wanita. Kami bentang sejadah ke arah kiblat. Duduklah kami berdua membisikkan pengharapan-pengharapan kami kepada Tuhan. "Wahai Tuhan kami...Selamatkanlah kami di hari yang tidak selamat seorangpun melainkan dia diselamatkan olehMu Ya Allah. Lindungilah kami pada hari di saat tidak ada lagi perlindungan selain perlindunganMu. Tenang dan tenteramkanlah hati kami di saat hati-hati digoncang dengan ketakutan yang amat sangat. Jauhilah kami dari penyesalan yang tidak tertanggungkan itu nanti.

...Doa demi doa dipanjatkan. Dengan tangan yang diangkat tinggi dilangit, hati mengharap penuh akan keampunan Tuhan. Muga-muga semua yang berhimpun di padang Arafah pada hari itu mendapat keampunan semuanya dari rabbul jalil. Dalam sendu, bibir mengukir senyum pabila teringat akan maksud sebuah hadis

“Tidaklah ada satu hari di mana manusia paling ramai mendapat keampunan dari
Tuhannya selain dari hari wukuf di Arafah kecuali di hari berlakunya peperangan
Badr...”. Apakah aku termasuk dalam golongan yang bertuah itu? Aku tidak tahu..

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc