Perutusan Eid-ul-Fitr PACE
Assalamualaikum wrt bth.
Selang beberapa hari lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menangisi pemergian bulan Ramadhan dan akan menyambut kedatangan Shawal dengan penuh kesyukuran.
PACE mengambil peluang ini untuk mengucapkan 'Taqabalallahu minna waminkum' kepada semua kaum muslimin dan muslimat di mana jua mereka berada. PACE ingin mengajak umat Islam yang bergembira di pagi Syawal nanti supaya mengenang saudara-saudara seagama yang menyambut kedatangan syawal dengan penuh duka dan linangan air mata, khususnya umat Islam yang dilanda oleh peperangan di merata dunia, terutama di bumi Palestin. Umat Islam di sana akan menyambut kedatangan Eid-ul-Fitri buat sekian kalinya di khemah-khemah pelarian dan dalam keadaan terkepung dan terjajah. Lebih dari lima juta rakyat Palestin kini menghuni khemah-khemah pelarian di Lubnan, Syria, Jordan dan Gaza. Generasi pertama yang terusir dari tanah air mereka yang masih hidup kini menyambut Eid-ul-Fitr sebagai orang pelarian untuk kali yang ke 61.Selama enam puluh tahun mereka tidak pernah menjejak tanah air mereka dan kembali ke rumah-rumah mereka. Di saat umat Islam di Malaysia sedang teruja untuk balik ke kampung halaman masing-masing, umat Islam di Palestin hanya dapat mengimbau kenangan lalu. Bahkan sebahgian besar dari generasi ketiga yang dilahirkan di khemah-khemah pelarian langsung tidak punya gambaran sedikitpun tentang kampung halaman mereka di Palestin.
Bagi umat Islam yang berada di Gaza pula, keadaan lebih getir kerana sehingga kini mereka masih lagi berada dalam keadaan terkepung oleh regim Zionis. Mereka hidup dalam serba kedaifan dengan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang amat terhad. Dalam keadaan ekonomi yang lumpuh dan bekalan yang terputus mereka diserang bertalu-talu oleh tentera zionis secara biadap. Sehingga kini penduduk di Gaza masih terdedah kepada serangan Israel yang boleh berlaku tanpa sebarang amaran. Setiap kali serangan berlaku mereka tidak akan mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan dari negara-negara umat Islam yang bertetangga dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Mereka seolah-oleh menjadi objek di lapang sasar bagi tentera zionis Israel.
Rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitul Maqdis pula terpaksa berhadapan dengan pelbagai sekatan pergerakan. Ini termasuklah pos-pos kawalan tentera dan sekatan jalan yang diadakan secara sewenang-wenangnya. Kini sebuah tembok pemisah yang panjangnya melangkaui 800 km memisahkan rakyat Palestin dari ladang mereka, telaga air dan meyukarkan anak-anak untuk ke sekolah dan menghadkan pergerakan rakyat Palestin. Tembok konkrit yang tingginya mencecah 10 m ini dibina untuk menguasai lebih banyak wilayah dari Tebing Barat. Di samping itu projek-projek perumahan Yahudi terus bercambah di Tebing Barat dan Baitul Maqdis setelah penghuni-penghuni Arab yang bermastautin di sana diusir dan tanah-tanah mereka di rampas. Senario pembinaan penempatan haram Yahudi ini terus rancak berjalan meskipun Israel terikat dengan beberapa penjanjian damai termasuklah Konferens Annapolis pada penghujung tahun 2007 yang meletakkan syarat agar Israel menghentikan aktiviti penempatan Yahudi. Semua ini hanyalah helah untuk memastikan bahawa penyelesaian dua negara yang dicanang ke seluruh dunia tidak akan menjadi kenyataan dan mustahil untuk dilaksanakan. Impian untuk melihat negara Palestin yang merdeka akan terus tinggal impian.
Bagi umat Islam di Baitul Maqdis pula mereka terus dinafikan hak untuk menziarahi dan memakmurkan Masjid al Aqsa. Pelbagai sekatan dikenakan keatas umat Islam yang ingin menziarahi masjid. Mereka meletakkan had umur tertentu sahaja yang dibenarkan memasuki masjid termasuklah pada bulan Ramadhan. Umat Islam bersolat di perkarangan masjid dan di luar tembok al Aqsa di bawah muncung-muncung senapang tentera zionis. Penghinaan yang menyolok mata ini amat mencabar kesabaran umat Islam yang ingin memuliakan dan memakmurkan tanah suci dan masjid ketiga paling dimuliakan dalam Islam.
Inilah senario yang melatari sambutan Eid-ul-Fitri di bumi Palestin yang terjajah. Meskipun mereka berhadapan dengan pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman serta tidak mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan, umat Islam di Palestin tetap bersyukur kerana mereka telah dipilih di kalangan umat Islam untuk mempertahankan tanah suci ke tiga umat Islam. Mereka tidak pernah berputus asa bahkan mereka merasa amat mulia kerana berada di dalam kedudukan yang sedemikian. Mereka yakin dengan hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa mereka sedang berada di bumi 'Ribat - bumi peperangan untuk mempertahankan Islam. Mereka adalah para mujahid dan mujahidah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW lewat beberapa hadisnya. Bahkan Nabi SAW menggambarkan umat akhir zaman yang berada di Baituil Maqdis tidak akan berganjak dari kedudukan mereka dan mereka tidak akan merasa lemah meskipun di khianati (seperti yang kita saksikan kini bagaimana negara Arab yang bertetangga lebih menjaga kepentingan Israel dan AS) dan mereka akan dimenangkan oleh Allah SWT.
PACE dengan ini menyeru umat Islam di Malaysia khususnya supaya berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin. Mereka telah mengambil tanggungjawab yang menjadi kewajipan seluruh umat Islam dan memikulnya di atas pundak-pundak mereka sehingga mereka kehilangan anak-anak, ayah, suami, isteri dan ibu yang syahid pada jalan Allah. Umat Islam yang telah dilatih untuk bermujahadah selama sebulan dalam bulan Ramadhan diseru supaya meningkatkan sokongan kepada perjuangan pembebasan al-Quds dan bumi Palestin dari cengkaman musuh-musuh zionis. Umat Islam diseru supaya menghayati semangat Ramadhan dengan menyahut seruan Allah SWT untuk berjihad pada jalanNya dengan harta dan jiwa demi mencapai taqwa dan keredhaan Allah SWT. Segala yang disumbangkan samada dalam bentuk wang ringgit, masa dan tenaga untuk menyokong pelbagai program kempen kesedaran perjuangan Palestin amat besar maknanya di dalam menjana perjuangan berterusan. Semua ini dengan izin Allah SWT akan mencipta sebab-sebab yang membawa kepada kemenangan. Baitul Maqdis akan kembali ke pangkuan umat Islam dan kezaliman dan penindasan golongan zionis akan dihapuskan dengan keadilan Islam. Sejarah kembalinya Baitul Maqdis kepada umat Islam di bawah kepimpinan Salahuddin Al-Ayyubi akan berulang. Bukan sahaja Baitul Maqdis akan kembali merdeka dari pendudukan Yahudi bahkan seluruh kemanusiaan akan menghirup udara kebebasan dan mengecap keadilan sejati.
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Palestine Centre of Excellence)
27 Ramadhan 1430H/17 September 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment