Tuesday, September 29, 2009

Keberanian orang Sulu @ Tausug (Sedutan dari Jejak Risalah di Nusantara Jilid II)

Pahlawan Sulu sedang bersiap untuk berjihad

Tentera Amerika Syarikat ditepi kubur massal
pejuang Sulu yang syahid

Pahlawan Sulu yang gagah berani
(Sedutan dari Bab 4 Jejak Risalah di Nusantara Jilid II - Penjelajahan Portugis dan Sepanyol

Dari sudut budaya dan sejarah, Sulu dikaitkan dengan Kerajaan Sulu yang meliputi lima kawasan utama iaitu Pulau Sulu (pusat pemerintahan di Jolo), Tawi-tawi, Basilan (termasuk Zamboanga di Mindanao), Palawan dan Borneo Utara atau Sabah. Kini Sabah sudah berada di dalam Persekutuan Malaysia dan sebahagian Borneo Utara sudah menyertai Indonesia (Kalimantan)

Sementara orang Sulu pula adalah merujuk kepada pelbagai suku kaum yang menetap di Kepulauan Sulu. Ini termasuklah suku Tausug (Suluk), Bajau, Yakan, Kagayan, Iranun dan Kalibugan. Suku terbesar di Kepulauan Sulu ialah Tausug.[1] Terdapat kira-kira 350,000 suku Tausug di mana 200,000 darinya berada di pulau Jolo. Tausug berasal dari suku kata ‘Tau’ yang bermaksud ‘orang’ dan ‘sug’ yang bermaksud ‘arus’. Ini bermakna suku Tausug adalah ‘orang-orang yang menongkah arus. Ada juga sumber yang mengaitkan nama Tausug dari ‘Tau Maisug’ yang bermaksud ‘orang pemberani’. Kedua-dua makna ini bersesuaian dengan ciri orang Tausug yang bergantung hidup sebagai nelayan (menongkah arus) dan juga terkenal dalam keberaniannya di medan tempur. Orang Sepanyol yang mempunyai sejarah pencerobohan yang panjang ke atas Kepulauan Sulu menggelar kaum Tausug sebagai ‘juramentado’ yang bermaksud ‘berani mati’. Nama Sulu atau Suluk pula adalah sebutan lidah melayu yang sukar menyebut Tausug. Walaupun begitu, nama Sulu atau Suluk ini merujuk kepada amalan tasauf yang menjadi pegangan umat Islam di nusantara termasuk suku Tausug. Amalan bersuluk untuk mendekatkan diri kepada Allah menjadikan mereka berani berdepan dengan pihak musuh dalam perang ‘fisabilillah’. Boleh disimpulkan bahawa orang Sulu @ Tausug ialah kaum yang kuat berpegang dengan Islam dan sanggup berkorban nyawa dan harta untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah-air.

Keberanian orang Suluk digambarkan oleh Prof. Adib Cesar Majul seperti berikut:

“Perwira-perwira Islam yang setelah menjalani upacara keagamaan dan menunaikan sembahyang semalaman dengan guru agama pada esok harinya akan menyerbu dan menyerang pelanggar-pelanggar Kristian dengan keazaman membunuh seberapa ramai musuh dan mereka ini tidak dijangkakan akan pulang dengan selamat. Harapan yang tinggi bagi perwira-perwira yang sanggup berkorban ini untuk mendapatkan balasan syurga.”

Untuk memahami psyche dan budaya kaum Tausug, seseorang itu harus meneliti sumber sejarah terawal samada bertulis atau lisan. Sejarah bertulis terawal masyarakat Tausug terbatas pada dua sumber sahaja iaitu sarsilas (tarsilas) dan luntar. Bahan sejarah berbentuk tarsilas ini tidak unik pada masyarakat Tausug kerana terdapat juga di kalangan masyarakat Magindanao (suku etnik di Mindanao). Luntar pula hanya terdapat di kalangan masyarakat Tausug.[2] Bagaimanapun sumber-sumber bertulis ini tidak mempunyai sebarang pengaruh kepada masyarakat umum kerana ia bersifat ekskulif kepada golongan atasan dan bangsawan. Satu lagi faktor mengapa bahan sejarah bertulis hanya relevan kepada golongan bangsawan adalah kerana masyarakat awam tidak boleh membaca dan menulis samada dalam bahasa Tausug apatah lagi memahami bahasa Sepanyol dan Inggeris. Masyarakat awam lebih menghayati sumber sejarah/sastera lisan terutama dalam kategori parangsabil dan lebih terhad dalam kategori kissa dan katakata.[3] Keadaan ini menghasilkan satu bentuk dualisma terhadap kesedaran sejarah di kalangan suku Tausug. Di satu pihak sarsilas dan luntars melahirkan kesedaran sejarah yang bersifat elitis kerana ia terbatas di kalangan Sultan dan Datu-datu. Kedatangan Sepanyol dan kemudian Amerika memperkukuhkan status Sultan dan Datu-datu yang menjadi saluran untuk penjajah melaksanakan pemerintahannya ke atas masyarakat Islam. Andaiannya ialah rakyat yang buta huruf akan menuruti apa sahaja arahan Sultan dan Datu-datu yang sudah takluk kepada penjajah secara membuta tuli. Pastinya ini akan memudahkan proses penjajahan Sepanyol ke atas masyarakat Sulu. Tetapi realitinya tidak sebegitu. Ini adalah kerana sumber ilmu/maklumat dan saluran pencetus kesedaran yang lebih kuat kepada masyarakat awam kaum Tausug ialah yang berbentuk lisan terutama parangsabil.

Parangsabil adalah satu bentuk dendangan sastera lisan yang diwarisi oleh kaum Tausug yang unik dikalangan kumpulan-kumpulan etnik muslim di Selatan Filipina. Bentuk tradisi lisan yang sama tidak terdapat di Lanao atau Cotabatu dan tidak juga memperlihatkan ciri pengaruh dari sastera Magindanao atau Maranao. Besar kemungkinan terpisahnya Kepulauan Sulu dengan Pulau Mindanao dari sudut geopolitik merencat proses pemesraan budaya di antara keduanya. Parangsabil adalah warisan penting kaum Tausug kerana ia merakamkan konflik bersenjata yang dihadapi sepanjang sejarah. Ia juga dinamik kerana panjangnya bertambah dari masa kesemasa dengan memuatkan peristiwa-peristiwa penting dan juga perkembangan sesuatu konflik. Ia meliputi pelbagai era sejak dari zaman sebelum kedatangan Sepanyol sehinggalah ketika menentang Amerika Syarikat pada awal kurun ke 20. Parangsabil Takbirul berasal sejak zaman sebelum kedatangan Sepanyol kerana tiada apa-apa rujukan tentang Sepanyol, sedang ‘Parangsabil Abdullah dan Putli’ adalah satu contoh sastera Perangsabil yang dihasil pada zaman Sepanyol atau selepasnya kerana membuat rujukan kepada Kastela di dalam naratifnya.

Parangsabil adalah satu testimoni penolakan masyarakat Tausug terhadap semua bentuk kezaliman dan pencerobohan samada ia dilakukan oleh musuh yang datang menceroboh mahupun di kalangan orang tempatan. Sekaligus ia menolak tanggapan bahawa masyarakat Tausug tunduk secara membuta tuli kepada pihak yang memegang kekuasaan, samada beliau Sultan yang merdeka mahupun yang takluk kepada kepentingan penjajah Barat. Satu contoh yang boleh dikemukakan ialah Parangsabil Kan Apud yang ada kaitan dengan pemberontakan Hassan pada tahun 1904. Di dalam epik tersebut, Apud bersama empat sahabatnya bangkit menentang kerajaan penjajah kerana ketidakadilan yang berlaku sehingga mati dalam perang sabil. Begitu juga epik Parangsabil Kan Napsa Lagayan. Kesah ini berlegar pada seorang wanita cantik yang bernama Napsa Lagayan di pulau Simunul. Pada satu hari Sultan telah menjemput Napsa untuk mempersembahkan tarian di hadapan baginda. Napsa amat setia kepada suaminya dan bimbang jika Sultan melarikannya. Tetapi oleh kerana terpaksa Napsa mempersembahkan tarian pangalay. Sultan yang tertarik dengan kecantikan Napsa telah memaksa Napsa mengikutinya ke Jolo di mana dia dijadikan gundek baginda. Apabila Amilbangsa, suami Napsa pulang dari perantauan yang lama, dia merasa amat sedih atas kehilangan isterinya. Dia telah menyusul isterinya di Jolo di mana dia mati di jalan sabil.

Kedua-dua kesah parangsabil ini menunjukkan keberanian orang awam yang dinobatkan sebagai pahlawan yang disanjung, bukannya Sultan atau Datu-datu yang didewa-dewakan dalam setengah penulisan sastera bangsawan. Bahkan watak-watak ini memang benar-benar wujud seperti Apud, Napsa Lagayan dan Amilbangsa yang hidup pada zaman Sepanyol atau sebelumnya. Parangsabil telah mengangkat watak-watak ini ke tahap legenda sama seperti watak-watak Selungan, Jekiri dan Kamlun. Selungan adalah watak sebenar yang melawan kerajaan Amerika syarikat di Tawi-tawi dan terbunuh sekitar tahun 1907-08. Begitu juga Jekiri yang menentang Amerika Syarikat di Zamboanga, Basilan, Sulu dan Borneo Utara sekitar tahun 1907-09 dan terbunuh di pulau Patian bersama pengikutnya.

Berdasarkan kepada sumber-sumber lisan ini, seseorang boleh membentuk kefahaman terhadap pandangan hidup worldview masyarakat Tausug mengenai hidup dan mati. Falsafah hidup ini membentuk sifat-sifat berani pada masyarakat Tausug baik dalam soal bergelut mencari penghidupan mahupun ketika berdepan dengan musuh. Bagi masyarakat Tausug kematian hanyalah sebuah pintu untuk memasuki fasa kehidupan seterusnya (dari alam fana’ ke alam baqa’). Oleh kerana kematian pasti ditempuhi oleh setiap insan, maka ia tidak wajar ditakuti, meskipun seseorang itu berusaha untuk mengelaknya (berikhtiar mengubati penyakit sebagai contoh – pen.) demi untuk memenuhi matlamat hidup di atas muka bumi. Walaubagaimanapun, apabila tiba saat kematian, ia perlu diterima dengan pasrah dan sebaiknya seseorang itu mati pada jalan sabilillah. Natijahnya bagaimana seorang itu mati yang menjadi perhitungan, bukan kematian itu sendiri. Kematian di atas jalan yang mulia ini akan memberi manfaat kepada si mati di alam akhirat, bahkan kaum-kerabat yang ditinggalkan di pandang mulia oleh masyarakat Tausug. Oleh itu orang Tausug tidak menghitungkan sangat nyawa musuh bahkan nyawa sendiri di dalam perang sabil dan ini menjelaskan mengapa konflik bersenjata dengan penjajah Sepanyol berpanjangan, sengit dan memakan korban yang besar. Dari tradisi lisan ini juga seseorang dapat memahami bahawa kaum Tausug tidak mengukur kemenangan dengan kejayaan seseorang membunuh musuhnya di medan perang, tetapi bagaimana ia mempamerkan ketangkasannya. Seseorang yang melarikan diri dari medan perang adalah dibenci, meskipun dia bersalah atau berada di pihak musuh. Peribahasa Tausug, ‘marayaw pa mutih in bukug, ayaw mutih in tikud-tikud’ yang bermaksud adalah lebih baik melihat putihnya tulang dari melihat tumit bertukar puteh bermakna adalah lebih baik seseorang itu tercedera atau terbunuh dari melarikan diri dari medan perang. Kerana itulah pahlawan-pahlawan Tausug dengan penuh keberanian melawan musuh mereka meskipun hanya bersenjatakan keris dan kampilan bergantung kepada ketangkasan diri dalam bertarung, tanpa menghitung soal strategi dan taktik. Natijahnya ribuan pahlawan Tausug menemui syahid pada zaman penjajahan Sepanyol dan pendudukan Amerika Syarikat.

Penjajah Sepanyol gagal untuk menilai masyarakat Tausug secara objektif. Segala dasar dan pendekatan adalah bersumber dari sikap prejudis yang amat menebal. Meskipun Islam mentadbir Andalus/Sepanyol selama hampir lapan abad, namun masyarakat Katolik tidak dapat menerima kehadiran muslim bahkan melaksanakan inquisition dengan menghapus dan mengusir umat Islam dari bumi Sepanyol. Tidak hairanlah jika penakluk-penakluk Sepanyol menamakan mereka sebagai savages (buas dan ganas), pirates (lanun) dan warlike (cenderung untuk berperang). Oleh itu cuma ada dua pilihan iaitu samada mereka dikristiankan atau dihapuskan. Mereka dilonggokkan dalam satu kelompok yang tidak bertamaddun dan dianggap hina kerana menganut agama ‘Mohammedan’ (Islam). Sikap dungu dan sengkat pemikiran ini adalah kerana orang-orang Sepanyol gagal menyelami hati budi suku Tausug yang diwarnai oleh akidah Islam. Islam telah memerdekakan jiwa mereka dari sebarang bentuk perbudakan samada oleh orang tempatan apatah lagi bangsa asing yang datang untuk menjarah tanah air mereka. Jika penjajah Sepanyol menggelar mereka sebagai lanun dan fanatik, itu adalah pilihan mereka. Apa yang pasti Islam menuntut suku Tausug supaya berjihad melawan penindasan dan membebaskan tanah air dari penjajahan. Dan mereka akan lakukan ini meskipun tidak mempunyai kekuatan dan senjata yang sepadan. Keberanian suku Tausug menghadapi kematian yang disaksikan oleh askar-askar Sepanyol di medan adalah manifestasi dari tuntutan keimanan tersebut.
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
----------------------------------------------------------------------------
[1] Menurut Silsilah Sulu, kaum Tausug berasal dari beberapa suku etnik yang bergabung iaitu Barunan (penempatan asal di Maimbung, Jolo), Tagimaha (dari Pulau Basilan),Baklaya (dipercayai dari Sulawesi dan menetap di Patikul), orang Banjar (dari Banjarmasin, Kalimantan) dan orang Dampuan (Champa, Indochina).
[2]Sarsilas dan Luntar adalah Silsilah Raja-raja yang menggunakan tulisan jawi. Teks-teks sejarah ini terbatas penggunaan dan pengaruhnya di kalangan keluarga raja dan orang ramai tidak terdedah kepadanya. Ia tidak diperbanyak untuk tujuan sebaran dan disimpan rapi untuk kegunaan raja semata-mata. Oleh itu kesedaran sejarah hanya berlegar di kalangan keluarga raja dan datu, itupun hanya berlegar di sekitar persoalan waris, pengalaman dan hal-ehwal raja. Samuel K. Tan, 1982, Selected Essays on Filipino Muslims, University Research Centre, Mindanao State University, hlm. 112.
[3]Kissa dan katakata adalah warisan Sulu yang unik dan lazimnya disampaikan dalam tempoh semalaman. Secara umumnya kissa lebih pendek dan bertujuan untuk dihabiskan dalam satu sesi penceritaan. Katakata pula disampaikan dalam sehari sehingga dua hari atau dua malam. Contoh-contoh kissa ialah Ama Iyun, Ina Gandil, Lunsay Buhok dan Malik Buwangsi. Contoh katakata ialah Abunnawas dan Pusung. Perbezaannya dengan genre Parangsabil ialah kissa dan katakata hanya diceritakan sedang Parangsabil dicerita sambil didendangkan. Lain-lain bentuk sastera lisan kaum Suluk ialah khutbas dan tukud-tukud. Khutbas adalah penyampaian para imam, panditas, haji dan tokoh-tokoh agama. Rujukan Samuel K. Tan, 1982, Selected Essays on the Filipino muslims, University Research Centre, Mindanao State University, Marawi City, hlm. 120.


7 comments:

Unknown said...

Assalamu alaikum.

Saya cuma nak beri komen sedikit tentang Bangsa Sug/Tausug/Suluk. Sebenarnya ada sedikit kekeliruan fakta mengenai Bangsa ini. Sebab kalau kita sebut Tausug bukannya bererti satu pihak tetapi ianya adalah "shared identity" pihak-pihak yang berasal atau tinggal di kepulauan Sulu.

Tausug yang saudara maksudkan sini adalah di petik dari pahaman orang-orang yang keliru tentang sejarah Tausug sendiri. Kerana Tausug itu bukannya "PIHAK" tetapi Bangsa orang yang tingggal/asal/bermastautin di Sulu. Semua pihak seperti bajau, jama mapun, kalibugan, Buranun, baklaya, yakan dan lain-lain adalah Bangsa Tausug.

Orang yang tinngal di Jolo sekarang mereka bukanya pihak Tausug. Ada kemungkinan pihak mereka adala buranun, baklaya, taguima, bajau.

Setakat ini dulu nanti saudara visit blog pihak buranun yang memerjuangkan bangsa Tausug dalam internet. http://theislandsofpearls.blogspot.com , http://tausug-global.blogspot.com

Unknown said...

Tausug bukanya kaum atawa suku.
Tetapi adalah Bangsa kaum-kaum yang tinggal di Sulu.

Neldy Jolo said...

Assalamu Alaikum,

Terimah Kasih keran memberi penjelasan yang amat memberangsangkan jiwa untuk seorang Tausug memperjuangkan jati diri dan Islam demi keamanan dan kebebasan.

Kita memaklumkan disini bahawa Istilah "Tausug" itu bukannya satu pihak atau kaum sahaja. Tausug adalah "Bangsa" yang merangkumi kaum-kaum dan pihak-pihak di zaman Kerajaan Sulu hingga hari ini.

Istilah "Tau" bukan sahaja bermaksud "orang" tetapi "Bangsa". "Tau" adalah istilah kata dalam Bahasa Sug (Bahasa Sulu) yang bermaksud "Bangsa" yakni "Tausug" adalah "Bangsa Sug atau Bangsa Sulu". Sug ialah Sulu.

Pihak-pihak dan kaum-kaum dalam Tausug atau Bangsa Sug adalah yang Prof. sebutkan di atas itu. Buranun, Baklaya, Dampuan, Tagima, Bajau dan lain2.

Terima Kasih. Sama-samalah kita menolong dan membantu membangunkan Negara Sulu yang telah ditindas sekian lama demi kemaanan, perpaduan dan kebebasan dari segala bencana politik kejahatan di Nusantara.

Amin....


Neldy Jolo

Dr Hafidzi Mohd Noor said...

Salam,

Terima kaseh atas semua komen-komen ini. Ulasan yang lebih lengkap tentang suku/bangsa Tausug ini ada dalam bab yang lengkap. Apa yang dipaparkan hanyalah sedutan dari bab tersebut. asal-usul Tausug dan Suluk semuanya dinyatakan. Begitu juga bangsa/suku bajau, samal, jama mapun diulas dalam bab tersebut
Terima kaseh sekali lagi

premier65 said...

salam semua penulis blog berkaitan org2 sulu..akhir2 ini ada beberapa usaha untuk membantu golongan ini dari segi memperbaiki kebajikan mereka seperti api,air,bekalan makanan dan keperluan harian tetapi sebelum itu..saya juga dinasihati agar berhati-hati 'membantu' orang2 sulu ini atas sebab-sebab kselamatan dan sensitifiti politik di antara Malaysia dan Filipina..mohon pandangan dan nasihat> tksh

wahyuddin lutfi said...

Assalamualaikum
Salam kenal dari saya di Banjarmasin/Indonesia. Silakan kunjungi blog saya Suluh Banjar. Wassalam

Unknown said...

maksud tau adalah orang

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc