Assalamualaikum,
Berikut ialah rencana yang pernah keluar dalam Utusan Malaysia pada 16 Januari 2010. Rencana ini menyentuh tentang kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara yang dituntut oleh Palestin dan Israel yang kini kembali mencetuskan pergolakan.
Dr Hafidzi Mohd Noor
ARKIB : 16/01/2010Baitulmaqdis ibu negara bersama?
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAILrencana@utusan.com.my
Baitulmaqdis merupakan kota suci ketiga bagi umat Islam. Kota yang dikenali sebagai al-Quds itu mempunyai perkaitan yang terlalu rapat dengan Islam. Ia menjadi kiblat pertama umat Islam dan merupakan tanah yang diturunkan ramai para Nabi sebagai utusan. Kerana itu, adalah sesuatu yang sangat menyedihkan untuk menyaksikan kota suci umat Islam itu kini jatuh ke tangan rejim zionis. Namun, perlu diakui kota itu juga dianggap sebagai kota suci bagi penganut agama Kristian dan Yahudi. Kerana itu jugalah, kota itu merekodkan sejarah persengketaan antara agama yang panjang termasuklah sehingga ke abad ini.
Konflik Asia Barat itu bermula apabila Israel menyerang Palestin dan menawan Baitulmaqdis pada perang 1967 dan memulakan proses pengyahudian sejak itu. Ini termasuklah merampas tanah rakyat Palestin di kota tersebut terutama di kota lama yang menempatkan Masjid al-Aqsa.
Israel juga merobohkan rumah-rumah orang Arab, membatalkan status pemastautin penduduk Arab di Baitulmaqdis dan membina penempatan Yahudi. Bangsa Arab yang asalnya merupakan 96 peratus daripada penduduk Baitulmaqdis kini hanya tinggal sekitar 30 peratus akibat usaha sistematik Israel mengubah landskap penduduk kota tersebut.
Kini tembok pemisah dibina dari utara ke selatan Tebing Barat untuk memisahkan penduduk Palestin dari penempatan Yahudi di wilayah yang diduduki. Panjang tembok tersebut sudah menjangkau 800 kilometer. Tembok pemisah itu di bina jauh ke dalam wilayah Tebing Barat dan menyebabkan Baitulmaqdis terpisah dari Tebing Barat.
Situasi ini memang dirancang supaya jika negara Palestin yang terdiri dari Tebing Barat menjadi kenyataan sekalipun, Baitulmaqdis berada di jajahan takluk Israel kerana kedudukannya di sebelah barat tembok pemisah berkenaan. Dalam erti kata lain, sekali pun rakyat Palestin bermandi darah mempertahankan kota suci itu, harapan untuk mendapatkan semula Baitulmaqdis adalah terlalu sukar.
Kerana itu apabila ada usaha supaya Palestin dan Israel menerima Baitulmaqdis sebagai ibu negara bersama bagi merungkai konflik enam dekad di Asia Barat, ia tidak boleh secara terus diangkat sebagai satu penyelesaian yang berat sebelah. Sebaliknya ia wajar diperhalusi dan disokong sekiranya ia menuju kepada perdamaian yang abadi di bumi Palestin.
Kita mungkin boleh berkata bahawa biar bermandi darah sekali pun, Baitulmaqdis perlu dipertahankan daripada jatuh ke tangan agama lain. Tetapi dalam peperangan mempertahankan kota suci itu, pejuang sebenarnya ialah rakyat Palestin. Nyawa rakyat Palestin yang menjadi pertaruhan dan kita hanya mampu memandang dari jauh.
Adakah berbaloi rakyat Palestin terus dikorbankan semata-mata untuk mempertahankan kota suci itu dan melindungi Baitulmaqdis untuk umat Islam keseluruhannya? Hakikatnya cadangan untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota bersama bukanlah baru.
Ia beberapa kali disuarakan di peringkat antarabangsa, namun tiada sokongan yang kuat kerana Israel enggan menerimanya. Bagi Israel, perkongsian Baitulmaqdis itu akan menafikan hak pendudukan mereka ke atas Baitulmaqdis sejak 1967.
Apa yang disebutkan sebagai ibu negara bersama itu juga sebenarnya tidak jauh berbeza daripada cadangan pembahagian negara antara Israel dan Palestin. Cadangan ini juga sudah lama dibangkitkan sebagai salah satu penyelesaian kepada konflik di Asia Barat.
Palestin dilihat boleh bertoleransi dengan cadangan itu, tetapi Israel menolak kerana tidak mahu ada penganut agama lain di negara itu selain Yahudi. Kerana itu juga, Israel sekali lagi menolak keras usul yang diputuskan dalam pertemuan antara Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) yang berlangsung di Brussel, akhir Disember lalu.
Bagi pemerhati Asia Barat, Dr. Hafidzi Mohd. Noor, ini sebenarnya mengulangi komitmen serupa yang pernah beberapa kali disuarakan oleh masyarakat antarabangsa. Menurut Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace) itu, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton pernah mencadangkan agar negara Palestin diwujudkan melalui pendekatan land swap iaitu pertukaran wilayah di antara Israel dan Palestin sebanyak dua hingga lima peratus.
Jika pemimpin Palestin ketika itu, Yasser Arafat bersetuju dengan formula tersebut maka Tebing Barat akan diserahkan sepenuhnya kepada Palestin. Namun bila diteliti kawasan land swap itu, pertukaran wilayah tersebut termasuk Baitulmaqdis.
Dalam erti kata yang lain Baitulmaqdis perlu diserahkan sepenuhnya kepada Israel sebagai syarat kemerdekaan Palestin. Sudah semestinya, ia bukanlah cadangan yang adil lalu terhenti setakat itu.
Hafidzi menambah, pernah juga dicadangkan agar kedaulatan Baitulmaqdis dibahagi dua iaitu kedaulatan sebelah permukaan dan kedaulatan sebelah dasar (surface sovereignty dan deeper sovereignty).
Palestin diserahkan kedaulatan permukaan sedang Israel mendapat kedaulatan sebelah dasar. "Ini sebenarnya merujuk kepada pembahagian Masjid al-Aqsa. Bangunan-bangunan yang berada di bahagian permukaan masjid diletakkan di bawah mandat Palestin sedangkan apa yang ada di bawahnya merupakan mandat Israel. Ini bermakna jika bangunan-bangunan di sebelah atas hapus atau diruntuhkan maka yang tinggal hanya kedaulatan Israel," ujar Hafidzi.
Dengan fakta-fakta ini sebagai latar belakang, cadangan untuk menamakan Baitulmaqdis sebagai ibu negara bersama hampir mustahil untuk menjadi kenyataan.
Proses pengyahudian terus berjalan sehingga penduduk Arab dan Islam menjadi golongan minoriti di sana.
Polisi membatalkan status pemastautin penduduk Arab dan pengusiran mereka terus dipertingkatkan. Pergerakan penduduk Arab juga amat terbatas di Baitulmaqdis, bahkan mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang dibenarkan mengunjungi Masjid al-Aqsa.
Kewujudan tembok pemisah kini meletakkan Baitulmaqdis terpisah dari Tebing Barat. Jika negara Palestin diisytiharkan, bererti ibu negaranya berada di luar batas sempadan antarabangsa.
Bagaimanapun Hafidzi mengakui, bukanlah suatu yang mustahil untuk menamakan Baitulmaqdis sebagai ibu negara bersama, sekurang-kurangnya ia boleh dilaksanakan sebagai jalan keluar sementara sehingga penyelesaian kekal dipersetujui.
Namun pengisytiharan ibu negara bersama ini mesti mengambil kira senario semasa. Jika Israel masih meneruskan projek rampasan tanah penduduk Arab dan menjalankan polisi mengyahudikan Baitulmaqdis, maka ibu negara bersama itu hanyalah satu pengisytiharan kosong untuk mengaburi masyarakat antarabangsa.
Israel wajib mengambil inisiatif untuk mengembalikan status asal Baitulmaqdis dan mengembalikan hak penduduk Arab di kota tersebut. Akhirnya jika rakyat Palestin bersetuju menamakan Baitulmaqdis sebagai ibu negara bersama, ini juga sudah merupakan satu konsesi yang cukup besar dari Palestin.
Ini kerana tambah Hafidzi, jika dirujuk kepada resolusi-resolusi PBB seperti 242 dan 338, adalah jelas Baitulmaqdis merupakan kedaulatan penuh Palestin.
"Pendudukan Israel ke atas Baitulmaqdis adalah tidak sah dan mereka wajib berundur dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur, kembali ke garisan hijau seperti sebelum tahun 1967," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment