Sunday, March 7, 2010
Bhg 2 - Konsep Islamicjerusalem, 'barakna fiha' dan 'barakna hawlahu'
Assalamualaikum,
Bhg 2
Prof Abd Fattah kemudian mengulas tentang ayat yang sering dibaca dan dihayati setiap tibanya 27 Rejab iaitu ayat 1 dari surah al-Isra' atau Bani Israel yang bermaksud 'Maha suci Dia (Allah) yang telah memperjalankan hambaNYa (Muhammad SAW) pada malam hari dari (min)Masjid al-Haram ke (ila) masjid al-Aqsa yang diberkati di sekelilingnya (hawlahu) untuk diperlihatkan tanda-tanda kebesaranNya . Sesungguhnya Dia maha mendengar lagi maha melihat.
Pertama apa yang dimaksudkan dengan 'hawlahu'. Terminologi ini sering ditafsirkan sebagai 'sekitaran' (vicinity or surrounding area) atau 'kejiaranan' (precincts) seperti yang diketengahkan oleh beberapa tokoh termasuk Abdullah Yusuf Ali dalam terjemahan al-Quran (dalam B. Inggeris). Prof Abdul Fattah tidak bersetuju dengan pemahaman seperti ini dan berpandangan 'sekeliling' lebih tepat. Ada perbezaan di anatar sekitaran dan sekeliling. Sekitaran merujuk kepada kawasan yang disekitarnya sahaja. Sedang sekeliling membawa maksud apa yang mengelilinginya. Terdapat batasan pada makna yang pertama sedang pada makna kedua tidak ada batasan. Dalam ertikata yang lain istilah 'hawlahu' merujuk kepada siri-siri bulatan yang semakin membesar (concentric circles) dengan Masjid al-Aqsa sebagai pusat bulatan tersebut. 'Concentric circles' ini menunjukkan bahawa keberkatan yang terpancar dari Masjid al-Aqsa menyinari (radiates) ke seluruh dunia tetapi dengan keamatan (intensity) yang semakin berkurangan. Bererti semakin hampir seseorang itu kepada Masjid al-Aqsa semakin hampirlah ia kepada pusat keberkatan tersebut dan begitu juga sebaliknya. (gambarajah disertakan)
Dalam peristiwa Isra' dan Mikraj Rasulullah SAW melalui satu perjalanan dari Makkah ke Baitul Maqdis dan dari sebuah batu terapung (di mana letaknya kubah batu -kubah sakhrah pada hari ini) Nabi naik ke langit tertinggi bertemu dengan Allah. Ini satu isyarat bahawa di sinilah letaknya pusat keberkatan dan titik yang paling hampir dengan syurga Allah SWT.
Kerana itu Prof Abd Fattah menekankan peri pentingnya umat Islam mengambil berat tentang al-Aqsa dan kemelut yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin. Apakah kita tidak mahu berada hampir dengan pusat keberkatan itu? Tidak kepinginkah kita untuk berada di bumi penuh barakah, bahkan tempat yang diperkira paling hampir dengan syurga Allah di bumi yang fana ini? Oleh kerana barakah itu sifatnya ghaib dan tidak boleh diukur dengan materi (kebendaaan) serta bersifat kerohanian, sesiapapun di atas muka bumi ini -meskipun dia berada pada kedudukan yang paling jauh dari pusat keberkatan itu, dia tetap akan mendapat manfaat yang cukup besar dari keberkatan yang memancar ke seluruh pelusuk alam jika hatinya tertambat ke sana, sentiasa memikir tentangnya sehingga rindu bertapak di jiwa untuk membebaskan masjid al-Aqsa dan bersolat di di dalamnya. Prof Abd Fattah mengakui bahawa beliau dapat merasakan keberkatan itu apabila jiwa raganya dibasahkan dengan perjuangan untuk membela dan mempertahankan masjid al-Aqsa. Dia merasakan keberkatan itu dalam kehidupan peribadinya, keluarganya, anak-anaknya. Denagn hanya 75 pound sterling dia memulakan akademi penyelidikan Islam di Kota London untuk mewujudkan program pengajian 'Islamicjerusalem, kini Prof Abd Fattah berjaya mengumpul dana yang begitu besar sehingga 1 juta pound setahun untuk membangunkan golongan cerdik pandai yang akan memperjuangkan isu Baitul Maqdis melalui pendekatan akademia. Sehingga kini tidak kurang dari 50 sarjana dan lebih dari 10 disertasi Phd telah dihasilkan dalam pengajian Islamic jerusalem. Kini pengajian ini ditawarkan oleh Universiti Aberdeen, Scotland, satu institusi berprestij dan antara yang tertua di UK, satu pengiktirafan dari komuniti akademia barat tentang kedudukan Baitul Maqdis dalam warisan Islam.
Jika kita melihat kedudukan ayat pertama dari surah al-Isra' itu ia menunjukkan isyarat yang tertentu. Surah al-Isra adalah surah yang ke 17 dan permulaan kepada juzu' 15. Ini bererti ayat 1 Surah al-Isra' berada betul-betul di tengah al-Quran (30 juzu'). Kedudukan ayat ini sendiri menunjukkan bahwa al-Aqsa dan Baitul Maqdis adalah pusat tumpuan umat Islam, bukan sahaja dari sudut kedudukan geografinya bahkan dari sudut agenda kehidupan seorang muslim.
Prof Abd Fattah kemudiannya mengulas tentang 'min' dan 'ila'. Perjalanan Isra Nabi SAW mengukuhkan lagi kedudukan kedua Masjid ini dalam konteks misi para Anbiya'. Kaabah di bina oleh Nabi Adam AS. Begitu juga Masjid al-Aqsa diasaskan oleh Nabi Adam AS. Menurut sebuah hadis sahih berdasarkan pertanyaan Abu Dzar al-Ghifari kepada Rasulullah SAW , jarak masa pembinaan kedua masjid adalah 40 tahun. Kemudian Nabi Ibrahim AS dan puteranya Nabi Ismail AS membina Kaabah di atas tapaknya asal dan bersama puteranya Ishaq AS membina Masjid al-Aqsa di atas tapaknya yang asal. Hubungan kedua masjid ini bukan sahaja dari sudut proses pembinaannya bahkan paling menakjubkan apabila seorang pelajar PhD menghasilkan tesisnya yang membuktikan kesamaan yang amat ketara terhadap struktur binaan kedua masjid. Hasil kajiannya ditulis dalam tesisnya yang berjudul 'The Architectural Development of Al-Aqsa mosque in Islamic Jerusalem in the Early Islamic Period: Sacred Architecture in the Shape of 'The Holy', Strathclyde University (2002)' oleh Haithem Fathi Al-Ratrout. Beliau mendapati kedua-dua tapak Kaabah dan kawasan masjid al-Aqsa yang disempadani oleh tembok mempunyai dimensi yang sama. Kedua-duanya adalah berbentuk segi empat tempat yang tidak sekata (irregular rectangle) Ke empat-empat segi empat ini bukan bersudut tepat (<> sedikit dari 90 darjah). Kaabah yang asal menganjur sehingga ke hijir Ismail (ini bermakna bangunan kaabah yang asal lebih panjang dari yang ada pada hari ini). Apabila kedua-dua tapak masjid ini ditindan (superimposed) dimensi keduanya adalah sama (pada ke empat-empat sudut tersebut). Ini bererti Masjid al-Aqsa adalah dimodelkan pada Kaabah tetapi pada nisbah ukuran panjang dan lebar yang lebih besar (greater proportion). Lebih menakjubkan lagi orientasi tapak masjiid al-Aqsa mengadap kepada Kaabah (line of vision).
Rasulullah SAW mematrikan hubungan risalah tauhid yang di bawa oleh para Nabi dari sejak Nabi Adam AS dan Ibrahim Khalilullah AS dengan peristiwa Isra dan Mikraj. Apabila Nabi bersolat di al-Aqsa setengah riwayat mengatakan 124,000 para Nabi menjadi makmum. Tapak masjid al-Aqsa boleh memuatkan sekitar setengah juta orang. Ini bererti separuh dari perkarangan masjid al-Aqsa pada malam Isra dan mikraj dipenuhi oleh para Nabi yang bersolat di situ. Dengan ini terbatallah perdebatan yang mengatakan bahawa kubah sakhrah atau Masjid Umar sebagai Masjid al-Aqsa sebenarnya. Keseluruhan kawasan yang dikelilingi oleh tembok itulah Masjid al-Aqsa, dan kedua-dua kubah hanyalah binaan-binaan yang terdapat pada Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Kedua-dua bangunan ini tidak wujud pada zaman Rasulullah SAW bahkan di bina pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan- Bani Ummayah (Kubah Sakhrah - 688M) dan Sultan Afdhal ibn Sallahuddin (Masjid Umar 1193M).
Implikasi Baitul Maqdis sebagai pusat barakah sangat besar. Apabila Baitul Maqdis dikuasai oleh British dalam Perang Dunia I pada tahun 1917, ia membuka jalan kepada tamatnya kekuasaan politik umat Islam. Pada tahun 1924 runtuhlah Khilafah Uthmaniyah yang menaungi seluruh dunia Islam. Ini bererti jika umat Islam hendak disatukan kembali dan kekuasaan politik Islam hendak diperkasakan kembali dan Islamic world order hendak dibangunkan kembali (Khilafah Uthmaniah) maka tidak syak lagi Baitul Maqdis wajib dibebaskan dari cengkaman zionis. Sebagaimana pembukaan Baitul Maqdis (637M) oleh Umar al-Khattab memadamkan empayar Rum Timur (bizantium), begitu juga Salahuddin al-Ayubi menamatkan kekuatan Salibiyah dengan merebut kembali Baitul Maqdis (1190M). Begitu juga al-Malik Zahir Baybers menamatkan ancaman tentera Monggol ke atas dunia Islam apabila mereka dikalahkan di Ain Jalut di luar Baitul Maqdis pada tahun 1258M.
Bersambung Bhg 3 - Visi Rasulullah SAW untuk membebaskan Baitul Maqdis (insyaAllah)
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
Palestine Centre of Excellence
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment