Thursday, December 2, 2010

Jangan terjebak dengan Assobiyah melayu - siri 5

Assalamualaikum,

Menyambung perbicaraan lalu. Kongres Serikat Islam (SI) yang pertama diadakan di Bandung. Dan bahasa rasmi kongres ialah bahasa melayu sedangkan SI bermula di Pulau Jawa. Ia diasaskan oleh seorang ahli perniagaan yang bernama Hj Samanhudi. Beliau telah melantik seorang aristokrat Jawa yang datang dari keluarga ulama iaitu Hj Omar Said Said Cokrominato sebagai Pemimpin Agung SI.

Persoalan yang menjadi fokus kita dalam perbincangan ini ialah bahasa melayu yang dipilih untuk menjadi Bahasa rasmi Kongres. Bahkan Bahasa melayu tulisan Jawi menghiasi logo SI yang berlambangkan banteng (kerbau) dan senjata tradisi nusantara. Apa istimewanya bahasa melayu di kalangan suku Jawa yang mendominasi SI ketika itu. Bahkan suku melayu adalah suku minoriti di Nusantara. Bahkan apabila Indonesia memplokamirkan kemerdekaan suku melayu hanya mewakili 12% dari pelbagai suku di Kepulauan melayu Indonesia dan suku Jawa mewakili 40%. Tetapi bahasa melayu yang diangkat menjadi bahasa rasmi Republik Indonesia bukannya bahasa Jawa, bahasa yang ibunda majoriti rakyat Indonesia.

Sebabnya adek-adek dan anak-anak ku, bahasa melayu adalah bahasa yang menjadi wahana Islam di nusantara. Bahasa yang miskin dengan perbendahraan kata inilah yang dipilih oleh para du'at yang datang mengembangkan Islam di kepulauan melayu untuk menjadi medium dakwah. Bahasa lain tidak melayakkan untuk memainkan peranan tabligh ini sebab sarat dengan konsep-konsep anti tauhid dan syirik. Bahasa Jawa umpamanya kaya dengan istilah sanskrit sehingga jika bahasa Jawa yang dipilih maka akan kaburlah risalah. Tetapi bahasa melayu yang miskin itu murni dari pelbagai konsep dan falsafah. Lalu bahasa yang miskin diangkat darjatnya dengan dipompa dengan ratusan istilah-istilah Rabbani dan Qurani lalu jadilah ia bahasa ilmu. Dengan pemerkasaan ini bahasa melayu melonjak menjadi bahasa lingua franca yang menghubungkan seluruh suku bangsa di kepulauan melayu bahkan menjadi bahasa perantara dengan pedagang-pedangan dari eropah dan dipertuturkan sejauh Lisbon, Genoa dan Venice.

Ulama yang lahir di seluruh pelusuk nusantara menulis kitab-kitab mereka dan menumpahkan buah fikiran mereka dengan menggunakan bahasa melayu. Syeikh Arshad Banjar menulis kitanya dalam bahasa melayu, Syeikh Abdul Rauf Singkili dari Aceh menulis kitabnya dalam bahasa melayu, Syeikh Nuruddin ar-Ranir dari Gujarat yang bermastautin di Aceh juga menulis kitabnya dalam bahasa melayu. Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Makasiri juga menulis kitabnya dalam bahasa melayu. Begitu juga Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Sumaterani dan Syeikh Abdul Samad al-Falembangi. Mereka tidak menggunakan bahasa ibunda dan dialek daerah masing-masing kerana hanya bahasa melayu yang mempunyai perbendahaaran kata yang cukup untuk menjadi bahasa dakwah, bahasa tabligh.

Lalu seluruh suku bangsa di kepulauan melayu nusantara yang jumlahnya mencecah 200 lebih suku kaum dari Menado (sulawesi Utara), Ambon dan Maluku sehingga Papua di timur dan Aceh, Mandailing dan Batak di barat menisbahkan diri mereka sebagai rumpun bangsa melayu. Dalam ertikata yang lain bahasa melayu menjadi wahana penyatuan yang pertama di nusantara dan ini hanya mungkin dengan Islam. Islamlah yang telah menyatukan pelbagai suku kaum di nusantara melalui bahasa melayu. Dalam kongres SI yang pertama inilah Hj Omar Said Cokrominato mengistiharkan tuntutan 'self bestuur' iaitu kemerdekaan bagi rakyat di seluruh kepulauan melayu. Pengistiharaan ini dibuat dalam bahasa melayu.

Adek-adek dan anak-anak ku. Apa yang boleh kita simpulkan di sini? Bangsa melayu yang rendah martabatnya itu mendapat jatidirinya dari Islam yang telah mewarnai bahasa, budaya dan pandangan hidup (worldview) orang melayu. Demikian tingginya darjat orang melayu yang diperolehinya dari Islam sehingga seluruh suku bangsa di nusantara ini menisbahkan diri mereka dengan bahasa melayu. Dalam ertikata yang lain kehebatan orang melayu adalah kerana Islam. Jika orang melayu hendak mengekalkan kehebatan ini maka pertahankanlah Islam yang ada pada orang melayu. Mempertahankan Islam ini bermaksud mengajak dan menyeru semua manusia yang ada di kalangan mereka (di Malaysia) supaya berpaksilah kepada Islam dan hanya kepada Islam. Jika seruan itu sudah berubah kepada seruan yang menjurus kepada kesetiaan kepada bangsa dan pemerkasaan kepada bangsa maka orang lain akan beransur-ansur menjauhkan diri mereka dari Islam yang menjadi sumber rahmat kepada seluruh manusia.

Adek-adek dan anak-anak ku jangan terpedaya dengan slogan-slogan 'Memartabatkan kesetiaan bangsa'. Kesetiaan kita hanya kepada Allah dan Rasulnya'.

Kita adalah kaum yang menjadi mulia dengan Islam. Maka barangsiapa mencari selain Islam tidak akan menambahkan padanya selain kehinaan'

Dr Hafidzi Mohd Noor

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc