Wednesday, December 29, 2010

Pandangan Pengarah PACE dlm Utusan Malaysia 27 Dis 2010

Pendirian Amerika Selatan dalam isu Palestin

ADA keberanian luar biasa yang ditunjukkan oleh negara-negara Amerika Selatan seperti Argentina, Brazil dan Uruguay berhubung krisis yang berlaku di Asia Barat. Buat pertama kalinya, negara-negara itu menyatakan pendirian secara terbuka berhubung konflik antara Palestin dan Israel.

Dalam satu surat yang diutuskan kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, ketiga-tiga negara itu mengakui Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan perbatasan seperti ditentukan pada 1967. Ia merupakan reaksi kepada rancangan Mahmoud Abbas yang mahu mengisytiharkan Palestin sebagai negara berdaulat menjelang 2011.

Malah seperti yang disebut Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad, pengisytiharan Palestin merdeka itu akan dilaksanakan pada Ogos tahun depan. Apa yang lebih mengujakan ialah pendirian Argentina, Brazil dan Uruguay itu bakal disertai oleh beberapa negara Amerika Selatan yang lain. Paraguay, Bolivia dan Ecuador juga dikatakan akan memberikan pengiktirafan yang serupa terhadap Palestin dalam masa terdekat ini.

Menarik untuk dilihat mengapa negara-negara Amerika Selatan yang sebelum ini tidak begitu memberi tumpuan kepada konflik di Asia Barat, secara tiba-tiba muncul membela rakyat Palestin. Apatah lagi pendirian itu bertentangan dengan dasar luar AS, sedangkan negara Amerika Selatan sebelum ini sering sealiran termasuk dalam permasalahan di Asia Barat.

Apa yang boleh dilihat ialah sebahagian negara-negara Amerika Latin itu menganggap pendirian dan tindakan mereka tidak lagi perlu terikat dengan dasar luar AS. Kerana itu, negara tersebut lantang membidas Israel apabila berlaku siri-siri serangan ke atas Gaza pada 2008 dan serangan ke atas flotila kemanusiaan ke Gaza pada Mei 2010.

Presiden Venezuela, Hugo Chavez misalnya, bertindak mengusir duta Israel keVenezuela ekoran serangan biadab Israel pada 2009. Malah, beliau turut menuduh Israel terlibat melakukan genosida iaitu pembunuhan etnik ke atas penduduk Palestin.

Bahkan sebelumnya iaitu pada 2006, Venezeula turut memanggil pulang dutanya ke Israel sebagai protes ke atas serangan Israel terhadap Lebanon.

Perkara yang sama turut dikongsi oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor. Tambah beliau, keberanian negara-negara Amerika Selatan itu juga banyak didorong oleh kekuatan untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengharapkan sokongan AS. Dari sudut ekonomi misalnya, negara-negara Amerika Selatan ketika ini tidak lagi bergantung kepada suntikan dana dari AS atau melalui instrumen-instrumen kewangan yang mewakili kepentingan AS seperti Bank Dunia.

Seperti Brazil pada 2005 berjaya melunaskan semua hutang daripada Bank Dunia berjumlah lebih US$15 bilion. Bahkan negara itu pada 2009 sebaliknya memberi pinjaman kepada Bank Dunia sebanyak US$10 bilion. Selain Brazil, negara-negara Amerika Selatan lain juga menunjukkan pemulihan ekonomi yang positif yang kebanyakannya berlaku di luar kerangka suntikan dana atau bantuan instrumen kewangan AS.

Hafidzi menjelaskan, di sebalik kekuatan ekonomi, keyakinan tinggi negara-negara Amerika Selatan untuk tidak sealiran dengan AS berhubung isu Asia Barat juga kerana muak dengan sikap berdolak-dalik Israel berhubung perjanjian damai dengan Palestin. Negara-negara Amerika Selatan itu katanya, menyedari bahawa dari sudut prinsip, Palestin sepatutnya sudah lama diisytiharkan bebas dan merdeka.

Ini berdasarkan resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB di mana Israel dikehendaki keluar dari wilayah yang mereka ceroboh pada tahun 1967 iaitu Tebing Barat, Baitul Maqdis Timur dan jalur Gaza. Namun Israel dan AS tidak pernah mengendahkan resolusi ini. Begitu juga apabila termeterainya perjanjian Oslo pada tahun 1993 antara Yasser Arafat dan Yitzhak Rabin yang mana negara Palestin merdeka dijadualkan diisytiharkan dalam tempoh lima tahun iaitu pada 1998.

Namun Israel terus mengkhianati persetujuan Oslo dan meneruskan aktiviti pembinaan penempatan haram di Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat. Banyak lagi ketetapan dan persetujuan yang dicapai oleh dunia yang menjurus kepada kedamaian di Asia Barat tetapi dicabul oleh Israel.

''Terakhir ialah persetujuan yang dicapai semasa Konferens Annapolis pada 2007. Persetujuan ini langsung tidak bererti apabila Israel melanjutkan tindakan mengambil tanah rakyat Palestin di Tebing Barat, mengusir penduduk Palestin dan membina penempatan haram Yahudi sebaik sahaja ia dicapai," ujar beliau.

Tindakan-tindakan biadap Israel inilah yang semakin terserlah di mata masyarakat antarabangsa dan mendesak negara-negara Amerika Selatan memberikan sokongan kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka. Tidak mustahil, tindakan negara-negara Amerika Selatan itu bakal dicontohi oleh banyak negara lain yang akan menyatakan sokongan serupa terhadap Palestin berdaulat tahun depan. Kerana itu bagi Hafidzi juga, sokongan negara-negara Amerika Selatan tersebut tidak boleh dianggap kecil.

Mereka amat menginsafi kesan dari sokongan ini sehingga Kongres Yahudi Sedunia (WJC) dan Liga Anti-Fitnah (ADL) terpaksa membuat kenyataan bagi pihak Israel. Bahkan Israel turut mendesak Kuartet Asia Barat yang diterajui AS supaya melakukan sesuatu sekali gus menunjukkan negara itu berada dalam keadaan terdesak.

Selepas cukup terkesan dengan tekanan yang dikenakan oleh Turki iaitu sebuah negara sekutu kuat Israel selama ini, negara itu kini berhadapan pula dengan pandangan umum antarabangsa yang tidak memihak kepada kelangsungan mereka.

Kali ini ia tidak datang dari negara-negara Arab yang tidak pernah dilihat sebagai satu ancaman oleh Israel. Sebaliknya, ia datang dari negara-negara Amerika Selatan yang mana Israel tidak lagi boleh mengambil sikap mudah kerana implikasinya cukup besar.

''Wajah buruk Israel sebagai negara penyangak (rogue state) akan terus subur dan membentuk sikap dan tindakan masyarakat dunia selepas ini," ujar Hafidzi.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc