Thursday, December 2, 2010

Jangan terjebak dengan Assobiyah melayu - siri 4

Assalamualaikum,

Masih lagi kita berbicara tentang Assobiyah melayu? Kini ada di kalangan kita yang menisbahkan dirinya sebagai pejuang melayu Islam? Kalau dulu 'cukup dengan Islam' sahaja. Kini seolah-olah tidak lengkap Islam itu kalau tidak ada predikatnya. Maka ditambahlah di sana 'melayu Islam'. Pastinya ini mendorong saudara-saudara Islam yang lain yang berada di luar kelompok bangsa melayu menamakan pula diri mereka pejuang 'Cina Islam', pejuang 'Kadazan-Dusun Islam', pejuang 'India Islam'.

Tercapailah hasrat tokoh-tokoh imperialis zaman kolonial untuk melihat umat Islam ini kembali dalam kelompok suku dan kabilah masing-masing. Masih ingat Christian Snouck Hurgronje? Seorang tokoh brilliant Belanda yang ditugaskan bagi mencari jalan penyelesaian untuk menundukkan umat Islam Aceh yang degil.

Dengan dasar 'Islam politiek' nya Snouck Hurgronje menyarankan Islam ini dipecahkan kepada tiga aspek. Satu namanya ibadah murni yang mencakupi soal-soal ibadah, satu lagi aspek sosio politik yang mencakupi soal-soal pemerintahan dan pentadbiran. Yang ketiga menyentuh adat istiadat. Sementara umat Islam bebas untuk menjalankan tuntutan ibadah di masa yang sama pemerintah harus bertegas dalam soal siasah dan pentadbiran.

Satu lagi kekuatan umat Islam yang dilihat oleh Snouck ialah perpaduannya. Dia melihat padunya persaudaraan Islam di Mekah. Oleh itu dia menyarankan satu-satunya jalan untuk memecahkan kesatuan umat Islam ialah dengan mengembalikan mereka kepada adat-istiadat sebelum Islam. Jika adat-adat dan kepercayaan lama ini dihidupkan semula maka umat Islam akan kembali menobatkan suku dan kelompok masing-masing. Dalam konteks nusantara mereka akan melihat diri mereka sebagai orang Aceh atau Jawa atau Sunda atau Minang atau Melayu dan ratusan suku bangsa yang lain sebelum mereka melihat diri mereka sebagai sebahagian dari umat Islam.

Untuk memenuhi objektif ini maka dikirimkan sarjana-sarjana seperti NJ Krom dan Brandes untuk membuat kajian ilmiah tentang adat istiadat dan bahasa pertuturan suku kaum di nusantara. Dikirim pula pakar-pakar arkeologi untuk membaik pulih candi-candi lama peninggalan SriVijaya dan Majapahit. Candi-candi ini dijadikan mercu tanda kegemilangan spt Prambanan, Mendut, Borobodur dan sebagainya. Dihidupkan semula epik zaman hindu seperti 'Asmaradana' dan 'Hikayat Pandawa Lima'. Watak-watak hero bagi setiap suku dinobatkan sebagai ikon seperti halnya Hang Tuah (orang melayu) dan Cindor mato (orang Bugis). Aspek-aspek magis dan heroik meskipun tidak Islamic pada watak-watak hero ini diraikan dalam hikayat dan penglipur lara. Dilagakan pula suku melayu dan Jawa melalui watak seperti Hang Tuah.

Snouck amat memahami bahawa di nusantara ini sebelum Islam tidak ada satu faktorpun yang menyatukan mereka. Setiap suku bangsa duduk dalam lingkungan mereka dan melihat suku bangsa lain sebagai pesaing yang perlu ditundukkan. Lantaran itu suku sunda dan Jawa sentiasa berperang meskipun kedua-duanya beragama syiwa-buddha. Orang Sunda membina Kerajaan Pajajaran (Jawa Barat) sedang orang Jawa membina empayar Majapahit (Jawa tengah dan barat). Orang melayu dan Jawa memang tidak pernah sepakat dan sentiasa bermusuhan.

Apakah pendekatan Snouck ini berjaya? Snouck tidak akan mampu meleraikan faktor yang menyatukan umat Islam di nusantara. Kerana faktor penyatuan umat Islam di mana-mana pun di atas muka bumi ini bertolak dari hati nurani. Allah berfirman 'berpeganglah kamu kepada tali Allah dan jangan kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dahulu bermusuhan lalu Allah mempersatukan hatimu sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara... Bagaimana mungkin persatuan yang tunjangnya adalah tauhid dapat dileburkan. Umat islam diperingatkan 'Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyembah akan daku'.

Setelah umat Islam ditewaskan dalam medan peperangan fizikal yang parah di Aceh (1873 - 1913), Perang Paderi Minangkabau (1821 - 1837), Perang Diponogoro Jawa (1830 - 35), Perang Banten (1881 - 1888) mereka bangkit kembali mengumpul kekuatan di medan siasah. Apabila Serikat Islam tertubuh pada tahun 1905, umat Islam bangkit dengan kekuatan baru, dengan senjata yang lebih ampuh iaitu perpaduan. Apabila Serikat Islam mengadakan kongresnya yang pertama di Bandung, penyertaan mencecah 80,000 orang dan mereka datang dari Aceh hingga sejauh Makassar bahkan Bali juga menghantar perwakilan. Dalam hanya beberapa tahun pendukung SI mencecah 2 juta orang dari seluruh nusantara merangkumi ratusan suku kaum. Sejarah tidak pernah menyaksikan penyatuan yang sedemikian rupa. Nusantara pernah disatukan di bawah hegemoni politik imperial Majapahit yang ditunjang oleh suku Jawa. Namun penyatuan ini artificial sifatnya dan tidak dapat dipertahankan apabila hegemoni politik Majapahit berakhir di tangan Kerajaan Islam Demak.

Apakah bahasa perantara yang digunakan di dalam kongres SI? Bahasa yang digunakan ialah Bahasa Melayu. bahasa pertuturan bangsa melayu diangkat menjadi bahasa rasmi kongres sedangkan suku bangsa melayu adalah suku bangsa minoriti di bandingkan dengan suku Jawa dan Sunda yang menjadi tuan rumah kepada kongres SI. Bagaimana bahasa melayu mengalami lonjakan sedemikian rupa. Apakah ketuanan melayu yang menjadi faktornya?

Wahai adek-adek dan anak-anak ku, mari kita bedah persoalan ini untuk mencari jawapannya dalam siri yang seterusnya InsyaAllah.

Hafidzi MN

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc