Wednesday, December 8, 2010

Pendirian PACE: Sokongan negara Amerika Latin ke atas Palestin

Assalamualaikum

Tindakan Mahmud Abbas untuk mengistiharkan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka menjelang 2011 dan disusuli dengan kenyataan Salam Fayyad bahawa pengistiharan itu akan dilaksanakan pada bulan Ogos telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat antarabangsa.

Negara-negara Amerika Latin telah memberi reaksi positif kepada pengumuman tersebut dengan menyokong pendirian Pihak Berkuasa Palestin (PNA). Setakat ini tiga negara Amerika Latin iaitu Brazil, Argentina dan Uruguay telah menyatakan sokongan padu mereka untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin yang berdaulat. Adalah dijangka beberapa negara Amerika Latin yang lain juga akan berbuat demikian dalam masa yang terdekat. Seperti yang dijangka Israel membidas tindakan tersebut dan mendakwa pendirian negara-negara Amerika Latin tersebut bertujuan untuk menjejaskan rundingan damai di antara Israel dan pihak berkuasa Palestin. Ronald S. Lauder, presiden Kongres Yahudi Sedunia (WJC), jurucakap bagi pihak Israel menegaskan bahawa proses perdamaian di antara Israel dan Palestin mestilah berdasarkan kepada rundingan damai yang disepakati di antara kedua pihak. Dalam satu kenyataan rasmi, WJC mendesak Amerika Syarikat dan tiga lagi anggota Kuartet Timur Tengah iaitu Rusia, Kesatuan Eropah dan Bangsa-bangsa Bersatu supaya mengutuk pendirian negara-negara Amerika Latin tersebut dan membuat penegasan bahawa konflik di antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin hanya akan diputuskan melalui persetujuan bersama di antara kedua pihak. Abraham H. Foxman, Pengarah Pusat bagi ADL, Anti-Defamation League (Liga Anti 'fitnah'), sebuah badan yang memantau kenyataan yang berbaur 'anti semitik" yang berpusat di Amerika Syarikat menegaskan bahawa tindakan negara-negara tersebut hanya akan menjejaskan usaha membina jambatan dan persefahaman di antara Israel dan Palestin.

Pendirian negara-negara Amerika Selatan untuk menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat adalah konsisten dengan semua pendirian mereka dalam isu konflik Palestin - Israel. Semenjak beberapa tahun kebelakangan negara-negara tersebut telah mengambil pendirian yang menunjukkan sikap kritikal mereka terhadap dasar luar Amerika Syarikat. Sebahagian negara-negara Amerika Latin menganggap pendirian dan tindakan yang mereka ambil tidak perlu lagi terikat dengan dasar luar Amerika. Kerana itu mereka amat lantang membidas Israel apabila berlaku siri-siri serangan ke atas Gaza pada tahun 2008 dan serangan ke atas flotila kemanusiaan ke Gaza pada bulan Mei 2010. Presiden Venezuela, Hugo Chavez telah bertindak mengusir duta Israel keVenezuela ekoran serangan biadab Israel pada tahun 2009 sambil menuduh Israel terlibat melakukan genosid - pembunuhan etnik ke atas penduduk Palestin. Bahkan sebelum itu pada tahun 2006 Venezeula memanggil pulang dutanya ke Israel sebagai protes ke atas serangan Israel terhadap Lebanon. Begitu juga Presiden Evo Morales telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Presiden yang sama pernah mengusir duta Amerika ke Bolivia pada tahun 2008 atas dakwaan Amerika mendalangi sokongan kepada parti pembangkang Bolivia. Dengan tindakan berani sedemikian, pendirian untuk menyokong pengistiharan negara Palestin yang merdeka langsung tidak memeranjatkan dunia.

Sikap kritikal dan tegas ke atas Israel terus diperlihatkan dalam tragedi yang menimpa flotila kemanusiaan ke Gaza, apabila berlaku serangan ke atas para sukarelawan yang berada di atas kapal Mavi Marmara pada hujung Mei 2010, Brazil telah mengarahkan duta Israel ke Brazil untuk mengutuk dan menjelaskan tindakan biadap tersebut. Sebelas negara Amerika tengah dan selatan mengutuk Israel ekoran tragedi Mavi Marmara iaitu Argentina, Bolivia, Venezuela, Cuba, Nicaragua, Mexico, Ecuador, Chile, Paraguay, Uruguay dan Peru.

Apakah latarbelakang kepada sikap tegas dan tindakan berpaksikan prinsip yang didokongi oleh negara-negara Amerika Selatan. Salah satu dari asasnya ialah negara-negara tersebut sudah mandiri dari sudut ekonomi dan tidak lagi bergantung kepada suntikan dana dari Amerika Syarikat atau melalui instrumen-instrumen kewangan yang mewakili kepentingan Amerika Syarikat seperti Bank Dunia. Brazil berjaya melunaskan semua hutangnya sebanyak lebih dari USD15 billion kepada bank dunia pada tahun 2005. Bahkan pada tahun 2009 Brazil memberi pinjaman kepada bank dunia sebanyak USD10 billion. Negara-negara kuasa ekonomi baru di samping Brazil iaitu India, Rusia dan Cina turut memberi pinjaman kepada Bank Dunia. Semua ini mengisyaratkan bahawa Amerika Syarikat bukan lagi kuasa besar unitunggal yang tidak bolih dicabar oleh mana-mana pihak. Kemandirian dari sudut ekonomi inilah yang menunjangi tindakan Brazil untuk tidak bersetuju dengan Amerika Syarikat bagi meneruskan sekatan ekonomi ke atas Iran pada tahun 2010. Kemandirian ekonomi sebagai penentu penting dalam membebaskan diri dari kongkongan Amerika Syarikat turut dipamerkan oleh Turki yang menyertai Brazil membantah penerusan sekatan ekonomi ke atas Iran.

Apakah implikasi dari pengiktirafan dan sokongan negara-negara Amerika latin ke atas Palestin. Dari sudut prinsipnya, negara Palestin sepatutnya telah lama diistiharkan bebas dari pendudukan Israel. Ini adalah berdasarkan kepada resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB di mana Israel dikehendaki keluar dari wilayah yang mereka ceroboh pada tahun 1967 iaitu Tebing Barat, Baitul Maqdis Timur dan jalur Gaza. Namun seperti resolusi lain yang dianggap tidak menyebelahi kepentingan Israel tidak diendahkan oleh israel dan pelindungnya Amerika Syarikat. Kemudian apabila termetrinya perjanjian Oslo pada tahun 1993 di antara Yasser Arafat dan Yitzhak Rabin, negara Palestin yang merdeka dijadualkan akan diistiharkan dalam tempoh lima tahun iaitu pada tahun 1998. Namun Israel terus mengkhianati persetujuan Oslo dan meneruskan aktiviti pembinaan penempatan haram di Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat. Persetujuan Oslo kemudiannya gagal dan disusuli pula dengan pelbagai inisiatif untuk mengembalikan hak rakyat Palestin dan penubuhan wilayah Palestin yang berdaulat di Tebing Barat dan Baitul maqdis timur. Namun apa yang berlaku semua perjanjian dan persetujuan ini hanya tinggal retorik. israel pula terus berdolak dalih dan memberi alasan demi alasan untuk terus berunding kononnya bagi mencapai kata sepakat. Kata sepakat tidak mungkin tercapai apabila israel bertindak melanggar semua ketetapan yang telah disepakati dalam siri-siri rundingan yang lebih layak disebut siri-siri penipuan. Terakhir ialah persetujuan yang dicapai semasa Konferens Annapolis pada tahun 2007. Persetujuan ini langsung tidak bererti apabila sebaik sahaja ketetapan disepakati, Israel melanjutkan tindakan mengambil alih tanah rakyat Palestin di Tebing Barat, mengusir penduduk Palestin dan membina penempatan-penempatan haram Yahudi. Konferens Annapolis menjadi satu pertemuan sia-sia apabila menteri Luarnya Avigdor Lieberman mengistiharkan Konferens Annapolis tidak relevan pada 1 April 2009.

Berdasarkan kepada rekod buruk yang dipamerkan oleh Israel berhubung siri-siri rundingan damai Palestin israel, maka kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan peruntukan Resolusi 181 dan Persetujuan Rhodes 1949 adalah suatu yang hampir mustahil. Kemungkinan inilah yang mendorong Mahmud Abbas untuk membuat pengistiharan sehala negara Palestin yang merdeka menjelang Ogos 2011. Namun pengistiharan ini jika tidak ditunjangi oleh kehendak politik yang bersungguh ia juga akan tinggal retorik. Apa yang perlu dilakukan oleh Mahmud Abbas dan fraksi Fatah yang mentadbir Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur ialah mengambil sikap bekerjasama dengan pemerintahan Hamas di Gaza. Hamas meletakkan pendirian yang jelas iaitu Israel mesti berundur dari wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dan kemudian disusuli dengan gencatan senjata untuk tempoh waktu yang diputuskan oleh kedua belah pihak, tanpa perlu mengiktiraf negara Israel. Kerana hakikatnya negara Israel yang ditubuhkan pada tahun 1948 itu tetap merupakan satu pendudukan haram ke atas negara Palestin meskipun ianya diiktiraf oleh PBB melalui resolusi 181. Resolusi ini meskipun legal namun ia diterima dalam keadaan PBB belum lagi dianggotai oleh negara-negara umat Islam dan rancangan pembahagian palestin kepada wilayah Arab (45%) dan Yahudi (55%) tidak pernah dirujuk kepada rakyat Palestin yang merupakan waris sebenar ke atas negara palestin. Masalahnya ialah PNA (Pihak Berkuasa Palestin) yang diterajui oleh fatah telah melakukan kesilapan besar dalam perjanjian Oslo iaitu mengiktiraf Israel tanpa sebarang pengiktirafan Israel ke atas negara Palestin dan kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin. Apa yang diterima oleh pihak PLO dalam perjanjian Oslo ialah sekadar pengiktirafan Israel ke atas pihak berkuasa Palestin untuk mentadbir wilayah yang kecil iaitu di Ariha (Jericho) di Tebing Barat.

Walaubagaimanapun sokongan padu dari negara-negara kuasa ekonomi baru termasuklah negara-negara Amerika Latin yang mandiri ekonomi bolih memberikan tekanan yang cukup besar kepada Israel. Sokongan negara negara Amerika Selatan tidak boleh dianggap kecil. Mereka amat menginsafi kesan dari sokongan ini sehingga WJC dan ADL terpaksa membuat kenyataan-kenyataan bagi pihak Israel, bahkan mendesak Kuartet Timur tengah yang diterajui Amerika supaya melakukan sesuatu. pastinya ini mengisyaratkan Israel kini berada dalam keadaan yang terdesak. Israel yang sudah cukup terkesan dengan tekanan yang dikenakan oleh Turki, sebuah negara sekutu kuat Israel selama ini, kini berhadapan pula dengan pandangan umum antarabangsa yang tidak memihak kepada kelnagsungan negara Israel itu sendiri. Kali ini ia tidak datang dari negara-negara Arab yang tidak pernah dilihat sebagai satu ancaman olehnya. Ia datang dari negara-negara Amerika Selatan dan kali ini Israel tidak bolih lagi mengambil sikap acuh tak acuh kerana implikasinya cukup besar. Wajah huduh Israel sebagai negara penyangak (rogue state) akan terus subur dan membentuk sikap dan tindakan masyarakat dunia selepas ini.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE (pusat Kecemerlangan Palestin)
Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif Bhd.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc