Thursday, June 30, 2011

Cdgn teks Khutbah Aqsa Syarif sempena Isra Mikraj

Cadangan Teks Khutbah sempena Isra Mikraj: Membebaskan Baitul Maqdis

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Memperingati peristiwa Isra’ Mikraj bererti memperingati perjuangan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan satu misi yang mengambil masa selama 23 tahun. Seerah ataupun perjalanan hidup Rasulullah SAW ini merupakan khazanah yang tidak ternilai kepada umat Islam yang melaksanakan misi yang telah diwariskan kepada umat yang datang kemudian. Ini ditegaskan di dalam khutbah wida' (haji perpisahan) ketika Nabi berpesan 'hendaklah mereka yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir agar yang tidak hadir lebih memahami. Mereka yang tidak hadir itu ialah umat Islam yang datang silih berganti dari satu generasi kepada satu generasi dan mereka semua dituntut untuk memahami tugas yang diamanahkan kepada mereka iaitu menyeru kepada al-khair (Islam), menyuruh kepada ma'ruf dan menghalang dari kemungkaran. Inilah misi besar yang ditaklifkan ke atas umat Islam sepanjang zaman.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Untuk meneruskan misi ini kita berhajat kepada panduan yang terdapat di dalam seerah. Seerah mengandung prinsip-prinsip perjuangan yang memandu umat Islam untuk memikul tugas yang maha berat ini. Seerah adalah gambaran terhadap apa yang bakal dilalui oleh mereka yang mahu meneruskan perjuangan Nabi SAW.
Peristiwa Isra’ Mikraj pastinya berkait rapat dengan tanah suci al-Quds di Palestin. Sudah tentu peristiwa besar yang dialami Rasulullah SAW ini sangat relevan di dalam memahami tuntutan perjuangan membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa yang merupakan tempat singgahnya Nabi dalam perjalanan Isra’ Mikraj yang penuh baroqah. Dalam konteks ini kita dapati banyak persamaan di antara peristiwa yang berlaku pada hari ini dengan apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW sendiri. Rakyat Palestin pada hari ini ditindas dan dizalimi oleh zionis Israel. Mereka dikenakan sekatan perjalanan, penyingkiran dari tanah-tanah milik
mereka, kepungan oleh tembok-tembok pemisah dan terakhir sekatan ekonomi dan penutupan laluan darat, udara dan laut di Gaza. Semua bentuk kezaliman dan penindasan ini pernah ditimpakan ke atas Rasulullah SAW dan komuniti mukmin oleh orang-orang
Quraish. Bahkan seluruh Bani Hasyim dan Bani Abu Talib yang mempunyai hubungan keluarga dengan Rasulullah SAW diboikot samada mereka muslim atau sebalinya. Ini bererti sesiapa juag yang menyokong atau melindungi Rasulullah SAW walaupun mereka bukan dari kalangan umat Islam turut menerima akibat dan dipulau sama.
Seluruh penduduk Mekah membuat perjanjian untuk memboikot, memulau, tidak bersilaturrahim, tidak berjual beli, tidak berkahwin dengan mereka. Selama tiga tahun lamanya mereka dipinggirkan di Shiib (lembah) Abi Talib. Keadaan menjadi begitu genting sehingga anak-anak menangis kelaparan pada waktu malam dan mereka terpaksa mengalas perut dengan kulit unta dan kulit-kulit kayu. Rasulullah SAW dikhianati dan dianiaya oleh penduduk Mekah termasuk bapa saudara Nabi sendiri iaitu Abu Lahab. Apabila kita bandingkan dengan apa yang berlaku pada hari ini maka kita akan dilihat persamaan yang amat ketara. Bukan sahaja rakyat Palestin dikepung dan dipulau oleh masyarakat antarabangsa yang didalangi oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Rusia dan PBB bahkan mereka dikhianati oleh pemimpin-pemimpin Arab. Dalam keadaan rakyat Gaza diserang bertalu-talu oleh zionis Israel, pemimpin-pemimpin Arab bersekongkol menyokong serangan ini dan menghalang bantuan dari menyeberang masuk ke Gaza. Semua drama yang pahit ini telah kita saksikan di Gaza. Anak-anak merintih kelaparan pada waktu malam sehingga ibu-ibu mengutip rumput di jalanan untuk direbus dan mengalas perut anak-anak mereka. Ini jugalah yang dialami oleh Rasulullah SAW. Dek kerana tidak tertahan mendengar rintihan anak-anak maka ada di kalangan orang-orang Quraish yang tidak sampai hati dan menyusup pada waktu malam untuk menghantar makanan. Kini rakyat Gaza merintih tetapi bantuan dihalang memasuki Gaza.
Kita perhatikan sikap pemimpin-pemimpin Arab yang serupa dengan sikap pemimpin Quraish termasuk Abu Lahab yang merupakan keluarga Rasulullah SAW sendiri. Kita telah melihat bagaimana Hosni Mubarak, pemerintah Arab Saudi, Raja Jordan bahkan
Presiden Mahmud Abbas (Pihak Berkuasa Palestin) sendiri merestui serangan ke atas Gaza, melantik kontraktor Mesir untuk membekalkan makanan kepada askar Israel dan mengenakan pelbagai syarat tidak menasabah sehingga menghalang bantuan untuk menyeberang ke Gaza.
Namun seerah menunjukkan pemulauan ke atas Rasulullah SAW adalah merupakan siri-siri awal kepada kemenangan yang bakal ditempa oleh umat Islam. Boikot ini berakhir setelah tiga tahun dan diikuti pula dengan pelbagai bentuk penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh Rasulullah SAW. Ini termasuklah kematian Abu Talib dan isteri tercinta, Sy Khadijah RA yang merupakan tonggak utama kepada Rasulullah SAW. Ini disusuli dengan peristiwa menyayat hati apabila Rasulullah diusir dari Taif dan dilontar dengan batu. Dalam saat-saat yang amat menekan inilah Rasulullah SAW dikurniakan mukjizat yang amat besar iaitu peristiwa Isra' dan Mikraj. Dalam peristiwa bersejarah ini Nabi singgah di Masjid Al-Aqsa sebelum meneruskan mikraj ke Sidratul Muntaha.
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ
Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Al-Isra’ 1
Sidangh Jumaat yang dirahmati Allah,
Perjalanan ini punya makna yang sangat simbolik dalam perjuangan Palestin pada hari ini. Selepas peristiwa Isra' dan Mikraj bermulalah pertemuan dengan penduduk Yathrib yang membawa kepada perjanjian Aqabah I dan II yang disusuli dengan hijrah dan pemasyuran Yathrib sebagai Kota Madinatul Nabi. Bermula dari saat itu kemenangan demi kemenangan ditempa sehingga cahaya Islam memancar ke seluruh ufuk timur dan barat. Kesemua ini menunjukkan kepada kita bahawa kemanangan bakal datang setelah pelbagai ujian dan mehnah dilalui oleh umat Islam di palestin.
Peristiwa Isra’ dan Mikraj juga mengingatkan kita kepada gambaran-gambaran akhir
zaman yang telahpun dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Beriman denganmRasul bererti beriman dan meyakini dengan berita-berita ghaib yang disampaikan oleh baginda, samada menyangkut tentang peristiwa masa depan apatah lagi tentang hari Qiamat. Berkaitan tentang peristiwa masa depan yang bersangkutan dengan Palestin, terdapat begitu banyak
perkhabaran-perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi. Sepatutnya perkhabaran-perkhabaran ini menguatkan azam dan keyakinan umat Islam tentang jihad yang sedang berlaku di palestin. Malangnya umat Islam pada hari hilang punca apabila berhadapan dengan isu Palestin. Sebabnya ialah kita tidak lagi menggunakan neraca iman dalam menilai perjuangan Palestin. Sebaliknya kita menggunakan penilaian kebendaan dan seringkali menyalahkan rakyat Palestin tanpa melakukan apa-apa untuk membantu mereka. Walhal apa yang saksikan pada hari ini telahpun digambarkan oleh Rasulullah SAW.
Nahik Ibn Suraym al-Sakuni r.a. menyampaikan dari Rasulullah SAW, baginda bersabda “kamu akan memerangi golongan kafir sehingga yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu berada di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka berada di sebelah baratnya (Tebing Barat – Palestin yang dijajah Israel).”
Ibnu Hajar al-Asqalani.
Rasulullah SAW bersabda berhubung dengan penduduk tanah suci al-Quds, “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak dan hamba sahaya mereka berada dalam ribat (kubu) di jalan Allah”
Al-Tabarani.
Masjid al-Aqsa pasti akan dibebaskan. Sama ada umat Islam peduli atau tidak tentang keadaan masjid al-Aqsa yang terkepung pada hari ini. Hakikatnya mereka yang berjihad untuk melindungi dan mempertahankan tanah suci akan dimuliakan oleh Allah dan mereka akan dijanjikan kemenangan. Sedang mereka yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad yang merupakan kewajipan setiap umat Islam ini pastilah akan rugi dengan kerugian yang tak mungkin dapat ditaksir di dunia dan di akhirat. Semuga Allah membuka hati kita dan memilih kita untuk berada di dalam saf umat Islam yang berjihad untuk membebaskan masjid al-Aqsa.
Muawiyah bin Abu Sufyan menyampaikan Rasulullah SAW bersabda, “Akan ada di kalangan umatku yang akan terus berada di atas jalan kebenaran. Tiada sesiapa yang menentang mereka dapat menyakiti mereka sehingga tiba hari kiamat”, Para sahabat bertanya, “Di mana mereka ya Rasulullah?” Rasulullah SAW jawab, “Mereka berada di baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Hari ini kita menyaksikan cahaya kemenangan sudah mulai kelihatan. Amat benarlah janji Allah. Kepalsuan tidak dapat dipertahan dan pasti musnah. Hakikat ini sedang kita saksikan pada hari ini. Regim-regim Arab yang melindungi Israel ditumbangkan satu demi satu. Masyarakat antarabangsa terutama dari barat kini berada di barisan hadapan membela rakyat Palestin bahkan bersedia untuk berkorban apa sahaja untuk membantu rakyat Gaza yang terkepung. Semua ini adalah bukti bahawa perjuangan untuk pembebasan Tanah suci pastinya akan mendapat pembelaan berterusan dari Allah sehingga kejayaan di capai sepenuhnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif
1 Julai 2011

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc