STANDPOINT
Berikut adalah Penjelasan Aqsa Syarif terhadap ‘Penyelesaian 2 negara’ (Two-State Solution) yang lestari.
Bagi pengamat isu Palestin, seringkali penyelesaian dua Negara diketengahkan sebagai jalan keluar kepada konflik di antara Palestin dan negara haram Israel. Apakah asas kepada penyelesaian 2 negara ini?
Fakta-fakta sejarah yang berkaitan perlu diketahui untuk memahami tuntutan beberapa pihak dalam mengusulkan penyelesaian tersebut. Ia bermula pada tahun 1947 apabila PBB meluluskan Resolusi 181 yang membahagikan negara mandat Palestin (Mandated Palestine di bawah pentadbiran British) kepada wilayah Arab sebanyak 45% dan wilayah Yahudi sebanyak 55%. Pembahagian ini diusulkan oleh UNSCOP – Jawatankuasa Khas PBB untuk Palestin di bawah Pelan Pemisahan (partition plan). Sebagaimana yang dijangka umat Arab menolak ketetapan ini dan mencetuskan perang Arab-Israel yang pertama sebaik sahaja negara haram Israel diistiharkan pada 15 Mei 1948 berdasarkan Resolusi 181. Perang ini berkesudahan dengan kemenangan di pihak Israel yang menduduki beberapa wilayah yang diperuntukkan kepada penduduk Arab berdasarkan Pelan pemisahan 1947. Siri-siri rundiungan di antara Israel dengan Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria melakarkan semula sempadan di antara Israel dan jiran-jiran negara Arabnya pada tahun 1949. Siri-siri rundingan ini dinamakan The Rhodes armistice (Perjanjian Damai Rhodes).
Sempadan di antara Israel dan Jordan yang mengambil alih pentadbiran Tebing Barat di namakan garisan hijau (The Green line).
Apabila Israel melancarkan serangan mengejut ke atas negara-negara Arab di Sinai, Baitul Maqdis Timur, Tebing Barat, Tanah Tinggi Golan dan Selatan Lubnan di antara 5 hingga 10 Jun 1967 (Perang 6 hari), seluruh wilayah Palestin (Mandated Palestine semasa pentadbiran British 1917 – 1948) di kuasai sepenuhnya oleh Israel. Wilayah yang dirujuk tersebut ialah Genting Gaza dan Tebing Barat (termasuk Baitul Maqdis timur) yang masing-masing diambil alih oleh Mesir dan Jordan pada tahun 1948. Serangan yang dirujuk sebagai Perang 6 hari ini telah mengakibatkan kekalahan besar kepada negara-negara Arab terutamanya Mesir, Syria dan Jordan. Dalam serangan tersebut Masjid al-Aqsa yang terletak di Baitul Maqdis timur ditawan dan penguasaan ini berlanjutan sehingga hari ini (sudah menjangkau 44 tahun pada tahun 2011). PBB telah bersidang pada bulan November 1967 dan mengusulkan resolusi 242 iaitu Israel wajib berundur semula ke sempadan yang ditetapkan oleh perjanjian Rhodes (yang dirujuk sebagai Green Line bagi sempadan di antara Israel dan Jordan di Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat). Namun atas desakan Israel ketetapan 242 menegaskan Israel perlu berundur dari wilayah yang diduduki (Occupied territories) dan bukannya wilayah yang diduduki dalam serangan tahun 1967 (The Occupied Territories). Article ‘The’ menjadi titik tolak kepada pertikaian di antara negara-negara Arab dan Israel di mana Israel tidak menyatakan secara khusus manakah wilayah yang diduduki apabila article ‘The’ digugurkan. Ini bermakna resolusi 242 memberi kebebasan kepada Israel untuk menafsirkan manakah wilayah yang dikatakan diduduki ini. Ini juga bermakna Israel bolih mencabar tuntutan mana-mana pihak untuk berundur dari wilayah yang didudukinya pada tahun 1967.
Apabila penyelesaian 2 negara dibangkitkan berdasarkan resolusi 242, maka ia menjadi suatu yang kabur dan tidak dapat dilaksanakan kerana Israel mempunyai wewenangan untuk menentukan manakah yang akan diwartakan sebagai negara Palestin dan di manakah sempadan negara Israel sekiranya negara Palestin yang berdaulat wujud bersempadanan dengan Israel. Atas perkiraan inilah maka penyelesaian dua negara tidak mungkin memberi jalan keluar kepada penyelesaian konflik Palestin-Israel. Israel akan menggunakan semua alasan-alasan teknikal untuk mempertahankan pendirian tidak akan berundur semula ke sempadan 1967 (The Green Line berdasarkan perjanjian Rhodes).
HAMAS menuntut tiga perkara sebagai syarat untuk melaksanakan gencatan senjata dengan Israel iaitu berundur dari semua wilayah yang diduduki pada tahun 1967 (“The” Occupied Territories), pengishtiharan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin yang berdaulat dan hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara mereka (ini juga adalah berdasarkan ketetapan PBB – Resolusi 194(III)). Ini bermakna HAMAS pada dasarnya menuntut Israel keluar dari semua wilayah yang ditaklukinya dalam perang 6 hari tanpa perlu merujuk kepada Resolusi 242. Meskipun Resolusi 242 memperuntukkan tuntutan yang serupa namun tuntutan tersebut adalah kabur dan memberi ruang yang luas kepada Israel membuat tafsiran berdasarkan kepentingannya. Ini jugalah yang menjadi asas kepada tindakan Israel dan Amerika Syarikat untuk merujuk kepada wilayah yang diduduki sebagai wilayah yang dipertikaikan (oleh kedua pihak Palestin dan Israel – ‘The disputed territories’) meskipun PBB merujuk kepada wilayah tersebut sebagai wilayah yang diduduki (Israel) ‘The Occupied Territories. Sekiranya Israel bersedia untuk memenuhi tuntutan HAMAS maka ia perlu mengosongkan semua penempatan haram pendatang yahudi di seluruh tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur (termasuk di sekitar dan kejiranan Masjid al-Aqsa) dan berundur semula ke sempadan yang telah ditetapkan dalam perjanjian Rhodes pada tahun 1949 (Inilah yang dirujuk sebagai sempadan 1967 atau lebih tepat lagi pra-1967). Dengan ini gencatan senjata jangka panjang atau ‘hudna’ bolih dilaksanakan di antara negara Palestin yang berdaulat dan negara haram Israel. Oleh kerana status ‘Negara haram’ Israel kekal meskipun gencatan senjata disepakati maka tidak ada keperluan bahkan tidak ada pihak yang bolih memaksa Palestin untuk mengiktiraf Israel. Israel pada dasarnya didirikan di atas negeri palestin yang mereka rampas pada tahun 1948. Ini juga bermakna perjuangan pembebasan bumi Palestin secara keseluruhan akan berterusan sehinggalah setiap inci negara Palestin (termasuklah 78% dari wilayah Palestin yang diiktiraf sebagai wilayah Israel oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949) dibebaskan.
Maka dengan berundurnya Israel ke sempadan pra-1967 lengkaplah fasa pertama dari dua fasa perjuangan pembebasan Palestin. Jika Fasa pertama dapat dilaksanakan dengan jayanya maka Fasa kedua akan menyusul.
Prof madya Dr hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Aqsa Syarif Bhd
2 comments:
terima kasih atas penjelasan ini. standpoint simple dan clear sebegini sgt perlu diteruskan
cadangan saya : post di facebook AqsaSyarif, supaya ramai2 boleh share.
saya harap rentetan peristiwa ni boleh divideokan,gmbar2 bgerak ni orang lbey mudah faham berbanding sruh orng bca, kmudian boleh sebarkan untuk tingkatkn ksedaran.
Post a Comment