Saksikan dua video klip ini dan sedutan dari Bab Kiai Hj Ahmad Dahlan - Pendiri Muhammadiyah dalam buku Jejak Risalah di nusantara jilid VI
- Kiai Hj Ahmad Dahlan (KHAD) menjelaskan kedudukan al Quran dan as Sunnah kepada umat Islam kerana ia merupakan dasar pokok hukum islam. KHAD menggariskan lima jalan untuk memahami al Quran iaitu mengetahui maknanya; memahami maksud (tafsirnya); selalu bertanya kepada diri sendiri apakah larangan agama yang telah diketahui telah ditinggalkan; apakah perentah agama yang telah dikerjakan; dan tidak mencari ayat lain sebelum isi ayat sebelumnya dikerjakan. KHAD juga menggesa supaya masyarakat menjadikan al Quran sebagai panduan di dalam menghadapi perubahan sosial akibat dari cabaran modernisasi, dengan menjauhi sikap fatalism (bersikap menyerah dan defeatist). Jika tidak ditemui sesuatu ketentuan hukum yang pasti mengenai suatu perbuatan atau isu dari al Quran dan Sunnah maka harus merujuk kepada ijma’ ulama, qias dan berijtihad (menggunakan ilmu pengetahuan dan ketajaman akal). Umat islam perlu menangani tantangan zaman dengan semangat ijtihad melalui kemampuan berfikir secara logis-rasional. Di sinilah pentingnya umat Islam diperkasakan dengan ilmu Manthiq dan Logik sebagai pendidikan akal yang tertinggi, dan ini hanya akan tercapai apabila manusia kembali merujuk kepada petunjuk Allah di dalam al Quran dan as Sunnah.
- KHAD juga melatih anak-anak muridnya mengoperasionalkan ayat-ayat al Quran. Ayat-ayat al Quran bukan sekadar dihafal dan difahami maknanya tetapi dilaksanakan sesuai dengan apa yang dianjurkan al Quran.[1] Sebagai contoh surah al Maun yang menekankan tentang pembelaan kepada golongan miskin dan anak-anak yatim. KHAD meminta anak-anak muridnya terjun langsung ke lapangan sosial, menyantuni peminta sedekah, mengajak mereka ke masjid, memberi makanan, menyuruh mereka mandi, diberikan pakaian dan akhirnya diajak sembahyang.[2] Pendekatan ini perlu apabila terdapatnya jurang perbezaan yang sangat ketara di antara golongan kaya (priyayi) dan rakyat kebanyakkan. KHAD melihat golongan kaya tidak menunaikan tanggungjawab sosial mereka, sebaliknya menjadi alat pemerintah Belanda untuk terus menekan rakyat bawah. KHAD melihat rakyat Indonesia sebagai anak-yatim piatu yang tidak mendapat sebarang pembelaan. Untuk mengetuk dhamir masyarakat dan seterusnya menggerakkan mereka, KHAD telah merujuk kepada surah Al-Maun sebagai titik tolak message yang hendak dibawa. Di kalangan masyarakat ada yang mendirikan solat tetapi langsung tidak mempedulikan masyarakat di sekelilingnya. Padahal al Quran melabelkan golongan yang tidak prihatin terhadap golongan miskin dan anak yatim sebagai ‘pendusta’ agama. Maka celaka orang yang solat, iaitu yang lalai dari tanggungjawabnya. Solatnya tidak lebih dari satu demonstrasi (ria’) yang langsung tidak memberi kesan kepada pembentukan syakhsiah muslimin.[3]
[1] Abdul Munim Mulkham, op. cit., hlm. 12. Menurut RH Hadjid, KHAD sering mengulangkaji ayat-ayat Al-Quran yang ditulis dalam kamarnya yang disusun dalam 14 surat iaitu 1. al-Jatsiyah, ayat 23; 2. al-Fajr, ayat 16-23; al-Maun, ayat 1-4; ar Rum, ayat 30; at-Taubah, ayat 34-35; 6. al-Asr; 7. al-Ankabut, ayat 2; 8. az-Zumar, ayat 2 dan al-Ahzab, ayat 21; 9. ali-Imran, ayat 1-2 dan 92; 10. al-An’am, ayat 162; 11. al-Qariah, ayat 6-11; 12. Shaf, ayat 3-4; 13. at-Tahrim, ayat 6; 14. al-Hadid, ayat 26.
[2] Ibid., hlm. 22.
0 comments:
Post a Comment