Assalamualaikum,
Ramai yang bertanya pada isteri dalam majlis-majlis yang beliau hadiri tentang keadaan kesihatan saya kini. Alhamdulillah saya makin sehat. Cuma dalam tempoh 3 bulan ini adalah tahap kritikal di mana saya kena jaga sangat makanan dan pergaulan di tempat awam untuk mengelak jangkitan kuman. Kini sudah masuk 2 bulan setengah. Dalam 2 minggu lagi jika atas persetujuan doktor saya akan kembali ke pejabat tetapi masih belum mengajar. Mungkin sem depan insyaAllah saya akan kembali mengajar.
Saya tulis perkongsian ini kerana satu perkara yang saya fikir cukup penting semasa selepas menjalani pembedahan ialah persoalan solat. Ia adalah berdasarkan pengalaman yang dilalui ketika berada di ICU selama 7 hari. Bagi orang yang sakit tidak ada persoalan yang lebih penting yang perlu diberikan perhatian selain dari solat. Seringkali kita perhatikan solat terabai apabila seseorang itu sakit atau terlantar. Maka saya tulis perkara ini sebagai bekal dan ingatan kepada kita semua yang mungkin akan melaluinya dalam hidup kita.
Ada orang berfikir berdasarkan kefahaman yang salah seseorang itu diberikan kelonggaran untuk meninggalkan solat apabila sakit - dari mana datangnya kefahaman ini, wallahu'alam. Tetapi mungkin ia berdasarkan pegangan bahawa solat boleh di qada'. sebenarnya tidak ada alasan yang membolehkan seseorang itu mengqada'kan solat dalam keadaan sakit. istilah qada' itupun boleh dipersoal. Seseorang itu hanya dimaafkan jika tertinggal solat dalam keadaan tertidur atau lupa. Namun apabila dia sudah terjaga atau ingatan nya pulih maka dia wajib mendirikan solat yang luput itu dengan segera. Ini pernah berlaku pada Rasulullah SAW apabila tertidur dan hanya terjaga setelah matahari terbit. Maka Rasulullah SAW terus mendirikan solat subuh tanpa mengqadha'kannya.
Dalam keadaan sakit kaedah feqah telah menetapkan cara-cara solat bagi orang sakit. Jika tidak boleh berdiri maka dengan duduk, jika tidak dalam keadaan berbaring, jika tidak dalam keadaan mengiring, jika tidakpun hanya dengan menggerakkan anggota tertentu atau hatta dengan isyarat mata sekalipun bagi yang tidak boleh menggerakkan anggota badan.
Baiklah saya akan kongsikan apa yang saya lalui selepas pembedahan.
Sebaik sedar dari operation maka saya mengalami satu keadaan yang sukar untruk digambarkan. Mungkin ianya satu halusinasi akibat dari kesan ubat antirejection yang kuat. Tetapi ini yang saya lalui. Pengalaman ini begitu nyata dan seolah-olah bukan mimpi. Saya diziarahi oleh dua orang yang datang menziarahi saya. Pertama ialah anak sulung saya, Mohd Qayyim dan kedua cucu saudara, Fadwa Izzati (berumur 2 tahun) yang saya sayang. Semua cucu-cucu sdr saya sayang, tetapi yang ini hati memang selalu teringat. Mereka datang 'menzaiarahi' saya. Di samping itu ramai sahabat-sahabat juga datang membawa pelbagai jenis makanan. Saya sendiri menghantar sms kepada zaujah, supaya datang kerana di sini ada banyak makanan. sms itu memang benar-benar dihantar di terima oleh isteri. Bahkan saya telah memotong pizza dan menyuap ke mulut dan kemudian tersedar yang disuap ke mulut itu ialah handphone.
Setelah sedar sepenuhnya saya terfikir apakah ini yang akan dilalui ketika sakarat nanti. Bukankah syaitan akan datang kepada kita di saat-saat akhiran kita untuk memujuk kita untuk kali yang terakhir. Syaitan akan datang menyerupai orang-orang yang kita sayangi, orang-orang yang penting dalam hidup kita lalu menawarkan kita air minuman yang sejuk, memujuk dan memujuk kita supaya masuk agama Nasrani dan Yahudi? Lalu yang boleh menyelamatkan kita hanyalah iman kita kepada Allah yang kita pelihara dan pertahankan sewaktu kita hidup di muka bumi ini. Kita tidak tahu apakah kesudahan kita dan bagaimana kita menangkis godaan syaitan yang datang menyerupai ibu atau ayah kita. Bagaimana mungkin kita tidak mempercayai kalau yang cuba meyakinkan kita ialah ibu yang melahirkan? Maka kesimpulannya hanya satu, iman sahaja yang mampu menelanjangi tipu daya syaitan ini. jadi saya menasihatkan diri dan sesiapa sahaja yang membaca bingkisan ini, marilah kita jadikan usaha untuk memupuk dan meningkatkan keimanan sebagai agenda paling utama dalam hidup ini. Sejauh mana kita pelihara iman kita semasa hayat maka sejauh itu jugalah ampuhnya pertahanan kita dalam pertempuran terakhir kita dengan syaitan. Ingatlah firman Allah SWT 'Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan kamu mati melainkan sebagai seorang muslim'. Persoalannya bagaimana seseorang itu boleh menolak kematian? Kita diingatkan jangan kita mati melainkan sebagai seorang muslim. Satu-satunya jalan untuk mati sebagai muslim ialah hidup sebagai muslim. Kehidupan sebagai muslim ini tidak boleh bermusim tetapi pada setiap saat dan ketika. Muslim ertinya tunduk kepada Allah dalam segenap hal, bukan dalam urusan-urusan tertentu sahaja.
Untuk menjadi seorang muslim, apakah yang paling asas yang perlu dilakukan. ianya tak lain dan tak bukan ialah persoalan solat dan kekal mengerjakan solat dalam semua keadaan termasuklah dalam keadaan sakit dan terlantar. InsyaAllah akan sambung selepas ini...
Dr Hafidzi Mohd Noor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Terima kasih tok shu
Post a Comment