Bhg 2.
Setelah sedar maka perkara pertama yang difikirkan ialah solat. Bagaimana untuk solat dalam keadaan begini.
Baiklah mungkin saya kena bagitau sedikit tentang isteri saya. walaupun beliau ada bersama tetapi situasi di sana tidak membenarkan isteri saya ke hospital untuk menziarahi dan menjaga saya. Kenapa? Jika dia ada di sisi, mungkin masalah nak ambil wudhu' atau tayammum tidak timbul. Tetapi peraturan tidak mengizinkan. Kenapa?
Sebabnya isteri, kak zu bertudung. Rupa-rupanya di Cina mereka sangat skeptikal dengan orang luar apatah lagi muslim. Bersama dengan saya yang juga menjalani transplant ialah beberapa patient dari Indonesia. Mereka ditemani oleh isteri atau kaum keluarga perempuan dan mereka bebas keluar masuk hospital. Mereka bilang kepada kak zu kalau nak datang menemani suami atau keluarga, mesti bukak kerudung. 'Saya berkerudung' kata salah seorang. Di suruh buka, saya buka... (tetapi jangan salah sangka, ramai sahabat-sahabat kita di Indonersia berpegang teguh dengan Islam, pengalaman ini tidak representative dan tidak sama sekali menggambarkan iltizam umat Islam di Indonesia yang kuat berpegang dengan amal-amal Islam dan da'wah). Alhamdulillah, kita sudah dilatih untuk menjunjung perentah Allah dalam apa jua keadaan. Dan kita yakin jika kita jaga batas-batas Allah, Allah akan jaga kita. Kami memilih untuk tidak mengorbankan prinsip dan tidak membelakangkan perentah Allah. Jadi Kak zu hanya dapat menziarahi saya pada pukul 10 malam ke atas ditemani oleh agent. Dalam makna lain, solat, buang air, makan semuanya saya kena buat sendiri, dan meminta bantuan nurse bila perlu. Masalah juga kerana bahasa. Mereka tidak faham bahasa Inggeris dan mereka bercakap dengan kita dalam bahasa Cina. Agent tidak dapat bersama kita sepanjang masa. Apatah lagi yang kita nak minta tolong ni bab ambil wudhu, nak bersihkan diri, dan benda-benda yang terlalu peribadi yang hanya isteri kita sahaja yang boleh tolong. Apapun saya bersyukur kerana bekal yang kita ada menjadi benteng kepada kita untuk berpegang teguh dengan Islam meskipun terpaksa membuat sedikit pengorbanan.
Bab solat. Nombor satu ialah berhadas kecil. Macam mana nak ambil wudhu atau tayammum dalam keadaan masih lemah, belum boleh bergerak dan badan masih berselirat dengan tiub dan wayar. Di sini orang mungkin bertanya, dimana nak cari debu tanah untuk tayammum? Di sinilah kita kena amalkan ilmu yang ada sebagai bekalan. masalah orang melayu ialah semuanya mesti sempurna. Kalau nak ambil wudhu airnya mesti sekurang-kurangnya 2 kolah. Kalau nak tayammum mesti dgn debu tanah yang 'suci'. Di mana nak dapat ini semua dalam keadaan seperti ini. Apa yang saya lakukan ialah tepuk sedikit pada selimut dan angkat tangan perlahan-lahan ke muka dan sapu mana bahagian muka yang boleh. Memang tak sempurna. Kemudian tepuk sekali lagi, dan sapu pula bahagian tangan mana yang boleh. Bukan semua tempat dapat di sapu, kerana ada tempat yang di cucuk jarum drip, berplaster dan sebagainya. Pendek kata kalau orang yang berpegang dengan kefahaman semuanya mesti sempurna sudah tentu mereka tidak akan bertayammum apatah lagi solat. Macam mana untuk solat, tak boleh bangun nak ambil wudhu. Macam mana nak tayammum, debu tanah yang 'suci' tak ada. Tayammum dengan debu yang ada pada selimut atau kain, boleh kah?
Setelah berserah kepada Allah supaya apa yang dilakukan di terima oleh Allah, maka saya pun mengangkat takbir. Oleh kerana masih ada lagi kesan ubat, maka saya tak ingat berapa kali saya terpaksa mengulangi solat saya - mungkin tidak kurang dari 11 kali. Sebabnya bila masuk raka'at kedua tertidur, bila tahyat baca fatihah. Dalam keadaan mamai begitu. Tetapi akhirnya dapat juga menyempurnakan empat rakaat dalam keadaan ketidak sempurnaan.
Lalu saya terfikir, kalaulah semasa kita sehat kita tidak menitik beratkan soal solat, mana mungkin kita sanggup bersusah payah untuk mendirikan solat ketika sakit. Ini pengajaran kedua dari pengalaman ini yang saya nak kongsi dengan semua.
Bersambung insyaAllah
Hafidzi MN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment