Assalamualaikum,
bhg 5
Mengambil wudhu semasa terlantar sakit.
Sekarang saya akan sentuh pula cara-cara mengambil wudhu. Apabila isteri saya menziarahi saya pada sebelah malam (lebih kurang jam 10 malam) bolehlah saya mendapatkan bantuan beliau untuk tolong bersihkan diri dan juga mengambil wudhu. Biasanya saya akan tangguhkan maghrib dan isya selepas isteri saya datang menjenguk, supaya saya boleh mendirikan solat jama' maghrib dan isya dengan berwudhu secara sempurna.
Oleh kerana badan masih belum begitu kuat dan tangan pula tidak boleh digerakkan sangat, saya memerlukan bantuan isteri untuk mengambilkan wudhu untuk saya. Di sini mungkin timbul pula persoalan. bagaimana isteri mengambilkan wudhu suami? Bukankah sentuhan di antara lelaki dan wanita akan membatalkan wudhu? Inikan pula ambilkan wudhu suami denga menyapu anggota wudhu suami. Sahkah wudhu begini? Inilah soalan yang kerap timbul terutama di kalangan masyarakat melayu Malaysia yang berpegang dengan mazhab Syafi'i.
Di sinilah kita kena fleksible (anjal) dalam berpegang dengan mazhab. Imam-imam mujtahidin yang empat (As-Syafii, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad Ibn Hambal) tidak pernah menyuruh umat Islam untuk berpegang dengan ijtihad feqh mereka secara rigid sehingga tidak ada ruang untuk bersikap anjal. Imam As-Syafii sendiri mengatakan 'Jika engkau dapati hadis yang bertentangan dengan pendapatku, maka terimalah hadis tersebut dan tolaklah pendapatku". Keterbukaan imam-imam mazhab dalam persoalan keanjalan feqh ini terserlah dari amalan mereka sendiri. Imam as-Syafii pernah bersembahyang di belakang imam yang tidak membaca qunut sewaktu solat subuh. Ia tidak pernah menjadi isu dan pertikaian di antara kedua mereka. samada seseorang itu membaca qunut atau tidak semasa solat subuh adalah isu khilafiah (perbezaan pendapat) yang tidak menjejaskan solat itu sendiri. ia bukan rukun sehingga ia tidak boleh ditinggalkan samasekali.
Berbalik kepada isu batal tidaknya apabila lelaki dan perempuan bersentuhan. Menurut Imam As-Syafii, wudhu terbatal apabila bersentuhan lelaki dan wanita yang bukan muhrim (boleh kahwin, samada mereka suami-isteri atau bukan suami isteri, tanpa kecuali). Bila kita bandingkan pula dengan pendapat imam yang lain, sentuh yang dimaksudkan ialah sentuhan yang mengundang syahwat atau keinginan. Maka sentuhan yang membatalkan wudhu ialah 'sentuh-menyentuh' iaitu sentuhan yang menimbulkan ghairah atau keinginan untuk bersama (berjima'). Jadi berpegang pada pendapat ini maka sentuhan atau tersentuh dalam keadaan lazim, yang tidak menimbulkan keinginan tidak membatalkan wudhu. Asasnya boleh dilihat pada diri Rasulullah SAW sendiri. nabi pernah mendirikan solat sedang Aishah yang baring di sisi tersentuh kaki baginda. rasulullah SAW meneruskan solatnya. Jika sentuhan ini membatalkan wudhu, sudah tentu Nabi akan menghentikan solatnya, memperbaharui wudhu dan mengulangi solat baginda. Sedang riwayat membuktikan ini tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Keluasan fiqh ini menyelesaikan banyak perkara. Jika umat Islam tidak memanfaatkan keluasan fiqh ini pastilah kita akan berhadapan dengan pelbagai kesulitan. Contoh yang paling ketara dan mungkin ramai telah mengalaminya ialah semasa mengerjakan haji. tabung haji memberi kelonggaran kepada jemaah haji untuk 'berpindah mazhab' agar mereka tidak dibebankan dengan terpaksa sentiasa memperbaharui wudhu akibat tersentuh di antara lelaki dan wanita terutama ketika bersesak-sesak melakukan tawaf. Jika ini boleh dilakukan, kenapa pula isteri tidak boleh mengambilkan wudhu untuk suami atau sebaliknya?
Satu lagi contoh yang amat ketara ialah dalam soal zakat fitrah. Jika kita berpegang dengan mazhab syafii secara rigid, maka kita wajib membayar fitrah dalam bentuk beras. bayangkan setiap kali menjelang Hari raya, mesjid dan surau akan dibanjiri dengan beras berguni-guni untuk diagih-agihkan kepada faqir miskin. keadaan ini sudah tentu tidak praktikal. Maka pihak Jab Agama membuat ketetapan supaya berpegang dengan mazhab yang lain supaya zakat fitrah diganti dengan nilai matawang. Ini bermakna dalam praktik di Malaysia sendiripun, keanjalan mazhab ini telahpun dihayati meskipun dalam aspek-aspek yang tertentu.
Jangan jadikan mazhab sebagai agama. Maksudnya mazhab syafii dan mazhab-mazhab yang lain bukanlah versi Islam yang berbeza. Ke empat-empat mazhab adalah tergolog dalam apa yang disebut sebagai ahlu-sunnah wal jamaah (mereka yang mengikuti Sunnah Nabi dan para sahabat, tabi'in dan tabi'it tabiin). Kerana itu kita amat berhajat kepada ilmu keluasan fiqh Islam ini agar kita tidak terbelenggu dengan mazhab tertentu dan menyukarkan kita untuk melaksanakan tuntutan ibadat dalam situasi-situasi yang berhajat kepada amalan fiqh yang berbeza.
Berbalik kepada mengambil wudhu untuk mereka yang tidak mampu untuk mengambil wudhu sendiri. Caranya tidak berbeza dengan mengambil wudhu sendiri. Berniat, kemudian orang lain membasuhkan muka, tangan, menyapu kepala dan kaki sebagaimana tertib mengambil wudhu. Jika ada bahagian-bahagian tubuh yang berbalut atau berplaster hanya sapu bahagian yang berbalut itu. Ini sudah memadai. Janganlah kerana air tidak sampai pada anggota wudhu, maka wudhu dikatakan tidak sah, natijahnya tidak perlu solat. Ingatlah apa yang dipelajari dalam fardhu ain tentang cara-cara mengambil wudhu yang betul, itu adalah dalam keadaan biasa. Kita sebenarnya memerlukan ilmu bagi melakukan tuntutan ibadat dalam situasi tidak biasa yang kita mungkin akan lalui dalam hidup kita.
Satu lagi wudhu yang wajib hanya sekali. Membasuh muka dan anggota lain sebanyak 3x itu hukumnya sunat. bagi orang sakit, cukuplah dengan sekali sapu sahaja. Ilmu ini juga perlu diketahui. Berapa kali kita menghadapi krisis kekurangan air dan kita melihat orang ramai di mesjid mengambil wudhu dengan membasuh setiap anggota sebanyak 3 kali. Sedangkan air terhad dan jemaah masih ramai menunggu untuk mengambil wudhu. Lihatlah oleh kerana kita tidak mengambil berat tentang ilmu Islam (banyak yang kita buat adalah berdasarkan andaian kita) maka kita akhirnya tindakan kita memudaratkan orang lain.
Malanglah jika suami menjaga isteri dan isteri menjaga suami yang sakit tidak mengambil wudhu pasangan mereka hanya kerana terhalang oleh isu sentuhan lelaki dan perempuan yang membatalkan wudhu. Sedangkan ketika sakitlah seseorang itu sangat pelu menjaga dan mendirikan solat. Bukankah sakit itu tunangannya mati? Sanggupkah kita membiarkan pasangan kita mengadap Allah SWT sedang pada saat-saat akhir hayatnya dia terhalang untuk mendirikan solat hanya semata kerana amalan feqh yang membelenggu pemikiran?
Bersambung insyaAllah - sembahyang tidak mengadap kiblat?
Hafidzi MN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment