Assalamualaikum,
bhg 4
Satu masalah yang saya hadapi ialah menjaga kebersihan. Saya yakin persoalan dan kesulitan ini turut dikongsi oleh sesiapa yang pernah berada dalam situasi yang sama.
Buang air kecil adalah melalui catheter, iaitu tiub yang dimasukkan ke dalam saluran air kencing kita. Jadi air kencing terus mengalir ke dalam bag yang disediakan. Tetapi oleh kerana buah pinggang yang ditransplant menunjukkan reaksi yang sangat baik, maka air kencing terkumpul dengan cepat di dalam pundi kencing sehingga menimbulkan keinginan yang sangat untuk buang air kecil. (Sudah lama saya tidak merasa hendak buang air kecil - orang yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, setelah beberapa lama memang tidak mengeluarkan air kencing lagi, dan toksin dari darah dinyahkan melalui proses haemodyalisis). Oleh kerana merasa senak maka tekanan yang kuat itu menyebabkan sebahagian air kencing tadi keluar melalui celah tiub. Bila ini akan berlaku, saya minta 'tabin' (istilah untuk besen dalam bahasa mereka). Saya letakkan di bawah punggung, supaya air kencing tadi tidak mengotori cadar alas katil. walaubagaimanapun untuk menjaga kebersihan 100% memang mustahil. Apa yang saya lakukan ialah saya minta swipe (yang lembab) untuk membersihkan mana-mana bahagian tubuh yang terkena najis. Proses ini menjadi rumit kerana tiada siapa yang membantu saya, oleh kerana isteri tidak dibenarkan masuk.
Bab buang air besar lagi mencabar. Dua hari pertama memang tidak ada nak rasa buang air besar. Tetapi apabila merasa hendak buang air besar kalau tak silap hari yang ketiga, maka spt biasa saya minta 'tabin' dari nurse dan buang air di tempat perbaringan. Di sinilah timbul keinsafan siapa kita sebagai manusia. Siapa dan apapun kedudukan kita, tiba masanya kita terpaksa memohon ehsan dari orang lain untuk menguruskan diri kita, hatta dalam urusan seperti ini. Maka saya amat insaf supaya jangan sekali-kali memandang rendah kepada manusia - walaupun di mata masyarakat mereka rendah dan hina, tetapi adakalanya kita yang di'pandang hebat' ini terpaksa memohon ehsan dari orang lain untuk menguruskan diri sendiri. Selesai buang air, maka untuk membersihkan diri lagi mencabar. Pada peringkat awal memang saya terpaksa meminta bantuan nurse, dan mereka lakukan dengan penuh tekun tanpa menunjukkan rasa jijik. Inilah kehebatan jururawat. Mereka dilatih untuk merawat pesakit dan akan buat yang terbaik untuk menjaga kebersihan pesakit. Semuga ia menjadi amal soleh yang tinggi nilainya di sisi Allah kepada para jururawat muslimah kita. Setelah saya kuat sedikit maka saya cuba bersihkan diri dengan seberapa bersih yang mungkin. Kadang-kadang saya minta supaya alas cadar, selimut dan pakaian ditukar terutama ketika hendak solat. Ini untuk memastikan saya bersolat dalam keadaan bersih. Namun ada ketikanya saya buang air kecil dan air besar beberapa kali (perut merasa tidak selesa) sehingga saya hanya berusaha untuk memastikan tempat tidur tidak terkena najis - tetapi saya tidak dapat menjamin ia benar-benar bersih.
Saya ceritakan pengalaman yang peribadi sifatnya, dengan niat supaya kita tidak mengalami kejutan budaya jika ditakdirkan sesiapa yang membaca coretan ini melalui pengalaman yang serupa. Semuga kita lebih bersedia dan tidak resah atau merungut jika diuji seperti itu.
Kesah ini adalah latarbelakang kepada kerumitan yang saya lalui untuk mendirikan solat. Jika tidak kerana sebab untuk menjaga kebersihan supaya solat boleh dilakukan dengan sempurna, maka kesah di atas tadi tidak relevan untuk saya kongsikan. Tetapi oleh kerana fokus perkongsian ini adalah persoalan solat, maka kesah tadi perlu disebut.
Persoalan yang timbul bagaimana untuk mendirikan solat dalam keadaan kurang bersih. Di sini hendaklah kita faham - kurang bersih dari najis. Ramai orang keliru di antara kotor dan najis. Kotor bukan istilah syarak. Seseorang itu mungkin tidak bersih kerana bajunya terkena tanah atau kotoran-kotoran bukan najis yang lain. Maka dalam keadaan seperti ini dia boleh mengambil wudhu dan mendirikan solat meski pakaian dan tempat sujudnya ada kotoran (bukan najis). Masalah dengan masyarakat kita ialah 'terlalu bersih' sehingga solat ditinggalkan kerana dikhuatiri tidak bersih dari kotoran atau najis yang tidak kelihatan. Dalam feqah, samada najis wujud atau tidak ia ditentukan oleh 3 perkara iaitu ada ain'nya (wujud dan dilihat secara fizikal), rasa (boleh disentuh) dan bau. Jika ketiga-tiga unsur ini tidak wujud maka seseorang itu adalah bersih, pakaiannya bersih dan tempat sujudnya bersih dan dia boleh mendirikan solat. Saya pernah mendengar kita harus mengelak dari sujud di tempat-tempat terbuka kerana dikhuatiri tempat itu pernah dilalui oleh anjing... dan ada yang lebih dahsyat lagi ketika mengikuti kem latihan - ada seorang peserta yang kata kita tak boleh ambil wudhu dengan air sungai sebab dikhuatiri harimau kencing dalam sungai itu..;. (ini bukan bergurau tetapi dia benar-benar serius bila mengatakan itu...). Padanlah orang melayu kadang-kadang meninggalkan solat sebab alasan-alasan seperti ini.
Umar r.a. pada suatu hari lalu di satu tempat, kebetulan ia ditimpa sesuatu yang jatuh dari sebuah bumbung. Seorang teman yang ikut bersama bertanya "hai empunya bumbung, apakah airmu suci atau najis? Umarpun berkata: "Hai empunya bumbung, tak usah dijawab pertanyaan itu" dan iapun terus berlalu. Berdasarkan kesah ini Syed Sabiq yang menulis kitab Fiqh Sunnah yang terkenal itu berkata "Jika seseorang ditimpa sesuatu yang jatuh, dan ia tidak tahu apakah itu air atau kencing, tidaklah perlu ia bertanya, dan umpama ia menanyakan juga, maka yang ditanya tidak wajib menjawab, walau ia tahu bahawa itu sebetulnya najis; juga tidak wajib baginya mencuci itu'
Lihatlah mudahnya Islam! Tetapi oleh kerana kita tidak ada ilmu maka kita bersikap ekstrim dalam hal menjaga kebersihan ini, sehingga kita meletakkan pelbagai halangan pada diri kita untuk melaksanakan perintah agama sedang syarak tidak pernah meletakkan halangan-halangan itu. Satu contoh perbandingan betapa jauhnya masyarakat kita dari petunjuk Islam ialah dalam isu kalimah Allah yang heboh diperkatakan sekarang. Isu ini telah mencetuskan sebahagian orang yang jahil bertindak membakar gereja. Isu penggunaan kalimah Allah itu satu hal, membakar gereja adalah satu hal yang lain. Apakah mereka tidak menyedari bahawa Nabi pernah memberi amaran 'Barangsiapa menyakiti kafir dzimmi (mereka yang hidup di bawah pemerintahan Islam, Syeikh Yusuf Qardhawi mengesyorkan istilah dzimmi tidak digunakan lagi kerana zaman ini pemerintahan Islam belum ditegakkan lagi, maka istilah yang lebih tepat dengan zaman ini ialah 'citizen' atau warga non-muslim yang hidup dalam negara umat Islam) maka dia menyakiti aku (Rasulullah SAW). Tidak kah mereka sedar perbuatan mereka itu mengkhianati Islam dan menyakiti Rasulullah SAW? Inilah pentingnya setiap orang memberikan keutamaan kepada menuntut ilmu supaya Islam ini difahami dengan ilmu bukan dengan sangkaan-sangkaan atau kefahaman yang diwarisi turun-temurun tanpa diketahui sahih atau tidaknya.
Berbalik kepada situasi yang saya hadapi. Kalau nak tunggu isteri menolong membersihkan diri saya, saya terpaksa tunggu sehingga 10 malam. Ini akan menyebabkan saya terpaksa mengabaikan 3 atau 4 waktu dan hanya boleh mendirikan solat dalam keadaan yang diyakini bersih pada waktu isya. Lalu saya cuba melihat kembali kepada amalan Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. Mereka adalah panduan bagi muslim dalam apa jua keadaan. Lalu saya teringat Sy Ali r.a. pernah terkena panah pada tumitnya. Untuk mencabut panah tadi amat menyakitkan. Lalu Sy. Ali meinta tolong kepada sahabatnya untuk mencabut panah tersebut ketika dia solat. (oleh kerana para sahabat amat khusyu dalam solatnya, maka dia tidak merasa sakit kerana tenggelam dalam kenikmatan solat). Ini bererti Sy Ali bersolat dalam keadaan berdarah. Bukankah darah itu najis? Ini adalah bukti yang jelas bahawa tidak ada sebab untuk seseorang meninggalkan solat atas alasan tidak bersih dari najis - sedang dia tidak ada kemampuan untuk membersihkan dirinya dengan sempurna. Dan saya juga teringat dalam salah sebuah buku feqah yang saya akan semak semula untuk perinciannya iaitu para sahabat bersolat dengan pedang tersisip dipinggang sedang pedang itu berlumuran darah. Hassan r.a. mengatakan "Kaum muslimin tetap melakukan solat dengan luka-luka mereka (riwayat Bukhari). Di riwayatkan juga Umar al-Khattab r.a. bahawa ia solat sedang lukanya masih berdarah (disebutkan oleh Hafidz alam al-Fath)
Jadi apa yang saya lakukan ialah membersihkan diri seboleh mungkin. Kemudian saya serahkan kepada Allah sepenuhnya. Saya yakin Allah tidak menjadikan agama ini sesuatu yang menyulitkan kepada hamba-hambaNya. Dengan keyakinan ini saya dirikan solat dengan penuh harapan agar Allah menerimanya sebagaimana doa yang kita panjatkan 'Ya Allah terimalah dariku, sesungguhnya Engkau maha mendengar dan mahu mengetahui'. Dia tahu kemampuan kita, Dia tahu kelemahan kita, Dia tahu situasi kita.
Bersambung insyaAllah - bolehkah isteri mengambilkan wudhu suami?
Hafidzi MN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment