Friday, September 23, 2011

Buya HAMKA - nama besar yang jarang dikenali oleh generasi hari ini


Assalamualaikum,

Mungkin Buya HAMKA bukanlah satu nama yang besar pada generasi hari ini. Bagi generasi tahun 60'an dan 70'an di Malaysia, nama HAMKA tidak asing lagi. Beliau tidak pernah dilihat sebagai seorang tokoh milik negara jiran Indonesia tetapi ulama milik seluruh nusantara. Bahkan kecintaannya kepada Malaysia tidak pernah berkurangan dari cintanya terhadap tanah airnya sendiri, Indonesia.

Saya tujukan tulisan ini (dipetik dari bab 13 Jejak Risalah Nusantara Jilid ke 6: Gerakan Islam Penggerak Kemerdekaan Indonesia) kepada generasi muda pada hari yang mungkin tidak begitu mengenali ulama punjangga yang unggul ini. Saya mengaku peribadi saya banyak dibentuk dengan 'berguru' dengan beliau lewat tulisan-tulisan beliau, ceramah beliau yang berkumandang dicorong radio dan rakaman-rakaman kaset (mungkin kaset ini tidak diketahui lagi oleh generasi ini. Dan ketika dibangku sekolah saya berkesempatan untuk mengikuti ceramah beliau semasa di Johor Baharu, sekali di Stadium Larkin dan sekali lagi di masjid jame' Kg baru majidee. .. Dan orang yang mendekatkan saya kepada tokoh kesayangan umat ini ialah ayahanda saya. Sebuah rak kecil di rumah saya dibesarkan, terdapat beberapa buah tangan Buya HAMKA. Sebuah novel roman, 'Di bawah lindungan Kaabah' yang kini sudah lusuh masih saya simpan (sudah 40 tahun kini), bebarapa buah buku agama, Tasauf Moderen dan Pandangan Hidup Muslim yang mula saya belek dan baca ketika berada di sekolah menengah rendah benar-benar membekas di hati. Bila membaca 'Di bawah lindungan Kaabah' hati remaja saya menerawang tinggi sebagaimana layaknya jiwa seorang remaja'. Bila membaca pandangan hidup muslim, kadang-kadang bergenang air mata membaca ayat-ayat yang tersusun indah mengajak merenung ke dalam diri sendiri, memupuk sifat-sifat mahmudah. Antara tulisan beliau yang masih saya ingat sehingga kini ialah 'Jangan ditangisi barang yang hilang, tetapi syukurilah apa yang masih ada. Kelak jika yang masih ada itu hilang, ditangisi pula'. Dan tulisnya lagi 'Jangan tertawakan orang yang jatuh tetapi bersyukurlah kerana engkau sendiri tidak jatuh'.

Apabila beliau meninggal dunia pada tahun 1981, kereta masih berbaris panjang di kota raya Jakarta untuk menziarahi walaupun jenazahnya telah dikebumikan.

Dr Hafidzi Mohd Noor
--------------------------------------------------------------------------------

13. HAMKA – ulama dan pujangga Nusantara.

Tidak ramai ulama yang mempunyai bakat seperti Buya HAMKA. Dia seorang kiyai (ulama) disamping seorang pujangga, sasterawan, budayawan, wartawan, pendidik dan tokoh pemimpin baik dibidang kemasyarakatan dan politik. Buya HAMKA amat dikenali di kalangan umat Islam di Malaysia khususnya pada tahun-tahun 70’an yang amat senang dengan kuliah beliau yang penuh hikmah, lembut dan sarat dengan nilai-nilai falsafah. Bagi peminat kisah-kisah roman (cereka), novel-novel beliau sehingga hari ini seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Vick, Menunggu Beduk Berbunyi, Di Lembah Kehidupan, Merantau ke Deli, Keadilan Ilahi dan Di Bawah Lindungan Ka’abah masih di ulang cetak dan menjadi bahan kepustakaan sastera Melayu yang sangat bernilai. Nilai-nilai seperti cinta, pengorbanan dan kesetiaan diadun dalam novelnya berlatarbelakangkan realiti masyarakat di zamannya yang melalui peralihan zaman sehingga menimbulkan konflik di antara kongkongan adat setempat dan tradisi dengan keluasan serta kesejagatan Islam yang progresif.

HAMKA, satu nama yang tidak asing kepada dunia Islam khususnya di Nusantara adalah nama pena dan sengkatan kepada nama penuhnya Hj Abdul Malik Karim Amrullah. Beliau di lahirkan di Padang Panjang, Pariaman, Sumatera Barat pada tahun 1908. Kampung halamannya yang terletak di danau Maninjau serta di kelilingi oleh Banjaran bukit Barisan yang indah itu besar pengaruhnya dalam membentuk jiwa seni dan kesusasteraannya yang halus. Pada usia remaja lagi beliau telah menghasilkan novelnya yang pertama Si Sabariah [1]. Pengaruh didikan ayahnya, Hj Abdul Karim Amrullah, (telah disentuh dalam bab yang lebih awal) seorang ulama progresif sangat besar dalam membentuk keperibadiannya. Polemik di antara kaum tua dan ayahnya yang mendukung fahaman ‘kaum muda’ melatari zaman kanak-kanaknya. Beliau juga dibesarkan di saat kefahaman Komunis mula menular di Sumatera sehingga ramai anak-anak murid ayahnya yang mendapat pendidikan di Sumatera Tawalib (institusi yang dibangunkan oleh ayahnya) terpengaruh dengan ideologi tersebut; suatu yang sangat mengecewakan ayahnya.

Sebenarnya hubungan HAMKA dengan ayahnya terjejas apabila berlaku perceraian di antara ayah dan ibunya; dan ayahnya berkahwin lain. Semasa usianya meningkat 13, ayah dan ibunya bercerai. Perceraian ini mengakibatkan jiwa remajanya memberontak dan beliau mula bergaul dengan golongan parewa.[2] Dia menghabiskan banyak waktu di luar berpencak, menari piring dengan memakai destar, menyaksikan perlawanan pacuan kuda, tempat orang berjudi dan menyabung ayam. Kerana sikapnya yang degil dia disebut sebagai anak nakal dan durjana yang tidak dapat dibaiki lagi. Satu sahaja kelebihan yang ada pada si Malik (panggilan orang kampung sewaktu kecil) iaitu dia tidak pernah meninggalkan sembahyang. Bagi HAMKA pengalaman pahit yang dilaluinya adalah natijah dari kongkongan adat perpatih yang menjadi pegangan masyarakat Minangkabau. Kerana itu beliau mempunyai pandangan yang kritikal terhadap adat Minangkabau dan buah fikirannya di tumpahkan ke dalam dua buah buku iaitu Adat Minangkabau dan agama Islam (buku ini diharamkan oleh Belanda) dan Adat Minangkabau mengalami revolusi. Bahkan jika dihayati novel yang dikarang seperti Merantau ke Deli dan Keadilan Ilahi, amat jelas HAMKA menjadikan penulisan popular sebagai saluran untuk mengkritik aturan adat dalam masyarakat Minangkabau.[3]

Seperti kebanyakkan orang Minang HAMKA juga suka berkelana. Ketika usianya 16 tahun beliau berangkat ke Yogyakarta. Di sana dia berkenalan dan belajar dengan HJ Omar Said Chokrominoto pimpinan SI yang terkenal itu. Dari Yogya dia menuju Pekalongan untuk belajar dengan AR Sutan Mansur (ipar beliau), pemimpin Muhammadiyah. HAMKA pulang ke kampong halamannya di Padang Panjang dan menggerakkan tabligh (aktivisme) Muhammadiyah di rumah ayahnya. Pada tahun 1927 tanpa pengetahuan ayahnya, pada usia 19 tahun HAMKA telah belayar ke Mekah. Setelah pulang ke tanah air, beliau menjadi guru kepada buruh-buruh di sebuah kebun di Medan. Beliau dijemput oleh iparnya AR Sutan Mansur untuk kembali aktif dalam pergerakan Muhammadiyah. Beliau terus aktif berdakwah dalam organisasi Muhammadiyah sehinggalah pendudukan Jepun pada tahun 1942. Ketika itu ia memegang pimpinan Muhammadiyah Sumatera Timur.

Semasa pendudukan Jepun, HAMKA dan ramai tokoh-tokoh ulama yang lain seperti KH Mas Mansur memberikan kerjasama kepada Jepun yang telah berjanji untuk memberikan kemerdekaan kepada Indonesia. Sebenarnya Jepun hanya menggunakan ulama untuk mendapat sokongan rakyat agar terus menjayakan gagasan ‘Asia untuk Asia’. Jaminan itu tidak lebih dari muslihat mereka untuk mengukuhkan cengkaman imperialisma Jepun sebagai ganti kepada penjajahan Barat. Walaubagaimanapun Jepun terpaksa memberikan kemerdekaan itu apabila sudah terang mereka berada di pihak yang kalah dalam perang pasifik. Proklamasi (kemerdekaan) diistiharkan pada 17 Ogos 1945. Belanda tidak mengiktiraf kemerdekaan ini dan telah meminta bantuan British untuk kembali menjajah Indonesia. Rakyat Indonesia yang bertekad untuk mempertahankan kemerdekaan tersebut telah melancarkan perang revolusi yang berlangsung selama 5 tahun. HAMKA sendiri menyertai pasukan bergerilya memerangi pihak Berikat di Sumatera Barat.

Ketokohan HAMKA sebagai ulama dan tokoh gerakan Islam bermula pada tahun-tahun 1950’an. Beliau dilantik menjadi pegawai Kementerian agama pada tahun 1950. Dengan jawatan itu beliau telah ditugaskan untuk mengajar di beberapa Universiti dan Institusi seperti Perguruan Tinggi Agama Islam Negeri (PTAIN) Yogyakarta, Universiti Islam Jakarta, Fakulti Hukum dan Falsafah Muhammadiyah di Padang Panjang, Universiti Muslim Makasar dan Universiti Islam Sumatera Utara (UISU). Penglibatannya dalam politik bermula dengan Pemilihan Umum Pertama (PEMILU) Tahun 1955 di mana beliau dicalonkan sebagai anggota DPR (Dewan Perwakilan Rakyat) Masyumi, Jawa Tengah. Tindakan Sukarno yang menerapkan gagasan ‘Demokrasi Terpimpin’ menyebabkan Dewan Konstituante dan semua parti politik dibubarkan pada tahun 1960. (Demokrasi terpimpin adalah nama lain bagi kepimpinan autokratik atau diktator). Seiring dengan arahan Presiden yang menghalang mana-mana pegawai kerajaan untuk terlibat dalam ORMAS (Organisasi masyarakat) maka Buya HAMKA melepaskan jawatan sebagai pegawai agama dan terus aktif dalam Muhammadiyah.

Bermula tahun 1960’an Buya HAMKA mula menerima pelbagai mehnah kerana sikapnya yang tegas seringkali menimbulkan pertembungan dengan pihak pemerintah. Tindakan Sukarno menerapkan ‘demokrasi terpimpin’ dibidas oleh HAMKA sebagai ‘jalan lurus menuju neraka’.[4] Pendiriannya yang tegas ini menyebabkan beliau menjadi sasaran pemerintah. Pada tahun 1964 beliau ditahan atas tiga tuduhan subversif di bawah akta ISA (Anti Subversive Act). Salah satu dari tuduhan itu ialah terlibat sama dalam komplot untuk membunuh Presiden Sukarno dengan menerima sejumlah wang dari Tunku Abdul Rahman (Persekutuan Tanah Melayu). Kesemua tuduhan itu adalah merupakan fitnah yang direka-reka untuk mencari ‘kambing hitam’ ketika Sukarno mengisytihar ‘ganyang Malaysia’ dalam peristiwa konfrantasi.[5] Ketika dipenjarakan selama hampir tiga tahun (1964 – 66) itulah Buya HAMKA melengkapkan tafsir Al-Azhar (30 juzu’) yang merupakan karya beliau yang teragung.[6]

Berkaitan usaha melengkapkan tafsir al Azhar, disalin di bawah apa yang ditulis oleh HAMKA pada bahagian Pendahuluannya:

”Tetapi selalulah bertanya di dalam hati, bilakah tafsir ini akan selesai dikerjakan, padahal tugas-tugas yang lain di dalam masyarakat terlalu besar pula. Saya kerapkali meninggalkan rumah. Saya kerap kali keluar kota dan memenuhi undangan dari kawan-kawan sefaham di daerah-daerah yang jauh. Saya pun menjadi dosen pada beberapa perguruan tinggi baik di Jakarta ataupun di daerah. Sayapun menjadi guru besar dari Pusroh (Pusat Pendidikan Rohani) Islam Angkatan Darat. Kalau begini halnya, nescaya tafsir al Azhar ini tidak akan selesai dalam masa 20 tahun. Padahal umur bertambah tua juga... Ada beberapa teman sejawat mendesak, selesaikan segera tafsir itu. Saya tidak ucapkan kepada mereka apa yang terasa dalam hati. Sebab jika dihitung-hitung dari segi umur pada waktu itu, iaitu di akhir 1963, mungkin tafsir ini tidak akan selesai sampai saya meninggal...Telah dicuba menghuraikan tafsir ini tiap-tiap pagi waktu subuh sejak akhir 1958, namun sampai Januari 1964 belum juga tamat. Telah ditulis berturut-turut dalam Majalah Gema Islam sejak Januari 1962 sampai Januari 1964, namun yang baru dapat dimuatnya satu setengah juzu’ sahaja dan juzu’ 18 sampai juzu’ 19. Tiba-tiba pada 12 Ramadhan 1383 bertepatan 27 Jun 1964 berlakulah takdir Allah yang tidak dapat dielakkan.” (HAMKA dipenjarakan selama hampir tiga tahun dan dalam tempoh itu beliau sempat menyempurnakan keseluruhan tafsir al Azhar.)[7]

Di bawah Order Baru, iaitu zaman pemerintahan Suharto, beliau dibebaskan dan kembali aktif berdakwah. Pada tahun 1975 HAMKA dilantik menjadi Ketua Majlis Ulama Indonesia. Amanah yang berat ini beliau gambarkan dalam kata-kata sambutan beliau sewaktu perlantikan sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia;

’Kadang-kadang benar-benar ulama terletak di tengah-tengah laksana kue-bika yang sedang dimasak dalam periuk belanga. Dari bawah dinyalakan api, api yang dari bawah itu ialah berbagai ragam kekuatan keluhan rakyat. Dari atas dihimpit dengan api, api yang dari atas itu ialah harapan-harapan dari Pemerintah supaya rakyat diinsafkan dengan bahasa rakyat itu sendiri. Berat ke atas, nescaya putus dari bawah. Putus dari bawah nescaya berhenti jadi ulama yang didukong rakyat. Berat kepada rakyat, hilang hubungan dengan Pemerintah, maksudnya tidak berhasil. Pihak yang memerintah bisa sahaja men’cap’ (ulama) tidak berpatisipasi. Padahal maksud, iaitu mempertemukan, mempertautkan, menserasikan di antara rakyat dengan Pemerintah.’

’Apa jalan keluar dari kesulitan itu? Jalan keluar pasti ada; yakni ”Siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya akan diberi Allah banyak jalan keluar.” Dengan taqwa, dengan kian hari kian mendekati Tuhan, InsyaAllah ruh atau jiwa akan bertambah besar dan kuat, sehingga pada waktu itulah benar-benar kita berhak akan diberi Allah tugas sebagai Warasatul Anbiya, penerima warisan dari Nabi-Nabi!’[8]

Jawatan ini dipegangnya sehingga beliau meletakkan jawatan pada tahun 1981 kerana mempertahankan fatwanya yang mengharamkan ‘natal bersama’ (umat Islam disaran turut merayakan hari natal). Atas desakan Menteri Agama beliau telah menarik balik penyiaran fatwa ke pihak media tetapi menegaskan bahawa fatwa tersebut tetap dipertahankan. Menteri Agama H. Alamsyah mengugut untuk mengundur diri. Demi untuk mengendurkan ketegangan, Buya HAMKA telah membuat keputusan agar dialah sebagai Ketua Majlis Ulama yang bertanggungjawab atas peredaran fatwa yang diputuskan oleh Komisi Fatwa itu meletakkan jawatan.[9]

Buya HAMKA akan terus dikenang sebagai ulama yang tegas dengan pendiriannya. Ketika ada usaha untuk mengiktiraf kejawen atau gomojowo yang disebut sebagai ‘KEPERCAYAAN’ beliaulah antara ulama yang paling lantang mengingatkan Presiden Suharto agar bersikap tegas tidak tunduk kepada desakan golongan tersebut.[10] Bila ada pihak yang melarang memuatkan tafsir surah al-ikhlas dalam kurikulum pelajaran, dengan tegas beliau mengatakan ‘Kalau tafsir surah al-ikhlas itu dilarang, kerana mahu menenggang (menjaga hati) golongan yang bertuhan tiga, apa lagi ertinya kami yang meyakini keesaan Tuhan!’. Apabila ada desakan supaya kalimah jihad dianggap sebagai merbahaya, maka didepan pegawai tinggi ABRI (Angkatan Bersenjata Rep. Indonesia – hari ini TNI) beliau mengatakan ‘Saya akan merasa sangat terhormat bila dianggap sebagai Kepala Komando Jihad’.[11]

HAMKA juga merupakan seorang ahli sejarah. Beliaulah yang telah merongkai teori pensejarahan kedatangan Islam di Nusantara dan dengan tegas menolak pandangan orientalis yang mengatakan Islam datang dari Benua Kecil India. Buya HAMKA telah membentangkan kajiannya dalam seminar kedatangan Islam di Medan pada tahun 1963 di mana dirumuskan Islam di Nusantara datang langsung dari Semenanjung Arab pada zaman permulaan Islam lagi iaitu pada kurun ke 7 Masehi.[12] Pendapat ini beliau tegaskan untuk menolak rumusan sarjana barat yang mendakwa Islam yang dianuti di Nusantara tidak asli sebaliknya diwarnai oleh kebudayaan dan pengaruh Hindu/Buddha. Sumbangan penulisan beliau terbesar dalam bidang sejarah ialah Sejarah Umat Islam sebanyak 4 jilid yang diusahakan selama 22 tahun (1939 – 1961).[13] Selain dari buku Sejarah Umat Islam, HAMKA juga menulis beberapa buah buku sejarah yang mengupas pelbagai tajuk dan biografi tokoh Islam seperti Sejarah Islam di Sumatera (1950), Kiai Ahmad Dahlan (1952), Pengaruh Muhammad Abduh di Indonesia (1959), Dari Perbendaharaan Lama (1963), Ayahku (1967), Sejarah Muhammadiyah di Minangkabau (1967), Tuanku Rao, Antara Fakta dan Khayal (1970) dan Said Djamaluddin Al-Afghany Pelopor Kebangkitan Muslimin (1970).[14] Keunikan HAMKA sebagai sejarawan berbanding ahli-ahli sejawaran di menara gading ialah beliau turut menjadi pelaku sejarah. Prof Deliar Noor menjelaskan umumnya golongan akademik dalam bidang sejarah akan berkurung di dalam bilik-bilik penelitian dan mengekalkan jarak di antara mereka dengan sesuatu peristiwa sejarah baik dari segi tempat dan waktu untuk menilai sejarah tersebut secara seobjektif mungkin. Berbeza dengan HAMKA yang turut terlibat secara langsung di lapangan menentukan arah perjalanan sejarah. Latarbelakang beliau yang tidak menjalani sistem pendidikan formal dan tidak pernah mendapat latihan dalam bidang sejarah mengikut saluran akademik menjadikan beliau seorang tokoh sejarawan yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Deliar Noor menulis, asas yang menjadikan HAMKA seorang sejarawan dan sekaligus pelaku sejarah ialah hadis Rasulullah SAW ”Sampaikan dariku walaupun satu ayat”. Oleh kerana itu HAMKA bukan sahaja melihat dan menilai satu peristiwa yang telah berlalu dari satu sudut sebagai pengkaji sejarah tetapi di masa yang sama terjun di tengah lapangan dan turut beraksi di dalam masyarakat melakarkan perjalanan sejarah umat Islam. Berbeza dengan sejarawan di kalangan ahli akademik semata-mata, HAMKA mengambil peranan aktif dalam pelbagai gerakan Islam dan organisasi masyarakat. Beliau bersama SI (Sarekat Islam), memimpin Muhammadiyah, menjadi ketua Front Pertahanan Nasional di Sumatera Barat dan Komandan Badan Pengawal Negeri ketika zaman perang revolusi. Sumbangan dan peranan HAMKA terhadap Kesatuan Negara Indonesia yang lahir selepas kemerdekaan diiktiraf apabila dilantik sebagai ahli Konstituante dan kemuncaknya sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia.[15]

HAMKA juga merupakan seorang ahli bahasa dan tegas dalam mempertahankan Bahasa Melayu-Indonesia yang diperkaya dengan istilah dan perbendaharaan Arab. Apabila wujud usaha untuk menolak kalimah Arab dan menggantikannya dengan istilah sanskrit, dengan menggunakan satu contoh beliau mengajak supaya ditukar kalimah ‘hajat’ atau keperluan dalam bahasa Melayu kepada istilah ‘butuh’. Justeru kerana hendak menolak ciri-ciri Arab/Islam maka bahasa Melayu/Indonesia wajib diperkaya walaupun dengan secara carut-marut!’, tegasnya.[16] Katanya lagi tentang betapa besarnya kedudukan bahasa ibunda kepada sesuatu bangsa:

’Sebagaimana terpandang hina dan terpencil dari masyarakat orang yang meninggalkan bahasa ibunya atau bahasa tanah airnya yang dengan dia lidahnya lebih sanggup menerangkan segala perasaan hatinya, lalu meminjam bahasa dan loghat orang lain semata-mata kerana hendak menjadi megah, padahal bahasa asing itu tidak diketahuinya sampai kepada dasarnya; maka lebih terpandang hina lagi manusia yang melebihi daripada kekuatan dan kesanggupannya, atau memilih yang sebenarnya bukan pakaiannya.’[17]

HAMKA juga menyesali keputusan pemerintah Indonesia, yang kemudiannya dituruti oleh Malaysia untuk menggantikan aksara Arab dan tulisan Jawi dengan aksara Latin dan tulisan Rumi. Keputusan ini menurut beliau akan menatijahkan beberapa implikasi besar kepada umat melayu di nusantara. Yang pertama generasi hari ini akan terputus dengan sumber-sumber sejarahnya yang asli dan terpaksa merujuk kepada orang barat yang melakukan penilitian tentang sejarah dan budaya orang melayu sebagai perantara. Apabila orang melayu ingin mengetahui tentang kebudayaan dan pemikiran orang melayu di Malaysia maka mereka terpaksa merujuk kepada R.O. Winsted. Apabila hendak mengetahui tentang Aceh maka terpaksalah diteliti pemikiran Snouck Hurgronje. Yang kedua ialah pertukaran istilah Arab yang merupakan intipati kepada bahasa melayu kepada istilah barat yang menjauhkan umat melayu Islam dari budaya Islamnya. Iktisad akan diganti dengan ekonomi, siasah akan diganti dengan politik, takziah akan diganti dengan balasungkawa dan temasya diganti dengan melancung (Malaysia) dan pariwisata (Indonesia). Ketiga, implikasi yang lebih besar dari penggunaan huruf rumi ini ialah ia melemahkan penghayatan agama umat Islam di nusantara.[18]

Membaca buku-buku roman (novel) dan buku-buku dalam bidang tasauf/falsafah seperti ‘Tasauf moderen’, ‘Pandangan Hidup Muslim’, ‘Lembaga budi’, ‘Bohong di dunia’ dan ‘Lembaga Hikmat’ akan membawa seseorang itu menikmati keindahan bahasa dan kata-kata hikmatnya. HAMKA mampu mengungkap pelbagai perasaan terutama rasa hiba dan kedukaan dalam tulisan-tulisannya sehingga seringkali yang membaca menitiskan air mata. Orang merasakan ia berbicara dengan kalbunya sendiri ketika membaca buku-buku beliau. Kata-kata hikmatnya juga sangat tepat dan memberi keinsafan yang mendalam seperti katanya ‘jasa kalau disebut-sebut, jatuhlah nilainya’. Katanya lagi ‘Jangan ditangisi barang yang hilang, sebaliknya disyukuri apa yang ada. Kelak nanti kalau yang ada itu hilang, ditangisi pula’. Dan lagi ‘Jangan ditertawa orang yang jatuh, sebaliknya bersyukurlah kerana engkau sendiri tidak jatuh.’

Sebelum munculnya tokoh-tokoh motivasi pada zaman mutakhir yang menjadi perunding kepada isu-isu kekeluargaan, pendidikan anak-anak, hubungan suami-isteri, komunikasi interpersonal, kepemimpinan organisasi, HAMKA telah lama mengupas persoalan-persoalan ini lewat buku-buku bertemakan kehidupan. Sebagai contoh dalam soal pendidikan anak-anak HAMKA menulis;

’Dari kecilnya haruslah ditanamkan rasa kepadanya, bahawa sekadar usahanya dan kerajinannya, sekadar itu pulalah puji manusia dan penghargaan orang yang akan didapatnya, Jangan dibiarkan dia penyuruh atau peminta tolong, misalnya diwaktu makan: tolong (ambil) nasi, tolong sambal, tolong air basuh, tolong cawan. Sebab kalau kelak dia telah besar, akan berani dia berkata kepada kaum kerabatnya: tolong urus biniku, tolong sekolahkan anakku, tolong beri aku belanja, berikan kepada saya pelasuran pakaianmu – Orang semacam ini akan menjadi parasit, menjadi bendalu, menumpangkan hidupnya kepada hidup orang lain, sehingga hidup orang lain itu mampus dibuatnya. Setelah orang lain itu mampus, diapun mampus pula!’

’Anak-anak yang tidak diberi didikan sederhana itu, didikan merdeka, didikan percaya akan kekuatan yang ada pada dirinya sendiri, tak ubahnya dengan burung yang tidak tumbuh bulunya.’[19]

Tentang kemerdekaan berfikir pula, HAMKA menulis;

’Satu hal yang amat berbahaya bagi hidup kita ialah bilamana fikiran kita tidak tegak sendiri, tetapi berlindung atau terpengaruh oleh fikiran orang lain. Kekuatan hanya apabila ditolong orang lain, kalau dia dibiarkan hidup sendiri, dia menjadi lemah. Tak ubahnya dengan rumput-rumput yang tumbuh di bawah naungan pohon beringin, hidup segan mati tak mahu, sebab dia tidak mendapat cahaya yang terus terang dari matahari, tetapi kelindungan dari yang lain.’[20]

Di samping sebagai penulis beliau juga adalah seorang pemidato yang sangat disenangi ramai. Khutbah dan kuliahnya selalu mendapat perhatian samada di tempat lapang, di masjid mahupun yang berkumandang di radio atau muncul di kaca TV baik secara langsung atau rakaman.[21] Ruangan kuliah subuhnya adalah antara rancangan yang paling ditunggu-tunggu. Di Malaysia rakaman kuliah subuhnya diedarkan dalam bentuk kaset yang mendapat langganan cukup laris. Orang tertarik dengan penyampaiannya yang penuh hikmah dengan huraian yang cukup mendalam, tidak menyerang dan tidak emosional. Beliau selalu memulakan kuliahnya dengan panggilan-panggilan mesra seperti ’anakanda yang’, ’saudariku’, ’sahabatku yang tercinta’ dan sering di dalam ceramahnya disela-sela dengan ucapan ’maaf’, ’insyaAllah’ dan sebagainya.[22]

HAMKA juga menjadi rujukan masyarakat dalam pelbagai persoalan agama dan kehidupan. Melihat kepada permasalahan yang dikemukakan masyarakat dalam majalah Gema Islam dan Panji Masyarakat terserlah kemampuannya mengulas pelbagai masalah termasuk persoalan Sains. Sebagai contoh dalam menjawab satu kemuskilan tentang teori Darwin dan pertentangannya dengan Islam, HAMKA tidak menolak secara borong teori evolusi yang dikemuka Darwin. Bahkan beliau membandingkan pandangan Darwin dengan pandangan saintis Islam yang mendahului Darwin 800 tahun lebih awal iaitu Ibnu Maskawaih (328H – 421H bersamaan 1030M). Ibnu Maskawaih di dalam kitabnya Tahzib ul Akhlaq merumuskan teori yang mendekati Darwin iaitu ’Kemajuan hidup (evolusi) dari nabati, sampai kepada ikan, haiwan dan insan. Akhir kemajuan haiwan terbatas hingga kera dan permulaan kemajuan jadi insan dimulai dengan kehidupan orang Zanji (negro) yang belum berkebudayaan’. Bahkan seperti Ibnu Maskawaih yang meletakkan garis pemisah di antara kera dan haiwan, Darwin juga tertumbuk dengan persoalan ’the missinng link’ (mata rantai yang tidak diketemukan) di antara kejadian manusia dan kera. Yang membedakan Ibnu Maskawaih dengan Darwin ialah Ibnu Maskawaih menyandarkan pandangannya pada ayat ’Demikianlah ditakdirkan oleh Tuhan yang maha mulia dan maha tahu.’ (Surah Yaasin ayat 38), sedang Darwin tidak menyebut-nyebut Tuhan dalam mengutarakan pandangannya. Persoalan hubungan manusia dan haiwan ini disinggung juga oleh HAMKA dari sudut ilmu manthiq di mana insan ditakrifkan sebagai ’Manusia adalah haiwan, tetapi pandai berfikir.’[23]

Dalam persoalan yang menuntut penegakkan prinsip beliau tidak teragak-agak menyatakan pendirian Islam tanpa berselindung. Sebagai contoh dalam menangani kes perkahwinan di antara artis Indonesia yang terkenal tahun 1970’an iaitu Emilia Contessa dengan seorang pemuda Kristian, Rio Tambunan pada 1 April 1976, HAMKA dengan tegas mengatakan perkawinan itu tidak sah. Bahkan tidak perlu dibahaskan sah tidaknya kerana mereka berkahwin melalui catatan sipil (mendaftarkan perkahwinan di pejabat pendaftar perkahwinan) dan diikuti secara keagamaan Kristian di sebuah gereja di Jakarta.[24] (nota pen. Perkahwinan ini berakhir dengan perceraian dan Emilia Contessa kemudiannya menikah dengan Ahmad Surkaty, kemudian bercerai dan berkahwin dengan seorang keturunan Arab bernama Usama Muhammad al Hadar. Emilia Contessa menghasilkan sebuah album nasyid islami berjudul Samudera Shalawat pada tahun 2000).

Menyentuh isu-isu besar yang dihadapi oleh umat Islam, beberapa pandangannya boleh dijadikan kayu ukur dalam menentukan pendirian umat Islam pada hari ini dan akan datang. HAMKA pernah mengunjungi Amerika atas jemputan Kementerian Luar Negara Amerika pada tahun 1952. Pengalamannya berada di bumi Amerika dikongsikan dalam bukunya Empat Bulan di Amerika. Penilaian beliau terhadap hubungan di antara Amerika dan Dunia Islam mendahului zaman. Beliau menggariskan rakyat Amerika tidaklah setan seperti yang digambarkan oleh musuh-musuhnya. Tetapi mereka dan dunia barat umumnya telah mencapai kemajuan kebendaan yang jauh meninggalkan umat Islam. Tetapi kemajuan kebendaan itu tidak seimbang dengan kemajuan jiwa. HAMKA tidak percaya dengan pandangan Rudyard Kipiling bahawa ‘barat tetap barat’ dan ‘timur tetap timur’ dan selamanya tidak akan bertemu.[25] Bagi beliau apabila barat dan timur sudah terpisah maka dunia tidak akan selamat. Timur akan musnah jika tidak ‘berbarat’ dan barat akan musnah jika tidak ‘bertimur’ (barat dan timur harus berinteraksi dan saling lengkap melengkapi). Adapun bagi umat Islam kita harus mempunyai pandangan yang luas dalam mencangkupi persoalan ini iaitu ‘kemana sajapun engkau menghadap (timur atau barat), di sana terlukis wajah Allah.’[26]

Begitu juga dalam persoalan mengenai umat Islam sendiri, apakah yang perlu digarap jika umat Islam mahu mencapai kemajuan hidup. Di sini HAMKA menekankan tentang peri pentingnya akal dan umat Islam membangun potensi akal. Beliau menegaskan kerana itu apabila Allah SWT mengajak menusia kepada Islam dan mengikut perentahNya dan meninggalkan laranganNya, Dia masuk melalui pintu akal terlebih dahulu. Jika manusia membantah disuruhnya terlebih dahulu berfikir dengan dalam, menggunakan akalnya yang suci dan bersih serta bebas dari pengaruh hawa nafsu. Setelah meletakkan martabat yang tinggi terhadap akal, HAMKA menegaskan pula kepentingan ijtihad sebagai kerja akal yang penting bagi umat Islam. Sumber hukum dan panduan hidup ialah al Quran dan hadis Rasulullah SAW. Namun nas al Quran dan sunnah terhenti setakat yang tertulis sahaja sedang soal-soal baru tidak pernah berhenti. Kata beliau yang tidak pernah berhenti itu tidaklah dapat diikat perkembangannya oleh yang telah berhenti. Dengan itu ijtihad amat perlu.[27] Malah menurut HAMKA, salah satu sebab terbesar dari kemunduran pemikiran umat Islam sehingga berlaku kebekuan dan kejumudan ialah setelah timbul pendapat di abad ke tujuh hijriah bahawa pintu ijtihad telah tertutup dan lebih baik umat Islam taqlid sahaja![28]

Pandangan beliau terhadap kedudukan perempuan dan soal perkahwinan juga perlu disentuh. HAMKA membetulkan beberapa salah faham sekaligus mengangkat martabat perempuan seperti yang dijamin oleh syariat Islam. Kefahaman yang berpunca dari kepercayaan agama Kristian yang salah tentang perempuan turut mempengaruhi pandangan umat Islam. Hawa digambarkan sebagai punca kepada Adam a.s. memakan buah terlarang dalam syurga sehingga kedua-duanya terbuka aurat dan akibat dari pelanggaran ini mereka telah dikeluarkan dari syurga. HAMKA menegaskan bahawa Adam a.s. dan Hawa kedua-duanya terpedaya oleh bujuk rayu syaitan, bukan Adam dipengaruhi oleh bujuk rayu Hawa. Dengan ini Hawa terlepas dari tuduhan sebagai penyebab atau tergelincirnya Adam dari syurga seperti yang termaktub dalam doktrin ’the original sin’ dalam agama Kristian. Kepercayaan yang salah ini turut mempengaruhi jalan berfikir umat Islam yang seringkali meletakkan pelbagai kerosakan yang berlaku di dalam masyarakat baik dalam soal akhlak, sosial dan politik kepada wanita. [29]

HAMKA wajar dirujuk oleh golongan sekular-liberal dan mereka yang kononnya menentang hukum poligami dalam Islam atas nama pembelaan ke atas wanita dari penindasan lelaki. Atas dasar kefahamannya yang mendalam terhadap anjuran dan peringatan terhadap lelaki yang mahu berpoligami sebagaimana yang termaktub di dalam al Quran, HAMKA menegaskan bahawa syarat untuk lelaki mengamalkan poligami perlu digariskan.[30] Beliau menyokong penggubalan undang-undang mengenai peraturan poligami yang meletakkan syarat antara lain bahawa lelaki akan berlaku adil sesuai dengan kesanggupannya, bersedia untuk memberikan nafkah dan tempat tinggal yang sepadan dengan wanita yang akan dikahwininya, ada keperluan untuk berkahwin lagi kerana isteri pertama mandul atau tiada kesanggupan memenuhi tuntutan nafkah bathin suami dan mendapat persetujuan kedua-dua pihak. Namun HAMKA menegaskan hukum poligami dijamin oleh al Quran sebagai satu mekanisme sosial yang tidak boleh dipersoal kerana ia mempunyai banyak hikmah sehingga syariat mengizinkan. Sebagai seorang yang dibesarkan di dalam masyarakat adat Minangkabau di mana berleluasanya amalan poligami yang tidak berdasarkan kepada hikmah mengapa ia dibenarkan, sehingga beliau turut merasai peritnya penangan poligami ketika zaman awal remaja mengukuhkan lagi pendiriannya supaya amalan berpoligami diperketat. HAMKA sendiri hanya berkongsi hidup dengan seorang isteri sahaja iaitu Siti Raham, dan hanya mengahwini isteri yang kedua setelah isteri yang pertama meninggal dunia dan itupun di atas desakan anak-anak.[31]

Dunia hari ini yang kononnya telah berkembang maju masih belum bebas dari persoalan hak asasi manusia. Pelanggaran-pelanggaran ke atas hak asasi manusia semakin berleluasa sehingga Deklarasi hak asasi manusia yang diluluskan di San Francisco pada tahun 1945 menjadi satu penghinaan berterusan. HAMKA menjelaskan manusia sejak mengenal erti kemerdekaan insan berusaha untuk menolak penindasan dan perbudakan sehingga terbitlah perjuangan di barat yang menghasilkan Magna Carta (1512), American Declaration of Independence (1776), Revolusi Peranchis (1789) yang melahirkan slogan ’Liberte, Egalite, Fraternite’ (Kemerdekaan, Persamaan, Persaudaraan), Usul Presiden AS, Wilson (1918) yang dinamakan Right of Self Determination dan Deraf Declaration of Human Rights yang disepakati di San Francisco (1945).[32] Namun menurut HAMKA, kesemua pernyataan hak asasi ini hanya untuk kelas yang tertentu, bangsa yang tertentu dan tidak bertujuan untuk mengembalikan hak kepada manusia sejagat. Buktinya negara barat yang mempertahankan hak asasi kemanusiaan kononnya tidak pernah mengiktiraf bahkan menginjak-injak prinsip hak asasi negara-negara dan bangsa-bangsa yang dijajahnya. Hak kesamaan dan keadilan di Amerika umpamanya tidak pernah memperakui dari segi praktiknya hak penduduk asli pribumi dan bukan berkulit puteh khususnya African-American yang terus terpinggir dalam arus permodenan dan kemajuan Amerika. Dan menurut HAMKA lagi, sebaik sahaja deklarasi hak asasi manusia ini disepakati di San Fransisco pada tahun 1945, korban yang pertama ialah rakyat Palestin yang terusir keluar oleh bangsa Yahudi yang berhijrah dari seluruh Eropah dan diperakui pula pengusiran dan penjajahan ini oleh negara-negara yang menandatangani deklarasi hak asasi tersebut.[33] Bagi beliau hanya dengan Islam, hak asasi seluruh kemanusiaan akan terjamin dan terpelihara kerana ia meletakkan tauhid dan bukan ras, suku atau bangsa sebagai dasar.

Begitulah sekelumit dari peribadi dan sumbangan Prof. Dr. HAMKA kepada dunia Islam khususnya di nusantara. Sumbangan beliau yang tidak ternilai harganya dalam membangunkan jatidiri umat Islam di dunia sebelah sini ternyata diiktiraf oleh Institusi pengajian Islam terunggul di dunia iaitu Universiti al Azhar sehingga diberi gelar Doktor Honoris Causa pada tahun 1960.[34] UKM juga menganugerahkan ijazah Doktor Persuratan kepada beliau pada tahun 1974 kerana sumbangannya kepada umat Islam di Malaysia.[35]

Pada tahun 1981 beliau berpulang ke rahmatullah, meninggalkan kenang-kenangan dan sumbangan yang sangat besar ertinya dalam membangun jatidiri dan tamaddun islam di Nusantara.


[1] Si Sabariyah diterbitkan 1928 dalam bahasa Minangkabau. Pada tahun 1929, keluar pula buku beliau yang kedua, Laila Majnun. HAMKA, 1982, Kenang-kenangan Hidup, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, hlm. 93 – 96. Bakat dan minat beliau terhadap penulisan terus berkembang dengan terbitnya dua pertama tersebut. Di samping dua buku ‘roman’ ini, di masa yang sama beliau juga menerbitkan buku-buku ilmiah khususnya berkaitan sejarah dan dakwah iaitu Rengkasan Tarikh Umat Islam, Pembela Islam (Tarikh Abu Bakar), Sejarah Minangkabau dengan Agama Islam (diharamkan oleh pihak berkuasa sebab isinya dianggap merbahaya), Agama dan Perempuan dan Kepentingan Bertabligh. Selain menulis buku, beliau juga mencuba untuk menerbitkan majalah beliau sendiri seperti Kemahuan Zaman dan al-Mahadi dan mengirim rencana ke majalah Menara (Jakarta), Pembela Islam (Persatuan Islam Bandung), Fikiran Rakyat (Majalah yang diterbitkan oleh Ir. Sukarno di Bandung), Suara Muhammadiyah, Almanak Muhammadiyah dan suratkhabar Adil di Solo. Pada tahun 1936 beliau diangkat sebagai ketua pengarang majalah Pedoman Masyarakat di Medan. Baru dua bulan dilantik sebagai ketua pengarang, jumlah langganan meningkat kepada 1,000 dan menjelang 1939 jumlah langganan mencecah 4,000 naskhah. Ibid., hlm 96 – 98.

[2] HAMKA, Kenang-kenangan hidup, op. cit., hlm. 38 - 39. Golongan ‘parewa’ adalah orang-orang muda yang tidak mahu bergantung hidup dengan orangtua (hidup bebas). Mereka hidup dengan berjudi dan menyabung ayam. Solidariti di kalangan mereka cukup tinggi. Meskipun mengamalkan budaya hidup yang negatif, namun mereka mempunyai beberapa ciri positif seperti suka membantu, dermawan dan hormat pada orang alim. Lihat Deliar Noer, Gerakan Modern Islam di Indonesia, LP3ES, Jakarta, 1980, hlm. 69.

[3] Sudah menjadi semacam adat bagi orang kampung menghantar anak perempuannya untuk dikahwinkan dengan orang yang ada kedudukan baik sebagai orang agama atau orang kaya, meskipun anaknya terpaksa bermadu dengan isteri-isteri yang sedia ada. Apa yang diharapkan ialah status keluarga akan meningkat hasil dari perkahwinannya dengan orang-orang yang terpandang dalam masyarakat. Keadaan ini menyebabkan amalan berpoligami berlaku secara berleluasa tanpa pertimbangan terhadap kestabilan hidup berkeluarga dan kesejahteraan anak-anak. Senario ini juga menyebabkan amalan ’kahwin-cerai’ menjadi satu kebiasaan yang turut melanda rumahtangga ayah dan ibu HAMKA, semuanya atas kehendak adat dan ketentuan nenek-mamak (orang-orang tua dalam keluarga yang berkuasa dalam soal adat). Celaan HAMKA ke atas amalan buruk ini diluahkan dalam novelnya ’Merantau ke Deli’. Watak Leman, orang Padang (Minangkabau) merantau ke Deli dan berkahwin dengan Poniem, orang Jawa. Setelah perniagaannya di perantauan semakin maju, orang kampung mula mendesak supaya Leman berkahwin lagi dengan gadis sekampungnya, sedangkan ketika dia hidup susah tiada siapa di kampung yang mempedulikannya. Apabila Leman meminta nasihat dari sahabatnya, Bagindo Kayo, inilah nasehat yang diterimanya, ”Famili hanya berkehendak saja (meminta Leman kahwin orang sekampungnya), yang akan mengemudikan rumahtanggamu bukan mereka, tetapi engkau sendiri. Engkau akan kembali hidup di rantau, jauh dari pelupok mata mereka. Mereka hanya pandai meluncurkan engkau ke dalam lembah kesusahan. Kalau ada hartamu kirimkan pulang, belikan sawah, lekatkan ke rumah, semuanya untuk mereka, umurmu habiskan di rantau, setelah tua pulanglah supaya diletakkan orang engkau di surau buruk. Sudah begitu adat, sudah begitu lembaga (ketua-ketua adat), apa lagi! Lihat HAMKA, Merantau ke Deli, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1966, hlm. 65 – 66.

[4] Ketika mempertahankan demokrasi terpimpin, Sukarno berkata ”itulah jalan lurus, Assirathal mustaqim”. Ini dijawab oleh HAMKA, ”Itulah Assirat ilal jahim” (jalan menuju neraka). Lihat H. Rusydi HAMKA, HAMKA Pujangga Islam, Kebanggaan Rumpun Melayu: Menatap Peribadi dan Martabatnya, Pustaka Dini, 2002, hlm. 87.

[5] Pengalaman ditangkap, menjalani interogasi, dan ditahan selama tiga tahun dicatat oleh HAMKA dan diabadikan oleh anak-anaknya. Lihat H. Rusydi HAMKA, HAMKA Pujangga Islam, Kebanggaan Rumpun Melayu: Menatap Peribadi dan Martabatnya, Lampiran I, Catatan Dalam Tahanan Regim Sukarno, op. cit., hlm. 275 – 306. Ketika menziarahi jenazah Sukarno, HAMKA berdoa; “Aku telah doakan engkau dalam sembahyangku supaya Allah memberi ampun atas dosamu. Aku bergantung pada janji Allah, bahawa walaupun sampai ke lowong langit timbunan dosa, asal memohon ampun dengan tulus, akan diampuniNya. Adapun dosamu pada diriku sendiri, menganiaya aku, menuduhku dengan tuduhan palsu, mengecewakanku dengan anak-cucuku sampai kami menderita bertahun-tahun, di hari perpisahan terakhir, ini aku jelaskan bahawa engkau telah kuberi maaf.” Lihat Farchad Poeradisastra, Memang Kebenaran Harus Tetap disampaikan, hlm. 155 – 164, (dalam) Nasir Tamara, Buntaran Sanusi dan Vincent Djauhari (penyunting), HAMKA – Di Mata Hati Umat, Penerbit Sinar Harapan, Jakarta, 1984.

[6]

[7] HAMKA, Tafsir al Azhar (juzu’ 1), P.T. “Pembimbing Masa”, Jakarta, 1967, hlm. 45. Latarbelakang bagaimana tafsir ini dinamakan tafsir al Azhar ada kaitan dengan lawatan Syeikh Mahmud Syaltut, rektor Universiti al Azhar, Mesir pada tahun 1960. Beliau tertarik dengan Masjid besar di Kebayoran Baru, Jakarta di mana HAMKA memberi khutbah dan mengisi pengajian terutama kuliah tafsir al Quran selepas subuh yang dinamakan ’Kuliyyah Subuh’. Pengurusan masjid dan aktiviti-aktivitinya mendorong Syeikh Mahmud Syaltut menamakan masjid tersebut dengan Masjid al Azhar.Indonesia sepert yang ada di Mesir. Maka dengan itu kuliah tafsir HAMKA dimasjid itu juga diterbitkan secara bersiri di dalam majalah Gema Islam dengan nama tafsir al Azhar. Lihat Muhammad Ahmad al Sambathy (pensyarah di Fakulti Usuluddin, Universiti al Azhar), Mengenal Doktor HAMKA, (dalam), Kenang-kenangan 70 Tahun Buya HAMKA, Yayasan Nurul Islam, Jakarta, 1978, hlm. 36 – 38.

[8] Petikan dari kata sambutan Prof. Dr. HAMKA pada penutupan Musyawarah Nasional ke I Majelis Ulama seluruh Indonesia di Taman Mini Indonesia Indah, Jakarta, 27 Julai 1975. Lihat Umar Hasyim, op. cit., hlm. 325. Prof A. Hasjmy memberi komentar tentang perlantikan HAMKA sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia. Beliau mengatakan HAMKA menerima pelbagai reaksi. Ada yang melemparkan tuduhan HAMKA sudah menjadi ’alat penguasa’ dan tidak kurang menilainya sebagai satu kebijaksanaan yang tepat pada waktunya. Bagi Prof A. Hasjmy, reaksi yang pelbagai ini adalah gambaran tentang peribadi HAMKA yang dipuji dan dicela silih berganti. Bukan sahaja dalam isu perlantikan beliau sebagai Ketua Majlis Ulama tetapi hampir dalam semua kegiatan beliau. Apabila HAMKA menceburkan diri dalam bidang penulisan novel, segolongan masyarakat memujinya tetapi segolongan masyarakat mencela dan menyindir dengan gelaran seperti ’ulama van derwijk’ dan ’kiyai merantau ke Deli’. Ini adalah menepati apa yang diungkapkan oleh ahli hikmat ’Kalau engkau menerima pujian dan celaan silih berganti, janganlah engkau menjadi bimbang dan yakinlah bahawa perjalanan hidupmu berada di atas jalan yang benar.’ Lihat A. Hasjmy, Prof. Dr. HAMKA yang saya kenal, (dalam) Kenang-kenangan 70 tahun Buya HAMKA, Yayasan Nurul Islam, Jakarta, 1978, hlm. 149 – 152.

[9] Fatwa haramnya umat Islam menyambut hari natal (krismas) dicabut dari peredaran. Surat pernyataan pencabutannya di tanda tangani oleh HAMKA sebagai ketua umum MUI dan Burhani Cokrohandoko sebagai sekretaris jenderal. Tetapi HAMKA menegaskan melalui pernyataan kepada pelbagai akhbar atas nama peribadi yang dicabut hanya peredaran fatwa sedang fatwa itu sendiri tetap sah dan tidak terbatal. Hanya peredarannya yang dicabut. HAMKA membaca surat perletakkan jawatan sebagai ketua umum MUI pada 18 Mei, 1981 ketika diadakan mesyuarat pimpinan harian di kantor MUI yang baru di Masjid Istiqlal. Lihat H. Rusydi HAMKA, HAMKA Pujangga Islam, Kebanggaan Rumpun Melayu: Menatap Peribadi dan Martabatnya, op. cit., hlm. 255 – 256

[10] Golongan abangan (penganut agama sinkretisme Islam dan Hindu) telah berusaha melakukan lobi supaya Pemerintah mengiktiraf Kejawen atau Gomojowo sebagai satu agama di samping Islam yang diberi nama KEPERCAYAAN sehingga mendapat siaran TVRI (TV Rep Indonesia) di bawah nama ’Sekretariat Kepercayaan’. HAMKA telah menjelaskan bahawa golongan ini yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ke atas 6,000 ulama ahlus sunnah wal jamaah di zaman Mataram (Amangkurat I) pada kurun ke 17 dahulu dan mereka amat disenangi oleh Belanda. Bahaya kelompok ini dijelaskan oleh HAMKA dalam sepucuk surat yang dikirimkan kepada Presiden Suharto bertarikh 29 April, 1976. Lihat H. Rusydi HAMKA, HAMKA Pujangga Islam, Kebanggaan Rumpun Melayu: Menatap Peribadi dan Martabatnya, Lampiran IV, Surat Peribadi Kepada Presiden Suharto, op. cit., hlm. 345 – 356.

[11] Ibid., hlm. 252.

[12] Rumusan yang dibuat pada Seminar Sejarah Masuknya Islam ke Indonesia diadakan pada 17 – 20 Mac, 1963, Medan, Sumatera.

[13] Pada bahagian pengantar buku Sejarah Umat Islam, HAMKA menulis “Sejarah Umat Islam ini telah mulai saya susun tahun 1939, kerana cita-cita hendak menerbitkan buah-tangan yang agak besar. Dalam tahun 1941 sudah ada maksud dari penerbit Pedoman Masyarakat hendak menerbitkan. Tetapi kerana harga kertas sebab akibat perang, kian hari kian naik, maka tergendalalah penerbitan hingga sekarang (Julai 1949 – Ramadhan 1368), sudah sepuluh tahun naskhahnya tersimpan di dalam peti. Berkali-kali kita telah pindah sejak dari Medan sampai Padang Panjang, sampai Maninjau dengan isteri dan tujuh anak. Kadang-kadang berciciranlah barang kecil-kecil dan kitab-kitab tetapi naskhah Sejarah Umat Islam dipelihara baik dan dijaga rapi. Sehingga selamat tidak kurang sehelai jua pun”. Pada bahagian pendahuluan buku ini, Penerbit Pustaka Antara merakamkan berikut, ”Kerana besar dan luasnya radius yang dihuraikan dalam buku ini, maka banyak hal-hal yang selama ini tersembunyi dari pengertian kita, kini terbongkar dengan jelas dan menakjubkan, terutama sekali dalam bahagian yang akhir, ketika membicarakan Sejarah Islam dan umatnya di Alam Melayu. Di sinilah Dr HAMKA telah berjaya besar mengemukakan satu tesis tentang sejarah Islam di Alam Melayu hasil dari penyelidikannya yang puluhan tahun itu, dan melawati seluruh daerah nusantara, semua istana-istana Raja-raja, pembesar-pembesar dan ahli-ahli cerdik pandai di samping menyelidiki buku-buku dari berbagai bahasa. Tesis ini memang menggemparkan terutama setelah terbit jilid ke IV itu dahulu, yang kemudian dengan penuh kesadaran dan rasa tanggungjawab, tesis ini diakui oleh Prof. Dr. Bahder Djohan, Presiden Universiti Indonesia di Jakarta ketika itu. Maka berdasarkan dari buku inilah, maka kemudian pengajaran sejarah terutama mengenai Islam di Indonesia dari buku-buku yang terdahulu dari ini, diubah sebahgian terbesarnya.” Pada bahagian Penutupnya pula HAMKA menulis ”Kita habiskanlah dahulu ’Sejarah Umat Islam jilid IV’ sehingga tertutuplah abad ke tujuh belas itu, dan InsyaAllah akan kita sambung dengan ’Sejarah Umat Islam jilid V’ yang akan mengandung, selain dari sejarah perjuangan di daerah yang telah disebutkan tadi, pun juga akan membicarakan dengan khusus ’Sejarah Umat Islam di Minangkabau’, demikian juga di Kalimantan dan akan dipaparkan juga perkembangan Islam di Kepulauan Filipina. Moga-moga Tuhan memberikan kekuatan bagi kita untuk meneruskannya.” Walaubagaimanapun jilid V seperti yang disebut oleh HAMKA tidak dapat penulis dikesan. (nota pen.) HAMKA, Sejarah Umat Islam, Penerbit Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1980.

[14] Lihat Mestika Zed, HAMKA dan Studi Sejarah Islam di Indonesia, Kertaskerja Seminar Serantau Aktualisasi Pemikiran dan Perjuangan HAMKA Dalam Kebangkitan Umat Islam Asia Tenggara, Anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pemuda Kabupaten Agam-Sumbar dan Harian Umum Mimbar Minang di Mesjid Raya Syeikh Amrullah, Dusun Nagari Sungai Batang, Maninjau, Kabupaten Agam, Sumatera Barat, Indonesia pada 24 Julai 2000.

[15] Deliar Noor, HAMKA dan Sejarah, (dalam) Kenang-kenangan 70 Tahun Buya HAMKA, Yayasan Nurul Islam, Jakarta, 1978, hlm. 106 – 124.

[16] Prof. Madya Dr Siddiq Fadhil, Mengangkat Martabat Umat dan Tamaddun Melayu: Tinjauan Apresiatif Terhadap Pemikiran HAMKA. Kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar HAMKA dan Transformasi Sosial di Alam Melayu, Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 28 April, 2001.

[17] HAMKA, Falsafah Hidup, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1977, hlm. 25.

[18] K.H. Zainal Abidin Ahmad, Wartawan Itu Bernama HAMKA, (dalam), Kenang-kenangan 70 Tahun Buya HAMKA, Yayasan Nurul Islam, Jakarta, 1978, hlm. 181 – 190.

[19] HAMKA, op. cit., hlm. 200 – 201.

[20] Ibid., hlm. 153.

[21] Di antara khutbah HAMKA yang dibukukan ialah kompilasi khutbah Hari Raya Aidil Fitri yang disampaikan di halaman masjid agung al Azhar, Kebayuran Baru, Jakarta dan di halaman Istana Merdeka, Jakarta, Lihat HAMKA, Di bawah Gema Takbir, Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., Kuala Lumpur, 1976, 98 hlm.

[22] Ibid., hlm. 157. Salah seorang dari pendengar setia dan pengkagum kuliah subuh HAMKA ialah seorang pelukis, Teedja Suminar yang beragama Katholik. Beliau adalah bapa kepada seorang pelukis cilik terkenal bernama Lini Natalini Widhiasi yang banyak memenangi medal emas dalam pertandingan melukis antarabangsa.

[23] Majalah Gema Islam No. 12 tahun I, 15 Julai, 1962. Dikompilasi oleh H. Rusydi, Afif (ed.),HAMKA membahas soal-soal Islam, Penerbit Pustaka Panjimas, Jakarta, 1983, hlm. 95 – 99.

[24] Ibid., hlm. 277 – 279.

[25] Rudyard Kipling (1865 – 1936) adalah seorang penulis dan penyair berbangsa Inggeris yang terkenal. Beliau dilahirkan di Bombay, British India. Ungkapan ini ‘Oh! East is East, and West is West, and never the twain shall meet’ dinukilkan dalam puisi beliau yang berjudul The Ballad of East and West

[26] Beliau menulis kepada anak angkatnya Emzita dalam bukunya Empat Bulan di Amerika, lihat Emzita, Sekelumit Kenangan dengan seorang Ulama dan Pujangga Islam, (dalam) Kenang-kenangan 70 Tahun Buya HAMKA, op. cit., hlm. 102.

[27] HAMKA, Studi Islam: Aqidah, Syari’ah, Ibadah, Yayasan Nurul Iman, Jakarta, 1976, hlm. 65.

[28] Ibid., hlm. 258.

[29] Abdul Chair, Pemikiran HAMKA dalam bidang akidah, tasawuf dan sosial-politik, Disertasi Pascasiswazah IAIN (Inst. Agama Islam Negeri) Syarif Hidayatullah, Jakarta, 1996, hlm. 177 – 181, tidak diterbitkan.

[30] HAMKA merujuk kepada al Quran pada Surah an Nisa ayat 3 dan ayat 129 di mana poligami dibenarkan tetapi beristeri seorang sahaja lebih aman kerana amat sukar untuk berlaku adil. Namun jika masih hendak berpoligami, soal keadilan yang diutamakan. Dari Majalah Gema Islam, No. 18 Tahun I, 15 Oktober, 1962. Dipetik dari HAMKA, Soal-Jawab Agama Islam: Jilid 2, Pustaka Melayu Baru, Kuala Lumpur, 1984, hlm. 123 – 128.

[31] Ummi (sebutan anak-anak HAMKA) Hajjah Siti Raham mendampingi HAMKA selama 43 tahun. Mereka berkahwin pada 5 April 1929 ketika HAMKA berumur 21 tahun dan Siti Raham 15 tahun. Dari perkahwinan ini mereka dikurniakan 10 orang anak. Ummi Hajah Siti Raham meninggal pada 1 Januari 1972 ketika berusia 58 tahun. HAMKA menikah isterinya yang kedua Hajah Siti Khadijah pada Ogos 1973. Lihat H. Rusydi, HAMKA Pujangga Islam, Kebanggaan Rumpun Melayu: Menatap Peribadi dan Martabatnya, op. cit., hlm. 25 – 45.

[32] Wakil-wakil dari 50 negara telah bersidang untuk menyediakan Deraf Hak Asasi Manusia dan diterima dan diluluskan di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan Disember 1948 yang dikenali sebagai Universal Declaration of Human Rights.

[33] Studi Islam, op. cit., hlm. 60 – 61.

[34] Pidatonya di Universiti al Azhar sebagai promosi mendapatkan gelaran Doktor Honoris Causa berjudul Penagruh Muhammad Abduh di Indonesia. Beliau menghuraikan tentang kesan pemikiran Muhammad Abduh terhadap gerakan-gerakan Islam moden di Indonesia seperti Sumatera Tawalib, Muhammadiyah, al Irsyad dan Persis pada awal abad ke 20. H. Rusydi HAMKA, HAMKA, Pujangga Islam: Kebanggaan Rumpun Melayu, Menatap Peribadi dan Martabatnya, op. cit., hlm. 7.

[35] Perlu dirakamkan di sini bahawa HAMKA cinta kepada seluruh bumi melayu tanpa membezakan di antara Indonesia atau Tanah Melayu. Prof. Madya Dr Siddiq Fadhil, Mengangkat Martabat Umat dan Tamaddun Melayu: Tinjauan Apresiatif Terhadap Pemikiran HAMKA. Kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar HAMKA dan Transformasi Sosial di Alam Melayu, Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 28 April, 2001.

2 comments:

Fey Down said...

Terima kasih atas tulisan tentang Buya Hamka, saya salah satu pengagum beliau dan menyimpan buku buku karangan beliau.

Salam dari Perth

Fey

Zaidahahmad said...

Alhamdulillah..dpt mengenali Buya Hamka..dah lama tau nama ni..ibu sy hampir saja menamakan abg dengan.nama Hamka. :D
Sedang mencari buku2 tulisan Buya Hamka.

.
terima kasih atas tulisan ttg Buya ini.. syukran jazilan!

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc