Tuesday, September 13, 2011

Hari ini 13 September adalah ulang tahun perjanjian Oslo - satu bukti bahawa israel tidak akan mengotakan janji


Inilah yang bakal dikatakan negara Palestin yang merdeka
jika perjanjian Oslo menjadi kenyataan
(Bantustan - daerah yang terpisah-pisah)


Yitzhak Rabin dan Yasser Arafat menandatangani perjanjian Oslo
tanpa merujuk kepada persetujuan rakyat Palestin
(keduanya diberikan hadiah nobel 'keamanan')

Pada hari ini iaitu pada 13 September, genaplah 17 tahun perjanjian Oslo di tanda tangani (1993 - 2011). Jika mengikut jadual perjanjian pada tahun 1998 (5 tahun selepas Oslo) negara Palestin yang merdeka dan berdaulat akan diistiharkan. Namun Israel tidak akan memenuhi sebarang perjanjian yang ditanda tanganinya.

Kini kita menanti pula saat pengistiharan negara palestin yang berdaulat yang akan dikemukakan melalui persidangan agung PBB. Apakah ia akan menerima nasib yang serupa dengan Oslo? Isu ini akan diulas kemudian. Tetapi sebagai persediaan menghadapi 20 September dan undian di PBB samada Palestin akan diistiharkan sebagai negara yang berdaulat, dipaparkan maklumat terperinci apa yang diputuskan dalam perjanjian Oslo yang kemudian gagal sebagaimana gagalnya pelbagai inisiatif yang diterajui bersama Israel yang di broker oleh US.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Aqsa Syarif

(rencana ini dipetik dari buku 'Berdamai dengan Israel - berapa harganya' oleh Dr hafidzi Mohd Noor, terbitan JIMedia, 2006.
--------------------------------------------------------------------------------------

Perjanjian Oslo, secara rasminya dirujuk sebagai Declaration of Principles on interim Self-Government Arrangements (Deklarasi Prinsip-Prinsip Ke Atas Persediaan Pemerintahan Sendiri Sementara) atau ringkasnya Declaration of Principles atau DOP (Deklarasi Prinsip-Prinsip). Persetujuan muktamad diterima di Oslo, Norway pada 20 Ogos 1993 dan ditandatangani secara rasmi dalam satu majlis umum di Washington D.C. pada 13 September 1993. Mahmoud Abbas menandatangani bagi pihak PLO dan Shimon Peres bagi pihak Israel. Ia disaksikan oleh Warren Cristopher dari Amerika Syarikat dan Andrei Kozyrev dari Rusia dengan kehadiran Bill Clinton (Presiden Amerika Syarikat), Yasir Arafat (Pengerusi PLO) dan Yitzhak Rabin (Perdana Menteri Israel).

Perjanjian Oslo adalah kemuncak kepada siri-siri persetujuan yang dibuat secara rahsia dan terbuka, yang dapat dikesan bermula dengan Persidangan Madrid, 1991 dan dirundingkan di antara PLO dan Israel sebagai sebahagian daripada Proses Damai untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

‘The Government of the State of Israel and the Palestine Liberation Organization (hereinafter "the PLO"), the representative of the Palestinian people; WITHIN the framework of the Middle East peace process initiated at Madrid in October 1991; REAFFIRMING their determination to live in peaceful coexistence, mutual dignity and security, while recognizing their mutual legitimate and political rights..’ (Kerajaan Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (Selepas ini disebut PLO), wakil dari rakyat Palestin; DALAM rangka proses perdamaian Timur Tengah yang dimulakan di Madrid pada Oktober 1991; MENEGASKAN KEMBALI tekad mereka untuk hidup bersama secara aman, saling hormat-menghormati dan memelihara keamanan bersama, pada masa yang sama mengiktiraf hak-hak politik yang dijamin dari sudut undang-undang…)[1]

Secara ringkasnya, Perjanjian Oslo menetapkan pasukan tentera Israel berundur dari Semenanjung Gaza dan Tebing Barat dan memperakui hak rakyat Palestin ke atas pemerintahan sendiri di wilayah tersebut melalui pembentukan Pihak Berkuasa Palestin atau Palestine Authority (PNA). Pemerintahan sementara Palestin akan berlangsung selama lima tahun di mana dalam tempoh tersebut sebuah persetujuan kekal akan dirundingkan (bermula tidak lewat dari Mei 1996). Isu-isu utama seperti kedudukan Baitul Maqdis, pelarian, dan penempatan Yahudi sengaja tidak disinggung di dalam perjanjian tersebut dan akan diputuskan kemudian.

Kerajaan sendiri sementara Palestin akan diperakui mengikut fasa perlaksanaan. Jericho dan Semenanjung Gaza akan dibahagikan kepada tiga zon seperti berikut :

Kawasan A – di bawah kuasa penuh Pihak Berkuasa Palestin.

Kawasan B – Kuasa awam Palestin dan kuasa tentera Israel.

Kawasan C – Kuasa penuh Israel.

Bersama dengan Deklarasi ini (DOP), kedua-dua belah pihak menandatangani ‘Surat-Surat Saling Pengiktirafan’ (Letters of Mutual Recognition). Kerajaan Israel mengiktiraf PLO sebagai wakil yang sah bagi rakyat Palestin dan PLO mengiktiraf hak negara Israel untuk wujud dan menolak keganasan dan hasrat untuk memusnahkan Israel. Matlamat perundingan-perundingan Palestin-Israel ialah membentuk sebuah pihak berkuasa Kerajaan Sementara Palestin, melalui Majlis yang dipilih untuk rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, untuk satu tempoh peralihan tidak melebihi lima tahun ke arah status muktamad berdasarkan Resolusi PBB 242 dan 338.

Untuk merealisasikan perkara ini, pilihanraya umum menurut prinsip-prinsip demokrasi akan diadakan untuk majlis tersebut. Tempoh peralihan tersebut akan dimulakan dengan pengunduran Israel dari Gaza dan Tebing Barat. Pihak Berkuasa Palestin akan membentuk pasukan polis yang kuat sementara Israel akan menangani ancaman luar. Satu Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi Palestin-Israel akan dibentuk untuk melaksanakan program pembangunan secara bersama.

Perjanjian Oslo menganugerahkan Yasir Arafat Hadiah Noble kerana keamanan yang dikongsikan bersama Shimon Peres dan Yitzhak Rabin. Tolak-ansur beliau untuk ‘recognized the right of the state of Israel to exist’ (mengakui hak negara Israel untuk wujud) adalah pengkhianatan terbesar yang dilakukan oleh beliau ke atas rakyat Palestin[2]. Persetujuan ini bermakna PLO menggugurkan tuntutan ke atas 77% wilayah Palestin yang diduduki oleh Israel selepas persetujuan ‘Rhodes Armistice’ pada tahun 1949.

Perjanjian Oslo disusuli dengan beberapa persetujuan lain di antara PNA dan Israel. Pada 4 Mei 1994, kedua-dua pihak menandatangani ‘Cairo Agreement on the Gaza Strip and Jericho (Ariha) Area’ (Persetujuan Cairo 1994 ke atas Semenanjung Gaza dan Kawasan Jericho) yang dirujuk sebagai Oslo I dan pada 28 September 1994 ‘Interim Agreement on the West Bank and the Gaza Strip’ (Persetujuan Sementara Ke Atas Tebing Barat dan Semenanjung Gaza) yang juga dirujuk sebagai Oslo II. Perjanjian Oslo II ini memberi mandat kepada PNA untuk mentadbir Baitul Laham, Ibrahimi (Hebron), Jenin, Nablus, Qalqiya, Ramallah, Tulkarem dan kira-kira 450 perkampungan.

Perjanjian/persetujuan yang merupakan sebahagian daripada Oslo dan lanjutan kepada Oslo adalah seperti berikut[3] :

Protocol on Economic Relations (Protokol Hubungan Ekonomi) yang ditandatangani di Paris pada 29 April 1994;

1994 Washington Declaration (Deklarasi Washington 1994) pada 25 Julai 1994 – Perjanjian damai di antara Jordan dan Israel;

Agreement on Preparatory Transfer of Powers and Responsibilities Between Israel and the PLO (Persetujuan Ke Atas Persediaan Perpindahan Kuasa dan Tanggungjawab di antara Israel dan PLO) pada 29 Ogos 1994;

Protocol on Further Transfer of Powers and Responsibilities (Protokol Ke Atas Perpindahan Kuasa dan Tanggungjawab Tambahan) di Cairo pada 27 Ogos 1995;

Protocol Concerning the Redeployment in Hebron. (Protokol Berkenaan Pengunduran (Tentera) di Hebron) pada 15-17 Januari 1997;

Wye River Memorandum (Persefahaman Wye River) pada 23 Oktober 1998;

Sharm el-Sheikh Memorandum. (Persefahaman Sharn el-Sheikh) pada 4 September 1999;

Taba Summit. (Sidang Kemuncak Taba) pada 27 Januari 2001.

Kesemua persetujuan dan persefahaman ini adalah sebahagian daripada agenda rejim Zionis untuk menangguh isu-isu utama dengan memberikan konsesi-konsesi berupa pengunduran tentera dan penyerahan kuasa kepada Pihak Berkuasa Palestin ke atas kawasan-kawasan tertentu yang tidak menjejaskan tuntutan Israel terhadap Baitul Maqdis. Sebagai contoh, selepas ‘Persefahaman Sharm el-Sheikh’, Menteri Luar Israel, David Levy menegaskan apa yang dikatakan sebagai ‘Empat Prinsip’ (Four Principles) iaitu[4] :

i) Israel sama sekali tidak akan berundur daripada sempadan sebelum 6 Jun 1967 (tarikh bermulanya Perang Enam Hari, 1967);

ii) Baitul Maqdis kekal sebagai bandaraya yang disatukan di bawah kedaulatan Israel sebagai ibu negara Israel;

iii) Tiada kehadiran tentera asing di Tebing Barat; dan

iv) Penempatan Yahudi (di wilayah yang diduduki) kekal di bawah kedaulatan Israel.

David Levy menegaskan bahawa Israel akan mempertahankan prinsip-prinsip tersebut kerana proses damai tidak boleh berlaku jika Israel terpaksa membayar sebarang harga (mengorbankan prinsip-prinsip tersebut) ‘because there must be no peace process at any price’.

Justeru, Israel tidak keberatan untuk menerima ’Persefahaman Sharm el-Sheikh’ yang berkisar pada empat persetujuan iaitu[5] :

i) Tawanan mesti dibebaskan dalam tiga peringkat – 200 selepas menandatangani persetujuan; 150 pada 8 Oktober dan selebihnya akan diputuskan pada bulan Disember;

ii) Pengunduran tentera Israel – menjelang Januari 2000 tambahan 8.1% wilayah akan dikembalikan sepenuhnya kepada Pihak Berkuasa Palestin dan tambahan 1.9% diletakkan di bawah pengawasan bersama Palestin-Israel;

iii) Kebebasan bergerak di antara Semenanjung Gaza dan Tebing Barat; dan

iv) Pembinaan pelabuhan baru di Gaza.

Persefahaman ini disambut baik oleh Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Austria, Norway dan Vatican. Kerajaan negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan dan beberapa negara Arab yang lain turut berpuas hati tanpa menyedari konsesi tersebut diperolehi sebagai ganti kepada kesediaan PNA untuk tidak menyentuh kedudukan Baitul Maqdis dan wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967, yang mana menjadi kunci kepada konflik Palestin-Israel.

Melalui ‘Persefahaman Sharm el-Sheikh’, bukan sahaja kepentingan Israel tidak terjejas, malah kurang dua minggu selepasnya, Pihak Berkuasa Palestin menyedari kawasan sebanyak 7% dari wilayah yang telah dikembalikan hanya berukuran 6.5%, iaitu kekurangan 25 kilometer persegi. Apabila ketua rundingan Palestin, Sa’id Urayqat menghantar surat bantahan dan menuntut 25 kilometer persegi lagi kawasan yang sepatutnya dikembalikan, jawapan yang beliau terima dari pejabat Ehud Barak ialah, “Maaf, ukuran anda tidak tepat!”[6]

Persefahaman-persefahaman yang menyusuli Perjanjian Oslo melibatkan perpindahan kawasan secara berdikit-dikit (piece meal) kepada pihak berkuasa Palestin. Selepas Oslo II, Wye dan Sharm el-Sheikh, apa yang dinamakan Palestin hanyalah cebisan wilayah yang terpisah-pisah (cantonments) di antara zon-zon keselamatan Israel yang menempatkan markas tentera, pusat pemeriksaan, dan penempatan Yahudi (lihat peta-peta yang dilampirkan). Jelasnya, ia tidak lebih daripada satu strategi untuk mengaburi mata dunia dengan konsesi-konsesi (tolak-ansur) Israel yang tidak menjejaskan status qou pendudukan Israel ke atas Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur.

Sikap Israel sendiri terhadap komitmennya memberikan gambaran sebenar apabila ia terus giat membina penempatan-penempatan tambahan Yahudi selepas Oslo. Kes pembinaan perumahan Yahudi di Jebel Abu Gneim (Yahudi merujuknya sebagai Har Homa) di Baitul Maqdis dan di tempat-tempat lain adalah isyarat jelas bahawa Israel mengolok-olokkan Perjanjian Oslo ciptaan mereka sendiri.


[1] Israel Information Service, Gopher Information Division, Israel Foreign Ministry – Jerusalem. Teks penuh Oslo Accord boleh dirujuk dari laman web http://almashriq.hiof.no/

[2] Surat Yasir Arafat kepada Yitzhak Rabin bertarikh 9 September 1993 tentang pengiktirafan Israel, penerimaan Resolusi 242 dan 338 serta kesediaan untuk meminda Perlembagaan PLO agar selari dengan Deklarasi Prinsip ke arah kerajaan sementara boleh dirujuk dalam I.J. Bickerton dan C.L. Klausner, A Concise History of the Arab-Israeli Conflict. Prentice Hall, New Jersey, 1995. pg. 278 – 279. Jawapan Yitzhak Rabin kepada Yasir Arafat bertarikh 9 September mengiktiraf PLO sebagai wakil rakyat Palestin, ibid. pg. 279 – 280.

[3] Butir-butir penuh kepada perjanjian/persefahaman ini boleh diperolehi dari Israel Information Service, Gopher Information Division, Israel Foreign Ministry – Jerusalem. Teks penuh Oslo Accord boleh dirujuk dari laman web http://almashriq.hiof.no/

[4] Oslo, Wye and Sharm el-Sheikh: Short-changing the peace process. Impact International, Vol. 29, no. 10, Oct. 1999, pg. 21.

[5] Ibid. pg. 21.

[6] Ibid. pg. 21.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc