Assalamualaikum,
Kini perlaksanaan hukum hudud kembali dipolemikan. Ada dua perkara yang perlukan ditekankan supaya umat Islam tidak terkeliru dan hilang perspektif. Pertama hudud atau hadd (batasan yang diletakkan oleh Allah - yang tidak bolih dilanggar) adalah syariat Allah SWT.
Hukumnya adalah wajib dan pertikai atau mengingkarinya bolih menjatuhkan seseorang kepada kekufuran. Tidak melaksanakan atas pelbagai sebab dan alasan tanpa mengingkarinya tidak menyebabkan kekufuran tetapi tidak melepaskan pemerintah untuk bersungguh-sungguh mencari jalan untuk melaksanakannya. Kedua, hudud meskipun adalah tuntutan syariat yang wajib ia perlu dilihat dalam perspektif Islam yang menyeluruh. Ia adalah sebahagian dari tuntutan perlaksanaan syariat yang lengkap (syumul) dan meliputi keseluruhan aspek kehidupan. Asasnya sudah pasti aqidah yang salimah (sempurna) dan tidak mungkin tertegak tanpa di sana berdirinya sistem akhlak dan sosial Islam. Ini bermakna penegakkan syariat Islam yang sempurna tidak terpisah dari dakwah ilallah - menyeru (dakwah) kepada Allah atau menyeru kepada Islam.
Dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, usaha mengajak kepada Islam adalah tanggungjawab asasi yang tidak diberikan perhatian. Jika diselidiki dengan adil, pasti kita akan sampai kepada satu kesimpulan iaitu penolakan masyarakat bukan Islam terhadap perlaksanaan hukum hudud ialah kerana mereka tidak memahami Islam. bagaimana mereka hendak meyakini sistem Islam sedangkan mereka tidak kenalpun apa itu Islam. Bagaimana pula mereka hendak mengenali sedangkan tiada siapa yang pernah menyampaikan kepada mereka tentang Islam itu. Yang mereka tahu Islam itu melayu dan melayu itu Islam dan kefahaman seperti ini tidak pernah berubah meskipun tanah air telah merdeka selama 54 tahun. Di kalangan umat Islam pula ada yang mempersendakan. Bahkan mereka ini bukan sahaja dari kalangan orang kebanyakkan tetapi sehingga tokoh dan negarawan. Jelaslah kejahilan tentang Islam yang syumul ini merata di dalam masyarakat sehingga setiap lapisan masyarakat tidak memahaminya. Justeru usaha untuk mengajak kepada penghayatan Islam yang syumul, di mana perlaksanaan hukum hudud ini adalah sebahagian darinya haruslah bermula dengan dakwah dan tarbiyah. Selagi umat islam yang sudah jauh dari kefahaman Islam yang benar ini tidak memahami hakikat Islam sebagai ad-deen yang syumul selagi itulah mereka akan menolak perlaksanaan hukum syariat.
Namun ini tidaklah pula bermakna Islam hanya ditegakkan sebagai hukum dan perundangan apabila semua umat Islam bersetuju dengan nya. Dari sudut pemerintahan, perlaksanaan syariat termasuk hukum hudud wajib dilaksanakan dan dikuatkuasakan meskipun ada pihak yang tidak bersetuju atau menentang. Sayidina Umar RA mengatakan 'Mereka yang tidak ditundukkan dengan al-Quran akan ditundukkan dengan pedang'. Ini menunjukkan golongan umara' (pemerintah) wajib melaksanakan pelbagai inisiatif dan prasarana (termasuklah memperkasakan fungsi mahkmaha syariah, menggubal atau mengkanunkan peruntukan undang-undang syariat) di samping terus mendidik masyarakat dan mengajak mereka supaya menghayati islam seperti yang dituntut di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Malangnya setelah 54 tahun, mereka yang diberikan amanat kepimpinan masih lagi memberikan alasan yang sama - iaitu kita hidup dalam masyarakat berbilang agama dan kaum dan umat Islam masih belum bersedia untuk menerima aspek-aspek 'yang ekstreme' (meminjam kata seorang pemimpin negara - yang mana kita amat dukacita apabila undang-undang Islam dikatakan ekstreme tetapi di masa yang sama menyorok di belakang istilah 'maqasid syariah'?).
Di sini saya ambil sedutan dari buku saya Jejak Risalah di nusantara Jilid 1 bab 12 - Perlaksanaan Undang-undang Islam. Apa yang hendak ditekankan ialah perlaksanaan hukum syariat yang meliputi hudud, qisas dan ta'zir telah dilaksanakan (walaupun tidak secara keseluruhan) sejak awal-awal berdirinay Islam sebagai hukum dan pemerintahan di tanah melayu. Dalam keadaan orang melayu masih menebal sisa-sisa pengaruh Hindu dan animismenya, telah ada peruntukan undang-undang syariat. Jelaslah tidak ada sebab lagi hari ini umat Islam memberi alasan demi alasan. Apa yang perlu dilakukan ialah berusaha ke arah perlaksanaannya dan berhenti mempolimikkannya atas sebab-sebab jangka pendek kepentingan politik kepartaian yang sempit.
Dr Hafidzi Mohd Noor
----------------------------------------------------------------------
12. Perlaksanaan undang-undang Islam
Pemerintahan Islam seringkali dikaitkan dengan perlaksanaan undang-undang Islam sebagai salah satu ciri dari sistem pemerintahan tersebut. Apabila kerajaan-kerajaan Islam muncul di Nusantara, ia tidaklah sekadar berajakan seorang raja yang telah memeluk Islam, tetapi islam menjadi asas kepada pemerintahan tersebut.
Salah satu dari kerajaan beraja yang mengkanunkan undang-undang syariat ialah Kerajaan Melaka. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah dua dokumen bertulis yang menunjukkan bahawa Undang-undang syariat termaktub dalam sistem perundangan Melaka dan jajahan takluknya serta dikuatkuasakan berdasarkan kepada fakta sejarah. Penulisan tentang pensejarahan Kerajaan Melaka amat sedikit memberikan tumpuan kepada perkara ini berbanding aspek-aspek lain. Sebaliknya lebih banyak tumpuan diberi kepada aspek lagenda seperti Hang Tuah dan kedudukannya sebagai simbol kedaulatan Melayu dan cerita kiasan Puteri Gunung Ledang yang ditonjolkan aspek dogengannya. Pelbagai saluran digunakan untuk mengenengahkan aspek tersebut kepada rakyat sehingga dipersembahkan dalam bentuk filem, drama dan pementasan seolah-olah itulah tinggalan yang utama dan anugerah Kerajaan Melaka kepada pembentukan jatidiri bangsa Melayu. Kata-kata Hang Tuah ‘tidak hilang Melayu di dunia’ dijadikan slogan untuk menjamin ‘survival’ dan ketuanan Melayu. Namun bukan kepahlawanan Hang Tuah yang diperbesar-besarkan secara berlebihan yang menjulang Kerajaan Melaka sehingga ia menjadi pusat serantau malah pusat perdagangan antarabangsa. Melaka menjadi tumpuan dan masyhur kerana antara lain ia adalah pusat penyiaran Islam, pusat pengembangan intelektual umat Islam serantau dan sistem pentadbiran yang diasaskan di atas peraturan dan perundangan Islam. Inilah yang menjadikan Melaka tumpuan pedagang, misi-misi diplomatik dan para ulama.
Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah ’legacy’ peninggalan Kerajaan Melaka yang tidak ternilai dan boleh dijadikan asas dalam perlaksanaan syariat di negara-negara umat Islam di Asia Tenggara masa kini. Ia adalah asas yang kukoh untuk menyemak semula undang-undang barat sekular yang kini dilaksanakan sebagai undang-undang utama di Malaysia. Oleh kerana undang-undang syariat telah dikanunkan dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut, maka syariat Islamlah yang menjadi landasan kepada sistem perundangan yang pertama jauh sebelum Inggeris mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu pada akhir kurun ke 19M. Ini juga bermakna Perlembagaan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1957 harus dilihat semula kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mana-mana Undang-undang yang bertulis yang bertentangan yang digubal selepas hari kemerdekaan dengan sendirinya terbatal. Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah undang-undang bertulis yang wujud lima kurun dahulu, sekaligus memberi justifikasi yang cukup untuk menyemak Perlembagaan Malaysia dengan mengambilkira peruntukan-peruntukan syariat yang pernah dikanun dan digunapakai di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Hukum Kanun Melaka memperuntukan undang-undang yang berkaitan dengan tanggungjawab pemerintah dan pegawai kerajaan, larangan ke atas orang ramai, hukuman ke atas kesalahan sivil dan jenayah, undang-undang keluarga, isu-isu berkaitan ibadat dan muamalat yang dijelaskan dengan terperinci dan peraturan yang berkaitan dengan pertanian. Undang-undang Laut Melaka pula memperuntukkan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan pelayaran dan perkapalan seperti tanggungjawab Laksamana, peraturan pelayaran dan perdagangan, hukuman ke atas kesalahan jenayah atau pelanggaran undang-undang Islam dan juga perkara-perkara berkaitan dengan tindak-tanduk ketua-ketua perkapalan.
Bilakah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka digubal? Menurut Muhammad Yusof Hashim kedua-duanya mungkin digubal pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah (1414 – 1424), Sultan Muhammad Shah (1424 – 1445) dan Sultan Muzaffar Shah(1446 – 1459). Munurut Undang-undang Melaka, perkara 0.1 kedua-duanya dikumpulkan oleh pegawai istana dan diperintahkan oleh Sultan Muzaffar Shah agar ianya ditulis sebagai satu teks undang-undang sahaja bagi mengelak dari sebarang pertentangan akibat dari pelbagai teks undang-undang yang ada di tangan pegawai-pegawai tersebut.
Apakah pula peruntukan-peruntukan yang berdasarkan syariat Islam yang terdapat dalam kedua-dua undang-undang tersebut? Menurut Muhammad Yusuf Hashim lagi, Undang-undang Laut Melaka hanya mempunyai satu peruntukan undang-undang syariat iaitu artikel 2 di atas kesalahan zina iaitu hukuman mati yang telah berkahwin dan seratus sebatan bagi yang masih bujang. Lain-lain kesalahan dijatuhkan hukuman menurut undang-undang adat, amalan dan undang-undang setempat. Walaubagaimanapun pengaruh Islam ke atas Undang-undang Laut Melaka begitu mendasar kerana peranan Laksamana atau ketua kapal adalah diumpamakan imam dalam solat jamaah dan kelasi-kelasinya sebagai makmum. Dalam Hukum Kanun Melaka pula 18 dari 44 peruntukan atau 41% adalah berdasarkan syariat Islam. Pada beberapa bahagian dari Kanun tersebut ditegaskan sebagai ‘…mengikut ajaran dari al Quran dan jalan orang yang beriman dan bukan mereka yang mengingkari perintah Allah’. Peruntukan yang berdasarkan kepada syariat Islam adalah seperti berikut:
Perkara 5:1.3 hukuman bagi qisas atau bunuh balas; nyawa dengan nyawa.
Perkara 7:2 Hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri.
Perkara 8:2.3 Hukuman bagi qisas atau bunuh balas; nyawa dengan nyawa
(a) potong tangan bagi kesalahan mencuri
(b) hukuman menurut budibicara qadhi (hakim) bagi kesalahan mencuri yang dilakukan secara berkumpulan.
Perkara 11:1 Kesalahan mencuri di rumah dikenakan hukuman potong tangan
Perkara 12:2 Hukuman rejam sehingga mati bagi lelaki dan wanita
yang telah berkahwin yang melakukan zina; jika masih bujang hukumannya ialah 80 sebatan.
Perkara 12:3 Hukuman sebatan 80 kali bagi sesiapa yang membuat tuduhan zina tanpa sebarang saksi.
Perkara 14:1 Peraturan untuk membuat pertuduhan; yang membuat tuduhan dikehendaki bersumpah dengan memegang mimbar masjid
Perkara 14:2 Hukuman kadhf; membuat kenyataan bersumpah dan bertaubat di depan qadhi atas kesalahan menyetubuhi isteri orang.
Perkara 15:7 Peraturan bagi meminjam dan memberi pinjaman harta berdasarkan undang-undang ’iyyah.
Perkara 16:1.2 (a) Hukuman ke atas fitnah berdasarkan kepada fuduli
(c) Hukuman mati bagi zina
(d) Syarat-syarat fuduli
Perkara 18:4 Hukuman bagi qisas atau balasan bagi kesalahan membunuh.
Perkara 25:1 Peruntukan bagi anak angkat: Hal-ehwal berkaitan anak angkat dari keluarga terdekat (aqrab), wali mujbir, gaul az azhar, safratu’l-qsar.
Perkara 25:2 Syarat-syarat dan peraturan bagi perjanjian di antara dua pihak dengan perkataan “Qibiltu tazwijaha”.
Perkara 26 Syarat-syarat untuk menjadi saksi yang sah di antara pihak-pihak yang membuat perjanjian.
Perkara 27 Undang-undang khiyyar atau hak untuk menamatkan perkahwinan, syarat-syarat bagi faskh.
Perkara 28:1 Undang-undang talak, raji’i, ba’in, syarat-syarat tempoh menunggu sebelum berkahwin semula selepas cerai (beridah).
Perkara 30 Undang-undang dan peraturan perdagangan, syarat-syarat sah persetujuan jual beli dan barang-barang yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan untuk jual beli, larangan mengambil riba’
Perkara 32:2 Undang-undang suhl atau tuntutan harta, syarat-syarat untuk yang membuat tuntutan dan yang menghadapi tuntutan atau mudda’i dan mudda’i’laihi.
Perkara 32:3 Syarat-syarat bagi menjadi penjamin yang sah.
Perkara 34:1 Undang-undang dan syarat-syarat untuk pemegang amanah.
Perkara 35 Undang-undang angkat sumpah, batas-batas di antara hak Allah dan hak manusia.
Perkara 36:1 Undang-undang murtad, dan samada seorang yang murtad bertaubat atau dijatuhkan hukuman bunuh.
Perkara 36:2 Hukuman bunuh bagi muslim yang enggan sembahyang.
Perkara 37:1 (a) Undang-undang persaksian.
(b) Syarat-syarat untuk menjadi saksi yang sah.
Perkara 37:2 (a) Syarat-syarat bagi menjadi saksi yang sah dalam kes perzinaan.
(b) Syarat-syarat untuk menjadi saksi bagi kes-kes kesalahan mandatori (hadd) dan kes yang melibatkan perawan (bikr) dan thayyi di kalangan wanita.
Perkara 38:1.2.3 Prosedur untuk membuat pertuduhan atau kenyataan bersumpah di masjid, sebelum sembahyang Jumaat dan dari atas mimbar.
Perkara 38:4 Prosedur membuat tuntutan di hadapan qadhi. Syarat-syarat bagi hukuman yang dijatuhkan oleh megistrate.
Perkara 39 (a) Undang-undang qisas atas kesalahan membunuh.
(b) Hukuman bagi orang Islam yang membunuh bukan Islam
(c) Hukuman bukan Islam yang membunuh bukan Islam
Perkara 40:1 Hukuman rejam hingga mati/sebatan bagi kesalahan zina. Hukuman mandatori bagi penzina yang belum berkahwin.
Perkara 40:2 Hukuman bagi homoseks dan hubungan seks dengan haiwan adalah sama seperti perzinaan. Hukuman juga berbeza mengikut budi bicara hakim.
Perkara 43:5 Undang-undang qisas dalam kes-kes perkosaan
Dari senarai di atas terdapat beberapa peruntukan berulang seperti hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri iaitu seperti pada Perkara 7:2, Perkara 8:3:2(b) dan Perkara 11:1. Peruntukan yang berulang-ulang ini menunjukkan betapa seriusnya kesalahan mencuri dan penegasan perlaksanaan hukum hudud ke atas kesalahan tersebut. Namun hakikatnya Hukum Kanun Melaka bukanlah undang-undang yang berdasarkan syariah Islam sepenuhnya. Undang-undang setempat atau undang-undang adat turut mendapat tempat dalam Hukum Kanun Melaka. Seperti dalam kesalahan mencuri, meskipun ditegaskan pada beberapa peruntukan mengenai perlaksanaan hukum hudud, namun ada beberapa peruntukan lain di mana kesalahan mencuri tidak dikenakan hukuman potong tangan. Pesalah boleh dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu hukuman mati atau hanya dikenakan bayaran denda. Malah perlaksanaan hukum potong tangan bagi kesalahan mencuri hanya dilaksanakan pada zaman pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah. Tidak ada bukti hukuman potong tangan dilaksanakan pada zaman pemerintahan Sultan-sultan yang lain.
Dari sudut yang lain pula peruntukan undang-undang setempat memberi ruang kepada hakim berdasarkan budibicara untuk memutuskan samada untuk menjatuhkan hukuman mengikut hukum syara’ atau hukum adat. Dengan ini hakim akan mengambil kira kesan-kesan sosial yang mungkin timbul jika hukum syariat dilaksanakan sepenuhnya. Penggubal Hukum Kanun Melaka mengambil pendirian berkecuali dengan harapan para hakim menjatuhkan hukuman yang setimpal berdasarkan prinsip kebenaran (al-haq) dan keadilan.
Terdapat juga beberapa peruntukan yang menyediakan alternatif di antara Undang-undang syariat dan undang-undang adat atau kompromi di antara keduanya terutama yang melibatkan kesalahan jenayah yang membawa kepada hukuman bunuh. Hukum adat yang menyalahi syarak juga terdapat kepada peruntukan yang melibatkan kes bunuh yang tertentu, kes menyetubuhi isteri orang dan kes perkosaan. Bukan sahaja kesalahan tersebut tidak dikenakan hukuman qisas dan hadd, malah dibezakan menurut status sosial sipelaku jenayah. Membezakan hukuman menurut kedudukan sosial amat ditentang oleh Islam yang tidak memilih bulu dalam melaksanakan tuntutan kebenaran dan keadilan. Ini adalah berdasarkan kepada peristiwa yang pernah berlaku di zaman Nabi Muhammad S.A.W di mana seorang bangsawan telah tsabit melakukan kesalahan mencuri. Kaumnya telah memohon kepada Rasulullah S.A.W agar hukuman diringankan dan diganti dengan bayaran denda. Rasulullah S.A.W amat murka dan mengatakan amalan sebeginilah yang telah membinasakan umat terdahulu di mana jika orang miskin dan hina di kalangan mereka melakukan kesalahan dihukum menurut undang-undang Allah tetapi melepaskan golongan bangsawan dari hukuman tersebut. Kemudian Rasulullah S.A.W berikrar jika anaknya Fatimah mencuri pastilah akan dijatuhkan hukuman potong tangan.
Perlaksanaan undang-undang negeri atau adat yang bertentangan dengan hukum syarak dalam Hukum Kanun Melaka boleh dilihat dari beberapa sudut. Yang pertama orang Melayu sudah lama terdedah dengan hukum negeri atau hukum adat, samada Adat Temenggung atau Adat Perpatih sebelum kedatangan Islam lagi. Apabila Islam datang, tradisi dan adat mengalami satu proses rasionalisasi dan turut digunapakai dalam perlaksanaan hukum dan undang-undang. Ungkapan ini jelas tergambar kepada perbilangan di bawah
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi syarak
Syarak bersendi kitabullah
Meski adat dikatakan bersendi syarak, hakikatnya banyak aspek dari hukum adat yang bertentangan dengan syarak. Mungkin ianya boleh dilihat sebagai satu proses evolusi berterusan ke arah perlaksanaan undang-undang syariat dalam pelbagai lapangan hidup. Peruntukan-peruntukan yang bersandarkan hukum adat dalam Hukum Kanun Melaka memberi pilihan kepada qadhi atau hakim untuk memutuskan sesuatu hukuman ke atas masyarakat yang masih belum bebas dari nilai-nilai dan tradisi lama berasaskan agama Hindu-Buddha. Namun apabila undang-undang adat tidak lagi berupaya untuk memastikan kesejahteraan rakyat maka undang-undang syariat dikuatkuasakan. Ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Ri’ayat Syah di mana kejadian mencuri berlaku dengan berleluasa, menyebabkan kerugian dan berlaku setiap malam tanpa henti. Apabila hukuman potong tangan dikuatkuasakan tidak ada lagi kes kecurian dan Melaka kembali aman.
Adalah amat menarik untuk membuat satu unjuran kepada perkembangan perlaksanaan undang-undang syariat dalam senario tidak berlakunya penjajahan Barat yang telah membantutkan proses tersebut dan meminggirkan undang-undang syariat kepada juzuk-juzuk kecil dalam kehidupan seorang muslim. Potensi untuk perlaksanaan undang-undang Islam secara lebih menyeluruh dapat diukur melalui pengaruh Hukum Kanun Melaka dalam penggubalan undang-undang bertulis di Tanah Melayu dan serantau seperti Undang-undang Kedah, Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Pahang, Undang-undang Johor , Hukum Kanun Datuk Star dan Undang-undang Brunei.
Isteri (Zuraidah Kornain) dan anak (Mohd Qayyim Hafidzi) penulis bergambar pada papan tanda makam Sultan Alauddin Ri’ayat Syah, Sultan Melaka yang terdapat di Pagoh, Johor. Baginda adalah Sultan yang menegakkan sistem pemerintahan yang adil dan melaksanakan hukum syarak. (Gambarfoto ini diambil pada tahun 1989)
Jika Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ditulis pada zaman
Sultan Muzaffar Shah (1424 – 1444) dan terdapat dalam bentuk manuskrip, ada satu lagi teks undang-undang yang lebih tua iaitu Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M. Jika Undang-undang Melaka dapat dibaca dengan jelas dan terdapat pula sumber bertulis yang lain terutama Sejarah Melayu yang membekalkan maklumat tambahan, latar belakang serta perlaksanaan, keadaan yang sama tidak berlaku pada Batu Bersurat Terengganu. Ia wujud sebagai bukti tunggal yang tidak disokong oleh mana-mana inskripsi yang lain apatah lagi dokumen dalam bentuk manuskrip. Di samping itu sebahagian dari Batu tersebut telah patah sebahagiannya dan bahagian yang patah itu hilang tidak dapat dikesan. Batu itu juga serpih pada beberapa bahagian dan tulisannya tidak dapat dibaca pada beberapa tempat. Namun yang menariknya Batu tersebut menggariskan beberapa hukum-hukum syariat yang diguna pakai. Tiga butiran undang-undang telah hilang bersama bahagian Batu yang tidak dapat dikesan. Peraturan yang keempat ialah berkaitan hutang-piutang. Peraturan kelima dan keenam tidak dapat dipastikan kerana sebahagian hurufnya telah hilang. Cuma ia dapat dipastikan masih berkaitan muamalat.
Peraturan yang jelas terpelihara dan dapat dibaca dengan baik ialah berkaitan zina, seperti berikut:
“Orang berbuat bala cara laki laki perempuan setitah
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu
Seratus ratun jika merdeka beristeri
Atawa perempuan bersuami ditanam hinggaka
Pinggang di hambalang dengan batu dimatikan.
Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. Pertama tarikh yang terpahat pada batu bersurat tersebut iaitu 1303M. Tarikh ini adalah mendahului pengislaman Sultan Melaka iaitu sekitar 1404M selama seratus tahun. Ini bermakna dalam konteks sejarah tanah Melayu, sistem pemerintahan Islam telah lama berdiri di Kuala Berang jauh sebelum berdirinya sebuah kerajaan beragama Islam di Melaka. Tarikh ini sebenarnya tidak begitu menonjol kerana pada waktu yang sama berdiri sebuah Kerajaan beragama Islam di Samudera Pasai dengan Islamnya raja Meurah Silu. Malah jauh lebih awal lagi iaitu sekitar 1136M raja Kedah yang pertama masuk Islam. Yang menjadi perhatian di sini ialah warisan Hindu-Buddha tergambar jelas pada tulisan pada Batu tersebut. Meskipun tulisan jawi digunakan dan bukannya tulisan Melayu tua Pallava atau rencong, menunjukkan pengaruh Arab yang kuat, namun istilah Hindu-Buddha iaitu ’Dewata Mulia Raya’ digunakan untuk merujuk kepada Tuhan atau Allah. Ini juga bukanlah satu persoalan yang besar kerana banyak perkataan Sanskrit seperti ’syurga’, ’neraka’, ’pahala’ dan ’dosa’ menjadi sebahagian dari istilah yang diIslamkan dan menerangkan konsep-konsep akidah Islam. Begitu juga istilah-istilah yang digunakan oleh orang Melayu pada zaman pemujaan ruh nenek moyang seperti ’sembahyang’ yang berasal dari ’sembah hyang’ atau menyembah Sang Hyang atau moyang kini tidak membawa maksud selain dari solat. Jadi penggunaan istilah ’Dewata Mulia Raya’ tidak menimbulkan sebarang masaalah. Yang hendak ditonjolkan di sini ialah pengaruh Islam yang diperkirakan baru bertapak di Kuala Brang dan istilah Hindu masih digunakan untuk menerangkan konsep Tuhan, namun undang-undang Islam telah diistiharkan sebagai Undang-undang negeri. Perentah raja dan rakyat supaya berpegang dengan ajaran Islam dinyatakan dengan jelas seperti terjemahan yang diusahakan oleh Dato’ Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang (MISBAHA).
”Rasulullah berserta dengan sahabat-sahabat atau Rasulullah dengan ruh-ruh yang suci.
Percaya keesaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, Tuhan yang Maha suci lagi Maha Tinggi menyuruh sekelian rakyat berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Agama Islam.
Berserta dengan penuh hormat pada undang-undang, memerintah hamba-hamba Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi.
Di negeri ini, mereka yang menerangkan ajaran-ajaran Rasulullah salla Llahu alaihi wa sallam di muka bumi ini ialah sekelian raja Mandalika.
Penerangan atau pemasyuran itu adalah kewajipan yang mesti dijalankan oleh raja Mandalika yang berugama Islam.
Mengikut perintah Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi dengan mengambil pandangan atau penentuan yang sebenar.
Di atas pengajaran-pengajaran itu di negeri ini bagaimana yang dibentang atau diterangkan di dalam pemasyhuran itu dan bila Seri Paduka.
Mula memerintah supaya membuat tulisan ini di Negeri Terengganu maka masa itu ialah pada
Hari Jumaat yang pertama di dalam bulan Rejab tahun saratan di zaman
Rasulullah telah berlalu tujuh ratus dua tahun”
Satu perkara yang menarik lagi ialah apabila Kuala Brang dilihat dalam konteks serantau pada tarikh yang tertera pada Batu tersebut. Kuala Brang atau ’Foloan’ iaitu nama yang dirujuk dalam tulisan-tulisan dari cina berada di bawah jajahan takluk Majapahit pada pertengahan kurun ke 14 semasa era Patih Gajah Mada dengan gagasan Imperialisme Nusantaranya. Dasar Majapahit ke atas wilayah Islam dapat disimpulkan ke atas serangannya ke atas Kerajaan Islam Samudera Pasai dan juga ke atas Giri yang menjadi pusat penyiaran agama Islam di Jawa. Apakah Kuala Berang turut diserang Majapahit? Tiada petunjuk sejarah untuk menafi atau menyokongnya. Yang pasti ialah Kuala Brang adalah sebahagian dari jajahan takluk dan membayar ufti kepada Majapahit. Kuala Brang pada zaman silam adalah sebuah pelabuhan yang besar. Daerah Kampung Buluh, di mana Batu Bersurat ditemui, dalam Kuala Brang di masa dahulu ialah sebuah sungai yang terbentang luas seperti laut. Penemuan sauh besi besar disitu membuktikan perkara ini. Pengarang Cina, Chao Chu Fei yang menyusun catatan Ling Wai Tai dalam tahun 1178M, menyebut bahawa Foloan sebagai sebuah pelabuhan teragung atau Kerajaan Laut. Catatan itu juga menyebut mengenai hubungan dagang yang terjalin di antara Foloan dengan Indo-china dan Srivijaya. Pemerentah Foloan dilantik oleh Raja Srivijaya yang datang sebulan sekali ke Foloan untuk menyembah patung Buddha di situ.
Semua ini menimbulkan tanda tanya mengenai banyak perkara. Jika hukum Islam dilaksanakan pada awal kurun ke 14, bilakah sebenarnya agama Islam sampai ke situ? Siapakah yang membawa agama Islam di Kuala Brang? Mungkinkah ia disebarkan oleh pedagang Arab yang berulang alik ke Cina sejak kurun pertama hijrah lagi? Atau mungkinkah ia disebarkan oleh usaha dakwah dari utara samada Champa atau tanah besar Cina sendiri. Kesemua ini tiada jawapan sehingga petunjuk baru mengenai sejarah pengislaman Kuala Brang atau Terengganu ditemui.
Penemuan Batu Bersurat Terengganu adalah satu anugerah yang sangat penting dalam pengkajian sejarah Nusantara kerana ia memberi motivasi ke arah menghidupkan semula peradaban dan perundangan Islam di rantau Alam Melayu. Penemuan ini juga memberi satu isyarat mungkinkah tempat-tempat lain juga telah dilaksanakan hukum syariat sebagaimana halnya di Kuala Brang pada awal kurun ke 14? Persoalan ini hanya boleh dijawab sekiranya ditemui pula tinggalan-tinggalan berupa inskripsi di masa akan datang.
Bukti sejarah dari Melaka dan Kuala Brang membawa kepada beberapa kesimpulan. Pertama pemerintahan Islam berdiri bersama dengan Undang-undang Syariat. Samada Undang-undang itu dilaksanakan sebahagian atau bercampur-campur dengan Undang-undang adat ia tetap membuktikan bahawa hukum-hakam syara’ merupakan aspek perundangan negeri yang penting. Kedua peruntukan-peruntukan Undang-undang Islam yang turut meliputi kesalahan jenayah menunjukkan Negeri-negeri di Tanah Melayu telah mencapai tahap kemajuan yang membanggakan apabila syariat di daulatkan lebih dari 500 tahun lalu. Kini setelah Tanah Melayu melalui fasa penjajahan, Undang-undang Syariat dipinggirkan dan diganti dengan Undang-undang Sivil yang diwarisi dari penjajah British. Ketiga perlaksanaan Undang-undang Islam berlaku dalam sebuah negeri kosmopolitan. Melaka adalah Pelabuhan utama dan Pusat perdagangan antarabangsa yang dikunjungi oleh pelbagai bangsa dan agama. Namun Undang-undang yang satu digunapakai untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan pedagang asing. Kuala Brang juga dikenalpasti sebagai pelabuhan penting yang dikunjungi oleh pedagang asing dari Cina dan barat. Ini adalah hujah yang penting bagi menyokong perlaksanaan Undang-undang Syariat di negara-negara umat Islam di Asia Tenggara terutama Malaysia. Masyarakat majmuk dan kepelbagaian kaum samasekali bukan alasan untuk tidak melaksanakan Undang-undang Islam malah sebagai sebab yang cukup baik untuk melaksanakannya.
Sebagai contoh Perkara 7:2 memperuntukan; “Dalam kes seorang pencuri, dia boleh ditangkap dan dibunuh, atau dia boleh membayar denda, separuh darinya kepada menteri dan separuh lagi kepada yang empunya barang yang dicuri, oleh kerana menteri tidak mengetahui nilainya. Di bawah undang-undang Allah seorang pencuri tidak dikenakan hukuman mati, tetapi dipotong tangannya”. Perkara 11:2 pula memperuntukan “Seseorang yang bersalah mencuri hasil pertanian seperti tebu, pisang, buah pinang, daun sireh dan lain-lain buah-buahan tidak dikenakan hukuman potong tangan tetapi akan didenda sepuluh tahil emas oleh hakim dan apa yang dicurinya akan digantung pada lehernya dan dia akan diarak keliling kota. Jika ia telah memakan buah-buahan tersebut, dia akan diperintahkan oleh hakim untuk membayar nilai barangan yang dicuri dan ditambah dengan denda sebanyak sepuluh tahil emas. Begitu juga Perkara 11:3 bagi kesalahan mencuri sampan dan Perkara 11.4 bagi kesalahan mencuri kerbau, biri-biri dan kambing. Kesalahan-kesalahan ini hanya melibatkan bayaran mengikut nilai barangan yang dicuri atau denda yang ditentukan jumlahnya.Lihat Muhammad Yusuf Hasyim. op. cit., hlm. 163.
Ibid., hlm. 160, sebagai contoh Perkara 12:2. “Tidak dibenarkan seseorang memaksa dirinya ke atas orang lain (memperkosa). Jika seorang wanita merdeka diceroboh maruahnya, hakim akan dimaklumkan, dan akan memerintahkan tertuduh untuk mengahwini wanita tersebut. Jika tertuduh enggan, dia akan didenda tiga tahil dan satu paha emas atau yang bersamaan dengan nilai maskahwin yang sesuai dengan rakyat. Berdasarkan hukum Allah, jika ia seorang penzina, dia akan direjam. Jika dia belum berkahwin, dia akan menerima 80 sebatan. Itulah undang-undangnya sehingga hukuman dijatuhkan.”