Friday, December 25, 2009

Pandangan Pengarah PACE dalam Utusan Malaysia 26 Disember 2009


KESEDARAN penduduk Palestin terhadap hak-hak mereka
semakin meningkat dan sokongan dunia yang semakin bertambah diharap
memberi sinar baru ke arah usaha damai Asia Barat. – REUTERS

Palestin dan harapan damai 2010

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

SECARA tiba-tiba, Israel kebelakangan ini menerima tekanan antarabangsa yang cukup hebat. Ia bermula dengan Laporan Goldstone pada Oktober lalu yang membuktikan Israel melakukan jenayah perang dan kemanusiaan dalam serangan selama 22 hari ke atas Semenanjung Gaza pada 2008.

Awal bulan ini pula, Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan kenyataan supaya Baitulmaqdis dijadikan ibu negara bersama Palestin dan Israel. Pernyataan itu merupakan draf awal yang akan dikeluarkan oleh Sweden selaku Pengerusi EU yang antara lain turut menyebut bahawa Baitulmaqdis Timur seharusnya menjadi ibu negara Palestin pada masa depan.

Malah, negara-negara EU turut menyokong tertubuhnya negara Palestin yang terdiri dari Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Pernyataan itu menimbulkan kemarahan Israel apabila ia secara langsung menafikan kedudukan Israel ke atas Baitulmaqdis yang ditawan sejak perang 1967.

Malah, Israel sekali lagi tersentak apabila Britain pula mengeluarkan waran tangkap terhadap Menteri Luar Israel, Tzipi Livni yang menjadi arkitek di sebalik serangan yang membunuh lebih 1,600 penduduk Gaza pada 2008. Waran tangkap itu dikeluarkan ketika Livni dijadual memberi pidato di negara berkenaan. Meskipun waran tangkap itu ditarik balik kerana Livni tidak hadir, namun ia memberi tamparan yang hebat kepada Israel.

Apatah lagi Britain sebelum itu juga menghentikan import barangan dari Israel kerana menganggap ia tidak sah kerana dihasilkan di sebuah negara yang tidak sah. Tindak-tanduk Eropah yang menentang Israel itu sebenarnya selaras dengan kemahuan masyarakat antarabangsa yang semakin kuat menolak sikap berdolak-dalik Israel ke atas Palestin.

Isu yang paling memberi kesan ialah pembangunan komuniti Israel di wilayah Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang secara terang-terangan melanggar resolusi antarabangsa. Isu lain ialah perdagangan organ tawanan perang Palestin yang dijual pada harga beratus-ratus dolar di Israel dan Palestin.

Isu ini pernah mendapat liputan meluas media antarabangsa selepas ia pertama kali didedahkan oleh wartawan Sweden dengan bukti bergambar mayat warga Palestin yang dibedah.

Kecenderungan Eropah memihak kepada Palestin itu sedikit-sebanyak menyuntik harapan perdamaian bagi konflik yang berusia lebih enam dekad di Asia Barat itu. Tidak keterlaluan juga jika boleh disandarkan harapan, 2010 bakal menjadi tahun yang lebih baik bagi rakyat Palestin.

Walaupun perdamaian sepenuhnya masih jauh, penuh berliku dan sukar, namun masa akan menentukan ia akan menjadi kenyataan. Bagi pemerhati Asia Barat, Dr. Hafidzi Mohd. Noor, beliau melihat konflik di Asia Barat sedang bergerak ke arah perdamaian meskipun ia amat perlahan.

Dalam hal ini, Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace) itu mengambil isu aparteid di Afrika Selatan sebagai sejarah yang boleh dijadikan petunjuk. Katanya, penduduk kulit hitam atau “berwarna” di Afrika Selatan berdepan dengan diskriminasi selama puluhan dekad.

Perjuangan yang tidak pernah mengenal putus asa oleh pejuang hak asasi dan kesamaan hak untuk rakyat kulit hitam, akhirnya membuahkan hasil. Meskipun terpaksa dibayar dengan harga yang cukup mahal untuk mengembalikan hak mereka sebagai penduduk pribumi asal yang dirampas oleh penduduk kulit putih “Afrikaaner”.

Namun sistem aparteid Afrika Selatan lebur bukan semata-mata kerana tekanan dari penduduk kulit hitam. Tetapi ia berjaya diatasi hasil dari solidariti yang dipamerkan oleh masyarakat antarabangsa terhadap rakyat kulit hitam yang menjadi mangsa diskriminasi melampau rejim Afrika Selatan.

Tindakan boikot, memutuskan hubungan diplomatik dan sekatan dagangan ke atas Afrika Selatan berjaya menundukkan rejim kulit putih supaya akur dengan hak rakyat dan tuntutan masyarakat antarabangsa.

‘‘Berdasarkan pengalaman sejarah yang dilalui oleh Afrika Selatan, Palestin juga sedang bergerak ke arah yang sama. Penindasan dan penjajahan yang sudah berlangsung selama enam dekad kini sudah mula mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Israel tidak lagi sekebal dahulu,” ujar Hafidzi.

Malah, Israel ketika ini juga sudah mula menerima pelbagai tekanan termasuk dakwaan jenayah perang oleh pemimpin politik dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Di samping, itu masyarakat madani di Amerika Syarikat sendiri, Australia dan negara EU menyatakan sokongan terbuka kepada rakyat Palestin. Baru-baru ini misalnya, rakyat Australia berkempen agar orang ramai memboikot sebuah orkestra Israel daripada membuat persembahan di negara itu.

Di Amerika sendiri, sebuah demonstrasi akan diadakan di New York esok (27 Disember) sebagai memperingati ulang tahun serangan biadap Israel ke atas Gaza pada tarikh yang sama pada 2008.

Malah tambah Hafidzi, Ahli Parlimen British, George Galloway juga menganjurkan satu konvoi yang terdiri daripada lebih 140 buah ambulans dan kenderaan pelbagai jenis untuk membawa bekalan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza yang terkepung.

Inisiatif yang dinamakan “Viva Palestina UK” (Hidup Palestin UK) itu turut disertai oleh Viva Palestina AS, NGO dari Kesatuan Eropah, Turki dan beberapa negara lain.

Malah, Pace turut mengambil bahagian bersama Viva Palestina Malaysia @ CompleteMalaysia dengan menyumbang empat buah ambulans.

‘‘Kesemua keprihatinan yang dipamerkan oleh warga antarabangsa terhadap nasib rakyat Palestin tidak pernah disaksikan 10 tahun lalu. Ia adalah satu perkembangan positif yang sudah tentu memberi suntikan kepada rakyat Palestin untuk terus berjuang demi menuntut hak mereka kembali ke tanah air dan memperoleh kemerdekaan dari pendudukan Israel,” ujar Hafidzi.

Cuma apa yang membezakan perjuangan rakyat Palestin dengan Afrika Selatan ialah kempen boikot dan bantahan ke atas Israel adalah inisiatif masyarakat madani. Sebaliknya negara-negara Barat masih lagi memihak dan melindungi Israel.

Semua inisiatif untuk membantu rakyat Palestin dan pernyataan solidariti hanya dipelopori oleh warga dan bukannya merupakan pendirian kerajaan-kerajaan yang mewakili mereka.

Bahkan negara seperti AS, EU dan Australia tetap mengenakan tekanan ke atas rakyat Gaza agar menghentikan intifada sebagai syarat untuk mencapai damai dengan Israel.

Ini berbeza dengan penentangan terhadap sistem aparteid Afrika Selatan yang diterajui oleh negara-negara Barat dan menjadi polisi rasmi kerajaan. Apa yang lebih mendukacitakan jelas Hafidzi, pendirian negara-negara Islam terutamanya di rantau Arab yang tidak meletakkan kepentingan Islam dan umatnya sebagai satu keutamaan.

Dalam konteks isu Palestin, rejim-rejim Arab mempunyai perhitungan-perhitungan politik dan ekonomi yang mengatasi usaha pembelaan ke atas rakyat Palestin.

Kepentingan politik dan ekonomi itu menjadi isu keselamatan negara yang tidak boleh dikompromi bagi rejim Arab yang berjiran dengan Palestin. Kepentingan itu pula berkait rapat dengan kepentingan strategik kuasa besar AS dan negara-negara Barat.

Malah tambah Hafidzi, sebahagian negara Arab sudah memeterai perjanjian damai dengan Israel kerana tunduk dengan tekanan Amerika. Mesir dan Jordan adalah dua negara Arab yang sudah menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Negara-negara Arab lain pula sudah mempunyai hubungan dagang dengan Israel termasuklah membuka cawangan-cawangan bank dan institusi kewangan di Israel. Berdasarkan hakikat itu, adalah agak sukar untuk meletakkan harapan yang besar kepada rejim Arab untuk melakukan sesuatu yang bermakna ke arah perjuangan pembebasan Palestin.

Namun tambah Hafidzi, kesedaran rakyat di negara-negara tersebut cukup tinggi.

‘‘Mereka bersedia menghulurkan bantuan bahkan bersedia untuk berjuang bersama rakyat Palestin,” jelas beliau.

Namun realiti politik yang menekan di Arab menghalang kesedaran ini daripada diterjemah dalam bentuk gelombang yang boleh mengubah landskap politik Asia Barat.

Negara-negara Arab mengamalkan sistem autokratik yang mana rakyat tidak punya hak untuk bersuara dan menyatakan pendirian dengan bebas. Sistem demokrasi pula seperti yang dijelaskan Hafidzi, hampir tidak dikenali di negara-negara Arab.

Bahkan Amerika yang kononnya berjuang untuk menegakkan sistem demokrasi di seluruh dunia menyokong rejim Arab yang autokratik itu. Ini kerana mereka sedar jika ruang demokrasi dibuka di Asia Barat, maka situasi yang sama akan wujud seperti di Palestin.

Ternyata apabila rakyat Palestin diberi hak untuk memilih pemerintahan mereka sendiri melalui sistem pilihan raya yang telus dan adil, mereka mempraktikkan hak demokrasi itu sepenuhnya dengan memilih Hamas.

‘‘Realiti ini adalah satu igauan yang amat digeruni oleh pemimpin-pemimpin rejim Arab dan mereka akan berusaha sejauh mungkin untuk menghalang proses demokrasi dilaksanakan di negara mereka,” ujar Hafidzi.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc