Assalamualaikum,
Antara peristiwa penting yang berlaku pada tahun 2009M yang bakal meninggalkan kita dalam tempoh tiga jam lagi ialah kerelaan seorang muslimah untuk melaksanakan hukuman syariah islam ke atas dirinya sendiri. Sesungguhnya ini adalah satu kemenangan kepada Islam dan Iman. Hukum-hukum Allah pernah didaulatkan di tanah air yang tercinta ini. Kesediaan Dewi Kartika adalah satu bukti bahawa hukum Allah SWT pasti akan kembali didaulatkan di bumi Allah.
Sajak ini dinukil khas untuk Dewi Kartika dan umat Islam yang ikhlas berjuang untuk melihat tertegaknya kembali hakimiah lillah di muka bumi
Dr Hafidzi Mohd Noor
----------------------------------------------------------------------------
Allah Mengutus Seorang Kartika
Aku teliti Batu Bersurat yang bertarikh 1303 itu
Yang sudah terhakis dan haus
Separuh darinya sudah hilang tidak ketemuan.
Inskripsi bertulisan jawi ini
masih menebal. Pengaruh hindunya
Allah masih diseru dengan Dewata Mulia Raya.
Tetapi syariat Islam dijunjung tinggi,
Bukan sahaja masalah hutang-piutang yang dikanunkan
Bahkan hudud terhadap jinayah zina turut dilaksanakan
’Barangsiapa berbuat balacara (zina), jika merdeka setitah
Maka ditanam hingga ke pinggang
Dihambalang dengan batu
Di matikan...
Tujuh ratus tahun berlalu
Itulah undang-undang yang dikenali oleh orang melayu
Seringkali bercampur aduk dengan adat dan tradisi setempat
Namun masyarakat melayu sedang menuju proses islah berterusan
Berkata R.J. Wilkinson
Kalau Inggeris tidak muncul..
Maka Syariat Islam akhirnya akan dilaksanakan seratus peratus!
Tetapi berlaku takdir perjalanan sejarah
Umat melayu yang mengalami lonjakan transformasi
Diasak oleh penjarah-penjarah dari Barat
Conquistidors dari
Kapitalis-kapitalis VOC Belanda dan East Indies Co British
Mulanya memunggah hasil mahsul
Kemudian mentadbir dan menyusun aturan hidup masyarakat
Seterusnya memaksakan cara hidup dan fikir
Beransur-ansur menanam asas-asas sekularisasi
Memisahkan agama dari kehidupan
Agama dipencilkan di pondok-pondok yang daif
Madrasah-madrasah disudut-sudut langgar (surau)
Anak-anak melayu elit diasuh di sekolah-sekolah Inggeris
Di suntik dengan nilai-nilai Victorian dan Edwardian.
Islam terperosok sebagai barang usang
Apa sahaja yang datang dari bangsa Inggeris
Dinilai progresif dan bertamaddun
Undang-undang Common Law dan Queen’s Council
Mengambil tempat Kanun Melaka,
Undang-undang 99 Perak.. Undang-undang Johor
Undang-undang syariat bertolak ke belakang
Dari sebuah kanun yang lengkap
Kepada sekadar bicara soal nikah, fasakh, talak, rujuk dan nafakah..
Belum lagi bicara mendaulatkan syariah Islam
Baru mempertahankan wibawa mahkamah syariah
Terdengar suara-suara sumbang
Dari negarawan hingga orang kebanyakkan
Muslim dan bukan muslim
Menghambur cemuhan demi cemuhan
Atas percubaan untuk mengembalikan undang-undang Tuhan
Sebatan enam kali kerana meminum arak
Mendapat liputan media seantero dunia
’Archaic’ dan purba! – teriak mereka
Zalim dan diskriminasi! – teriak yang lain
Namun legasi 700 tahun Batu Bersurat Kuala Brang
Ruhnya didaulatkan kembali
Oleh seorang model sambilan
Yang insaf dan tawadduk merelakan hukuman
Tuhan Allah punya perancangan
Siapa menyangka Allah
Mengutus seorang Kartika
Untuk menggugah umat ini
Bahawa ia punya warisan
Jika dijunjung
Pasti ada keselamatan dan kemakmoran
Hafidzi Mohd Noor
3 September 2009
0 comments:
Post a Comment