-------------------------------------------------------------------------------------------
Khutbah: Hentikan kezaliman ke atas karomah insan
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ
مُسْلِمُوْنَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Hari ini khatib hendak mengingatkan diri khatib dan sidang Jumaat tentang suatu pesanan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW di dalam khutbah terakhir baginda di Jabal Ramah dalam peristiwa Hijatul Wida’ yang terkenal itu. Rasulullah SAW telah mengingatkan umat Islam supaya mendengar dengan penuh teliti kerana baginda tidak pasti samada akan bertemu lagi dengan umat yang baginda pimpin selama itu pada tahun berikutnya.
“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Setelah memimpin umat Islam untuk satu tempoh yang sarat dengan ujian dan tribulasi selama 22 tahun, maka pada haji perpisahan tersebut Nabi telah menggariskan beberapa pesanan untuk diperhatikan dengan sungguh-sungguh oleh umat yang bakal ditinggalkan. Pastinya dalam pesanan baginda yang sengkat dan padat itu baginda menggariskan pokok-pokok ajaran Islam yang disampaikan selama 23 tahun baginda diutus sebagai Rasul.
Di antara pokok-pokok ajaran Islam yang diperingatkan kembali oleh baginda saat itu ialah supaya menghormati hak sesama umat Islam. Sebagaimana sucinya Tanah Haram dan sebagaimana sucinya bulan Zulhijjah, bulan Haji, maka begitu jugalah mulianya seorang muslim kepada saudaranya. Nabi SAW menjelaskan bahawa darah, harta dan maruah seorang muslim adalah haram ke atas muslim yang lain. Tiada siapapun yang boleh menyakiti dan menzalimi saudaranya tanpa hak.
Mengapakah persoalan menjaga dan memelihara hak sesama saudara muslim bahkan sesama manusia dijadikan sebagai pesanan penting oleh Rasulullah SAW. Sebabnya sidang Jumaat yang dirahmati Allah, persoalan muruah atau ‘karamah’ insan adalah persoalan pokok dalam Islam. Ia bukan persoalan ranting kerana kesejahteraan dan kelangsungan umat itu bergantung kepada sejauh mana prinsip ‘muru’ah’ dan ‘karamah’insan ini dipelihara. Jika berlaku pelanggaran kepada mana-mana aspek dari muruah atau karamah insan ini maka akan berlakulah pecah-belah sesama umat Islam. Semua bentuk pelanggaran ini samada yang mengenai diri, maruah atau harta boleh melemahkan asas kepada perpaduan dan persaudaraan (ukhuwah) Islam.
Apabila memperkatakan tentang menjunjung ‘karamah’ insan, maka apa juga yang menzalimi seseorang dikira sebagai memperleceh karamah atau kehormatannya. Di dalam Islam ia berkait rapat dengan mempertahankan prinsip keadilan. Begitu sekali Islam memuliakan insan sehingga ia tidak boleh dijatuhkan sebarang hukuman atas apa jua kesalahan melainkan setelah ia melalui proses penegakkan keadilan. Proses keadilan yang dimaksudkan ialah memastikan setiap orang yang didakwa diberikan hak untuk dibicarakan di sebuah mahkamah yang adil. Bahkan di dalam Islam, seseorang yang tertuduh atau didakwa atas apa-apa kesalahan maka dia tidak dianggap bersalah sehinggalah mahkamah yang mengadili kesnya memutuskan beliau bersalah. Dalam kata lain tidak wujud dalam sistem Islam yang adil, di mana seseorang di’bicara’kan di media ‘trial by media’ dan maruahnya dijatuhkan di khalayak ramai sedangkan kesnya belum disebut dan diputuskan oleh mahkamah.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah.
Prinsip keadilan di dalam menjaga karamah insan ini bukan hanya tinggal sebagai peraturan tetapi dibuktikan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat yang menuruti sunnah baginda. Sy Ali b Abi Talib ketika menjawat sebagai khalifah pernah mendakwa seorang yahudi yang merupakan seorang rakyat biasa kerana mencuri tombak Sy Ali. Walaubagaimanapun hakim yang mengadili kes ini telah mengenepikan kes Sy Ali kerana tiada bukti untuk mentsabitkan kesalahan. Maka apa yang berlaku ialah yahudi tersebut dibebaskan. Tindakan hakim ini diambil dengan berpegang kepada prinsip ‘membebaskan orang yang bersalah adalah lebih baik dari menghukum orang yang tidak bersalah’. Prinsip ini menekankan bahawa seseorang itu hanya diputuskan bersalah oleh mahkamah apabila cukup bukti untuk mentsabitkan kesalahan yang dilakukan. Mahkamah tidak boleh memutuskan bersalah atas dakwaan tanpa bukti atau atas bukti yang tidak kukuh. Oleh kerana ketatnya prinsip keadilan di dalam sistem kehakiman Islam seperti yang terbukti di dalam kes ini, orang yahudi tersebut telah mengakui jenayah yang dilakukan. Memang benar beliau mencuri tombak Sy. Ali tetapi Sy Ali tidak dapat membuktikannya. Prinsip keadilan demi memelihara karomah insan mendorong yahudi tersebut mengaku jenayah yang dilakukan, bahkan memeluk Islam kerananya.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Mari kita lihat kepada situasi umat Islam hari ini. Apakah prinsip keadilan untuk memelihara karamah insan ini dilaksanakan. Hakikatnya sidang Jumaat sekelian, apa yang berlaku pada hari ini amat bertentangan dengan prinsip keadilan yang digariskan Islam. Belum lagi bercakap tentang samada keadilan benar-benar dilaksanakan dalam perbicaraan kes, tetapi lebih jauh lagi, hak perbicaraan tidak diberikan kepada pihak yang dituduh. Inilah realiti yang berlaku saat ini apabila seseorang itu boleh dituduh dengan sewenang-wenangnya oleh sang pengausa dan beliau tidak perlu membuktikan tuduhan tersebut melalui ‘due process of law’ atau proses perundangan. Cukup dengan mendakwa seseorang itu mengancam keselamatan awam atau negara maka sang penguasa boleh menahan seseorang itu mengikut budi bicaranya semata-mata. Peruntukan undang-undang yang zalim ini boleh menyebabkan seseorang itu merengkok di dalam tahanan tanpa diberi sebarang hak untuk membela diri dan dibicarakan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Bagaimanakah kita hendak menilai satu peruntukan yang secara terang-terangan mencabul karamah insan dan hak asasi manusia. Kesalahan itu pula hanya perlu disahkan oleh sang penguasa dan persetujuan beliau sudah cukup untuk merenggut kebebasan seseorang untuk satu tempoh yang hanya diketahui oleh sang penguasa. Ia amat berbeza dengan kesalahan yang ditsabitkan melalui proses mahkamah dan dijatuhkan hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang seperti dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun sebagai contoh.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Pengalaman-pengalaman sebenar yang dilalui oleh mangsa-mangsa tahanan tanpa bicara membuktikan bagaimana mereka dilayan seperti penjenayah yang amat merbahaya sedangkan mereka tidak pernah dibicarakan dan tidak pula dinyatakan kesalahan mereka. Namun ‘kesalahan’ ini begitu besar kepada sang penguasa sehingga mereka dihalang dari mendapat hak lawatan keluarga, hak khidmat guaman, bahkan dihalang dari menyertai solat jumaat. Malah lebih dahsyat lagi tahanan tidak dibenarkan menziarahi anak dan ibu yang sedang nazak, atau permohonan mereka sengaja dilengahkan sehingga apabila mereka tiba, anak dan ibu yang dikasihi telahpun menghembuskan nafas yang terakhir. Tidakkah ini menunjukkan bahawa penahanan tanpa bicara hanya bertujuan untuk menanam ketakutan yang amat sangat kepada sang penguasa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Kelak di akhirat akan ada Sang Penguasa di atas segala sang penguasa di atas muka bumi ini iaitu Allah Rabbul Jalil yang akan mengadili setiap perbuatan manusia. Setiap manusia akan diadili dengan sepenuh keadilan sehingga tidak ada ruang kepada seseorang untuk mempertikai keputusan Allah, hakim yang maha adil. Akhirnya semua manusia yang dijatuhkan hukuman bersalah di depan Allah Rabbul Jalil, akan menerima keputusan tersebut. Semua pihak tidak akan dizalimi kerana diberi peluang untuk membela diri. Sedangkan Allah yang maha berkuasa memberi hak kepada manusia membela diri di mahkamah mahsyar atas setiap kesalahan yang mereka lakukan, inikan pula kita manusia yang hanya merupakan pemegang amanah dari Allah SWT.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Kita diperentah oleh Allah untuk berlaku adil, kerana ia lebih dekat kepada takwa. Kita diperingatkan oleh khatib saban minggu dari mimbar ini untuk bertakwa kepada Allah. Bagaimanakah kita hendak menghayati makna taqwa jika prinsip keadilan yang paling asas ini tidak dapat kita laksanakan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
(Al-Maidah:8)
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Bagaimanakah sikap kita di dalam menghadapi kezaliman yang berlaku di dalam masyarakat. Rasulullah SAW berpesan di dalam sebuah hadis
”Tolongilah saudara kamu samada dia menzalimi atau dizalimi. Lalu seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia dizalimi. Apa pula pendapatmu jika dia yang menzalimi, bagaimana aku menolongnya? Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: Engkau hendaklah menegahnya daripada melakukan kezaliman itu, maka itulah cara menolongnya.”
(Hadis sohih riwayat Imam Bukhari daripada Anas bin Malik r.a.)
Kezaliman adalah kemungkaran; dan kemungkaran wajib dibanteras sebagaimana sabda junjungan
“Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemunkaran, maka cegahlah dengan tangannya, dan jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan lidahnya dan jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman.”
(Hadis sohih riwayat Imam Muslim dari Abu Said al Khudriyy)
Hadis ini menunjukkan bahawa semua pihak mesti memainkan peranan untuk menghentikan kezaliman dengan apa jua cara menurut kedudukan, kemampuan, sumber dan bakat yang ada. Berdiam diri terhadap kezaliman tidak ada dalam kamus kehidupan seorang muslim.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Dalam suatu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Akan datang (masanya, timbulnya) pemimpin-pemimpin yang sentiasa melakukan kezaliman dan pembohongan. Maka sesiapa yang menolong kezaliman mereka dan mengiyakan pembohongan mereka, maka dia bukanlah daripada (golongan)ku dan aku bukanlah daripada (golongan)nya, dan dia tidak akan sampai ke kolam Kautharku (di akhirat). Dan sesiapa yang tidak mengiyakan pembohongan mereka dan tidak menolong mereka dalam kezaliman itu, maka aku adalah daripada (golongan)nya dan dia adalah daripada (golongan)ku dan dia akan sampai ke kolam Kautharku (di akhirat).
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Dalam satu hadis lagi, Rasulullah s.a.w. menyatakan:
“Sesiapa yang membantu mempertahankan kezaliman, maka dia akan berada dalam kemurkaan Allah, sehinggalah dia meninggalkannya”.
(Riwayat Ibnu Majah, dan al-Albani menganggapnya sahih)
Akhirnya, sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah kita sama-sama merenung ayat Allah SWT
وَلاَ تَرْكَنُواْ إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللّهِ مِنْ أَوْلِيَاء ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ
Dan janganlah sekali-kali kamu condong kepada orang-orang yang zalim kerana kamu akan disentuh api neraka.
(Surah Hud, ayat 113)
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْز َالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.